ALLAH Tidak Pernah Jauh: Tentang Iman Sebenarnya
SUHANA AMIRIL
10 Jun 2013
ALLAH Tidak Pernah Jauh oleh Suhana Amiril
Tentang Iman Sebenarnya
KALAU ditanyakan zaman yang menyeronokkan bagi saya,
maka saya akan jawab, zaman masa sekolah menengah dulu! Memang,
adakalanya rindu juga pada zaman itu.
Tapi sebenarnya, apa yang lebih saya rindukan adalah suasana dan
pergaulan dengan rakan-rakan usrah. Saya merindui pertanyaan tulus
daripada mereka. “Apa khabar iman?”
Setiap kali mengirimkan pesanan SMS, pasti antara yang pertama-tama
sekali ditanya adalah mengenai khabar iman. Kemudian barulah hal-hal
yang seterusnya akan disembangkan.
Begitu indah pertanyaan itu sebenarnya. Walaupun nampak agak cliché
atau poyo, tapi percaya atau tidak, pertanyaan itu memberi impak kepada
jiwa yang menerima pertanyaan sedemikian.
Saya melihat, bila kami bersembang santai sambil berkongsi rasa atau
masalah yang terbuku di jiwa, maka antara pertanyaan yang terawal sekali
ialah, “Iman di situ sebenarnya sihat ke tidak?” Tanya mereka sambil
menunjuk ke arah dada.
Saya memandangnya bukan sebagai pertanyaan kosong. Ada suatu makna besar yang terkandung di dalam pertanyaan ‘Apa khabar iman?’
Ada waktu, kita mencari-cari punca kenapa terasa seperti ada kekurangan
atau kekosongan di dalam hidup. Kenapa terasa seperti ada sesuatu yang
belum diselesaikan? Kenapa terasa diri cepat sangat tergoda dengan
perkara-perkara yang melalaikan atau maksiat? Kenapa diri berasa sangat
berat dengan hal-hal kebaikan?
Kita asyik bertanya dan bertanya. Tetapi lupa bertanya kepada diri
sendiri, “Apa khabar dengan iman aku?”, “Kenapa iman aku tidak sihat?”,
“Apa kena dengan iman aku sampai aku cepat sangat tertarik pada
benda-benda yang tidak penting?”
Ya. Memang ramai sebenarnya di antara kita lupa mengenai iman masing-masing.
Ideologi yang saya pegang sama seperti mahu merawat penyakit. Kita
sebenarnya tidak tahu punca dan apa sebenarnya penyakit tersebut. Begitu
jugalah dengan diri yang sentiasa ada sahaja yang tidak kena… yang
tanpa kita sedari, iman itu yang sedang sakit dan perlukan rawatan.
Iman Itu Kekuatan Kita
“Apa khabar iman?”
Bagi saya sendiri, ia adalah pertanyaan tulus yang di dalamnya itu ada
sentuhan halus yang menyuruh kita memeriksa keadaan iman kita. Adakah
sihat-sihat sahaja, atau sedang sakit merana? Kerana iman yang
kondisinya sedang sakit, memang akan jelas kelihatan pada perjalanan
hidup seharian.
Iman itu adalah kekuatan bagi kita yang mengaku berusaha menjaga
hubungan dengan-NYA. Maka, jika kekuatan itu ‘sedang lemah’ atau sakit,
apa yang akan terjadi?
Hakikatnya, iman yang sedang sakit akan memberi kesan pada kehidupan
kita... melemahkan kita. Manakala iman yang sihat akan membuatkan
kehidupan kita lancar dalam tenang-tenang sahaja.
Iman yang sihat dan menguatkan ialah iman yang bukan sekadar percaya
pada hati sahaja. Tapi ia mampu membuatkan hati lebih yakin, diserlahkan
pada amalan yang baik dan tindakan yang selari dengan kemuliaan iman
itu sendiri.
Iman yang sihat hanya akan dapat diperolehi bila kita sentiasa mahu
mendekat dengan-NYA. Segala perbuatan kita bertunjangkan DIA. Apa sahaja
yang dilakukan, ingatan sentiasa mengingati dan bertanya, “Apa yang aku
akan buat ini diredhai ALLAH SWT ke tak?”
See? Begitu hebat penangan iman.
Justeru, jika ada iman yang sihat, pastinya ada iman yang tidak sihat,
bukan? Maka, apa sebenarnya yang membuatkan iman tidak sihat? Mengapa?
Iman yang tidak sihat sudah tentulah apabila kita melakukan sesuatu yang
memang tidak disukai ALLAH SWT.
