Sunday, July 8, 2012

Dana RM500j untuk usahawan


Nor Mohamed Yakcob memberi penerangan pada sidang akhbar sempena kerjasama Teraju dan SME Bank sambil disaksikan Rahmat Bivi Yusoff (kiri) dan Husni Salleh di Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, semalam.
PETALING JAYA 6 Julai - Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bekerjasama dengan SME Bank untuk menubuhkan Pembiayaan Teras, satu kemudahan pembiayaan dengan dana sebanyak RM500 juta.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, pembiayaan tersebut adalah untuk membantu pengembangan perniagaan syarikat bumiputera berprestasi tinggi di bawah program Teras.
" Peminjam untuk kegunaan modal kerja boleh meminjam dari jumlah RM1 juta sehingga RM10 juta, manakala bagi pembiayaan pembelian aset boleh meminjam sehingga RM20 juta," katanya semasa sidang akhbar mengumumkan kerjasama tersebut di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Eksekutif Teraju, Husni Saheh dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Rahmat Bivi Yusoff.
Menurut Nor Mohamed, skim pembiayaan terbaharu ini tidak memerlukan peminjam mengemukakan cagaran, namun setiap projek yang dicadangkan haruslah mempunyai prospek keuntungan.
Program Teras dikendalikan oleh Teraju dengan matlamat untuk membantu usahawan bumiputera berkembang ke peringkat antarabangsa dengan memudah cara akses kepada peluang-peluang perniagaan.
Jelasnya, setakat ini 130 syarikat telah dipilih berikutan mempunyai rekod perniagaan yang baik, kedudukan kewangan yang kukuh serta menunjukkan potensi pertumbuhan yang telah dinilai dengan teliti oleh SME Corporation, menerima SCORE di antara tiga bintang sehingga lima bintang dan pernilaian kredit yang tinggi.
"Jika boleh, kami mahu bayaran pinjaman itu dikeluarkan sepenuhnya dalam masa setahun," katanya.
Di sidang media yang sama, Nor Mohamed turut mengumumkan agihan RM500 juta daripada Dana Mudah Cara bernilai RM2 bilion akan dibahagikan sama rata untuk lima koridor ekonomi iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak dan Koridor Pembangunan Sabah.
Dana Mudah Cara diwujudkan hasil usahasama Teraju dengan Unit Kerjasama Awam - Swasta (UKAS) dan telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Ogos lalu.
Menurut Nor Mohamed, dana tersebut bakal membantu syarikat bumiputera yang bakal mempunyai akses yang lebih meluas menerusi koridor-koridor berkenaan.
"Perdana Menteri juga bersetuju menurunkan minimum kos projek kepada RM5 juta daripada RM20 juta sebelumnya.
"Ini kerana daripada penyelidikan yang dijalankan, kebanyakan projek yang diusahakan syarikat Bumiputera bernilai antara RM5 juta dan RM30 juta," katanya.
Ia merupakan sebahagian daripada Dana Mudah cara bernilai RM20 bilion, yang diperuntukkan oleh kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Thursday, July 5, 2012

Wajib adakan latihan pra persaraan

MAZNAH HAMID
BEBERAPA minggu kebelakangan ini, media massa sibuk melaporkan mengenai usia persaraan yang dinaikkan kepada 60 tahun bagi sektor swasta.
Ia merupakan susulan Rang Undang-Undang Umur Persaraan Minimum 2012 yang mewajibkan umur persaraan pekerja sektor swasta dilanjutkan daripada 55 kepada 60 tahun dibentangkan buat bacaan kali pertama di Dewan Rakyat baru-baru ini, ia menjadi satu topik hangat dan menarik yang tidak habis-habis diperkatakan di tempat-tempat kerja terutamanya syarikat swasta.
Ada yang bersetuju dan bersyukur dengan langkah berkenaan manakala tidak kurang pula mempersoalkan tahap kemampuan pekerja yang menghampiri usia persaraan itu untuk meneruskan perkhidmatan selama lima tahun lagi, terutama sekali bagi mereka di kalangan baby boomers atau mereka yang lahir sekitar 1946 hingga 1964.

Tuesday, July 3, 2012

Antara ‘Freehold’, ‘Leasehold’ dan “Hak Milik Sementara

Kongsi drp http://tipshartanah.com/
Sedikit perkongsian ingin saya tulis di dalam artikel kali ini adalah mengenai jenis pegangan hartanah dan juga sedikit penjelasan tentang jenis hakmilik yang menjadikan sesetengah orang sedikit keliru mengenainya.
Ini adalah berikutan beberapa salah faham yang berlaku apabila saya bersembang dengan beberapa orang bakal pembeli rumah, pemilik dan juga oleh sesetengah agen hartanah sendiri.  Antara yang ingin saya kongsikan di sini adalah mengenai pegangan milikan bebas (freehold), pajakan (leasehold) dan juga apakah dia Hakmilik Sementara yang mana boleh jadi ‘freehold’ mahupun ‘leasehold’.
Untuk penerangan di dalam artikel ini saya tidak akan menyentuh dengan mendalam dari segi perundangan (akta-akta dan sebagainya) tetapi hanya lebih kepada penerangan yang lebih mudah difahami oleh orang-orang biasa.
OK, pertamanya apakah FREEHOLD dan apa pula LEASEHOLD?
 
FREEHOLD atau pegangan bebas merupakan tanah di mana pemilikannya adalah untuk tempoh selama-lamanya (kekal).    Dalam ertikata mudah, pemilik tanah pegangan bebas memiliki tanah tersebut selamanya tanpa tertakluk kepada tanah tersebut kembali semula kepada hak milik kerajaan selepas sesuatu tempoh tertentu (kecuali melalui pegambilan balik tanah oleh kerajaan).  Di dalam dokumen hakmilik muktamad (‘final title’), pegangan bebas dikenali sebagai GERAN (sama ada Geran atau Geran Mukim) seperti di dalam rajah di sebelah.  Geran merujuk kepada hakmilik yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar Negeri manakala Geran Mukim merujuk kepada hakmilik yang dikeluarkan dan ditadbir oleh Pejabat Tanah dan Daerah.
Sebagai contoh, jika dokumen hakmilik itu dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar Tanah Negeri maka ianya menggunakan No. Hakmilik seperti GERAN 1234 manakala jika ianya dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah maka No. Hakmilik adalah seperti Geran Mukim 1234.
 LEASEHOLD atau pegangan berstatus Pajakan pula merupakan jenis pegangan ke atas hartanah untuk suatu tempoh yang telah ditetapkan.  Pada masa ini tempoh pajakan yang biasa dilihat atau dikeluarkan oleh kerajaan negeri / Pejabat Tanah adalah untuk 99-tahun.  Di negeri seperti Sabah & Sarawak, kita mungkin melihat tempoh pajakan yang lebih panjang manakala untuk hakmilik lama dan tujuan selain kediaman anda mungkin akan lihat pajakan untuk tempoh seperti 30 atau 60 tahun.  Persoalan utama di sini apa akan jadi selepas tempoh pajakan tersebut tamat?  Jawapannya, tanah tersebut akan kembali menjadi hakmilik negeri.  Walau bagaimanapun, ini jarang berlaku kerana kebiasaannya pemilik tanah kediaman akan diberikan peluang untuk memperbaharui/memanjangkan tempoh pajakan tersebut dengan membayar sejumlah premium mengikut kadaran nilai tanah semasa.   Sekiranya anda merupakan pemilik tanah jenis pajakan, anda tidak perlu menunggu sehingga pajakan tersebut tamat tempoh untuk memohon tetapi boleh mula memohon apabila tempoh pajakan tersebut semakin pendek (sekitar kurang 30-50 tahun) kepada Pejabat Tanah.  Anda akan dimaklumkan mengenai jumlah premium yang perlu dibayar untuk permohonan tersebut dan perlu membuat pembayaran sebelum ianya diluluskan.   Untuk negeri Selangor, adalah dimaklumkan pada tahun 2011 bahawa pemilik yang terus tinggal di hartanah berkenaan hanya perlu membayar RM1,000 sahaja berbanding jumlah premium mengikut nilai pasaran tersebut sehingga beliau menjual hartanah berkenaan.  Jumlah ini adalah tersangat kecil dan merupakan suatu tindakan yang baik dari kerajaan negeri tersebut.  Sebagaimana dokumen hakmilik kekal, pegangan pajakan juga mempunyai pengenalan tersendiri dalam membezakannya di dalam dokumen hakmilik.  No. Hakmilik muktamad bagi pegangan pajakan akan menggunakan PAJAKAN 1234 atau PAJAKAN MUKIM 1234 – merujuk cara yang sama seperti Geran.
Secara amnya kebanyakan tanah-tanah untuk projek perumahan pada masa ini adalah berstatus ‘Pajakan’ kerana ianya merupakan tanah yang ‘diberimilik’ oleh kerajaan kepada pemaju untuk dibangunkan.  Hanya projek-projek perumahan terdahulu yang mana tanah sudah dimiliki oleh individu sahaja biasanya yang memiliki status pegangan bebas (kekal).  Penerangan lanjut diperlukan untuk perkara ini nanti!..
Dari segi nilaian hartanah pula, sebagaimana sedia maklum, tanah dengan ciri2 yang sama akan mempunyai nilai yang lebih tinggi untuk pegangan bebas berbanding pajakan.  Selain disebabkan tempoh pegangan tersebut, ianya adalah berkaitan dengan permintaan dan juga tempoh pindahmilik yang lebih panjang untuk pegangan pajakan yang memerlukan kebenaran/kelulusan dari Pihak Berkuasa Negeri untuk pindahmilik tersebut yang kadangkala memakan masa sehingga 1 tahun.
Apakah pula HAKMILIK SEMENTARA?
Sebagaimana yang telah saya terangkan di atas, dokumen hakmilik MUKTAMAD akan menggunakan no. pengenalan seperti Geran, Geran Mukim, Pajakan, Pajakan Mukim dan sebagainya.  Bagaimana pula bagi hakmilik yang belum muktamad? Untuk hakmilik yang belum muktamad, no. pengenalan hakmilik yang digunakan yang mungkin anda pernah lihat adalah seperti H.S.(D)1234 atau H.S.(M)1234.  Huruf pengenalan H.S. di sini sebenarnya merujuk kepada Hakmilik Sementara‘ manakala (D) dan (M) masing-masing merujuk kepada Pejabat Pendaftar atau Pejabat Tanah Daerah berkenaan iaitu D (Daftar) – Pejabat Pendaftar Negeri manakala M (Mukim) – Pejabat Tanah Daerah.  Terdapat sebahagian mereka yang keliru dengan anggapan bahawa Hakmilik Sementara merupakan pegangan ‘sementara’ yang mereka fikir pegangan pajakan sedangkan ianya suatu perkara yang berbeza.  Semoga penerangan ini dapat memberikan pencerahan kepada masalah tersebut.
Oleh itu, Hakmilik Sementara ini juga mempunyai jenis pegangan yang berbeza iaitu sama ada ianya pegangan bebas ataupun pegangan pajakan yang mana boleh dirujuk di dalam dokumen hakmilik tersebut.
Walaupun Hakmilik sementara ini bukanlah dokumen hakmilik muktamad ianya tetap sah digunapakai sebagaimana butiran yang tercatit di dalamnya sehinggalah hakmilik muktamad dikeluarkan.  Hakmilik muktamad merupakan hakmilik berdasarkan ukuran akhir/sebenar Pejabat Tanah dan terdapat kemungkinan saiz muktamad tanah anda sedikit berbeza dari saiz di dalam hakmilik sementara.
Diharapkan sedikit penerangan ringkas mengenai 3 perkara di atas dapat memberikan penjelasan kepada mereka yang masih belum jelas mengenainya.  Sekiranya anda mempunyai pertanyaan lanjut, sila berikan di ruangan komen Http://Tipshartanah.com/

Saturday, June 30, 2012

Bank Islam lancar Kempen Pembiayaan Rumah Bonanz

Bank Islam lancar Kempen Pembiayaan Rumah Bonanza
Wartawan Sinar Harian
28 Jun 2012
Bank Islam
$entry.content.caption.value
BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melancarkan “Kempen Pembiayaan Rumah Bonanza” sebagai sebahagian usaha berterusan menggalakkan pemilikan rumah serta ganjaran kepada pelanggan dengan hadiah menarik.

