Kongsi drp http://tipshartanah.com/
Sedikit perkongsian ingin saya tulis di dalam artikel kali ini adalah
mengenai jenis pegangan hartanah dan juga sedikit penjelasan tentang jenis
hakmilik yang menjadikan sesetengah orang sedikit keliru mengenainya.
Ini adalah berikutan beberapa salah faham yang berlaku apabila saya
bersembang dengan beberapa orang bakal pembeli rumah, pemilik dan juga oleh
sesetengah agen hartanah sendiri. Antara yang ingin saya kongsikan di sini
adalah mengenai
pegangan milikan bebas (freehold), pajakan
(leasehold) dan juga apakah dia
Hakmilik
Sementara yang mana boleh jadi ‘freehold’ mahupun ‘leasehold’.
Untuk penerangan di dalam artikel ini saya tidak akan menyentuh dengan
mendalam dari segi perundangan (akta-akta dan sebagainya) tetapi hanya lebih
kepada penerangan yang lebih mudah difahami oleh orang-orang biasa.
OK, pertamanya apakah
FREEHOLD dan apa pula
LEASEHOLD?
FREEHOLD atau pegangan bebas
merupakan tanah di mana pemilikannya adalah untuk tempoh selama-lamanya
(kekal). Dalam ertikata mudah, pemilik tanah pegangan bebas memiliki
tanah tersebut selamanya tanpa tertakluk kepada tanah tersebut kembali semula
kepada hak milik kerajaan selepas sesuatu tempoh tertentu (kecuali melalui
pegambilan balik tanah oleh kerajaan). Di dalam dokumen hakmilik muktamad
(‘final title’), pegangan bebas dikenali sebagai GERAN (sama
ada Geran atau Geran Mukim) seperti di dalam rajah di sebelah. Geran merujuk kepada hakmilik yang dikeluarkan
oleh Pejabat Pendaftar Negeri manakala Geran
Mukim merujuk kepada hakmilik yang dikeluarkan dan ditadbir oleh Pejabat
Tanah dan Daerah.
Sebagai contoh, jika dokumen hakmilik itu dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar
Tanah Negeri maka ianya menggunakan No. Hakmilik seperti
GERAN 1234
manakala jika ianya dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah maka No.
Hakmilik adalah seperti
Geran Mukim
1234.
LEASEHOLD atau pegangan berstatus
Pajakan pula
merupakan jenis pegangan ke atas hartanah untuk
suatu tempoh yang telah
ditetapkan. Pada masa ini tempoh pajakan yang biasa dilihat atau
dikeluarkan oleh kerajaan negeri / Pejabat Tanah adalah untuk 99-tahun. Di
negeri seperti Sabah & Sarawak, kita mungkin melihat tempoh pajakan yang
lebih panjang manakala untuk hakmilik lama dan tujuan selain kediaman anda
mungkin akan lihat pajakan untuk tempoh seperti 30 atau 60 tahun. Persoalan
utama di sini apa akan jadi selepas tempoh pajakan tersebut tamat? Jawapannya,
tanah tersebut akan kembali menjadi hakmilik negeri. Walau bagaimanapun, ini
jarang berlaku kerana kebiasaannya pemilik tanah kediaman akan diberikan peluang
untuk memperbaharui/memanjangkan tempoh pajakan tersebut dengan membayar
sejumlah premium mengikut kadaran nilai tanah semasa. Sekiranya anda merupakan
pemilik tanah jenis pajakan, anda tidak perlu menunggu sehingga pajakan tersebut
tamat tempoh untuk memohon tetapi boleh mula memohon apabila tempoh pajakan
tersebut semakin pendek (sekitar kurang 30-50 tahun) kepada Pejabat Tanah. Anda
akan dimaklumkan mengenai jumlah premium yang perlu dibayar untuk permohonan
tersebut dan perlu membuat pembayaran sebelum ianya diluluskan. Untuk negeri
Selangor, adalah dimaklumkan pada tahun 2011 bahawa pemilik yang terus tinggal
di hartanah berkenaan hanya perlu membayar RM1,000 sahaja berbanding jumlah
premium mengikut nilai pasaran tersebut sehingga beliau menjual hartanah
berkenaan. Jumlah ini adalah tersangat kecil dan merupakan suatu tindakan yang
baik dari kerajaan negeri tersebut. Sebagaimana dokumen hakmilik kekal,
pegangan pajakan juga mempunyai pengenalan tersendiri dalam membezakannya di
dalam dokumen hakmilik.
