Friday, January 25, 2013

Artikel Pilihan: DILEMA PINJAM DUIT

Oleh: Irfan Khairi
Beberapa perkara yang anda boleh lakukan adalah...
Pastikan setiap pinjaman anda mempunyai cagaran. Ya, sekiranya kawan nak pinjam RM500, minta sesuatu untuk anda pegang yang berharga lebih dari RM500 sebagai cagaran. Mungkin minta mereka set telivisyen mereka untuk anda gunakan sementara berhutang. Selagi hutang tidak di bayar, anda pegang set TV tersebut. Gunakanlah dibilik tidur anda sekiranya ruang tamu sudah ada TV. Dan sekiranya kawan anda hendak menonton TV, bayar dulu wang RM500 tersebut. Jangan lupa, apabila seseorang meminjam wang anda, ia adalah salah mereka dan anda yang dalam kerugian. Sekurang-kurangnya dengan cara ini, anda mengimbangkan keadaan.
Keduanya, lakukan perjanjian bertulis mengandungi jumlah yang dipinjam dan terma bayaran. Pastikan terdapat sejumlah wang dibayar setiap 1hb pada setiap bulan apabila mereka mendapat gaji. Jangan biarkan pinjaman hanya sekadar janji mulut sahaja tanpa terma dan jangkamasa bayar balik. Dengan mempunyai perjanjian sebegini ia memastikan anda serius dalam mendapat wang anda kembali. Sekurangnya ia merupakan bukti bertulis sekiranya kawan anda buat-buat lupa hutang tersebut.
Ketiga, ketahui apakah kegunaan wang yang dipinjam. Sekiranya untuk upgrade dari bawa motor kepada bawa kereta kerana inginkan kemewahan, anda boleh pertimbangkan sendiri berbaloi atau tidak untuk anda beri pinjaman. Ataupun ahli keluarga ingin meminjam duit untuk extension rumah. Perlukah saya jelaskan lagi? Ketahui apa yang akan digunakan dengan wang yang dipinjam bukan sahaja untuk anda membuat keputusan meminjam atau tidak, tetapi sekurangnya anda tahu wang anda tidak pergi ke perkara yang tidak elok dan membazir sahaja. Sebaiknya untuk mengawal keadaan pinjaman, anda sendiri membayar wang tersebut untuk kegunaan yang dikatakan.
Akhir sekali, jangan pinjamkan wang sekiranya anda sendiri tidak mampu. Anda telah bekerja keras untuk mendapatkan wang, jangan pula akibat meminjamkan wang kerana kasihan anda tinggal sehelai sepinggang. Jangan sehingga simpanan anda kering kontang. Nanti silap haribulan, anda pula yang makan nasi berlauk garam!
Tepuk dada, tanya selera apabila seseorang meminta pinjam wang. Terdapat berbagai kemudahan pinjaman wang melalui institusi kewangan sama ada untuk tujuan peribadi, membeli kereta, rumah, atau perniagaan. Mungkin keputusan terbaik anda adalah untuk menasihatkan kawan anda mendapat pinjaman dari institusi tersebut. Dan sekiranya mereka katakan mereka telah cuba tetapi tidak diluluskan, maka, satu lagi sebab anda perlu fikirkan. Sedangkan bank tidak meluluskan pinjaman mereka kerana tidak yakin dapat dibayar balik, masakan anda pula yang yakin mendapat wang anda kembali!

Tuesday, January 22, 2013

Projek hartanah kediaman bertanah catat prestasi baik

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Projek hartanah kediaman bertanah di Malaysia akan terus mencatatkan prestasi baik tahun ini kerana permintaan masih 'panas', kata HwangDBS Vickers Research Sdn. Bhd.
Ini susulan kehadiran lebih 600 orang yang menghadiri fasa tiga undian Lakeside Residence Glomac Bhd. pada Jumaat lepas, lebih berganda daripada yang dicatatkan dalam pelancaran fasa dua pada September.
Minat memberangsangkan yang ditunjukkan itu adalah hasil daripada lokasi strategik, peningkatan permintaan bagi pembangunan kediaman berpagar dan berkawal dengan kemudahan serta harga menarik, kata HwangDBS dalam satu nota penyelidikan.
"Kehadiran yang ramai itu merupakan bukti permintaan kukuh terhadap hartanah kediaman bertanah, meskipun harga yang meningkat sejak dua hingga tiga tahun lepas dan berian pinjaman yang lebih ketat.
"Harga dijangka meningkat, walaupun lebih sederhana, disokong peningkatan kos tanah dan pembinaan serta bekalan baharu yang semakin berkurangan," kata firma penyelidikan itu.
HwangDBS menyatakan pemaju dengan pendedahan besar kepada hartanah kediaman bertanah, perumahan besar-besaran (kurang daripada 500,000) dan lokasi utama dijangka mencatatkan prestasi baik.
Ia berkata antara syarikat yang bakal mendapat faedah besar daripadanya ialah Glomac, Hua Yang Bhd., MKH Bhd., Mah Sing Group Bhd., IJM Land Bhd. dan SP Setia Bhd. - BERNAMA