Kempen itu terbuka kepada pelanggan yang memohon Pembiayaan Perumahan-i Baiti atau Pembiayaan Semula Perumahan-i Wahdah dan menawarkan peluang untuk memenangi peralatan dan produk kesihatan.

“Kami memahami pelanggan yang beli atau mengubahsuai rumah terpaksa menanggung perbelanjaan besar. Oleh itu, kami muncul dengan kempen ini," kata Pengarah Perniagaan Bank Islam, Khairul Kamarudin.

Katanya, Bank Islam menawarkan pelbagai pilihan pembiayaan pada kadar kompetitif dan manfaat menyeluruh bagi mereka yang mahu dapatkan pembiayaan untuk membeli rumah impian atau untuk membiayai semula hartanah sedia ada. Pelanggan yang layak, perlu memohon pembiayaan perumahan atau pembiayaan semula perumahan dengan jumlah pembiayaan minimum RM100,000 semasa tempoh kempen.

Kempen ini berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Disember 2012 dan sebanyak 84 hadiah disediakan untuk dimenangi.

Maklumat lanjut, kunjungi cawangan Bank Islam berdekatan.

Thursday, June 28, 2012

Mustapa: Usahawan senarai hitam CCRIS boleh rujuk SME Corp

Bisnes
Sinar Harian: 27 Jun 2012
KUALA LUMPUR - Usahawan yang menghadapi kesukaran mendapat pinjaman akibat disenarai hitam dalam CCRIS atau Central Credit Reference Information System, boleh merujuk kepada SME Corp untuk bantuan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata usahawan yang telah menjelaskan pinjaman namun masih disenarai hitam oleh CCRIS serta CTOS Credit Tip-Off Service, juga boleh merujuk kepada SME Corp.

"Kami membuka peluang kedua untuk usahawan, dan SME Corp akan mencari jalan untuk membantu dan mendapatkan nasihat," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Sesi Rangkaian dan Peluang Perniagaan Usahawan PKS dalam Program Kerjasama antara Miti, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai saranan Kementerian Kewangan supaya Bank Negara mencari jalan untuk mewujudkan sistem yang lebih baik untuk CCRIS dan CTOS, supaya dapat membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memperoleh pinjaman.

Sesi rangkaian dan peluang perniagaan usahawan (PKS) itu dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Keusahawanan Miti dengan kerjasama MATRADE dan PUNB.

Bahagian Pembangunan Keusahawanan Miti memainkan peranan dalam membangunkan usahawan melalui pelbagai program, termasuk dalam aspek latihan keusahawanan, peningkatan kualiti produk dan perkhidmatan serta promosi dan pemasaran.

Melalui program peningkatan kualiti produk dan perkhidmatan yang dilaksanakan dengan kerjasama SIRIM Berhad, program ini berjaya membangunkan 1,379 syarikat Bumiputera yang mengeluarkan lebih 2,900 produk.

Mereka terdiri daripada usahawan dalam lima sektor iaitu makanan dan minuman, kosmetik dan herba, seramik, kaca serta perabot manakala Matrade pula berfungsi sebagai agensi yang membantu usahawan dalam meneroka pasaran luar negara melalui beberapa program seperti pembangunan pengeksport Bumiputera dan program pembangunan pengeksport wanita.

Program-program itu bertujuan membimbing usahawan PKS supaya lebih berkeupayaan, berkeyakinan serta meningkatkan tahap profesionalisma bagi menghadapi cabaran dalam pasaran antarabangsa.

Syarikat yang terpilih akan dibimbing serta didedahkan dengan aktiviti-aktiviti promosi perdagangan antarabangsa, seminar dan latihan serta diberikan seorang pegawai pembimbing yang berpengalaman untuk tempoh sepanjang berada dalam program.

Seramai 200 usahawan PKS yang mewakili 120 syarikat mendapat manfaat menerusi program ini.- Bernama

Monday, June 25, 2012

Skim Pinjaman Perumahan Luar Negara

Wartawan Sinar Harian
22 Jun 2012
Maybank tawar Skim Pinjaman Perumahan Luar Negara di Melbourne
MAYBANK
SHAH ALAM - Maybank mengembangkan tawaran Skim Pinjaman Perumahan Luar Negara bagi pembelian hartanah kediaman di Melbourne, Australia.

Skim ini akan membiayai hartanah kediaman siap bina di Melbourne, yang dibangunkan pemaju dari Malaysia dan Australia.

Kemudahan disediakan dalam bentuk pinjaman, overdraf atau gabungan kedua-duanya.

Dalam satu kenyataannya, Maybank berkata, ketika ini, rakyat Malaysia yang membeli hartanah di Australia mendapat kemudahan pembiayaan dalam dolar Australia.

“Menerusi kaedah ini mereka terdedah kepada ketidaktentuan naik mata wang asing ketika membuat pembayaran balik setiap bulan,” katanya.

“Di bawah Skim Pinjaman Perumahan Luar Negara, pembiayaan diberikan dalam mata wang ringgit, dan menerusinya peminjam akan terlepas daripada risiko turun-naik tukaran asing,” katanya.

Selain itu, kelebihan skim ini termasuk kadar faedah pinjaman yang berdaya saing, margin pinjaman lebih tinggi iaitu sehingga 75 peratus, pembayaran semula yang lebih fleksibel dan tempoh pinjaman yang lebih panjang iaitu sehingga 30 tahun atau 70 tahun bergantung kepada usia peminjam.

"Maybank mula menawarkan Skim Pinjaman Perumahan Luar Negara dalam mata wang Ringgit pada Januari tahun ini bagi membiayai pembelian hartanah kediaman di London,” katanya lagi.

Sehingga Mei lalu, nilai kemudahan yang diluluskan melebihi RM260 juta, kata Maybank.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Lim Hong Tat berkata, kemudahan pinjaman perumahan baru ini dijangka dapat menarik nilai pinjaman RM300 juta dalam tempoh 12 bulan.

"Perkembangan ini akan membantu kami mencapai sasaran pertumbuhan pembiayaan perumahan dengan purata dua angka tahun ini.

“Pembiayaan ini akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang berminat membeli hartanah di Australia memandangkan ketika ini negara itu menawarkan kelebihan menarik bagi pembelian hartanah untuk bukan warga negara," katanya.

Thursday, June 21, 2012

Kumpulan Hartanah yakin pertumbuhan positif tahun ini

Kumpulan Hartanah yakin pertumbuhan positif tahun ini

20 Jun 2012(Sinar Harian)
SHAH ALAM - Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB), cabang hartanah Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), yakin terhadap pertumbuhan positif tahun ini berikutan pembabitan syarikat itu dalam pembangunan tanah komersil utama di Petaling Jaya.
  
Pengerusinya Raja Idris Raja Kamaruddin berkata pelan pembangunan bersama tanah seluas 3.84 hektar di Seksyen 14, Petaling Jaya itu, sedang dimuktamadkan.
  
"Pembangunan pejabat kedai, pejabat rumah pejabat kecil (SOHO), menara pejabat dan pangsapuri perkhidmatan itu akan bermula pada akhir tahun dan menyumbang hampir RM1 bilion dalam nilai pembangunan kasar (GDV) dalam tempoh
tujuh tahun.

"Ia akan menyediakan asas yang kukuh untuk pertumbuhan syarikat secara berterusan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu.
  
Raja Idris juga berkata beberapa cadangan sudah diterima untuk pembangunan kawasan seluas 2,000 hektar di Bestari Jaya (Batu Berjuntai) di Selangor.
  
Beliau berkata projek semasa KHSB di Bandar Baru Salak Tinggi dan Hab Halal Selangor di Pulau Indah sudah menunjukkan hasil yang.
  
Pembinaan 99 unit kedai setingkat di Bandar Baru Salak Tinggi juga berjalan mengikut jadual, dan dijangkakan menyumbang GDV kira-kira RM25 juta.         
           
Raja Idris berkata kumpulan itu berusaha gigih untuk kekal kompetitif dengan berusaha untuk mengenal pasti cara meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh kecekapan operasi.
  
"Strategi untuk meningkatkan prestasi menyeluruh kumpulan menerusi penilaian berhemat peluang-peluang meningkatkan nilai aset, akan membuahkan hasil dalam tempoh tiga tahun akan datang.
  
"Strategi yang dilaksanakan oleh kumpulan itu termasuk membangunkan nilai ekonomi aset-aset kami di Bestari Jaya, Pulau Indah dan Seksyen 14 di Petaling Jaya," katanya. - Bernama

Tuesday, June 12, 2012

Tanggungjawab Komuniti Strata (Flat, Apartment, Kondominium

Tanggungjawab Komuniti Strata (Flat, Apartment, Kondominium)


Posted by Tips Hartanah on Jun 11, 2012 in Komuniti, Tips Hartanah, 


Perubahan gaya hidup, permintaan hartanah yang meningkat, tanah yang semakin berkurangan telah menyebabkan trend pembinaan hartanah di Bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan sekitar Lembah Klang telah mula berubah. Jika dahulunya rata-rata pembeli akan memilih ‘landed property’ (hartanah bertanah) sebagai pilihan utama pembelian mereka namun kini pilihan utama mereka belum tentu dapat dipenuhi kerana harga hartanah yang semakin meningkat. Dengan harga purata hartanah seperti rumah teres bersaiz typical 20’x70’ di Lembah Klang sekitar RM400,000 dan ke atas, permintaan pembeli telah mula berubah kepada hartanah strata iaitu hartanah bertingkat seperti flat, apartment, kondominium dan ‘townhouse’.

Pada ketika semakin ramai yang memilih hartanah strata, suatu isu yang perlu diambil perhatian adalah kesedaran serta tanggungjawab pemilik dan penduduk hartanah strata terhadap komuniti hartanah itu sendiri. Ini adalah sangat penting kerana hartanah strata melibatkan pengurusan ‘kawasan bersama’ yang mana diuruskan secara bersama oleh penduduk dengan menanggung kos-kos terlibat secara bersama. Di sinilah di mana kegagalan dalam pengurusan akan menyebabkan pelbagai masalah yang semakin sinonim dengan hartanah strata pada masa ini seperti lif rosak, kawasan tidak dijaga, kolam renang kotor dan pelbagai masalah lain.

Oleh itu adalah penting untuk penduduk dan bakal penduduk hartanah strata faham akan kesedaran mereka terhadap tanggungjawab membuat pembayaran yuran pengurusan secara rutin setiap bulan bagi membolehkan tabung pengurusan bersama mempunyai kewangan yang cukup untuk menjalankan kerja-kerja pengurusan dan penyelenggaraan hartanah strata berkenaan.