Itu adalah ancaman sebenarnya. Ancaman kepada iman yang tidak sihat
adalah dosa. Ya, dosa. Dosa itu bukanlah perkara yang terpuji. Ia
tercela!
Dosa Itu Ancaman Iman
Saya selalu percaya bahawa apabila kita melakukan pekerjaan yang
baik-baik, maka iman pada saat itu pasti sedang berbunga-bunga. Maksud
saya, pasti jiwa kita terasa tenang dalam bahagia kerana kita tahu ALLAH
SWT sukakan segala kebaikan.
Maka, iman juga dalam keadaan baik. Insyaallah.
Tapi, ada sesuatu yang menjadi ancaman kepada iman kita yang senipis
kulit bawang ini… dosa. Ya, dosa. Ketika kita melakukan maksiat serta
keingkaran kepada ALLAH SWT, maka saat itulah iman terancam. Bahkan
hakikatnya, kita telah mengkhianati kepercayaan DIA.
Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan sesuatu dosa,
terbentuklah bintik hitam pada hatinya. Apabila dia bertaubat kemudian
menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya
bintik hitam itu. Apabila dia terus melakukan dosa, bertambahlah bintik
hitam itu pada hatinya, sehingga tertutuplah seluruh hatinya. Itulah
karat yang disebut ALLAH di dalam kitab-NYA: “Sesekali tidak. Sebenarnya
apa yang mereka lakukan telah mengkaratkan (menutup) hati mereka.”
(Surah Al- Mutoffifin ayat 14).” – HR. Al-Baihaqi.
Jika kita rasa bersalah selepas melakukan sesuatu dosa, maka itu
tandanya iman masih membekas di dada. Walaupun iman itu tidak cukup kuat
untuk mencegah kita daripada melakukannya. Iman kita ini perlu dibaja
dan semai sebaiknya. Maka, ia akan berbunga cantik, menyedapkan mata.
Sahutlah Jeritan Iman yang Terancam
Sebelum atau selepas melakukan sesuatu dosa, biasanya kita akan rasa
bersalah. Kita berasa ada yang tidak kena. Jiwa tertanya-tanya dan
terbelenggu sendiri, “Aku dah buat dosa… kan?” Kadang-kadang kita tahu
kita sedang melakukan dosa dan iman di dalam dada itu terjerit-jerit
menyatakan rasa bersalah serta rasa berdosa. Tapi kita tidak endah. Kita
buat-buat tidak perasan keresahan yang terbit di dada.
Rasa bersalah itu, rasa tidak kena itu, jika tidak disahut, pastilah ia
akan terkubur begitu sahaja. Lama kelamaan, membuat dosa itu menjadi
perkara biasa. Kita tidak berasa apa-apa saat melakukannya. Mengapa?
Kerana hati kita sudah gelap. Di dalamnya sudah timbul bintik-bintik
hitam yang menutupi kebersihan hati.
Bila masih melakukan dosa, bila lambung masih berat mahu menunaikan
perintah ALLAH SWT, bila jiwa masih tidak berasa apa-apa saat melihat
kebaikan, bila hati tidak terkesan dengan cerita-cerita kebesaran-NYA,
maka bertanyalah kepada diri sendiri.
Bukan soalan seperti ini yang harus ditanyakan, “Kenapa aku begini?
Kenapa ALLAH SWT ciptakan aku dengan hati yang keras sebegini? Kenapa?
Kenapa? Kenapa?!”
Tapi cubalah bertanya, “Dosa apa yang masih aku buat sampai hari ini?
Sampai hati aku susah tersentuh dengan perkara-perkara yang diredhai
oleh ALLAH SWT?”
Ingatlah sahabat. Kita ini kadangkala memerlukan masa untuk
bersendirian agar kita boleh menilai dan menghukum diri atas
kelalaian-kelalaian yang dilakukan. Jika sudah menyedarinya, maka
beritahulah kepada diri bahawa;
DIA yang menggerakkan hati supaya kita rasa bersalah. Maka, itu adalah
tanda supaya kita kembali pada-NYA. Mendekat dengan-NYA. Menyerahkan
sepenuh jiwa kita ini untuk melalui pembersihan dengan mengingati-NYA
Kerana itu, perlu periksa selalu iman kita.
Kena selalu rawat iman kita.
Kita ini manusia biasa yang sering dibolak-balikkan hati. Semoga ALLAH
SWT tidak melepaskan hati-hati kita saat DIA membolak-balikkannya.
Maka, apa khabar iman?
P/S: Dapatkan buku ini di kedai berhampiran atau boleh melanggan terus kepada kami di karangkraf mall dengan melayari (FB:
karangkraf mall) untuk maklumat lanjut atau terus ke emall (FB: emall) untuk belian terus ke telefon pintar anda.