Thursday, January 6, 2011

Perlu bijak memilih hartanah

Perlu bijak memilih hartanah - Kosmo 6 Jan 2011

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my


MEMBELI harta khususnya untuk didiami sememangnya satu usaha yang memerlukan banyak masa, tenaga, wang, penyelidikan dan strategi pelaburan yang baik. Apatah lagi jika membeli hartanah sebagai pelaburan untuk masa depan.

Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Idris Harun pernah berkata, “Jika orang muda diberi pilihan antara memiliki rumah dan kereta pada harga yang sama, selalunya mereka lebih mudah memilih kereta walaupun ia susut nilai.”

Kenyataan yang disampaikan beliau amatlah benar khususnya untuk pemuda bandar yang lebih percaya dengan harta bergerak seperti kenderaan, telefon bimbit atau kamera digital berbanding harta tidak bergerak seperti bangunan dan tanah.

Lazimnya pilihan untuk membeli hartanah berbentuk rumah timbul hanya apabila seseorang itu sudah berumah tangga, tiada tempat tinggal atau sudah lama hidup menyewa.

Biarpun ia satu fenomena yang biasa, namun perunding hartanah, Dr. Wan Shah Razali menganggap tindakan orang muda sekarang terutama mereka yang dihimpit dengan gaya hidup urban sebagai satu tindakan yang kurang bijak.

Beliau yang ditemui di pejabatnya di Bandar Puteri, Puchong menegaskan betapa bernilainya jika harta yang dibeli itu boleh menjana pendapatan daripada terus dibelenggu dengan nilai susut yang tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Gaya hidup kurang bijak

“Sebaik mendapat pekerjaan yang baik, mereka terus melabur pada kenderaan mewah, pakaian berjenama, kad kredit, menyewa rumah yang luas dan menjalani kehidupan yang selesa. Tetapi mereka mungkin tidak terfikir untuk melabur wang pada rumah atau bangunan kerana ia dilihat sebagai kepentingan selepas berkeluarga atau kepentingan fasa seterus kehidupan,” ulasnya.

Wan Shah berkata, jika pemuda-pemudi bersikap sebaliknya iaitu melabur pada hartanah, ia mungkin satu tindakan paling bijak kerana ia bukan sahaja boleh di jadikan kediaman, malah pelaburan pada hartanah juga boleh menjana pendapatan yang lumayan jika disewakan atau dijual kembali selepas beberapa tahun.

“Jika anda membeli sebuah kereta mewah, nilainya susut 50 peratus selepas lima hingga tujuh tahun. Berbeza bagi rumah, nilainya boleh meningkat 50 peratus dalam tempoh masa yang sama. Malah jika anda memilih lokasi yang strategik, kemungkinan nilai bertambah pada 200 hingga 400 peratus,” katanya lagi.

PASTIKAN lokasi hartanah adalah strategik.

Bagaimanapun Wan Shah berkata, melabur pada hartanah bukanlah semudah yang dibicarakan. Jika tersalah pilih rumah dan lokasi, anda mungkin terpaksa menanggung mimpi ngeri sepanjang hayat.

Kata-kata Wan Shah bukan sekadar nasihat, malah beliau sendiri mempunyai pengalaman memilih rumah yang salah dan lokasi yang salah.

“Kemampuan saya menjadi seorang perunding bukan hanya kerana pendidikan dan pengalaman saya memberikan konsultasi tetapi saya sendiri belajar daripada kesilapan lalu,” katanya yang terus berkongsi kisahnya.

“Beberapa tahun dahulu, selepas tamat pengajian, saya membeli sebuah apartmen di sebuah lokasi di Klang. Sehingga kini, saya dapati ia tidak berbaloi.

“Selepas itu, saya membeli sebuah rumah dua tingkat, juga berdekatan kawasan yang sama. Bukan itu sahaja, saya juga mengubah suai rumah itu. Malangnya ketika itu, saya melabur pada rumah yang salah kerana pendapatan yang dijana hasil sewa tidaklah seberapa. Lokasi rumah kedua baik, cuma rumah yang dibeli (rumah dua tingkat) itu salah,” jelas beliau.

Memilih hartanah

Wan Shah memberitahu, jika seseorang itu mahu membeli hartanah untuk kediaman, mereka harus memilih lokasi dan rumah yang sesuai dengan gaya kehidupan mereka.

