Sunday, September 30, 2012

3 TABIAT KEWANGAN SIHAT

Oleh: Irfan Khairi
Apa yang membezakan orang kaya dan berjaya dan mereka yang kurang berjaya dalam kewangan? Bezanya adalah, mereka yang berjaya dalam kewangan mempunyai tabiat kewangan yang sihat. Berikut adalah 4 tabiat kewangam sihat yang anda mesti miliki!
1.       Bayar diri sendiri terlebih dahulu
Untuk berjaya dalam kewangan, tabiat kewangan yang sihat diperlukan. Tabiat yang paling utama dan penting adalah untuk membayar diri sendiri terlebih dahulu. Ertinya tidak kira perbelanjaan bulanan kita, sebahagian daripada pendapatan  kita perlu diketepikan untuk diri sendiri SEBELUM melakuan bayaran bil, kereta, rumah, dan apa sahaja perbelanjaan. Dan pastinya, sebahagian ini bukan juga untuk dibelanjakan!
Buku-buku kewangan menyarankan sekurang-kurangnya, ketepikan 10% daripada pendapatan kita untuk diri sendiri. Namun, angka 10% ini adalah untuk permulaan. Apabila kita berjaya menanam tabiat menyimpan untuk diri sendiri, lama kelamaan, peratusan ini boleh dinaikkan sehingga 20% dan lebih!
Ada juga yang bertanya, apa perlu kita lakukan sekirnaya 10% pun kita tidak dapat menyimpan oleh kerana tanggungan perbelanjaan bulanan adalah tinggi? Jawapannya, mulakan bayaran kepada diri sendiri pada 2% dulu. Dan secara beransur-ansur, naikkan nilai ini sehingga 10%.
Kaedah menyimpan sebegini adalah amat penting supaya hingga satu masa, menyimpan tidak menjadi sukar dan ianya menjadi tabiat.

2.       Tabiat menjejak wang masuk dan keluar
Kekayaan bukan sekadar berapa banyak kita perolehi, tetapi, ia juga bermaksud, berapa banyak kita belanjakan. Sekiranya kita berpendapatan RM10,000 sebulan, tetapi perbelanjaan Rm15,000 sebulan (jangan terkejut, ramai yang sebegini!), maka, kewangan kita gagal!
Setiap hari, amalkan tabiat mencatit segala perbelanjaan kita. Dengan mencatit perbelanjan, kita tahu secara terperinci di mana kewangan kita pergi. Dulu, mungkin saya menyarankan mencatit dalam buku nota 555 ;) Tetapi, hari ini yang serba canggih dimana ramai antara kita memiliki smart phone, apa kata anda download perisian mengurus wang yang boleh didapati secara percuma. Contohnya, Expense Manager untuk Android.
Tabiat mencatit segala wang keluar setiap hari akan membolehkan kita menjejak wang kita setiap minggu, dan setiap bulan.Dengan mengetahui segala wang keluar, kita boleh melakukan analisa sikap perbelanjaan kita- dan pastinya kita akan tahu di mana perlu kita kurangkan perbelanjaan sekiranya perlu.
3.       Tabiat menambahkan aliran pendapatan
Untuk menjadi kaya, hanya dua sahaja perkara yang boleh dilakukan. Iaitu, kurangkan perbelanjaan, dan satu lagi adalah, tambahkan pendapatan.
Melalui ilmu yang dimiliki daripada tabiat membaca dan belajar, fikirkan cara-cara menambahkan pendapatan kita. Dengan memiliki pelbagai aliran pendapatan yang berlainan, bukan sahaja kita bersikap berhati-hati  sekirannya salah satu rezeki pendapatan kita terputus, tetapi, dengan mempunyai aliran pendapatan berganda, kekayaan dapat dibina dengan lebih pantas.
Aliran pendapatan boleh terdiri berbagai bentuk, termasuk pelaburan, hartanah, menjalankan perniagaan, royalty, komisyen dan sebagainya.
Kebanyakan orang kaya dan berjaya bukan sekadar mempunyai satu punca pendapatan sahaja, tetapi mempunyai banyak aliran pendapatan yang berlainan. Jadikan tabiat ini, sebagai tabiat anda!