Bagi memudahkan pengurusan sesebuah hartanah strata, di bawah Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan & Pengurusan Bangunan) 2007 (Akta 663) yang berkuatkuasa pada 12 April 2007 telah mewajibkan semua pemaju untuk menubuhkan Badan Pengurusan Bersama atau Joint Management Body (JMB) di semua bangunan bertingkat yang tertakluk di bawah Akta Hakmilik Strata dalam masa 12 bulan dari tarikh serahan kunci – yang mana ini adalah untuk hartanah strata yang masih belum dikeluarkan hakmilik strata. Sedikit soaljawab mengenai JMB boleh anda baca di Mazlan.wordpress.com yang mungkin boleh member pemahaman yang lebih baik terhadap JMB. Satu dari persoalan menarik di sini adalah Bagaimana Ahli JMC dipilih? Menurut jawapan yang diberikan Perlantikan ahli JMC diadakan pada Mesyuarat Pertama secara undian tangan. Urusan mengadakan mesyuarat tersebut akan dikendalikan oleh Pemaju dengan memberi notis bertulis 14 hari kepada Pemilik Petak/Penduduk dari tarikh mesyuarat yang dijangka akan diadakan. Oleh itu adalah jelas di sini Ahli JMB adalah dilantik sendiri oleh penduduk dan juga atas dasar ‘volunteer’ untuk dilantik bagi menjalankan tanggungjawab menguruskan hartanah strata berkenaan.

Bagi hartanah yang telah dikeluarkan dokumen hakmilik strata, JMB akan digantikan dengan Perbadanan Pengurusan atau Management Corporation (MC) di bawah Akta Hakmilik Strata 1985.

Agak menghairankan juga apabila setelah JMB/MC ditubuhkan terdapat sebahagian penduduk yang melantik Ahli JMB ini dengan lantang menentang apa sahaja yang dilakukan oleh JMB sedangkan JMB seharusnya di berikan kerjasama baik oleh penduduk yang melantik dan bukan sebaliknya. Perlakuan sedemikian sebenarnya tidak memberikan kesan positif kepada JMB dan seterusnya pengurusan terhadap bangunan itu sendiri kerana harus diingat jika tiada kerjasama yang baik dari penduduk dan ditambah lagi dengan kritikan negatif kebarangkalian besar tidak seorangpun penduduk yang mahu dilantik sebagai Ahli JMB yang mana kini banyak terjadi kepada apartment dan flat. Apabila ini berlaku kesannya amat teruk di mana pungutan yuran pengurusan akan terjejas dan seterusnya pengurusan bangunan secara keseluruhannya juga akan terjejas. Jika ini berlaku maka berlakulah perkara seperti lif tidak dibaiki, kolam renang berkulat, sampah tidak dikutip, koridor tidak dibersihkan, pengawal tidak ditugaskan dan banyak lagi. Akibat daripada perkara sebegini juga berlakulah tunggakan yuran pengurusan yang tinggi di mana pernah dilaporkan sebuah flat mempunyai tunggakan melebihi RM1 juta sehingga lif yang rosak tidak dibaiki.

Dengan itu saya mengambil peluang ini untuk sama-sama memberikan peringatan kepada mereka yang tinggal di komuniti strata sama ada flat, apartment, konodminium atau lain-lain untuk sama-sama menjalankan tanggungjawab sebagai penduduk seperti berikut:-

Membuat pembayaran yuran pengurusan setiap bulan seperti yang ditetapkan.

Mematuhi ‘House Rule’ yang telah ditetapkan.

Menghadiri mesyuarat agung tahunan (AGM) komuniti.

Memberikan kerjasama kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Menyertai atau melakukan apa sahaja aktiviti yang memberikan kesan positif kepada komuniti tersebut.

Dengan menjalankan tanggungjawab anda sebagai penduduk dan pemilik hartanah strata anda, anda bukan sahaja akan dapat membantu dalam menguruskan bangunan kediaman menjadi kawasan yang bersih dan baik untuk didiami malah ianya secara tidak langsung dan untuk jangka masa panjang akan memberikan nilai hartanah yang lebih tinggi berbanding hartanah strata yang tidak diuruskan dengan baik.

Bagi mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan hartanah seperti pengurus bangunan, Tips Hartanah amat mengalu-alukan sebarang komen tambahan daripada anda untuk menambah baik lagi artikel ini supaya ianya dapat memberikan manfaat kepada mereka semua komuniti hartanah strata sama ada pengurusan, JMB, MC atau penduduk sendiri.



Wednesday, June 6, 2012

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Perjanjian Sewa Rumah

 Petikan :
http://www.drumah.com/

“Susah la nak buat sewa rumah ni.. penyewa selalu lambat bayar and rosakkan rumah aku…last2 aku pulak yang rugi…”
“Pelik aku.. macam mana die boleh apply loan sampai ada 5 rumah, tapi gaji die baru rm3000”
“Eh.. kipas bilik aku rosak ni..sapa kene bayar untuk repair.. kita ke atau tuan rumah?”
Percaya atau tidak, persoalan seperti ini sebenarnya agak normal dalam kehidupan seharian kita terutamanya apabila kita menjadi penyewa atau tuan rumah terbabit. Senario yang berlaku mungkin akan menjadi lebih teruk lagi jika kedua-dua pihak iaitu penyewa dan tuan rumah tidak sedar tentang hak masing-masing. Tetapi, hak dan nasib kedua-dua pihak akan terbela dan lebih terjamin jika Perjanjian Penyewaan Rumah (Tenancy Agreement) berjaya disediakan, dipersetujui dan ditandatangani oleh kedua-dua pihak.
Apakah itu Perjanjian Penyewaan Rumah?  Perjanjian ini merupakan satu dokumen yang menggariskan hak-hak dan tanggungjawab penyewa serta tuan rumah. Biasanya, perjanjian ini ditandangani sebelum penyewa menduduki rumah tersebut. Jangka masa untuk perjanjian ini ialah bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak; iaitu sama ada setahun, 2 tahun ataupun 5 tahun.

Apa yang anda perlu tahu tentang Perjanjian Penyewaan Rumah:

•    Perjanjian ini perlulah senang difahami oleh kedua-dua pihak. Walaubagaimanapun, pihak penyewa dan tuan rumah perlu memahami isi kandungan perjanjian ini dengan terperinci supaya hak masing-masing dapat ditegakkan jika berlaku perselisihan faham (dispute). Kadang-kadang, perjanjian ini disediakan oleh pihak ketiga iaitu peguam atau agen hartanah namun persetujuan haruslah dicapai oleh bakal penyewa dan tuan rumah sebelum ditandatangani. Tuan rumah juga boleh menyediakan sendiri perjanjian ini berdasarkan sampel dokumen yang disediakan di bawah.
•    Perjanjian ini perlu menyatakan sewa bulanan yang perlu dibayar oleh penyewa. Bayaran untuk sewa bulanan akan ditetapkan pada tarikh tertentu (contohnya 1hb bagi setiap bulan) untuk memudahkan tuan rumah memantau kelewatan pembayaran. Akaun untuk pembayaran juga dinyatakan dalam Perjanjian Penyewaan untuk rujukan dan memudahkan kedua-dua pihak..
•    Selain itu, deposit untuk menyewa rumah juga (biasanya, bayaran sewa untuk 2 bulan dan utiliti) akan dinyatakan untuk menjaga hak tuan rumah sekiranya penyewa‘melarikan diri’ atau merosakkan harta benda di dalam rumah terbabit. Wang deposit ini akan dipulangkan kembali kepada penyewa apabila tempoh penyewaan sudah berakhir dan rumah ini ditinggalkan dalam keadaan baik dan terjaga.
•    Senarai inventori barang-barang yang disediakan di dalam rumah terbabit seperti kipas, lampu, sofa, peti ais, katil dan televisyen akan turut dilampirkan bersama-sama dengan Perjanjian Penyewaan sebagai senarai semak untuk kedua-dua pihak. Jika berlaku kerosakan kepada barang-barang terbabit (dalam kes ini, penyewa yang merosakkan secara sengaja), tuan rumah berhak meminta ganti rugi. Walaubagaimanapun, terpulang kepada budi bicara tuan rumah kerana mungkin barang-barang itu sudah lama digunakan dan kerosakan tidak dapat dielakkan.
•    Pembaikpulihan bagi kerosakan di dalam rumah perlu dinyatakan dengan jelas dalam Perjanjian Penyewaan. Biasanya, kerosakan kecil (minor damage) akan dibayar terlebih dahulu oleh penyewa kemudian diberitahu kepada tuan rumah untuk pengurangan bayaran sewa pada bulan itu. Bagi kerosakan besar (major damage), tuan rumah perlu mengambil tindakan sewajarnya seperti meminta kontraktor untuk membaik pulih kerosakan terbabit secepat mungkin. Contoh kerosakan kecil ialah pili air tersumbat dan kerosakan besar mungkin atap bocor atau lantai pecah.
•    Akhir sekali, selepas perjanjian ini dipersetujui dan ditandatangani kedua-dua pihak, ‘stamping’ perlu dibuat di Jabatan Hasil supaya dokumen ini dikira sah disisi undang-undang. Jika tidak, sebarang masalah yang berlaku tidak dapat diselesaikan di mahkamah dan seterusnya boleh mengakibatkan ketidakadilan kepada penyewa ataupun tuan rumah.. Bayaran untuk “stamping’ biasanya dikenakan kepada penyewa. Bagi tuan rumah, dokumen ini boleh dijadikan sumber pendapatan tambahan (extra income) jika ingin memohon pinjaman daripada bank.
Oleh yang demikian, penyewa dan tuan rumah perlu menyedari hak masing-masing dan hak ini perlu dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian ini. Ketiadaan dokumen ini mungkin akan menjadi kesilapan besar kepada penyewa dan juga tuan rumah terbabit jika berlakunya sesuatu masalah.
Bagi pelabur hartanah pula, dokumen ini perlu dipandang serius kerana dokumen ini seolah-olah memberi jaminan pada hartanah yang disewakan tersebut.

Thursday, May 17, 2012

Bayar hutang sampai mati

 Rencana KOSMO:
Oleh HISHAM IDRIS dan NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR
 
HARGA rumah di bandar raya Kuala Lumpur sekarang dianggap menakutkan. Kondominium One Menerung di Bangsar yang seluas 2,000 kaki (185 meter) persegi dijual pada harga RM2.4 juta seunit. Sebuah rumah semi-D di Sri Hartamas berharga RM1.5 juta manakala rumah teres dua tingkat di Cheras bermula dari harga RM500,000.
Dengan harga yang begitu tinggi, ia bukan lagi merupakan rumah mampu milik khususnya bagi warga kota berpendapatan sederhana iaitu kira-kira RM6,000 sebulan.
Malangnya, bukan ibu negara sahaja yang mengalami kenaikan melambung harga rumah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Malah, kawasan pinggir Lembah Klang seperti Kajang, Bangi, Sungai Buloh, Rawang dan Klang menunjukkan trend yang sama.
Tinjauan Jurnal di beberapa lokasi seperti Semenyih mendapati harga rumah teres baharu dengan keluasan 24x70 kaki (7x21 meter) kini mencecah harga RM460,000.
Di Kajang, rumah bersaiz 22x70 kaki berharga RM510,000, Rawang RM288,000 (20x65 kaki), Sungai Buloh RM398,000 (22x75 kaki) dan Klang RM335,000 (24x75 kaki).
Pada umumnya, rumah teres sering menjadi pilihan golongan berpendapatan sederhana kerana saiznya lebih luas serta memiliki laman dan tempat letak kereta yang mesra pengguna.
Malangnya, masih ada satu lagi berita buruk iaitu rumah teres dijangka mencecah harga RM800,000 sebuah menjelang tahun 2020.
Ini berdasarkan unjuran kenaikan purata harga sebanyak tujuh peratus setahun oleh syarikat perunding hartanah CH William Talhar & Wong Sdn. Bhd. (WTW) selepas mengambil kira harga purata terbaharu rumah teres di Selangor iaitu RM480,000 sebuah.
Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea), Profesor Dr. Jariah Masud meramalkan bahawa harga rumah teres di Lembah Klang bakal mencecah RM1 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Harga rumah di negara ini akan terus berkembang walaupun berlaku krisis ekonomi,” katanya.
Pengarah Urusan WTW, Sr. Foo Gee Jen memberitahu, harga rumah teres di pinggir bandar bakal menjadi lebih kompetitif berikutan kenaikan harga rumah di pusat bandar Kuala Lumpur.
Pendapatan
 


HARGA rumah teres di Lembah Klang akan meningkat sekali ganda menjelang tahun 2020.