Monday, January 21, 2013

e-rokok undang sakit kronik

Bentong: Penjualan rokok e-elektronik bukan saja salah di sisi undang-undang malah pengguna produk itu turut terdedah kepada pelbagai penyakit kronik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata penjualan bahan dan produk itu adalah salah mengikut Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Mereka yang didapati bersalah menjual dan mengedar produk itu dan cecair nikotin untuk kegunaan rokok e-elektronik boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali, katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil kepada 353 pelajar cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi kawasan Parlimen Bentong di sini, semalam.

Liow berkata, walaupun salah, penjualan rokok e-elektronik itu sukar dikawal berikutan orang ramai didapati membuat pembelian menerusi internet.

Rokok e-elektronik atau e-rokok ini kononnya bertujuan membuang tabiat merokok secara beransur-ansur, tanpa disedari mereka yang menggunakannya terdedah kepada kepada pelbagai jenis penyakit kronik, katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Liow yang juga Ahli Parlimen Bentong berkata, kerajaan menyediakan peruntukan yang besar dalam Bajet 2013 bertujuan memastikan kualiti hidup yang lebih baik dan sihat.
Beliau berkata, tidak ada gunanya jika negara mencapai status negara maju menjelang 2020 dan rakyat berpendapatan tinggi tetapi mereka berada dalam keadaan tidak sihat dan menghidap pelbagai jenis penyakit kronik.

Keadaan seperti itu akhirnya akan menyebabkan produktiviti dan ekonomi negara tidak meningkat, katanya.

BERNAMA

Sunday, January 20, 2013

Artikel Pilihan: TEKNIK BAYAR KAD KREDIT

Oleh: Irfan Khairi

Bagi saya, kad kredit ada baik dan tidak baiknya. Yang baiknya, terutamanya dalam keadaan kecemasan seperti sekiranya kereta rosak tepi jalan dan tidak banyak wang tunai dalam dompet. Sering juga saya menggunakan kad kredit untuk keselamatan, seperti ingin memebeli sesuatu  yang mahal, tetapi tidak mahu membawa sejumlah wang tunai yang besar. Ada juga perlunya kad kredit dalam berhutang pada sesuatu yang baik dan memberi pulangan seperti mendapatkan ilmu untuk menambahkan pendapatan.
Yang tidak baik pula adalah apabila menggunakan kad kredit untuk membeli barangan, pakaian, bercuti atau apa sahaja yang tidak perlu dan diluar kemampuan kita.
Berbelanja menggunakan kad kredit adalah amat mudah. Dari segi psikologi, apabila kita hanya menggunakan kad plastik sahaja, kita tidak nampak nilai yang dibelanjakan. Hanya dengan sekali sapu sahaja, kita akan memiliki barang yang diidamkan- tanpa mempunyai wang yang cukup.