Tuesday, September 25, 2012

Tuntutan seimbang amalan dunia, akhirat

2012/09/25 - 07:34:16 AM Mohd Shukri Hanapi.

Dalam al-Quran ada beberapa ayat yang mengingatkan manusia supaya menyeimbangkan antara amalan bagi kebahagiaan dunia dan akhirat.

Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas ayat 77).
Menurut al-Tabariy dalam tafsirnya Jami‘ al-Bayan fi Ta’wil al-Qur’an, ayat ini menggesa umat manusia supaya menggunakan harta dan nikmat dikurniakan Allah SWT di dunia untuk kebahagiaan di akhirat.

Dengan kata lain, menggunakan harta kekayaan untuk mentaati dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sebenarnya cara ini dapat menghasilkan pahala di dunia untuk dihisab dan diadili di akhirat.

Meskipun begitu, segala habuan dan keperluan kehidupan dunia seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, perkahwinan tidak boleh ditinggalkan.

Seseorang manusia perlu menunaikan hak Allah SWT, hak diri sendiri, hak ahli keluarga dan hak sesama manusia ketika hidup di dunia.

Selagi semua perkara yang dilakukan di dunia ini masih menepati syariat Islam, ia termasuk dalam melakukan amalan untuk mentaati dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Tafsiran al-Tabariy sebelum ini diperkuatkan lagi tafsiran al-Qurtubiy di dalam tafsirnya al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an yang mengatakan manusia hendaklah menggunakan segala harta kekayaan di dunia untuk mendapatkan habuan syurga di akhirat kelak.

Menjadi hak seseorang Mukmin itu memanfaatkan harta kekayaan dunia untuk kebahagiaan akhirat. Penggunaan harta dunia bagi tujuan membesar-besarkan diri dan menindas orang lain adalah sesuatu yang menyimpang daripada perintah Allah SWT.

Untuk menguatkan tafsirannya ini, al-Qurtubiy memetik pandangan Ibn Abbas ra (pandangan jumhur ulama) yang melarang seseorang itu menghabiskan usia dengan tidak mengerjakan sebarang amal soleh di dunia kerana ia sangat diperlukan di akhirat kelak.

Nasib manusia ketika itu bergantung pada amalan kebajikan yang dilakukan ketika hidup di dunia ini.

Sebenarnya tafsiran al-Qurtubiy ini terungkap dalam kata Ibn Umar ra yang bermaksud: “Berusahalah untuk kebahagiaan dunia seakan-akan kamu akan hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk kebahagiaan akhirat seakan-akan kamu akan mati keesokan hari.”

Monday, September 24, 2012

Kerenah si Kaki Kipas di pejabat

ANITA ABU HASAN & SUHARNE ZAINUDIN
foto: Wan Muhammad Asyraf

24 September 2012 BH
KITA biasa bertemu individu yang suka memuji berlebih-lebihan hingga kata-kata yang dilafazkan kepada individu yang dipuji itu tidak masuk akal. Misalnya, bos bermuka masam dipuji kacak atau cantik.

Kemudian beraksi di hadapan majikan ibarat pijak semut tidak mati. Tetapi apabila bos itu bercuti atau berkursus, dia menjadi sangat bengis dengan anak buah. Lebih teruk, kalau ada yang melekat dengan bos.

Inilah senario si kaki kipas atau pembodek di dalam pejabat. Golongan ini juga dikatakan sebagai  ‘kipas sate’ dan ‘naik lif.’ Mungkin baik, kalau bos seperti belon kempis dipam dan anda cepat naik pangkat!

Tetapi usah memudaratkan orang lain. Sangat malang, sekiranya ada insan yang dianiaya itu jujur dan rajin. Cemerlang prestasinya. Cuma tewas di bibir si kaki kipas. Fikirlah, adakah berkat makan gaji dengan cara berlakon jadi baik?

Bicara Isnin minggu ini bercerita soal bodek dan memaparkan pengalaman tiga mangsa virus masyarakat itu.


Kisah Bodek 1
'Saya ditegur, pembodek dipuji'

“Sudah lebih dua tahun saya jadi guru di sebuah sekolah di Selangor. Sebagai guru muda, saya bersemangat dan mahu menjadi guru yang aktif serta bertenaga. Apatah lagi, saya dilantik sebagai guru kelas. Saya berusaha keras dan ramai pelajar menyenangi cara saya mengajar.