No. Hakmilik muktamad bagi pegangan
pajakan akan menggunakan
PAJAKAN 1234 atau
PAJAKAN
MUKIM 1234 – merujuk cara yang sama seperti Geran.
Secara amnya kebanyakan tanah-tanah untuk projek perumahan pada masa ini
adalah berstatus ‘Pajakan’ kerana ianya merupakan tanah yang ‘diberimilik’ oleh
kerajaan kepada pemaju untuk dibangunkan. Hanya projek-projek perumahan
terdahulu yang mana tanah sudah dimiliki oleh individu sahaja biasanya yang
memiliki status pegangan bebas (kekal). Penerangan lanjut diperlukan untuk
perkara ini nanti!..
Dari segi nilaian hartanah pula, sebagaimana sedia maklum, tanah dengan ciri2
yang sama akan mempunyai nilai yang lebih tinggi untuk pegangan bebas berbanding
pajakan. Selain disebabkan tempoh pegangan tersebut, ianya adalah berkaitan
dengan permintaan dan juga tempoh pindahmilik yang lebih panjang untuk pegangan
pajakan yang memerlukan kebenaran/kelulusan dari Pihak Berkuasa Negeri untuk
pindahmilik tersebut yang kadangkala memakan masa sehingga 1 tahun.
Apakah pula
HAKMILIK SEMENTARA?
Sebagaimana yang telah saya terangkan di atas, dokumen hakmilik MUKTAMAD akan
menggunakan no. pengenalan seperti Geran, Geran Mukim, Pajakan, Pajakan Mukim
dan sebagainya. Bagaimana pula bagi hakmilik yang belum muktamad? Untuk
hakmilik yang belum muktamad, no. pengenalan hakmilik yang digunakan yang
mungkin anda pernah lihat adalah seperti
H.S.(D)1234 atau
H.S.(M)1234. Huruf pengenalan
H.S. di sini
sebenarnya merujuk kepada
‘Hakmilik
Sementara‘ manakala (D) dan (M)
masing-masing merujuk kepada Pejabat Pendaftar atau Pejabat Tanah Daerah
berkenaan iaitu D (Daftar) – Pejabat Pendaftar Negeri manakala M (Mukim) –
Pejabat Tanah Daerah. Terdapat sebahagian mereka yang keliru dengan anggapan
bahawa Hakmilik Sementara merupakan pegangan ‘sementara’ yang mereka fikir
pegangan pajakan sedangkan ianya suatu perkara yang berbeza. Semoga penerangan
ini dapat memberikan pencerahan kepada masalah tersebut.
Oleh itu, Hakmilik Sementara ini juga mempunyai jenis pegangan yang berbeza
iaitu sama ada ianya
pegangan bebas ataupun pegangan pajakan
yang mana boleh dirujuk di dalam dokumen hakmilik tersebut.
Walaupun Hakmilik sementara ini bukanlah dokumen hakmilik muktamad ianya
tetap sah digunapakai sebagaimana butiran yang tercatit di dalamnya sehinggalah
hakmilik muktamad dikeluarkan. Hakmilik muktamad merupakan hakmilik berdasarkan
ukuran akhir/sebenar Pejabat Tanah dan terdapat kemungkinan saiz muktamad tanah
anda sedikit berbeza dari saiz di dalam hakmilik sementara.
Diharapkan sedikit penerangan ringkas mengenai 3 perkara di atas dapat
memberikan penjelasan kepada mereka yang masih belum jelas mengenainya.
Sekiranya anda mempunyai pertanyaan lanjut, sila berikan di ruangan komen Http://Tipshartanah.com/