Image
Strategi membayar balik hutang kad kredit...
Sekiranya anda dapati diri anda terjerat dalam masalah hutang kad-kad kredit, berikut adalah satu strategi yang akan membantu anda melakukan bayaran dengan lebih teratur dan pantas.
Letakkan kesemua kad kredit anda di hadapan anda di meja. Dan ketahui baki hutang setiap kad kredit anda. Langkah ini mungkin agak berat bagi anda yang mempunyai hutang keliling pinggang, tetapi, ianya amat penting supaya anda berhadapan dengan masalah ini bersemuka dan tidak mengelakkannya yang hanya akan menyukarkan keadaan kewangan anda.
Ketahui bahawa, mungkin anda telah mengambil masa bertahun-tahun memerangkap diri anda dalam hutang kad kredit, ia juga mungkin mengambil masa bertahun untuk keluar dari perangkap tersebut.
Untuk setiap kad kredit di hadapan anda, ketahui baki minima yang perlu dibayar untuk setiap kad kredit tersebut. Setiap bulan, pastikan anda membayar kesemua baki mimima yang sama ini setiap bulan untuk semua kad supaya anda tidak dikenakan caj yang lebih tinggi dan tidak sepatutnya.
Langkah seterusnya adalah untuk anda menetapkan kad mana yang anda ingin serang dan jelaskan terlebih dahulu. Mungkin, kad yang mempunyai baki paling tinggi, ataupun yang paling rendah. Apa yang anda perlu lakukan adalah, bayar lebih daripada baki minima semampu anda untuk kad tersebut.
Lakukan ini setiap bulan sehingga langsai baki pada satu kad itu. Apa yang anda akan dapat pada hujung bulan kemudian adalah anda akan miliki wang lebih dari baki minima dan juga bayaran tambahan yang anda telah lakukan berbulan-bulan untuk melangsaikan kad pertama.
Seterusnya, gunakan jumlah wang lebih ini untuk membayar balik kad yang kedua. Jangan lupa, pastikan bayaran minima kad kedua diteruskan juga. Bererti, wang lebih anda dibayar  tambahan kepada jumlah minima yang telah pun anda bayar selama ini.
Teknik ini akan mengajar anda lebih berdisiplin dan sistematik dalam melakukan bayaran bulanan dan anda akan dapati lebih pantas anda menjelaskan baki kad kredit anda dan keluar dari masalah... aduhai kad kredit!

Monday, January 14, 2013

Artikel Pilihan: DUIT UNTUK PENCEN

Oleh: Irfan Khairi
Kita sering simpan duit untuk beli kereta, beli rumah, pergi bercuti, simpan duit untuk pendidikan anak-anak dan berbagai lagi. Tapi sering kita lupakan simpan duit untuk diri kita apabila pencen kelak.
Ya, pastinya ada yang terbaca ini akan mengatakan, wang pencen sememangnya disimpan melalui potongan gaji KWSP. Tetapi, hakikatnya adalah, dengan hanya bergantung kepada simpanan KWSP, ianya tidak mencukupi. Majoriti antara kita yang bergantung hanya pada KWSP akan mendapat kurang dari RM300 sebulan sekiranya dikira jangka hayat yang meningkat kepada 75 tahun. Adakah RM300 mencukupi untuk tanggungan sebulan?
Kali terakhir saya ke pasaraya pun jumlah belian adalah lebih dari RM300. Itu juga tidak kira bayaran untuk lain-lain seperti kecemasan, perubatan, dan perbelanjaan lain apabila tua kelak.
Image
Bersedia untuk pencen kelak adalah amat penting kerana, untuk membeli kereta, rumah atau pendidikan anak-anak, sememangnya terdapat kemudahan pinjaman untuk tujuan ini. Namun, sememangnya tiada pinjaman untuk membiayai hari tua anda. Oleh sebab ini, wang pencen adalah tanggung jawab kita sendiri.
Jadi, apakah nombor ajaib disimpan untuk simpanan hari tua? Jawpannya adalah 15% daripada pendapatan bulanan. Ini juga bergantung kepada waktu anda mula menyimpan. Sekiranya anda mula menyimpan pada usia muda dalam lingkungan  30 tahun, 15% setiap bulan adalah sasaran yang baik. Namun, sekiranya simpanan anda bermula lebih awal seperti berumur 20-25 tahun, 10% simpanan dari pendapatan bulanan adalah baik. Tetapi harus ingat, lebih lewat anda tersedar pentingnya menyimpan untuk hari tua, maka lebih tinggi simpanan bulanan perlu dilakukan. Dan berkemungkinan lebih sukar dengan pelbagai tanggungan yang perlu dibuat hari ini.

Monday, January 7, 2013

Pemaju mahu untung 60 peratus

Harga jualan kediaman yang terus mencatatkan peningkatan saban tahun antara lain dipercayai berpunca daripada kerakusan pemaju yang mahu mengaut keuntungan berlipat ganda dengan margin keuntungan mencecah sehingga 60 peratus.
Harga jualan kediaman yang terus mencatatkan peningkatan saban tahun antara lain dipercayai berpunca daripada kerakusan pemaju yang mahu mengaut keuntungan berlipat ganda dengan margin keuntungan mencecah sehingga 60 peratus.