Namun impian saya musnah. Ada seorang rakan di sekolah itu yang tidak senang melihat usaha dan kemesraan pelajar dengan saya.

Tergamak dia bodek pengetua. Dia kata saya abaikan tanggungjawab sebagai guru kelas. Dia bodek pengetua dengan mengatakan saya ini hasut pelajar supaya jangan menyukai guru.

Dia bodek pengetua supaya tegur saya. Akibatnya saya dipanggil pengetua dan pentadbiran sekolah. Bayangkan, hal remeh seperti ini dibincangkan sedangkan pelajar rapat dengan saya sebagai guru kelas, kerana saya banyak selesaikan masalah mereka. Tetapi alih-alih, dalam mesyuarat guru, si pembodek itu yang dipuji kerana banyak bantu pelajar dan saya pula dinasihati supaya lebih berusaha.

Pembodek itu juga meminta pengetua tegur saya kononnya ambil masa rehat lama di kantin sedangkan saya hanya makan selepas tugasan selesai.

Saya dipanggil dan pengetua memberitahu beliau menerima aduan daripada si pembodek itu mengenai saya.

Berdasarkan kata-kata pengetua itu, saya sedar selama ini aduan mengenai saya itu datang daripadanya.

Akibatnya, pemarkahan bagi pencapaian prestasi saya sangat rendah. Saya seolah-olah guru muda yang tidak berguna sedangkan saya yang berpeluh, bak kata orang menyingsing lengan, turun padang membantu pelajar. Tetapi apakan daya, pengetua pilih kasih dan saya percaya beliau termakan hasutan si kaki kipas itu.”

– Abu Seman Hashim


Kisah Bodek 2
‘Aku tidak naik pangkat’

“Tiga tahun aku jadi jurutera di sebuah kilang yang besar dan ramai pekerja. Walau sudah lama bekerja, aku masih tidak naik pangkat. Tak apalah, mungkin belum rezeki aku.

Tapi seperti ada yang tak kena dengan dengan sistem perjawatan di kilang itu. Pekerja baru masuk atau jurutera baru, mudah sangat naik gred dan pangkat.

Apakah bos mengikut prinsip sebetulnya atau hanya menilai berdasarkan kemesraan dan keramahan seseorang pekerja?

Aku berani kata begini kerana ada jurutera yang naik memecut jadi pengurus walaupun pengalaman kurang dua tahun.

Namun, apa yang aku lihat, jurutera yang dinaikkan pangkat itu tidak tahu apa-apa mengenai tugasan. Apabila kena soal dalam mesyuarat, banyak soalan yang hanya dijawab dengan 'tidak tahu'.

Aku memang pelik. Adakah mereka ini diberi pangkat atas dasar pengalaman dan kebolehan atau kerana apa?

Aku memang tidak pandai mengampu bodek! Aku lihat ada juga kalangan orang jenis macam aku ni yang sukar untuk naik jawatan, tapi terpaksa bertukar angin ,mencari pekerjaan lain yang lebih terjamin.

Aku bekerja dengan jujur dan mampu melaksanakan tugasan dengan baik. Namun sayang, selepas tiga tahun aku tetap memikul jawatan yang sama.”

- Zulkifli Harun


Kisah Bodek 3
Digugurkan sebagai jurulatih

“Empat tahun berturut-turut saya jadi jurulatih. Selama itu pasukan bimbingan saya jadi juara dalam apa juga temasya. Ramai yang berebut hendak menjadi jurulatih pasukan yang saya terajui sejak 2009 itu.

Tetapi langit tidak selalu cerah. Harapan untuk terus melatih pasukan itu akhirnya musnah. Saya sungguh kecewa kerana semua ini berlaku akibat tohmahan si kaki kipas dan pengampu.

Orang itu membodek pihak pengurusan supaya menukarkan saya agar tidak terus melatih pasukan tersebut. Saya dikatakan garang, pemarah dan selalu menjerit di padang ketika sesi latihan.

