Wednesday, April 18, 2012

Tips Perniagaan orang Cina

Anda biasa mendengar orang cina bermuafakat dan boleh berniaga benda yang sama sebelah menyebelah. Mereka tidak berdengki antara satu sama lain. Benarkah begitu? Satu perkara yang harus kita sematkan difikiran kita bahawa bangsa ini hidup berniaga ratusan tahun. Hakikatnya berniaga benda yang sama sebelah-menyebelah adalah persaingan. Mereka juga menerima perkara itu sebagai teori yang sama. Tapi mengapa masih mereka ini mampu berniaga sebelah-menyebelah? Susah Satu Senang Banyak Masalah yang paling utama dilihat dalam perniagaan adalah pemasaran. Ia adalah peraturan utama dalam mempastikan survival sesebuah perniagaan iaitu mempastikan pelanggan sentiasa ada. Mempastikan pelanggan sentiasa ada bermaksud mempastikan pelanggan sentiasa datang. Mempastikan pelanggan sentiasa datang bermaksud pelanggan sentiasa ingat untuk datang. Untuk mempastikan pelanggan sentiasa ingat untuk datang, maka hendaklah dipastikan pelanggan mempunyai sebab yang kukuh untuk datang. Apakah sebab yang kukuh untuk menarik perhatian pelanggan datang? Dalam konsep yang bakal saya terangkan ini ia merujuk kepada menarik perhatian pelanggan datang atas sebab mereka mempunyai banyak pilihan. Anda pasti masih keliru dan tertanya-tanya bukan? Teruskan bacaan…. Pemasaran Mulut Ke Mulut Teknik pemasaran ini adalah yang terbaik dari segala teknik. Kerana itu ia menjadi asas utama dalam perniagaan jaringan (network business). Ini adalah kerana cakap dan saranan daripada kawan atau kenalan lebih bersifat nasihat (consulting) berbanding mesej melalui iklan yang bersifat memujuk. Kerana itu teknik ini dilihat lebih berkesan dan murah dalam jangka panjang. Konsepnya mudah iaitu mempastikan orang tidak rasa segan atau takut-takut untuk bercerita kepada rakan-rakan mereka. Mereka akan berasa seronok untuk bercerita tentang sesuatu kerana pada mereka ia seperti satu pertolongan. Namun bagaimanakah perkaitan perkara ini dengan konsep berniaga sebelah-menyebelah oleh orang cina? Membentuk Persepsi Mega Persepsi adalah perkara yang mudah terserap ke dalam hati seseorang melalui pancaindera. Sama ada melalui mata, mulut dan telinga. Konsep teknik ini ialah mempastikan orang ramai melihatnya sebagai satu entiti mega yang memberi banyak pilihan. Biar saya berikan contoh. Apabila anda mahu membeli barangan runcit, anda pasti lebih teruja untuk pergi ke tempat yang banyak pilihan dan berharga murah. Jawapannya apa yang bermain difikiran anda masakini ialah pasaraya mega seperti Mydin, Tesco, Giant dan sebagainya. Konsep ini juga yang digunakan peniaga cina yang menjual benda yang sama sebelah-menyebelah. Konsep Perniagaan Berpusat Sebuah kedai menjual kain mungkin ada 50 jenis kain. Cuba anda bayangkan apa persepsi anda bagi sebuah tempat yang 50 buah kedai menjual kain? Secara amnya anda terus terfikir betapa banyaknya pilihan anda disana. Benar atau tidak? Kemudian anda terfikir sekiranya anda pergi ke sebuah kedai yang menjual kain dan tidak berjumpa harga yang bersesuaian, anda harus memandu atau mengeluarkan lagi kos petrol untuk mencari kedai lain. Di situ anda rugi bukan? Jadi sudah pasti pilihan anda ialah tempat perniagaan yang mempunyai banyak pilihan dan peluang anda mencari harga yang paling murah. Pusat Perniagaan Sedia Ada Di Malaysia Terdapat pusat perniagaan seperti ini di Malaysia sama ada diaturkan oleh kerajaan ataupun oleh pakatan peniaga itu sendiri. Saya lebih suka memberi contoh dimana pusat yang diatur oleh peniaga sendiri kerana ini membuktikan mereka bersepakat dan menerima konsep ini. Apabila anda bercerita tentang lanskap, apakah tempat yang sering manis dibibir banyak orang di Kuala Lumpur dan Selangor. Jawapannya ialah sungai Buloh. Di Sungai Buloh terbaris puluhan kedai yang menjual produk lanskap dari pokok hinggalah ke pasu bunga. Saya sendiri pernah bertanya 10 orang rakan di Kuala Lumpur secara santai dan 9 orang daripada mereka menyarankan Sungai Buloh. Pemasaran Bermula Dari Rumah Bakal Pelanggan Menarik perhatian pelanggan haruslah bermula daripada rumah mereka. Ini adalah penting supaya apabila mereka memegang kunci kereta, hati mereka sudah teringat untuk memandu ke tempat anda. Seperti saya katakan tadi, apabila dari 10 orang yang ditanya 9 daripadanya berkata Sungai Buloh. Maka 9 orang ini akan memandu ke Sungai Buloh. Peniaga di Sungai Buloh sudah mempunyai 9 orang prospek. Sementara peniaga lanskap di tempat lain hanya ada satu. 20 kedai lanskap di Sungai Buloh mempunyai 9 orang prospek tetapi 20 buah kedai merata tempat hanya mempunyai 1 orang prospek sahaja. Bukankah ini satu penjimatan kos pemasaran? Orang Melayu Jangan Berdengki Tetapi Memanfaatkan Kaedah Ini Saya pernah menjadi mangsa hasad dengki orang melayu sewaktu menjalankan perniagaan restoran. Sungguhpun restoran saya berjauhan dari kelompok restoran melayu lain, namun saya tidak terlepas daripada terkena ilmu hitam yang merosakkan perniagaan dari masa ke semasa hinggakan pernah memberi kesan kepada kesihatan. Ke manakah akhirnya budaya ini? Andai ada 10 restoran melayu berdekatan, pelanggan sebenarnya lebih suka pergi ke sana. Tetapi apabila tinggal 1 sahaja, adakah mereka ini fikir bahawa semua pelanggan akan menjadi milik mereka? Mereka silap sama sekali. Sudahnya 1 restoran yang tinggal ini mungkin akan gulung tikar juga. Jangan takut untuk berniaga berdekatan. Anda hakikatnya membentuk satu tempat perniagaan berpusat yang mampu menarik perhatian pelanggan. Peniaga keropok lekor di Terengganu telah membuktikannya. Begitu juga beberapa tempat yang sering mencetus minat pelanggan untuk ke sana. Pelanggan mahukan pilihan dan harga. Beri mereka apa yang mereka mahu. Jangan habiskan wang anda menambah dosa hasad dengki dan juga secara tidak sedar meruntuhkan prospek. Selamat maju jaya. - Artikel iluvislam.com