• Hutang mengikut perspektif Islam  
  • Naib Yang Dipertua 1 Persatuan Ulama Malaysia, Dr Fauzi Draman (kanan) membentangkan kertas kerjanya sempena Seminar Maqasid Syariah di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, kelmarin. - Foto Sinar Harian oleh Zulfadhli Zaki
1 / 1
Berikut sambungan ucaptama Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Al Sheikh Abdul Halim Abd Kadir dalam seminar Maqasid Syariah, Isu-isu Kepenggunaan: Realiti dan Cabaran yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, kelmarin.

ii) Hutang dari perspektif Islam

Perspektif Islam berkenaan hutang dapat difahami dengan jelas jika kita merujuk hadis-hadis Rasulullah SAW. Antaranya hadis Rasulullah SAW bermaksud:
“Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia)” (Riwayat Muslim, 6/28)

Di dalam satu lagi hadis Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, ALLAH akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamkannya dengan niat ingin merugikannya, ALLAH akan merugikannya” (Riwayat al-Bukhari, 2/83)

Islam juga melihat hutang sebagai sesuatu yang membahayakan individu dan umat Islam. Ini dapat dilihat dari doa yang diajar oleh Rasulullah SAW yang berbunyi:
“Ya ALLAH, aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya: Mengapa tuan sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari” (Riwayat al-Bukhari, 1/214)

Di dalam hadis lain pula Rasulullah SAW bersabda:
Ertinya: Ya ALLAH, aku berlindung dari kekufuran dan hutang. Mendengar itu seseorang bertanya, “Apakah tuan menyamakan kekufuran dengan hutang wahai Rasulullah?, “Benar,” jawab Rasulullah. (Riwayat an-Nasaie, 2/316, Ahmad, 3/38, al-Hakim berkata, sahih dan disepakati oleh az-Zahabi, menurut Albani: Dhaif)

Berhutang dari perspektif Islam adalah perkara yang tidak baik dan perlu dijauhi, kecuali dalam keadaan kesempitan yang amat sangat. Namun, sekarang kita dapati industri perbankan, termasuk sektor perbankan Islam, amat menggalakkan budaya berhutang. Akibat aktiviti mereka yang ingin berkembang, tahap hutang masyarakat menjadi bertambah.

iii) Peningkatan hutang isi rumah di Malaysia
Data menunjukkan tahap dan tren hutang isi rumah di Malaysia sedang meningkat dari setahun ke setahun. Menurut laporan Bank Negara, hutang isi rumah di negara kita telah meningkat selama 10 tahun berturut-turut pada kadar tahunan sebanyak 12.5 peratus pada Disember 2011. Nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar negara adalah 76.6 peratus.

Malah, hampir 50 peratus daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk membiayai bebanan hutang. Berbanding negara lain, Malaysia mempunyai nisbah hutang isi rumah berbanding pendapatan bersih yang tertinggi.

Maka, tidak hairanlah jika fenomena permasalahan hutang akan meningkat dalam kalangan orang Islam walaupun mereka peka berkenaan isu halal dan haram. Meskipun sebenarnya hutang mereka adalah halal, namun ianya tetap hutang dan jika bertambah, bahayanya tidak jauh berbeza dengan keadaan hutang haram.

Jika masyarakat kita mempunyai sikap konsumerisme yang tinggi, ia akan lebih mudah bagi sektor perbankan Islam mencapai strategi perniagaan untuk menambah jumlah masyarakat yang berhutang. Ini sudah tentu bertentangan dengan matlamat dakwah dan tarbiah Islam.

iv) Fenomena kahwin lambat
Perkahwinan adalah antara aspek yang melibatkan kebendaan dan kepenggunaan. Soalnya, fenomena kahwin lambat ini berlaku kerana maqasid syariah yang sewajarnya tidak diutamakan.

Disebabkan terikut-ikut dengan budaya semasa dan sikap bermegah dalam mengatur majlis perkahwinan menyebabkan kos majlis menjadi terlalu mahal dan membebankan.