Saya perlu cergas dan kuat supaya pasukan bersemangat. Saya tak pernah lihat jurulatih sukan yang berlemah lembut di padang! Buktinya, dengan tindakan tegas saya selama ini, pasukan itu tidak pernah tewas. Saya percaya hasil bimbingan selama ini, melahirkan dua ahli
sukan hebat.

Selama ini, saya bekerja keras untuk menjadi seorang jurulatih yang baik tetapi si pembodek itu memuji dirinya lebih baik daripada saya kepada pihak pengurusan. Maka saya digugurkan sebagai jurulatih dan digantikan dengan pembodek itu.

Saya tidak tahu apa lagi yang hendak dikata sama ada saya bersalah atau sebaliknya. Tetapi pasukan itu dalam satu temasya baru-baru ini, pasukan yang pernah saya bimbing itu tewas kepada lawan!”

– Sabariah Abu

Sunday, September 23, 2012

Lebih banyak rumah mampu milik - TPM

NANNING, China 22 Sept. - Kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembinaan lebih banyak rumah mampu milik berharga RM300,000 dan ke bawah dalam projek pembinaan awam dan swasta bagi membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki kediaman sendiri.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, masalah pemilikan rumah di kalangan golongan berkenaan sudah dikenal pasti sejak beberapa tahun lepas dan selepas pembentangan Bajet 2013 pembinaan rumah kategori berkenaan akan lebih pantas dijalankan.
"Pembinaan rumah RM300,000 ke bawah akan jadi tumpuan sebab kita sudah kaji kategori pendapatan untuk sekian banyak, kos yang dijual oleh pemaju sekian banyak, mana yang mampu mereka beli.
"Ini akan jadi sasaran utama projek perumahan awam dan projek swasta. Mungkin swasta akan digalakkan bina rumah sebegini. Apa insentifnya, apa cara mereka nak bantu, itu mereka boleh bincang dengan kementerian (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan)," katanya kepada pemberita Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja tiga harinya di sini.
Menurut beliau, harga rumah yang ada sekarang jauh lebih tinggi dan pegawai kerajaan yang baru mula bekerja pun tidak mampu membelinya, justeru pembinaan rumah mampu milik termasuk oleh syarikat milik kerajaan (GLC) berharga RM300,000 ke bawah akan menjadi agenda penting kerajaan untuk membantu rakyat memilikinya.
"Sekarang pun sudah ada GLC mulakan pembinaan rumah seperti PR1MA (Program Perumahan 1Malaysia) dan Sime Darby, tetapi yang penting adalah rumah mampu milik.
"Strategi mesti diselaraskan dengan kemampuan rakyat dan cara untuk bantu selesaikan masalah mereka adalah bina rumah ikut kategori," jelasnya.
Muhyiddin yakin sekali pun pemaju tidak mendapat untung besar daripada pembinaan rumah kategori mampu milik, namun, mereka tetap mendapat laba daripada jumlah pembeli yang ramai.
Beliau tidak menolak kemungkinan masalah yang mungkin dihadapi dalam pembinaan rumah berkenaan adalah mendapatkan tanah yang sesuai dan isu lain yang perlu kementerian, kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri mencari jalan menyelesaikannya.
"Rumah berkenaan boleh dibina dengan beberapa syarat, soal pokok adalah tanah. Perkara yang perlu diambil kira bukan sahaja soal rumah, tetapi juga soal perkhidmatan sokongan seperti pengangkutan awam untuk membantu pembeli rumah," jelasnya.

Wednesday, September 19, 2012

Bajet Tumpu Sektor Hartanah

Sektor hartanah dijangkakan antara yang diberikan tumpuan dalam Bajet 2013 yang akan dibentangkan hujung bulan ini, dengan manfaatnya bakal menjurus kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, serta pembeli rumah kali pertama.
Penganalisis di TA Securities, Thiam Chiann Wen berkata, bajet tahun depan itu mungkin akan menggembirakan pemaju hartanah, tetapi akan mengecewakan spekulator sektor itu.
Beliau menegaskan, perkara utama yang dijangkakan diberikan perhatian pada bajet itu ialah mengenai kaedah menangani masalah kemampuan memiliki kediaman.