Beliau memberi contoh rumah teres di Taman Tun Dr. Ismail yang kini bernilai RM1.5 juta bakal mencapai harga RM3 juta dalam tempoh lapan tahun lagi.
“Untuk memiliki sebuah rumah teres pada tahun 2020 sekurang-kurangnya sebuah isi rumah perlu mempunyai pendapatan sebanyak RM12,000 sebulan.
“Secara purata pendapatan isi rumah sekarang ialah RM6,000 bagi golongan pertengahan. Jika harga rumah naik sekali ganda maka pendapatan isi rumah harus meningkat seiring dengan harga rumah,” terang beliau.
Membeli rumah berharga RM500,000 dengan pendapatan bulanan RM6,000 bukanlah satu tindakan bijak.
Menurut kiraan seorang pegawai bank, andaikan si pembeli meminjam RM400,000 sahaja daripada bank dengan purata kadar faedah enam peratus setahun, peminjam perlu membayar ansuran bulanan sebanyak kira-kira RM2,400 selama 30 tahun.
Ini bermakna peminjam yang membeli rumah teres pada usia 30 tahun hanya akan habis membayar hutang pada usia 60 tahun.
Jika tidak bernasib baik, peminjam tadi mungkin meninggal dunia terlebih dahulu sebelum sempat melangsaikan hutang rumahnya.
Persoalannya, berapa ramaikah orang muda memiliki pendapatan RM6,000 sebulan sekarang?
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kuala Lumpur, NK Tong berkata, pelbagai faktor menyebabkan kenaikan harga hartanah termasuk pengumuman kerajaan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur seperti pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) yang menghubungkan Sungai Buloh dan Kajang.
“Dengan kemudahan seperti MRT, orang ramai akan mula keluar dari pusat bandar dan bertumpu ke kawasan pinggir Lembah Klang. Sehubungan itu permintaan terhadap rumah akan meningkat,” hujah beliau.
Menabung


JIKA ingin memiliki rumah idaman, belilah pada hari ia dilancarkan kerana harganya pasti meningkat selepas itu.



Tambah Tong lagi, konsep bina dan jual yang suatu ketika dahulu hangat diperkatakan diramal dilaksanakan pada tahun 2015 dan ia pasti meningkatkan harga rumah.
“Jika konsep itu dilaksanakan, pihak pemaju akan mengehadkan jumlah rumah yang dibina dan ini mengakibatkan terjadi situasi permintaan melebihi penawaran,” jelasnya yang tidak menolak spekulasi turut memainkan peranan rumah dijual pada harga yang lebih tinggi daripada nilai sebenar.
Dalam situasi ini pasangan muda yang ingin memiliki sebuah rumah idaman pada masa hadapan disaran supaya menanam tabiat menabung sekurang-kurang 10 peratus daripada jumlah pendapatan isi rumah.
Mentor kewangan, Azizi Ali berkata, senario sekarang menunjukkan kebanyakan pasangan muda bersikap sebaliknya. Mereka membelanjakan kesemua wang pendapatan dengan harapan akan ada lebihan untuk dijadikan simpanan.
Katanya, apabila menabung dulu sebanyak 10 peratus, pasangan masih mempunyai 90 peratus daripada jumlah pendapatan manakala jumlah hutang tidak boleh melebihi 40 peratus pendapatan.
“Jumlah bayaran untuk kereta tidak patut melebihi 10 peratus atau maksimum 15 peratus,” katanya.
Jelasnya, trend pasangan muda sekarang adalah mereka lebih cenderung memiliki kereta mewah hingga membebankan hutang isi rumah.


KEMUDAHAN pengangkutan awam merupakan salah satu faktor harga hartanah meningkat.



“Kita tidak sepatutnya menjadi hamba kepada hutang sendiri dan terpaksa bekerja keras semata-mata untuk melunaskan hutang,” katanya.
Bagaimanapun, kenaikan harga rumah mungkin memberi kebaikan kepada pemilik kediaman sedia ada.
Penjawat awam, Ariffin Ahmad, 30, memberitahu beliau membeli sebuah rumah teres dua tingkat pada penghujung tahun 2009 pada harga RM167,000.
“Tidak sampai setahun saya dan keluarga menetap di kawasan itu, harga rumah saya meningkat hampir sekali ganda menjadi RM288,000.
“Membeli rumah adalah satu pelaburan yang baik untuk jangka masa panjang tetapi saya lihat kini harga rumah yang ditawarkan semakin mahal menyebabkan ramai orang tidak mampu membelinya. Jika ada pun, pasti lokasinya di luar Kuala Lumpur,” katanya.

Friday, May 4, 2012

Bajet Bijak: Bijak belanja

bminggu@bharian.com.my 2012/04/07  

Kaji antara risiko, pulangan pelaburan demi masa depan
MENABUNG dalam akaun simpanan atau simpanan tetap adalah pelaburan paling selamat. Pulangan atau kadar faedah adalah rendah berbanding pelaburan lain tetapi ia tanpa risiko. Anda boleh tidur dengan lena tanpa perlu bimbang dengan pelaburan berkenaan. Dengan menyimpan wang dalam akaun simpanan atau simpanan tetap, anda mungkin tidak dapat membina kekayaan secepat dimahukan. Sungguhpun pelaburan lain dapat memberi pulangan yang lebih baik, ia mempunyai risiko yang lebih tinggi. Ini kerana berkemungkinan besar pelaburan itu akan jatuh nilainya.

 Sebagai contoh, jika anda melabur wang dalam pasaran saham, anda menghadapi risiko besar untuk kehilangan wang berbanding menyimpannya dalam akaun simpanan. Harga saham yang turun naik bergantung kepada beberapa faktor. Anda mungkin membeli saham syarikat pada harga RM5 sesaham, tetapi harga terbabit mungkin naik kepada RM7 atau turun kepada RM2.

 Apabila melaburkan wang, kita memang mengharapkan pulangan. Kadar pulangan atas pelaburan biasanya dikira dalam peratusan tahunan. Jika membeli saham pada harga RM10 sesaham dan harga naik kepada RM10.80 selepas setahun, kadar pulangannya adalah sebanyak 8 peratus. Pulangan sebenar pelaburan adalah selepas menolak segala perbelanjaan yang berkaitan. Sebagai contoh, jika anda membeli rumah dan kemudian menjualnya, anda hanya dapat memastikan pulangan yang diperoleh selepas menolak kos seperti yuran guaman, komisen ejen, duti setem dan faedah pinjaman bank. Ingat apabila memilih pelaburan, semakin tinggi pulangannya, semakin tinggi risikonya.  

Bajet cara Adam Minggu lepas, kita telah sama-sama menerokai pengalaman hidup Adam di kolej dan melihat bagaimana dia membiayai pelajarannya sendiri melalui pinjaman pelajaran serta memberi tuisyen secara sambilan. Minggu ini pula, kita akan bersama Adam apabila dia memulakan pengalaman baru dalam dunia pekerjaan dan kisah percintaannya. NAMANYA dipanggil dan Daniel menyiku rakan karibnya, Adam. Tumpuan Adam ketika itu adalah pada Aida, gadis yang duduk di bahagian tengah dewan. Adam memikirkan cara merakamkan gambar bersamanya. Bagaimanapun, Adam cepat-cepat bangkit lalu naik ke pentas untuk menerima sijilnya. Ini adalah detik yang amat membanggakan bagi Adam serta keluarga. Adam akhirnya berjaya mendapat ijazah dengan kepujian dan tawaran pekerjaan tetap. Kemudian, pada jamuan sambutan yang diadakan, Adam memberanikan diri untuk meminta Aida bergambar bersama dan bertukar nombor telefon. Mereka berjanji untuk terus berhubung dari masa ke masa... Adam memulakan kerjayanya di salah sebuah daripada lima firma perakaunan terbesar dan dia sangat sibuk dengan kerjanya.

 Adam dibayar gaji permulaan RM2,500 sebulan. Dengan bekerja lebih masa serta tuntutan lain, Adam mendapat gaji purata sebanyak RM 3,000 sebulan. Kini, Adam mempunyai lebih banyak pendapatan yang boleh diguna. Tetapi, Adam masih mempunyai komitmen lain yang perlu difikirkan. Dia mengambil keputusan untuk menyemak semula belanjawannya seperti berikut:

 Pendapatan (RM) Gaji 2,500
 Perbelanjaan (RM) Tabungan 250
Pembayaran semula PTPTN 150
Ibu bapa 500
Makanan 500
Pakaian dan Hiburan 500
Pengangkutan 200
Bil Telefon 100
 Jumlah pendapatan 2,500
 Jumlah perbelanjaan 2,200
Baki 300
 Gaji bawa pulang bersih tolak sumbangan KWSP, SOCSO dan cukai Kita dapat perhatikan bahawa Adam meletakkan tabungan sebagai perkara pertama di lajur perbelanjaan. Ini selaras dengan prinsip bahawa kita haruslah selalu membayar pada diri kita dulu. Oleh itu, Adam memastikan dia meneruskan pelaburannya dalam amanah saham. Malah, kali ini dia menambahkan tabungan berkala kepada 10 peratus daripada gajinya. Adam ada membaca beberapa buku perancangan kewangan yang menyatakan bahawa seseorang haruslah menabung sekurang-kurangnya 10 peratus atau lebih daripada pendapatannya berbanding jumlah caruman KWSP mereka.
 Malah ada sesetengah perancang kewangan yang menyarankan kita menabung separuh daripada pendapatan kita. Ini termasuk caruman wajib KWSP daripada majikan dan pekerja yang berjumlah 23 peratus untuk kebanyakan pekerja, yang bermakna kita perlu menabung jumlah selebihnya sebanyak 27 peratus daripada pendapatan kasar. Ini pastinya suatu permintaan yang agak mustahil bagi ramai orang, khususnya mereka yang mempunyai anak, tetapi pengorbanan sedemikian dapat menjamin masa persaraan yang selesa. Perkara kedua pada senarainya adalah pembayaran semula pinjaman PTPTN. Dengan menggunakan kalkulator pinjaman di web PTPTN (http://www.ptptn.gov.my), Adam perlu membayar kira-kira RM150 sepanjang tempoh 180 bulan, pada kos pentadbiran sebanyak 1 peratus setahun. Sebagai siswazah yang bertanggungjawab, sebaik saja dia menerima cek gaji pertamanya, Adam mula membayar balik pinjamannya, tanpa menunggu untuk surat tuntutan bagi pinjaman berkenaan. Adam fikir sekiranya dia melambatkan atau lebih teruk lagi, tidak mengendahkan pembayarannya, dia seolah-olah merampas peluang mahasiswa lain yang sangat memerlukan dana berkenaan.
Lebih-lebih lagi, ia menghadapi risiko disenaraihitamkan daripada memohon pinjaman pada masa depan. Disebabkan Adam menetap bersama ibu bapanya, Adam dapat berjimat daripada belanja sewa. Jika tidak, Adam perlu membelanjakan kira-kira RM300 untuk menyewa sebuah bilik di ibu kota.
 Dengan penjimatan itu, Adam memutuskan untuk memberi ibu bapanya RM250 setiap orang untuk menampung belanja makanan dan penginapannya. Sememangnya ia suatu tindakan yang menguntungkan kedua belah pihak kerana sambil membuat jasa pada ibu bapanya, Adam dapat berjimat. Adam memperuntukkan RM500 untuk belanja makan di luar rumah, terutama bagi makan tengah hari dan malam jika perlu kerja lewat.
Anggaran kos makanannya ialah RM20 sehari bagi 25 hari kerja dalam sebulan. Adam juga ketepikan RM500 untuk belanja pakaian dan hiburan. Ini kerana pastinya, Adam sering keluar makan atau keluar bersama-sama rakan sekerjanya dan RM100 boleh dihabiskan sekali gus. Adam juga mempunyai niat untuk membeli kereta tetapi ingin menabung lebih banyak wang supaya dapat mengeluarkan bayaran pendahuluan yang lebih besar untuk kereta pertamanya.
 Ketika ini, Adam menggunakan pengangkutan awam atau menumpang rakan-rakan sekerjanya yang memandu. Seperti dulu, Adam mendapatkan Kad Perjalanan Bulanan, iaitu pas perjalanan bersepadu untuk bas awam dan LRT pada harga RM135 sebulan. Dia membundarkan jumlah ini kepada RM200 dan selebihnya untuk meliputi tambang teksi.
 Adam juga menetapkan bajet RM100 bagi bil telefon bimbitnya yang pastinya akan bertambah dengan berkembangnya kehidupan sosialnya. Selepas mengambil kira kesemua perbelanjaan yang dapat diramalkan, Adam gembira apabila mendapati dia masih mempunyai baki lebihan sebanyak RM300 setiap bulan. Ketika memikirkan cara untuk membelanjakan wang secara produktif, dia terbaca suatu artikel dalam majalah kewangan peribadi yang menekankan keperluan setiap dewasa yang bekerja memiliki polisi insurans. Adam membuat kajian mengenai jenis-jenis polisi yang paling sesuai buat dirinya dan selepas meneliti beberapa pilihan,
 Adam membuat keputusan mendapatkan polisi insurans. Adam mampu mengetepikan 10 peratus daripada gajinya kerana polisi insurans pilihannya juga berfungsi sebagai alat penabungan tetap. Oleh itu, dengan belanjawan kira-kira RM250 sebulan, Adam dapat membeli insurans bagi dirinya dan insurans perubatan yang disertakan dengan kad perubatan.
Kad perubatan akan merangkumi kos rawatan hospital dan pembedahan jika Adan dimasukkan ke hospital. Walaupun Adam mendapat perlindungan insurans daripada syarikatnya, dia rasa dia harus mendapatkan perlindungan insurans sendiri sebagai suatu sandaran keselamatan. Sekarang dengan peruntukan ini, Adam boleh menggunakan hampir keseluruhan pendapatannya secara produktif.

