Azlina
Azlina
NAMA wanita anggun ini bukan asing dalam dunia perniagaan. Beliau bersama suami antara ikon banyak beri inspirasi kepada usahawan muda dan golongan yang berminat menceburi bidang bisnes.

Sebelum bergelar tokoh usahawan terkenal, Datuk Dr Azlina Che Abdullah, 46, menempuh pelbagai dugaan  baik dalam kehidupan mahupun bisnes. Onak dan duri dilalui menjadikan beliau seorang matang dan bijak merebut peluang seterusnya merencana masa depan lebih teratur.

Usaha gigih beserta doa membuahkan hasil cukup manis buat Datuk Dr Azlina dan suami, Datuk Dr Stapa Haji Omar, 54.

Pasangan ini kini boleh berbangga dengan empayar bisnes dibina. Gabungan kepakaran dan kebijaksanaan Datuk Dr Azlina dan Datuk Dr Stapa meletakkan mereka peneraju syarikat besar seperti D’Navechee (sebuah syarikat kosmetik yang memegang lesen francaisor) dan DCL (syarikat jualan langsung terkemuka).

Kredibiliti dimiliki Datuk Dr Azlina atau mesra dengan sapaan Azlina membuatkan ramai pihak buka mata khususnya kepada usahawan Bumiputera. Kepetahan beliau berbicara,pengetahuan tinggi serta pengalaman luas menjadikan beliau sebagai salah seorang panel usahawan yang cukup disegani.

Atas kelebihan ini jugalah beliau diberi kepercayaan menjadi salah seorang panel Konvensyen Inspirasi Usahawan Mingguan Wanita 2013. Khusus buat peserta program ini Azlina akui bakal kongsi pengisian istimewa yang tidak hanya bercerita mengenai ruang lingkup bisnes malah beliau turut akan mengupas isu kerohanian yang baginya sangat penting untuk membentuk sahsiah dan akhlak usahawan.

“Saya begitu teruja dan bersyukur diberi mandat untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan peserta Konvensyen Inspirasi Usahawan Mingguan Wanita 2013. Peluang keemasan ini akan saya gunakan sebaik mungkin bukan sahaja memberi makanan minda malah rohani dan jasmani," ujarnya yang juga Pengetua DNV Entreprenuer Academy.

Tidak malu kongsi kisah hidup

“Kejayaan tidak datang bergolek, banyak dugaan saya tempuhi. Untuk berjaya, saya lakukan pengorbanan besar. Saya tidak berasal daripada keluarga berada lantaran amat perit untuk saya dan suami kumpul modal. Kami terpaksa jual aset seterusnya buka syarikat biarpun ketika kegawatan ekonomi.

“Banyak lagi kisah benar mengenai kehidupan lalu yang akan dikongsikan secara eksklusif dengan peserta program itu. Saya harap perkongsian ini beri kesedaran peserta bahawa kemiskinan bukan penghalang kejayaan,” kata Azlina.

Dalam temu bual itu, beliau juga tidak lokek berkongsi rahsia menjana keuntungan dalam bisnes dengan cara yang halal dan diredai. Kata Azlina, matlamat menceburi bisnes mesti jelas dan betul.

“Jangan hanya nampak imbuhan dari segi keuntungan sahaja kerana jika tidak diurus dengan baik, segala diusahakan menjadi sia-sia. Saya belajar daripada pengalaman hidup, untuk menjadi usahawan berjaya usah sasarkan pada keuntungan fizikal atau zahir sahaja tapi mesti disertai dengan pengisian jiwa atau lebih tepat seiringkan dunia dan akhirat.

“Di konvensyen itu nanti saya juga akan berkongsi bagaimana mahu kaya, berjaya, bahagia dan tenang” jelasnya.

Pada konvensyen itu, wanita jelita ini juga kongsi rahsia membina dan kekalkan bisnes dengan pendekatan Islamik.

“Saya kini akan perluaskan dakwah melalui program Khalifah Super agar lebih ramai usahawan yang akan dapat menerobos sempadan diri, menguasai jiwa dan mantapkan minda agar semua usahawan mempunyai perniagaan tidak rugi sampai bila-bila” ujarnya menutup perbualan.