Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN
Manusia yang beriman akan sentiasa
bersyukur dan memohon ampun kerana bimbang kesenangan yang diperoleh
akan menjadi fitnah. - Gambar hiasan
SESEORANG individu yang beriman pastinya akan memahami tentang
tugasnya sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi. Setiap rezeki
yang dikurniakan Allah SWT kepadanya, akan dianggap sebagai amanah yang
perlu digunakan untuk kepentingan menjaga agama dan mentadbir dunia
dengan agama. Anugerah Allah SWT tersebut hanyalah sementara dan tidak
akan kekal selama-lamanya.
Harta yang banyak, pangkat yang tinggi dan rupa paras yang cantik
hanyalah diberikan Allah sebagai ujian kepada manusia. Semua kenikmatan
ini tidak akan dapat menjadi bekal untuk 'membeli' syurga melainkan
sekiranya ia digunakan dengan mengikut landasan yang betul berdasarkan
pertimbangan agama.
Orang yang beriman akan menyedari bahawa harta yang ada padanya
adalah jauh lebih sedikit berbanding dengan harta yang dimiliki oleh
Allah SWT yang menguasai alam semesta ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan janganlah engkau berjalan di
bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan
dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi
gunung-ganang. (al-Israa': 37)
Oleh itu, manusia yang beriman pastinya tidak akan merasa sombong dan
bongkak di atas segala kurniaan tersebut. Dia tidak akan membangga
diri, mendabik dada dengan menyatakan bahawa dia mempunyai kelebihan
berbanding orang lain.
Dia tidak akan memandang rendah terhadap orang miskin dan tidak
memandang sepi terhadap orang yang lemah. Bahkan, manusia yang beriman
akan sentiasa bersyukur dan memohon ampun kerana bimbang pangkat dan
harta yang diperoleh itu akan menjadi fitnah kepadanya dan akan
menyusahkannya di akhirat kelak.
Masyarakat jahiliah sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah
antara golongan yang terlalu ego dan sombong. Mereka sanggup menolak
ajaran Rasulullah SAW walaupun mengetahui kebenaran yang dibawa oleh
Baginda.
Sifat sombong dan ego ini diperangi oleh Nabi SAW sepanjang hayatnya.
Namun, apabila Nabi telah wafat dan masa telah berlalu, manusia
akhirnya kembali balik kepada perangai jahiliah tersebut.
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Allah SWT berfirman:
Kemuliaan
adalah sarungku dan kesombongan itu adalah selendangku, sesiapa yang
mencabut daripadaku salah satu daripada keduanya nescaya Aku akan
menyiksanya. (riwayat Muslim).
Segala kepujian dan sifat kebesaran hanya menjadi milik Allah. Oleh
itu, Allah memberi peringatan bahawa tiada sesiapapun daripada kalangan
makhluk-Nya yang layak memakai mana-mana sifat itu melainkan Dia.
Setiap Muslim hendaklah sentiasa tawaduk (merendah diri), dan
bersikap sederhana. Tawaduk bukannya bermaksud berjalan dalam keadaan
tunduk dan terbongkok-bongkok seperti yang dilakukan oleh orang yang
mengaku soleh dan bertakwa.
Ini adalah kerana Nabi SAW tidak mendidik kita berbuat sedemikian.
Bahkan diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA bahawa Nabi SAW berjalan
seolah-olah seperti meniti jalan menurun. Ini adalah cara berjalan orang
yang penuh dengan semangat dan keberanian.
Sombong pula maksudnya menolak kebenaran dan menganggap remeh segala
yang lain. Orang yang sombong akan berasa dirinya lebih baik, pintar,
kaya dan hebat. Sikap inilah yang wujud dalam diri Firaun, Qarun dan Abu
Jahal yang bersikap angkuh sehingga tidak mahu menerima kebenaran.
Orang yang sombong sebenarnya adalah mereka yang terpedaya dengan
nikmat sementara yang dikurniakan Allah sehingga lupa kepada nikmat
hakiki di akhirat kelak.
Dalam surah Luqman, ayat 18, Allah melarang kita bersikap sombong sebagaimana firman-Nya:
Dan
janganlah engkau memalingkan muka dari manusia (kerana sombong) dan
janganlah engkau berjalan di muka bumi ini dengan angkuh. Sesungguhnya
Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.
Jaga perilaku
Nabi Muhammad SAW adalah orang yang sentiasa menjaga perilakunya agar
tidak dianggap sombong dan bongkak oleh masyarakat. Baginda sering
meminta pandangan sahabat-sahabat melalui konsep syura sebelum
melaksanakan agenda negara dan umat Islam walaupun Baginda akan mendapat
bimbingan wahyu.
Sebagai contoh, Baginda pernah meminta pandangan Abu Bakar RA dan
Umar RA tentang tawanan perang Badar. Baginda juga menerima pandangan
Salman al-Farisi RA dalam mengatur strategi untuk menghadapi tentera
Ahzab iaitu dengan menggali parit di sekeliling kota Madinah bagi
menyekat kemaraan tentera musuh.
Nabi SAW juga sering dilihat bergaul mesra dengan sahabat-sahabat
sehingga sukar untuk membezakan Baginda dan sahabat-sahabat sewaktu
mereka bersama. Nah, lihatlah betapa mulianya pekerti Nabi SAW sehingga
sanggup berdamping dengan sahabat-sahabat walaupun Baginda adalah Rasul
yang ulung.
Dengan adanya sifat tawaduk dalam diri masing-masing, maka akan
terpancarlah sahsiah yang sejati dalam diri individu Muslim itu.
Kesimpulannya, untuk menjadi hamba yang dikasihi oleh Allah, individu
Muslim itu perlulah menjaga hubungannya dengan individu yang lain.
Salah satu (
hablumminannas) di samping hubungannya dengan Allah SWT (
hablumminallah).
Cara yang perlu dimainkan oleh setiap individu Muslim untuk
mengutuhkan hubungannya dengan manusia lain adalah dengan menyemaikan
sifat tawaduk dalam diri masing-masing.