Thursday, May 3, 2012

Semi D setingkat - Taman Ida Dekat UNISZA

SEKARANG MASIH ADA PENYEWA BULANAN :

SEWAAN BULANAN tanpa perabut : Rumah berkembar setingkat-semi D- 3 Bilik tidur dan 2 bilik air/tandas. Setiap bilik luas 12x12 kaki persegi. Bilik utama ada bilik air di dalam. 2 bilik lagi kongsi bilik air ruang dapur. Ruang dapur berasingan dengan ruang tamu depan pintu utama dan sliding.
Rumah berpagar dan parkir berteduh.

LOKASI : 50 meter jalan utama KUALA TERENGGANU - UNISZA - WAKAF TENGAH - BATU RAKIT.
1km dari UNISZA- Universiti Sultan Zainal Abidin Kampus Gong Badak.
1km dari UMT - Universiti Malaysia Terengganu kampus Gong Badak.
3km dari Institut Perguruan Malaysia Kampus Dato Razali Ismai, Batu Rakit.
13km dari INSTEP Batu Rakit.

Kemudahan kedai makan dan restoran dekat/berhampiran sahaja. Restoran SeaFood dan Kedai Nasi Kerabu Ayam Bakar.
Masjid-masjid dekat:Masjid UNISZA,Masjid Kg Padang Nenas,Masjid Kg Pak Jin.Pilih je semua dekat.
Pasar malam pun dekat dikg Pak Tuyu di tepi pagar UNISZA- student2 UNISZA/UMT ramai kat sini.

Wednesday, April 18, 2012

Tips Perniagaan orang Cina

Anda biasa mendengar orang cina bermuafakat dan boleh berniaga benda yang sama sebelah menyebelah. Mereka tidak berdengki antara satu sama lain. Benarkah begitu? Satu perkara yang harus kita sematkan difikiran kita bahawa bangsa ini hidup berniaga ratusan tahun. Hakikatnya berniaga benda yang sama sebelah-menyebelah adalah persaingan. Mereka juga menerima perkara itu sebagai teori yang sama. Tapi mengapa masih mereka ini mampu berniaga sebelah-menyebelah? Susah Satu Senang Banyak Masalah yang paling utama dilihat dalam perniagaan adalah pemasaran. Ia adalah peraturan utama dalam mempastikan survival sesebuah perniagaan iaitu mempastikan pelanggan sentiasa ada. Mempastikan pelanggan sentiasa ada bermaksud mempastikan pelanggan sentiasa datang. Mempastikan pelanggan sentiasa datang bermaksud pelanggan sentiasa ingat untuk datang. Untuk mempastikan pelanggan sentiasa ingat untuk datang, maka hendaklah dipastikan pelanggan mempunyai sebab yang kukuh untuk datang. Apakah sebab yang kukuh untuk menarik perhatian pelanggan datang? Dalam konsep yang bakal saya terangkan ini ia merujuk kepada menarik perhatian pelanggan datang atas sebab mereka mempunyai banyak pilihan. Anda pasti masih keliru dan tertanya-tanya bukan? Teruskan bacaan…. Pemasaran Mulut Ke Mulut Teknik pemasaran ini adalah yang terbaik dari segala teknik. Kerana itu ia menjadi asas utama dalam perniagaan jaringan (network business). Ini adalah kerana cakap dan saranan daripada kawan atau kenalan lebih bersifat nasihat (consulting) berbanding mesej melalui iklan yang bersifat memujuk. Kerana itu teknik ini dilihat lebih berkesan dan murah dalam jangka panjang. Konsepnya mudah iaitu mempastikan orang tidak rasa segan atau takut-takut untuk bercerita kepada rakan-rakan mereka. Mereka akan berasa seronok untuk bercerita tentang sesuatu kerana pada mereka ia seperti satu pertolongan. Namun bagaimanakah perkaitan perkara ini dengan konsep berniaga sebelah-menyebelah oleh orang cina? Membentuk Persepsi Mega Persepsi adalah perkara yang mudah terserap ke dalam hati seseorang melalui pancaindera. Sama ada melalui mata, mulut dan telinga. Konsep teknik ini ialah mempastikan orang ramai melihatnya sebagai satu entiti mega yang memberi banyak pilihan. Biar saya berikan contoh. Apabila anda mahu membeli barangan runcit, anda pasti lebih teruja untuk pergi ke tempat yang banyak pilihan dan berharga murah. Jawapannya apa yang bermain difikiran anda masakini ialah pasaraya mega seperti Mydin, Tesco, Giant dan sebagainya. Konsep ini juga yang digunakan peniaga cina yang menjual benda yang sama sebelah-menyebelah. Konsep Perniagaan Berpusat Sebuah kedai menjual kain mungkin ada 50 jenis kain. Cuba anda bayangkan apa persepsi anda bagi sebuah tempat yang 50 buah kedai menjual kain? Secara amnya anda terus terfikir betapa banyaknya pilihan anda disana. Benar atau tidak? Kemudian anda terfikir sekiranya anda pergi ke sebuah kedai yang menjual kain dan tidak berjumpa harga yang bersesuaian, anda harus memandu atau mengeluarkan lagi kos petrol untuk mencari kedai lain. Di situ anda rugi bukan? Jadi sudah pasti pilihan anda ialah tempat perniagaan yang mempunyai banyak pilihan dan peluang anda mencari harga yang paling murah. Pusat Perniagaan Sedia Ada Di Malaysia Terdapat pusat perniagaan seperti ini di Malaysia sama ada diaturkan oleh kerajaan ataupun oleh pakatan peniaga itu sendiri. Saya lebih suka memberi contoh dimana pusat yang diatur oleh peniaga sendiri kerana ini membuktikan mereka bersepakat dan menerima konsep ini. Apabila anda bercerita tentang lanskap, apakah tempat yang sering manis dibibir banyak orang di Kuala Lumpur dan Selangor. Jawapannya ialah sungai Buloh. Di Sungai Buloh terbaris puluhan kedai yang menjual produk lanskap dari pokok hinggalah ke pasu bunga. Saya sendiri pernah bertanya 10 orang rakan di Kuala Lumpur secara santai dan 9 orang daripada mereka menyarankan Sungai Buloh. Pemasaran Bermula Dari Rumah Bakal Pelanggan Menarik perhatian pelanggan haruslah bermula daripada rumah mereka. Ini adalah penting supaya apabila mereka memegang kunci kereta, hati mereka sudah teringat untuk memandu ke tempat anda. Seperti saya katakan tadi, apabila dari 10 orang yang ditanya 9 daripadanya berkata Sungai Buloh. Maka 9 orang ini akan memandu ke Sungai Buloh. Peniaga di Sungai Buloh sudah mempunyai 9 orang prospek. Sementara peniaga lanskap di tempat lain hanya ada satu. 20 kedai lanskap di Sungai Buloh mempunyai 9 orang prospek tetapi 20 buah kedai merata tempat hanya mempunyai 1 orang prospek sahaja. Bukankah ini satu penjimatan kos pemasaran? Orang Melayu Jangan Berdengki Tetapi Memanfaatkan Kaedah Ini Saya pernah menjadi mangsa hasad dengki orang melayu sewaktu menjalankan perniagaan restoran. Sungguhpun restoran saya berjauhan dari kelompok restoran melayu lain, namun saya tidak terlepas daripada terkena ilmu hitam yang merosakkan perniagaan dari masa ke semasa hinggakan pernah memberi kesan kepada kesihatan. Ke manakah akhirnya budaya ini? Andai ada 10 restoran melayu berdekatan, pelanggan sebenarnya lebih suka pergi ke sana. Tetapi apabila tinggal 1 sahaja, adakah mereka ini fikir bahawa semua pelanggan akan menjadi milik mereka? Mereka silap sama sekali. Sudahnya 1 restoran yang tinggal ini mungkin akan gulung tikar juga. Jangan takut untuk berniaga berdekatan. Anda hakikatnya membentuk satu tempat perniagaan berpusat yang mampu menarik perhatian pelanggan. Peniaga keropok lekor di Terengganu telah membuktikannya. Begitu juga beberapa tempat yang sering mencetus minat pelanggan untuk ke sana. Pelanggan mahukan pilihan dan harga. Beri mereka apa yang mereka mahu. Jangan habiskan wang anda menambah dosa hasad dengki dan juga secara tidak sedar meruntuhkan prospek. Selamat maju jaya. - Artikel iluvislam.com

Friday, March 23, 2012

(Proses) Cara Beli Rumah Oleh Pembeli

by Staff berita semasa (share)

Baiklah, hari ini kami berbesar hati untuk mengulas lebih lanjut berkenaan prosedur dan cara beli rumah untuk dikongsikan bersama anda yang sudah berangan-angan mahu beli rumah. Kalau hendak diikutkan, terlalu panjang untuk kami ulaskannya di sini. Namun begitu, melalui pengalaman kami, kami akan kongsikan sedikit sebanyak bagaimana proses pembelian rumah dilakukan. Perbincangan kita adalah kepada perjanjian jual beli dan pembelian daripada pemaju perumahan. Perjanjian jual beli di antara pemaju perumahan dan pembeli mesti menurut peruntukan Akta Pemaju Perumahan (Kawalan & Lesen) 1966. Biasanya, sebelum nak beli rumah, pastikan dulu yang kita perlu mengambil kira beberapa perkara penting. Di antaranya adalah:

a) Kewangan
b) Lokasi di mana rumah hendak dibeli
c) Harga jualan rumah tersebut
d) Keluasan, rekabentuk rumah dan keadaan persekitaran

Jadi, sebelum beli rumah, pastikan perkara-perkara penting ini sudahpun difikirkan terlebih dahulu. Ukur baju di badan sendiri. Jangan pula kerana bercita-cita besar memiliki rumah impian yang besar dan mewah, akhirnya kewangan kita juga seringkali terhimpit. Jadi, ukur kemampuan dan keadaan kewangan anda terlebih dahulu sebelum membuat pilihan. Kemudian, selepas sudah tahu berapa bajet yang anda mampu, baru boleh fikir proses cari rumah.