Dekan Fakulti Alam Bina Universiti Malaya, Prof Madya Dr Sr Noor Rosly Hanif berkata, kebanyakan pemaju mencuba kaedah menduga pasaran dengan meletakkan harga tinggi.
“Pembeli sedia maklum bahawa kos kediaman yang dibeli turut meliputi margin keuntungan pemaju namun, kebiasaannya pemaju hanya mengambil 30 peratus saja daripada jumlah yang diterima.

“Namun, keadaan ini tidak lagi berlaku kerana ada antara pemaju yang meletakkan harga untuk mengaut sehingga 60 peratus margin keuntungan,” katanya kepada Bisnes Metro di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, keadaan ini terus berlaku kerana walau berapa mahal sekalipun harga yang ditawarkan, tetap ada pembeli yang sanggup membayar dan ia menyebabkan pemaju terus-terusan gembira menawarkan harga sedemikian.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07-Metro Harian

Saturday, January 5, 2013

Dokumentasi pembiayaan rumah kini lebih mudah

KUALA LUMPUR 3 Jan. - Dokumentasi pembiayaan perumahan individu oleh bank-bank tempatan telah diselaraskan berkuat kuasa 1 Januari 2013 bertujuan memudahkan pelanggan memahami terma dan syarat pembiayaan.
Penyelarasan berkenaan telah mengurangkan jumlah helaian dokumentasi daripada 20 hingga 30 muka surat kepada 15 muka surat sahaja dengan penyampaian yang lebih mudah difahami.
Dokumentasi baharu berkenaan turut disediakan dalam Bahasa Melayu atas permintaan pelanggan dan bakal disediakan sepenuhnya pada Oktober depan kepada semua pelanggan.
Dokumentasi baharu berkenaan tertakluk kepada rumah berharga RM500,000 dan ke bawah dan pelanggan boleh menyemak tawaran pembiayaan perumahan semua bank tempatan untuk membuat perbandingan di laman sesawang www.abm.org dan www.bnm.gov.my.

Had pendapatan Skim Rumah Pertama dinaikkan


Seorang pelawat melihat rumah contoh ketika melawat pameran hartanah di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 
KUALA LUMPUR 3 Jan. - Berkuatkuasa 1 Januari 2013, had pendapatan bagi memohon pinjaman perumahan di bawah Skim Rumah Pertamaku (SRP) telah dinaikkan bagi membolehkan lebih ramai pembeli melakukan pinjaman bagi memiliki rumah.
Cagamas SRP Bhd. dalam kenyataannya berkata, pada pembentangan Bajet 2013 lalu, kerajaan mengumumkan bahawa had pendapatan pemohon individu bagi skim itu akan dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan tahun ini.
Sementara had pendapatan peminjam bersama pula dinaikkan sehingga RM10,000 sebulan dengan syarat salah seorang peminjam tidak boleh berpendapatan lebih RM5,000 sebulan.
Tambahan daripada itu, keperluan untuk menyertakan penyata bank bagi tempoh tiga bulan dan tempoh bekerja minimum selama enam bulan turut dihapuskan.

Thursday, January 3, 2013

Peniaga yakin pasaran domestik


EKONOMI domestik negara dijangka terus rancak di samping pemulihan ekonomi dunia. - GAMBAR HIASAN 
KUALA LUMPUR 2 Jan. - Pemilik-pemilik perniagaan tempatan melahirkan keyakinan terhadap kerancakan ekonomi negara tahun depan, sekali gus berupaya mencatatkan pendapatan dengan lebih baik, berbanding 2012.
Pengurus Bersekutu SJ Grant Thornton, Datuk NK Jasani berkata, berdasarkan kajian Laporan Perniagaan Antarabangsa Perniagaan Grant Thornton (IBR), 52 peratus peniaga tempatan menjangkakan pendapatan mereka tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lalu.
Katanya lagi, 42 peratus peniaga melihat potensi masing-masing untuk meningkatkan pelaburan dari segi pembinaan kilang dan mesin, manakala 35 peratus berpendapat mereka akan mencatatkan keuntungan yang baik tahun ini.