Tangani isu harga rumah melambung

“Bagi menangani harga rumah daripada melambung lebih tinggi, kami menjangkakan kerajaan mempercepatkan program jualan tanah untuk membolehkan lebih banyak rumah mampu milik, atau di bawah skim PR1MA dibina.
“Ia adalah mustahak kerana sektor swasta dilihat mengasingkan diri daripada membina rumah mampu milik kerana peningkatan harga tanah, atau kos peluangnya tinggi memandangkan pemaju mungkin tidak mampu memajukan simpanan tanah pada kos yang rendah,” katanya.
Berikutan itu, beliau berkata dijangkakan lebih banyak pelan konkrit mengenai rancangan pembangunan semula tanah kerajaan bakal disertai pemaju hartanah utama, dengan kemungkinan berlakunya urus niaga tukaran tanah.
“Dengan pelancaran rasmi Tun Razak Exchange (TRX) yang bernilai RM26 bilion bulan lalu, kami menjangkakan pembangunan semula tanah kerajaan lain akan meraih momentum tahun depan.
“Berkemungkinan projek mega akan datang ialah pembangunan tanah Institut Penyelidikan Getah di Sungai Buloh memandangkan anak syarikat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru saja memuktamadkan urus niaga dengan institut itu pada harga RM22.50 sekaki persegi,” katanya.

Umum kapasiti pinjaman

Thiam berkata, kerajaan juga dijangka mengumumkan kapasiti meminjam untuk pembeli rumah kali pertama pada pembentangan bajet kali ini.
Pada pembentangan bajet tahun lalu, kerajaan menaikkan harga siling rumah di bawah skim ‘Rumah Pertamaku’ daripada RM220,000 kepada RM400,000.

Pinda keperluan pendapatan

Buat masa ini, kriteria bayaran semula bulanan mesti tidak melebihi satu pertiga daripada pendapatan bulanan pemohon untuk rumah di bawah harga RM220,000 yang sukar didapati di kawasan bandar.
“Kami menjangkakan kerajaan akan meminda keperluan pendapatan daripada RM3,000 sebulan kepada RM6,000 sebulan,” katanya.
Bagi membendung pembelian spekulatif, beliau berkata kerajaan dijangka memperkenalkan duti setem penjual serta meningkatkan lagi cukai keuntungan hartanah (RPGT).
“Sebelum ini spekulasi berlebihan dilihat sebagai punca utama kenaikan keterlaluan harga hartanah. Kami menjangka kerajaan akan menimbang mengenakan duti setem penjual (SSD) bagi penjualan hartanah kediaman dibeli pada 2013 dan menjualnya setahun selepas pembelian itu dibuat,” katanya.

Insentif kepada pemaju

Bagi pemaju hartanah, Chiann Wen berkata kerajaan dijangka memberi insentif kepada syarikat yang membina perumahan mampu milik di kawasan bandar.
Katanya, ini termasuk membenarkan syarikat terbabit membina rumah kos sederhana berbanding kos rendah bagi membolehkan mereka mengekalkan operasi perniagaan masing-masing serta menikmati mekanisme pelepasan automatik untuk unit Bumiputera yang tidak dijual.
“Kami menjangkakan insentif sedemikian adalah berdaya maju untuk menggalakkan pemaju membina lebih banyak rumah mampu milik dalam jangka panjang,” katanya.
Sumber: Berita Harian

Saturday, September 1, 2012

Kenaikan semua kos punca harga rumah melonjak

ARKIB : 01/09/2012.

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) hari ini menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan kenaikan harga rumah di bandar adalah disebabkan manipulasi harga oleh pemain dalam industri tersebut.
Timbalan Presidennya Datuk FD Iskandar FD Mansor berkata, REHDA tidak pernah sesekali pun menentang kuota hartanah yang diperuntukkan kepada pembeli bumiputera, malah sentiasa menyokong dasar-dasar yang ditetapkan kerajaan Persekutuan.
Justeru, katanya, dakwaan yang menyatakan kenaikan harga kediaman tinggi di bandar adalah sebagai usaha untuk mengusir bumiputera ke luar bandar atau kampung adalah satu tuduhan salah.
Sebaliknya, beliau menegaskan lonjakan harga kediaman di bandar berpunca daripada peningkatan berganda harga tanah kerana kawasan yang ada semakin terhad.