Perkara terpenting selepas itu adalah lokasi di mana rumah yang anda berminat untuk membelinya. Ianya terpulang pada diri masing-masing. Ada yang suka dengan suasana nyaman jauh dari kesibukan dan hiruk-pikuk bandar, dan ada pula yang suka duduk dalam kawasan yang berdekatan dengan banyak kemudahan serta perkhidmatan. Yang penting sekali, lokasinya perlulah strategik bagi diri anda. Pada kebiasaannya, pembeli rumah yang telahpun memikirkan 2 perkara di atas, akan terus mencari maklumat yang berkenaan atau terus ke syarikat pemaju hartanah untuk mengetahui tentang harga dan juga rekanbentuk rumah secara terperinci

Pada masa inilah, pembeli perlu prihatin terhadap beberapa perkara dan tanyalah berapa banyak soalan penting sebelum membuat keputusan. Ramai pembeli yang tidak mengambil peduli akan perkara-perkara remeh akan terus menandatangani surat tawaran daripada pemaju dan akhirnya apabila mendapati bahawa ada perkara-perkara yang tidak memuaskan, mereka akan kehilangan wang pendahuluan. Jadi, apa yang perlu anda buat adalah untuk memastikan pemaju perumahan mempunyai rekod yang baik sama ada pemaju tersebut pernah terlibat dengan projek yang lain dan apakah perkembangan projek tersebut. Pilihlah pemaju yang tak pernah ada rekod rumah terbengkalai dan tengok rekod projek-projek sebelum ini dan ambil tahu berapa lama projek tersebut dapat disiapkan.

Kemudian, tanya mengenai tanah itu sendiri, adakah ia pegangan bebas(Freehold) atau pajakan(LeaseHold) daripada pihak berkuasa negeri.

Maksud ‘pegangan bebas’ ialah hak milik ke atas tanah itu adalah untuk selama-lamanya.
Ini berbeza daripada tanah pajakan daripada kerajaan negeri, di mana tanah tersebut hanya boleh dimiliki oleh pemilik berdaftar selama tempoh pajakan yang lazim selama 99 tahun dari tarikh penganugerahan tanah tersebut.

Kebanyakannya pembeli rumah memang suka beli yang pegangan bebas. Tetapi, terpulang juga kepada individu itu sendiri. Kebanyakannya suka pegangan bebas sebab nilainya yang lebih tinggi daripada tanah jenis pajakan. Namun , lokasi yang strategik juga memainkan peranan penting. Kalau beli pegangan bebas tetapi lokasi langsung tak strategik seperti di Bukit Beruntung, masalah juga. Apabila berkeinginan mahu jual rumah semula, aia akan mengalami kesukaran. Lokasi amat memainkan peranan sebenarnya.

Selepas itu, tanyakan sama ada, ada sebarang sekatan kepentingan ke asa hartanah yang ingin dibeli tu. Contoh sekatan kepentingan yang biasa kita dengar adalah:

a) Tanah tidak boleh dipindah milik
b) Tidak boleh dipajak, dicagar, atau digadai tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa negeri

Jadi, semak tentang perkara-perkara penting sebegini dahulu. Selepas sudah puas hati, barulah boleh buat keputusan. Tanyakan juga rekabentuk dan saiz rumah, kemudahan-kemudahan awam, pusat-pusat komersil berdekatan seperti perkhidmatan bank, pasaraya, sekolah dan sebagainya. Ini semua penting. Selain itu, ada juga pembeli yang mementingkan faktor-faktor pelaburan seperti peningkatan pelaburan awal hartanah itu dan kadar sewa yang boleh diperoleh. Walau apa pun keutamaan anda, pastikan anda juga menimbangkan faktor-faktor yang dibincangkan di atas

Selepas sudah membuat penelitian dan perbincangan, anda sudah boleh mula membuat keputusan. Selepas itu, barulah boleh bayar Deposit 10% kepada pemaju dan menandatangani Sale and Purchase Agreement (S&P). Tetapi sebelum itu, baca “Terms and Condition” terlebih dahulu sebelum anda menurunkan tandatangan. Ini penting untuk mengelakkan kita daripada masalah di kemudian hari. Ada juga sesetengan pemaju yang tawarkan pendahuluan RM 1000 sahaja, dan ada juga yang RM 500. Bergantung kepada pemaju juga. Tetapi 10% ini, adalah kaedah yang biasa digunakan sebab bank biasanyamemberikan limit 90% pembiayaan.

Selepas S&P sudah pun, bawa dokumen tersebut ke bank-bank berdekatan anda dalam tempoh 14 hari selepas tandatangan untuk proses pinjaman perumahan anda. Apabila pinjaman telah diluluskan, bank akan membayar kepada pemaju dan kemudian anda akan diberitahu oleh pemaju bila masanya anda boleh membayar deposit air dan eletrik. Opss, sebelum terlupa, anda sudah pun boleh membayar hutang rumah anda secara bulanan. Bab ini penting. Jangan lupa bayar!

Apabila rumah yang telah dibeli dah siap mengikut jadual, pastikan rekabentuk serta spesifikasi adalah sama seperti anda menandatangani S&P dahulu. Selalu isu ini ramai juga yang terlepas pandang. Bagi rumah yang lambat disiapkan, anda boleh buat tuntutan di Tribunal Pengguna. Namun, buat masa ini, tidak ada akta yang boleh melindungi pembeli akibat dari rumah terbengkalai.

Anda tetap perlu bayar kepada bank tiap-tiap bulan walaupun rumah anda tidak siap. Jadi, sekali lagi saya nak ingatkan, semak dahulu profil pemaju rumah yang hendak dibeli itu.Pastikan mereka bukan telah disenarai hitamkan dan sebagainya. Inilah sedikit sebanyak pengalaman kami dalam prosedur dan cara yang diambil sebelum beli rumah. Sekiranya anda ada info-info atau tips yang lebih menarik, tentang prosedur pembelian rumah marilah berkongsi di sini.

Wednesday, March 21, 2012

Tips dan Panduan Membeli Rumah Sebagai Pelaburan PALING Menguntungkan

By alamonline.(share)

Sebelum membeli rumah, pembeli sering mengalami perasaan tidak pasti dan banyak persoalan yang timbul antaranya mengenai lokasi yang sesuai, harga rumah, maintenance dan lain-lain lagi. Setiap rumah atau hartanah mempunyai kelebihan dan kekurangan masing- masing. Semestinya pemilihan untuk membeli rumah itu terletak pada citarasa individu itu sendiri. Selain itu, dengan membeli rumah, kita juga boleh menjadikannya sebagai suatu pelaburan yang paling menguntungkan. Menarik bukan.

Disini, ada beberapa panduan dan tips berguna bagaimana membeli rumah yang boleh membawa kepada keuntungan. Ia sangat sesuai untuk anda yang merancang dan mula berjinak dengan pelaburan hartanah. Namun ia tidak sesuai jika anda beli untuk dijadikan tempat tinggal utama.

Panduan Membeli Rumah 1: Jalan Raya

Lokasi yang stategik menjadi faktor pilihan orang ramai pencari hartanah. Ini kerana ia memberi kemudahan kepada setiap pembeli untuk bergerak kemana-mana tanpa perlu risau tentang kesesakan lalu lintas dan kesibukan kota. Terutama waktu kemuncak iaitu waktu pagi dan petang apabila semua orang berpusu-pusu untuk pergi dan balik kerja. Justeru, kawasan yang ada beberapa pilihan untuk ke semua ‘hotsport’ sangat-sangat dihargai. Saya rasa Puchong adalah contoh lokasi terbaik kerana ia ada Lebuhraya Bukit Jalil untuk ke Kuala Lumpur, Lebuhraya KL-Putrajaya untuk ke Putrajaya/ Cyberjaya, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) untuk ke Petaling Jaya, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) untuk ke Kajang & Lebuhraya Shah Alam (KESAS) untuk ke Subang Jaya/ Shah Alam. Jadi, liputan untuk Puchong luas membolehkan ramai orang duduk di situ.

Panduan Membeli Rumah 2: Kemudahan

Lokasi yang berdekatan dengan kemudahan awam seperti sekolah, pasaraya, hospital dan klinik kesihatan, balai polis, bank, bengkel kereta, stesen LRT, lapangan terbang, stesen bas, kedai-kedai makanan dan sebagainya menjadi faktor pilihan pada ramai pembeli. Disebabkan itulah nilai rumah di Bandar Utama dan Mutiara Damansara naik memuncak, disebabkan wujudnya One Utama & The Curve disana. Bergantung kepada pasaran anda, kemudahan sekolah, hospital, tadika atau pusat sukan pasti berbeza. Sekiranya anda berkemampuan dan tergolong dalam golongan yang berada semestinya International School menjadi pilihan anda. Tadika pun ‘high-class’. Tapi kalau pasaran biasa-biasa sahaja, sekolah kerajaan pun sudah memadai. Cuba cari juga sekolah agama sebab ia semakin pupus dimamah pusat membeli – belah. Lagi satu, HIJAU juga penting.

Walaupun ramai yang gemar duduk di KL, tapi saya percaya masih ada juga yang lebih mementingkan unsur-unsur kehijauan. Sebab itu taman di KLCC meriah bila hujung minggu dan selepas waktu pejabat. Anda mendapat kelebihan kalau belakang rumah anda ada taman. Lebih bonus sekiranya depan rumah itu mengadap taman, tasik atau hutan simpan. Ia memang suasana yg menakjubkan dan dapat memberi ketenangan setelah penat seharian berkerja. Dari segi kemudahan pengankutan pula, ia banyak mendorong kepada pembangunan di sesebuah kawasan itu. Pengangkutan awam yang paling popular pada masa kini seperti PUTRA, STAR atau KOMUTER. Semua orang terlalu HYPE dengan keretapi ini. Secara tidak langsung nilai hartanah sekitarnya naik tak tentu hala. Ramai pembeli mahukan rumah berdekatan dengan LRT bagi memudahkan mereka bergerak. Jangan lupa juga bas terutamanya jika anda target golongan berpendapatan rendah.

Panduan Membeli Rumah 3: Pusat komersial

Jenis-jenis perniagaan di sesuatu kawasan juga mencerminkan masyarakat atau kejiranan sesuatu kawasan. Sekiranya kedai-kedai dikawasan itu seperti tidak berapa maju, ini menunjukkan penduduk di kawasan itu penduduknya kurang berbelanja atau penduduk tergolong dalam golongan yang berpendapatan rendah. Sekiranya McD atau KFC, wujud dikawasan tersebut itu petanda jumlah population yang dah sampai ke tahap pembangunan yang memberangsangkan. Tapi kalau ada kopitiam tu maknanya kawasan tu memiliki kadar pembelian yang baik. Dan kalau ada Dome atau Starbucks, tu lebih bagus. Perumahan yang memiliki penduduk dengan daya membeli yang tinggi berpotensi untuk naik nilainya dengan kadar yang sangat cepat. Ini kerana mengaliran wang yang berlaku dikawasan tersebut sangat cepat dan pantas. Seiring dengan kemajuan dan pembangunan. Nilainya secara langsung akan meningkat.