Katanya, pembeli boleh memilih apa juga jenis rumah yang sesuai dengan kehendak dan lokasi sama ada lokasi yang sibuk, aman, lengkap dengan fasiliti atau gabungannya.

Namun, jika pembeli mahu membeli harta untuk tujuan pelaburan atau kediaman sementara dan menjual semula, maka terdapat pelbagai elemen yang perlu dititikberatkan.

“Amnya, pembelian hartanah membabitkan empat individu iaitu agen rumah, pihak bank, peguam dan jurunilai. Kesemua empat orang ini mempunyai kepentingan berbentuk komersial ke atas hartanah yang dijual. Tetapi pembeli kerap tidak mempedulikan perunding hartanah yang walaupun bukan orang berkepentingan tetapi boleh menasihati pembeli tentang prospek masa depan lokasi dan nilai bangunan yang dilabur,” kata Wan Shah yang juga selaku seorang perunding.

Tip membeli rumah

Wan Shah turut berkongsi beberapa tip penting membeli hartanah. Beliau yang menamatkan pengajian dalam bidang kewangan percaya setiap hartanah yang dibeli harus memenuhi beberapa kriteria dari aspek pelaburan.

“Sebelum memilih sebuah rumah, aspek cantik atau tidak bukan keutamaan. Ada beberapa perkara lain yang harus diberi penekanan,” katanya sambil menyambung kepentingan itu adalah memastikan pelaburan hartanah itu mempunyai aliran tunai yang positif.

Aliran tunai yang positif bermakna rumah itu mempunyai nilai tinggi dan tidak akan memberi kesan negatif meskipun dalam keadaan ekonomi yang tidak seimbang.

Beliau memberi contoh bagaimana wang tunai dalam bank boleh susut nilai akibat inflasi dan sebagainya akibat ketidakseimbangan ekonomi manakala, membeli hartanah dengan nilai aliran tunai positif masih boleh menggandakan harga rumah.

MEMBELI hartanah bukanlah mudah kerana ia menuntut banyak masa, tenaga dan strategi pelaburan.

“Aspek kedua yang perlu diberi perhatian adalah lokasi yang dipilih. Ia bersangkut paut dengan aspek ketiga iaitu merujuk dengan pihak berkuasa tempatan mengenai pembangunan masa hadapan lokasi yang dipilih. Dengan adanya jaminan pembangunan infrastruktur dan fasiliti yang lengkap, nilai pelaburan pasti akan meningkat,” katanya sambil memberi contoh beberapa kawasan yang menjadi tumpuan pelabur di sekitar Lembah Klang.

“Lihat sahaja kawasan Puchong, dengan adanya pembangunan semasa dan perancangan pembangunan masa hadapan, ia menjadi tarikan pelaburan. Ini satu contoh yang baik. Walau bagaimanapun, pembeli tidak seharusnya terpengaruh dengan satu sumber tetapi memeriksa dengan pihak perunding hartanah dan beberapa pihak lain sebelum membuat apa-apa keputusan,” jelas beliau.

Kata Wan Shah lagi, rumah atau bangunan hartanah yang dibeli itu sebaiknya harus mempunyai nilai pembiayaan semula yang tinggi untuk membantu pelaburan terhadap harta benda lain atau sokongan kewangan. Pemilihan pinjaman kewangan yang selamat dan nilai insurans yang tinggi akan menjadikan pilihan hartanah sebagai satu pelaburan yang sangat kukuh.

Katanya, jika kesemua perkara itu lengkap, maka pembeli boleh membuat penilaian terhadap perkara lain yang boleh diberi kelonggaran.

Apabila ditanya tentang status hartanah iaitu pegangan bebas dan pegangan pajakan, Wan Shah berkata, ia turut mempengaruhi nilai pelaburan namun, ia tertakluk kepada kawasan perumahan yang dibeli.

Jika kawasan perumahan itu mempunyai perancangan dan pembangunan yang sihat, pegangan pajakan masih mempunyai nilai yang tinggi.

“Walau bagaimanapun, pegangan bebas sudah tentu lebih diminati kerana lebih berbaloi. Namun, pegangan pajakan lebih 70 tahun juga dilihat sebagai satu pelaburan yang baik,” katanya.