Membeli-belah adalah aktiviti yang amat disukai kebanyakan orang ketika melancong. Dengan permintaan yang semakin meningkat maka terhasillah istilah percutian membeli-belah iaitu bercuti sambil membeli-belah.
Saat berkunjung ke destinasi yang menawarkan aktiviti membeli-belah juga sering menjadi pilihan pelancong masa kini.
Tetapi jika poket tidak berapa memberi keizinan untuk berbelanja besar dan perlu membeli cenderamata khas dari tempat yang dituju untuk kenang-kenangan atau sekadar ole-ole, anda perlu berhemah saat berbelanja supaya perjalanan anda tetap berjalan lancar dan menyenangkan.
Justeru, apa tipnya? Langkah pertama, anda tetap perlu membuat senarai atau paling tidak tahu barang yang ingin dibeli. Kemudian, tentukan jumlah wang yang dianggarkan untuk membeli apa yang disenaraikan.
Seterusnya, cari maklumat mengenai tempat penjualan barangan yang ingin dibeli itu. Ia boleh didapati daripada pelbagai sumber Internet. Salah satu sumber yang cukup meyakinkan adalah penduduk setempat di lokasi terbabit.
Di tempat berbelanja, jangan terpedaya dengan potongan diskaun atau promosi yang berlangsung. Perkara itu akan menyebabkan anda terdorong membeli barang-barang yang tidak diperlukan.
Namun, jika akhirnya tergoda saat berada di mana-mana lokasi membeli-belah, teliti dengan cermat barang yang akan dibeli itu. Adakah ia berbaloi untuk dibeli?
Carilah harga termurah untuk barang dengan kualiti yang lebih kurang sama. Dengan itu, jangan lupa melakukan penawaran.
Lakukan penawaran dengan tenang, jangan menunjukkan yang anda sangat tertarik pada sesuatu barang. Ajukan harga penawaran setengah daripada harga yang diajukan penjual.
Jika diberikan harga yang sangat murah, jangan pula mengambil lebih daripada jumlah yang perlu dibeli. Silap-silap nanti anda hanya akan simpan barangan yang banyak itu di dalam laci saat pulang ke rumah nanti.
Berbelanjalah dengan tenang, jangan terburu-buru. Hindari juga berbelanja ketika waktu sibuk atau jika anda tidak mempunyai masa yang cukup. Ini kerana ia secara tidak sedar membuatkan anda kerugian terutama dari segi harga dan kualiti. Selamat membeli-belah!
Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05 Harian Metro