Panduan Membeli Rumah 4: Pemaju

Percaya atau tidak, rekod kerja pemaju dalam pembinaan projek-projek hartanah menjadi kayu ukur nilai hartanah itu tinggi atau tidak pada masa hadapan. Nama-nama seperti UM Land, I&P, SP Setia dan IJM memang diakui mempunyai ‘class’ tersendiri dalam mana-mana projek perumahan. Kebiasaannya hartanah-hartanah daripada pemaju kelas A sedikit tinggi berbanding yang lain, namun mutu dan kualiti projeknya amatlah memuaskan. Hal ini tidak bermakna pemaju-pemaju yang kurang ‘terkenal’ ini tidak mampu membina rumah-rumah yang bagus. Masih lagi bagus! Cuma nama mereka kurang menyerlah. Contohnya, syarikat Sime Darby. Ia subuah syarikat yang besar dan terkenal. Pasti pembeli akan sangat teruja dan yakin yang projek ini akan menaikkan nilai kawasan itu tapi tak semua projek mereka berhasil. Ada jugak banyak projek Sime Darby di Johor yang nilainya tak naik langsung. Malah makin turun. Jadi jangan la beli rumah itu semata-mata kerana pemaju dan harapkan nilainya akan naik. Tapi masih boleh dibeli untuk dijadikan tempat tinggal atau disewakan sahaja.

Panduan Membeli Rumah 5: Elakkan kawasan terpencil

Kawasan terpencil boleh dikatakan seperti hujung kampung. Tempat-tempat hujung ni susah sikit nak ada permintaan. Boleh jugak naik, tapi perlu ambil masa yang lama sebab tidak ada pemangkin kemajuan itu. Namun keadaan boleh berubah. Contohnya seperti di Taman Tun Dr Ismail pun dahulunya hujung KL. disebabkan harganya lebih murah berbanding Bangsar waktu itu, jadi ramai jugak pekerja kerajaan yang beli rumah dikawasan tersebut dan akhirnya sekarang ia menjadi PJ golden triangle. Sesuatu yang membanggakan dan membangun. Tapi ingat, ia bukan mengambil masa yang sekejap, sekurang-kurangnya 10 tahun baru kita dapat lihat kemajuan dan pembangunan itu. Jadi kalau nak melabur dalam hartanah sebegini, anda mesti berani ambik risiko.

Kesimpulannya, hartanah adalah sumber terbesar dimana ia memberi kebaikan dalam aliran tunai anda setiap bulan. Harga hartanah berpotensi untuk naik. Ia seperti aliran wang itu gaji dan harga rumah naik itu sebuah bonus. Ia memang berbaloi sekiranya anda merancang untuk pencen awal. Setiap hari kerja kutip wang sewa sahaja selepas pencen. Ia betul-betul menguntungkan,betul tak?

Panduan Membeli Rumah 6: Kejiranan


Bila sebut Kepong, banyak orang fikir middle-low class. To get rid of that, Samling Group buat konsep perumahan style resort, penuh dengan taman untuk rekreasi, ajak Sime Darby setup private hospital & panggil operator sekolah antarabangsa. Akhirnya, itulah yang anda lihat di Desa ParkCity (DPC).

Dengan semua kemudahan yang ada, Samling mampu letak harga BERKALI-KALI GANDA berbanding kawasan perumahan terdekat. Itupun, rumah teres 2-tingkat yang dijual dengan harga RM2juta SOLD OUT dalam masa seminggu! DPC akhirnya mampu menarik pembeli middle-upper class yang mungkin tak pernah terfikir pun nak duduk Kepong sebelum tu.

Panduan Membeli Rumah 7: Jauhi Kawasan Malapetaka

Rumah di TTDI Jaya macam selalu kena banjir kilat. Nilai rumah di TTDI Jaya juga kelihatan makin susut sebab banyak kes pecah rumah dan rompak. I got friend yang beli rumah kat sana nak jual balik lepas tak sampai setahun pun duduk bila sepupu dia kena hentak kepala dengan perompak. Betul, tak semua rumah kat TTDI Jaya teruk macam tu. Tapi label tempat tu dah negatif so susah nak market. Same goes to kawasan Bukit Antarabangsa.

Tuesday, March 20, 2012

Apa Itu Harta Tanah?

Dalam hidup anda akan tiba satu ketika apabila anda menyedari bahawa anda bakal menjadi seorang jutawan, yang akan membawa anda keluar daripada beban masalah kewangan dan mengangkat anda ke mahligai kekayaan serta kebahagian. Ternyata itu semua hanyalah sebahagian daripada cerita dongeng sahaja dan ia akan terus kekal begitu. Khayalan memang indah, tetapi anda harus sedar pada waktu yang tepat dan tidak terus dibuai dengan mimpi-mimpi yang tiada kesudahannya kerana hanya anda seorang sahaja yang mampu mengubah nasib hidup anda dengan inisiatif dan usaha anda sendiri. Peluang meraih kekayaan yang begitu besar pasti ditangan anda sekiranya anda mengetaui bagaimana caranya dan beriltizam untuk mencapainya.

Terdapat pelbagai cara untuk menjadi kaya tetapi disini saya ingin berkongsi jalan sebenar yang bakal anda perolehi tanpa mengira umur dan peringkat hidup anda. Yang penting adalah keinginan yang membara, kepercayaan dan kebolehan. Apa yang saya maksudkan disini ialah satu bidang pelaburan yang amat menarik iaitu pelaburan harta tanah. Pelabur biasa pun boleh memperolehi keuntungan daripadanya. Ia bukanlah sesuatu yang mustahil dan pasti mengejutkan sebahagian besar tanggapan masyarakat kita tentang pelaburan hartanah.

PELABURAN HARTA TANAH

Harta tanah ditafsirkan sebagai tempat dimana anda meletakkan sejumlah wang bagi tujuan menjamin pemilikan dan kemudian mengaut keuntungan pendapatan yang berterusan daripada para penyewa atau membuat keuntungan dengan cepat iaitu jualan semula. Dengan perbelanjaan modal yang minimum dan pembiayaan dari bank, anda dapat memperolehi keuntungan segera keatas nilai penuh hartanah. Lebih banyak harta tanah yang anda miliki, lebih kayalah anda. Harta tanah merupakan satu bentuk pelaburan yang mengagumkan. Ia mampu menjana wang dan pendapatan yang berterusan. Anda mampu menjana wang tanpa mengira berapa banyak jumlah permulaan pelaburan anda. Orang golongan pertengahan yang menjadi pelabur, dengan segera telah mendapat status jutawan dengan membuat pilihan pelaburan yang bijak berdasarkan maklumat dan pemilihan yang tepat. Dalam keadaan ekonomi yang kukuh, ramai pelabur-pelabur yang akan mengambil kesempatan daripada nilai harta tanah yang meningkat bagi menjana kewangan mereka. Pelabur akan menjual milikan mereka pada harga belian yang lebih rendah.

Apabila keadaan ekonomi meleset, pelabur-pelabur boleh membeli harta tanah dibawah nilai pasaran daripada pemilik-pemilik yang gawat. Kemudian pelabur akan membuat keuntungan segera apabila harga naik kembali melalui jualan semula. Semasa ekonomi meleset, ramai yang terdesak untuk menyewa sahaja daripada membeli kerana kadar faedah yang tinggi. Oleh itu pelabur-pelabur akan menikmati hasil sewaan yang stabil daripada pelaburan harta tanah mereka. Tidak kira ekonomi baik atau tidak pada masa itu, pelabur pasti akan memperolehi pulangan yang setimpal ke atas harta tanah mereka. Peluang pelaburan hartanah sememangnya sesuatu yang menarik dan tidak akan putus-putus peluangnya disekeliling kita. Hakikatnya anda mampu menjana wang daripada bidang ini, ia bukanlah satu rahsia lagi. Tetapi, terdapat beberapa persoalan yang bermain di minda saya. Kenapa hanya peratusan yang kecil sahaja masyarakat kita yang bergiat aktif dalam bidang pelaburan harta tanah?. Sedangkan ramai yang berminat dan sudah menyedari tentang kekayaan yang diperolehi hasil harta tanah.

FAKTOR YANG MENGHALANG PELABURAN HARTA TANAH DILAKUKAN SECARA SERIUS

Ramai peserta yang hadir seminar atau ceramah hartanah tetapi hanya segelintir sahaja yang mengaplikasikan apa yang dipelajarinya semasa seminar dan bergiat aktif dalam pelaburan harta tanah. Sebahagiannya hanya membeli satu hartanah dan berhenti setakat itu sahaja. Disini saya ingin memberi contoh betapa untungnya anda sekiranya anda menceburi bidang hartanah ini. Jika anda membeli 4 apartmant, yang mana 3 daripadanya dikawasan yang sama bernilai antara RM 80,000 hingga RM 120,000 setiap satu dalam tempoh 2 tahun. Anda mendapat margin pinjaman antara 85% hingga 90% harga belian setiap apartment. Apabila anda mandapat kunci menduduki apartment, anda terus menyewakan apartment tersebut kepada penyewa. Hasil pungutan sewa, anda mampu membayar ansuran bank semula. Dalam tempoh 15 tahun lagi, anda bakal digelar jutawan. Pernahkah anda membayangkn ini semua?. Ia semestinya satu keadaan yang ironik.

Terdapat banyak faktor yang menghalang orang ramai daripada membuat pelaburan harta tanah secara serius. Secara amnya, alasan utama ialah tiada tindakan diambil. Ini karana sikap skeptis dalam bidang pelaburan. Apabila anda tiada pemahaman yang mendalam dalam bidang harta tanah, secara langsung anda tidak akan mempunyai keyakinan yang tinggi dan tidak percaya ia mampu menjana wang anda. Memang diakui proses pembelian hartanah yang merumitkan dan mengelirukan mampu membuatkan anda tawar hati selepas pembelian pertama dan kedua. Faktor yang lain ialah kesukaran untuk mendapatkan pinjaman, dana yang tidak mencukupi untuk membayar deposit dan masa yang tidak mencukupi untuk memberi komitmen dalam bidang pelaburan harta tanah ini.

MENDALAMI ILMU PELABURAN HARTA TANAH

Tindakan yang tidak mencukupi, pada dasarnya akan timbul daripada rasa takut dengan kekalutan dan takut untuk mengambil risiko dalam transaksi hartanah. Kesemua ketakutan ini dapat diatasi dengan mudah sekiranya anda memahami bagaimana pelaburan harta tanah dilakukan dan apakah fungsinya. Biasanya, anda akan mendengar tentang risiko pelaburan dan proses yang rumit serta berpanjangan dalam proses permindahan milik hartanah. Anda juga takut kerana anda meletakkan jumlah nominal sebagai deposit tetapi dalam waktu yang sama anda dibebani dengan pinjaman dan faedah yang tinggi untuk bayaran balik. Anda mungkin akan kehilangan deposit sekiranya urusan anda tidak berjaya. Kemungkinan anda biasa mendengar pelabur yang kehilangan wang mereka akibat transaksi berunsur penipuan. Berita seperti ini turut mendorong dan menghalang anda dari terus memperolehi hartanah pelaburan pertama atau menceburi bidang pelaburan hartanah seperti sepatutnya. Isu utama yang saya ingin kemukakan ialah :

1. Bagaimana anda menangani sikap ragu-ragu dan memperoleh kepercayaan dalam bidang pelaburan.

2. Setelah anda memulakan langkah pertama dalam bidang pelaburan, bagaimana anda dapat memastikan bahawa anda akan benar-banar berjaya dalam pelaburan harta tanah.