Ini termasuklah nilai hantaran yang melambung tinggi dan belanja perkahwinan yang melampaui kadar munasabah menyebabkan maqasid syariah untuk mencapai tujuan perkahwinan itu disyariatkan tidak tercapai. Sebagai jalan mudah untuk keluar dari masalah ini ialah dengan berhutang.

Antara faktor utama menyumbang kepada kahwin lambat ialah kestabilan. Selain itu, faktor kepentingan kerjaya yang berkait rapat dengan kebendaan turut mempengaruhi kahwin lewat. Sementara itu, 30 peratus daripada mereka yang belum berkahwin berpendapat kerjaya adalah segala-galanya.

Sedangkan dalam tuntutan perkahwinan, antara maqasid syariah yang dapat dikenal pasti ialah untuk mengelakkan gejala sosial selain membina zuriat Muslim bagi kelangsungan umat. Jika kahwin lambat jadi tren, pasti sukar memenuhi tujuan syarak tentang perkahwinan.

Cabaran mewujudkan halal living menuntut komitmen besar semua pihak dan  perkara penting  yang perlu diberi perhatian dalam usaha mewujudkan halal living:
l    Menyempurnakan misi kehambaan dan kekhalifahan sepanjang aktiviti kepenggunaan.
l    Menjadikan aktiviti kepenggunaan sehari-hari sebagai ibadah.
l    Memanfaatkan sumber kepenggunaan sebaik mungkin.
l    Menjalani gaya hidup sihat berdasarkan tingkat keperluan dan kemampuan.
l    Mengutamakan matlamat kepenggunaan jangka panjang berbanding jangka pendek.
l    Menggiatkan promosi halal living melalui proses bimbingan dan pendidikan.
l    Menggubal undang-undang mesra pengguna.
l    Menguatkuasakan akta dan undang-undang sedia ada.

Rumusan dan Kesimpulan

a.    Di peringkat pengguna: Pengguna berhak diberi perlindungan berikut:-
l    Melindungi pengguna daripada bahaya kesihatan dan keselamatan.
l    Melindungi kepentingan ekonomi pengguna.
l    Menyalurkan maklumat dan penerangan yang mencukupi agar pengguna dapat buat keputusan secara bertanggungjawab.
l    Memperoleh ganti rugi yang murah, efektif dan cepat.
l    Mendidik pengguna secara meluas dalam isu kepenggunaan.
l    Memelihara alam sekeliling pengguna
l    Memberi kebebasan dan kesejahteraan kepada pengguna.

b.    Di peringkat agensi:
l    Penguatkuasaan undang-undang sedia ada dan pemantauan ketat Bank Negara terhadap institusi kewangan dalam soal pemberian pinjaman.
l    Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) harus berperanan lebih agresif dalam meningkatkan khidmat nasihat kewangan dan bantuan penstrukturan semula hutang dalam usaha menggalakkan pengurusan kewangan berhemat dan meningkatkan tahap celik kewangan.
l    AKPK juga perlu meneruskan usaha menganjurkan taklimat dan pameran di seluruh negara bagi pelbagai kumpulan sasar.
l    AKPK perlu lebih dinamik dalam memberikan kaunseling kewangan kepada individu dan membantu penstrukturan bayaran balik hutang melalui Program Pengurusan Hutang.

c.    Lain-lainnya:
l    Usaha perlu digiatkan untuk mendidik rakyat, umat Islam, khususnya untuk memiliki ilmu perancangan kewangan peribadi.
l    Peranan sistem perbankan dalam ekonomi perlu diteruskan dengan urus tadbir yang baik, amalan pengurusan risiko yang berkesan dan pembiayaan yang bertanggungjawab untuk memastikan sistem ekonomi negara keseluruhannya teguh dan mampan.

Sebagai kesimpulan, kami ingin menyebutkan langkah utama ke arah memperkasakan masyarakat Islam dalam bidang ekonomi tidak seharusnya dilihat semata-mata dengan memperkukuhkan sektor perbankan Islam. Sebaliknya, kita juga harus menekankan aspek untuk merubah nilai masyarakat Islam supaya tidak terlampau mengejar kebendaan tetapi mengejar kejayaan akhirat dengan menambahkan ketakwaan mereka.