Anda perlu melengkapkan diri terlebih dahulu dengan ilmu pengetahuan dan pemahaman yang pendalam tentang pelaburan sebelum anda menceburi bidang harta tanah secara serius. Ia dapat memberikan anda asas dan halatuju anda dalam menentukan tahap kejayaan anda. Sejauh mana anda akan berjaya dan pergi dalam bidang ini bergantung kepada input dan tahap komitmen anda. Bidang pelaburan memerlukan komitmen yang tinggi dari anda kerana ia sejenis bidang pelaburan yang mendatangkan kepuasan. Anda patut mempelajari prinsip-prinsip asas yang membentuk asas untuk melabur.

Anda akan mengetahui apa perkara yang perlu dijangkakan dalam bidang pelaburan sekiranya anda mempunyai pengetahuan tentang prosedur-prosedur asas yang terlibat dalam pembelian hartanah dan bagaimana membolehkan ia dipindahkan kepada anda serta proses-proses berkaitan penjualan hartanah atau sewaan. Anda akan lebih bersedia dalam menangani masalah yang timbul dan dapat membuat keputusan dengan betul sekiranya anda mengetahui mekanisme tentang cara pelaburan yang anda pilih.

Dengan mengatahui apakah yang anda laburkan, anda sudah berjaya menangani faktor risiko. Risiko sering kali datang sekiranya anda tidak mengatahui apakah yang anda sedang laburkan. Pelabur akan mengalami masalah dalam belian mereka sekiranya mereka tidak mengetahui apa yang mereka ceburi apabila membeli hartanah. Justeru itu, salah satu daripada peraturan sejagat dalam apa jua jenis pelaburan adalah tidak memberikan wang titik peluh anda untuk perkara yang anda tidak faham.

Walaupun bunyinya agak klise, tetapi masalah sering timbul ketika kita menuju kejayaan dan kekayaan. Anda akan memperolehi pengalaman yang sangat tinggi nilainya sekiranya anda berjaya menyelesaikan masalah halangan sementara. Dengan pengalaman yang anda ada, ditambah pula dengan pengetahuan anda, maka anda akhirnya akan memperolehi keyakinan dan kepercayaan dalam bidang yang anda pilih.

PERKARA YANG PERLU ANDA SEDARI SEBELUM MELABUR

Di Malaysia, mempunyai undang-undang statutory yang tetap berhubung pemilikan dan prosedur-prosedur pindah hak di negara ini dan ianya seakan seragam. Sekiranya anda membeli hartanah disebabkan kawasannya sahaja dan sifat-sifat fizikal, anda sememangnya menarik beberapa risiko. Kebiasaannya, aspek-aspek perundangan akan dikawal oleh firma guaman yang dilantik oleh pembeli. Terdapat beberapa fakor utama yang patut bakal pembeli siasat terlebih dahulu sebelum berjumpa peguam atau menyempurnakan borang belian daripada ejen harta tanah dan membayar deposit dua peratus wang cengkeram.

Proses pindah milik hartanah kepada pembeli hampir sama tetapi harus diingat bahawa hartanah yang berbeza mempunyai liabiliti yang berbeza dan keadaan yang unik. Sebagai pembeli anda patut membuat penyelidikan dan kajian tentang hartanah yang ingin dibeli bagi membantu anda membuat keputusan yang tepat. Dengan dana yang terhad dan terbatas, kita sebagai pelabur perlu memastikan setiap hartanah yang dibeli ditukar menjadi pelaburan yang paling menguntungkan. Anda pasti dapat menjangkakan apakah yang akan berlaku setelah perjanjian jual beli disempunakan, sekiranya anda mengetahui tentang status hartanah yang anda ingin beli dan anda juga telah dapat membiasakan diri dengan proses asas pindahan hak. Ditambah pula dengan semua faktor-faktor yang dapat mengurangkan risiko dalam pelaburan.

Antara faktor yang perlu diputuskan sebelum urus niaga diteruskan ialah hak milik hartanah anda, termasuk kategori kegunaan tanah, atas hak milik, jumlah tertunggak yang masih perlu dibayar kepada pihak pelbagai pihak seperti pemaju dan pembiaya penjual. Setelah anda berpuas hati dengan fizikal hartanah, anda perlu melihat hak milik hartanah dan status penjual. Perkara tersebut boleh dijadikan faktor dalam perundingan dengan penjual bagi tujuan dapat mempengaruhi dari segi harga belian atau syarat-syarat pembayaran atau sekurang-kurangnya dapat melindungi kepentingan anda seagai pembeli.

MENJANA WANG

Setelah anda membiasakan diri dengan prosedur dan proses pelaburan harta tanah, apakah yang perlu ada bagi membentuk palaburan ini. Bagaimanakah anda boleh menjana wang daripada pelaburan harta tanah?

Saya bukan bercakap tentang pelaburan harta tanah yang professional yang dapat menjana wang RM100,000 dengan membeli dan menjual hanya 1 hartanah dalam 10 atau 20 tahun. Disini misi kita adalah pembelian hartanah secara konsisten bagi tujuan menjual untuk mendapatkan keuntungan atau menyewa untuk pendapatan yang berterusan dari sewa yang kita perolehi dan untuk menambah ekuti. Tujuan utama kta adalah untuk menjadikan pelaburan harta tanah anda berjalan berterusan untuk anda memperolehi kenaikan modal dan hasil sewa yang stabil dan juga memaksimumkan pulangan pelaburan anda.

Dalam harta tanah, anda perlu ada perancangan dan strategi pelaburan yang selesa. Anda boleh memilih cara pelaburan yang konservatif dengan membeli apartment dalam lingkungan RM80,000 hingga RM150,000 dan menyewakannya untuk mendapatkan sewa. Atau anda boleh melabur dalam hartanah yang mahal bagi mendapatkan hasil sewa yang lebih tinggi. Tempat-tempat yang popular dianggap kawasan yang baik untuk pelaburan jika anda ingin menyewakan memandangkan tempat-tempat seperti itu mempunyai sewa yang lebih tinggi, contohnya seperti pusat bandar.

Secara alternatif, anda juga boleh memilih untuk memiliki hartanah komersial seperti lot kedai atau unit pejabat. Hartanah seperti ini biasanya memiliki masalah dalam penyelenggaraan disebabkan kebanyakan penyewa akan membaiki sendiri sekirannya terdapat kerosakan atau masalah dengan segera tanpa campur tangan dari tuan rumah. Ini kerana penyewa tidak mahu masalah itu mengganggu perniagaan mereka. Anda juga boleh cari hartanah yang dilelong. Anda mungkin dapat mencari tawaran yang baik dalam jualan lelong dimana hartanah yang dilelongkan ialah dibawah nilai harga pasaran semasa. Hartanah seperti ini hanya perlu dikemaskan sedikit sebelum diletakkan dipasaran semula untuk dijual atau disewa. Anda tidak perlu membataskan diri anda dengan hanya satu jenis hartanah sahaja. Anda mungkin dapat mempelbagaikan pelaburan anda.

REALITI

Jika anda memulakan mekanisme pelaburan anda pada umur yang agak muda,risiko anda lebih tinggi dan anda mungkin akan dibenarkan untuk melanjutkan tempoh pinjaman anda kepada tempoh maksimum. Lebih lama tempoh anda, lebih kuranglah ansuran bulanan yang perlu anda bayar. Akhirnya anda mampu membeli lebih banyak hartanah. Sebaliknya jika anda memulakan pada umur yang lewat atau tua, anda mungkin mempunyai wang yang banyak untuk melabur tetapi kebimbangan utama anda adalah untuk melindungi kekayaan dan memberi penekanan dalam pemeliharaan modal.

Apapun umur anda, anda perlu kosisten dan cuba untuk memperolehi sekurang-kurangnya satu hartanah setiap dua tahun. Kemudian hartanah tersebut disewakan atau dijual sekiranya mendapat tawaran yang baik untuk mendapatkan keuntungan dan mempertingkatkan lagi untuk hartanah lain. Pelaburan harta tanah menghendaki kesabaran tetapi ganjarannya memang memuaskan. Setelah anda melabur sejumlah wang sebagai bayaran pendahuluan untuk sebuah rumah, anda akan memperolehi dua keuntungan iaitu yang pertama terdapat kenaikan modal dan anda juga memperoleh pendapatan sewa yang akan mengurangkan bayaran balik bulanan gadai janji anda. Anda juga turut menambah ekuiti dan pelaburan anda menjadi lindung nlai untuk mencecah inflasi.

Pelaburan yang daaing dari harta tanah adalah sangat pasif, yang bermaksud ianya pendapatan yang diterima tanpa sebarang usaha daripada anda. Anda tidak perlu bekerja untuk mendapatkannya. Jadi bermulah dengan perlahan-lahan dan secara kosisten binalah portfolio hartanah anda. Untuk mencapai satu juta pertama memang terlalu sukar, sekiranya anda sudah memperolehi satu juta pertama anda, nilai juta kedua pasti dalam genggaman anda.

Jika anda membeli hartanah bernilai RM200,000 setiap dua tahun secara kosisten, dalam masa 10 tahun anda bakal mencapai status jutawan di mana anda memegang kepentingan dalam hartanah bernilai RM1,000,000. Hartanah tersebut terus bekerja untuk anda setiap bulan dalam bentuk pendapatan sewa yang anda perolehi setiap bulan. Apabila anda menjualkannya, anda akan mendapat nilai bersih hartanah tersebut.

Persoalan dalan harta tanah bukannya sama ada anda boleh kaya tetapi lebih kepada berapa kaya anda ingin jadi dan bersediakah anda menghadapinya. Bermimpi dan menyimpan impian memang senang. Namun, untuk hidup dalam mimpi anda perlu bekerja untuk mencapai mimpi tersebut. Bukan sekadar mimpi sahaja. Jadi, sebenarnya berapa kaya anda ingin jadi dan apakah anda bersedia untuknya? Tepuk dada tanya hati, apakah yang anda inginkan dalam hidup sebenarnya. Semua jawapan di tangan anda dan anda lah yang menentukan segalanya.

SUMBER RUJUKAN : AKADEMI JUTAWAN HARTANAH UNTUK PELABUR BARU
PENGARANG : WENDY KOH (LL.B (HONS)

Friday, March 2, 2012

13 perkara yang anda perlu tahu semasa melawat hartanah sasaran

Semasa mencari hartanah yang sesuai pasti anda tertanya-tanya apakah tawaran harga ini berbaloi dengan keadaan fizikal hartanah? Bagaimana melawat hartanah dengan cara yang betul?

Disini saya sediakan beberapa langkah yang perlu anda tahu semasa melawat hartanah nanti;

1. Taman depan dan belakang

Bagaimana keadaan dinding taman?
Adakah ia perlu kerja pembaikan ?
Adakah banyak sampah di belakang?
Apakah anda perlu landskap di taman?

2. Kawasan luar rumah

Adakah anda dapat melihat keretakan serius pada batu bata ?
Apakah ada keretakan di sekitar pintu dan tingkap?
Apakah ada keretakan berhampiran dengan tanah?
Adakah dinding kelihatan lurus?

3. Diding didalam dan luar rumah

Adakah terlihat dinding yang retak atau kawasan yang rosak dari kerja plaster?
Apakah ada keretakan di sekitar pintu dan tingkap?
Apakah ada keretakan berhampiran dengan tanah?
Bagaimana keadaan fizikal dinding?
Apakah ada tanda-tanda basah?
Adakah dinding kelihatan lurus?

4. Tingkap dan pintu

Material apakah tetingkap itu dibina?
Material apakah pintu itu dibina?
Adakah material tersebut mempunyai kualiti jenama dan pengiktirafan ISO ?
Bagaimana keadaan dari rangka dan kaca-kaca tingkap adakah ia masih didalam keadaan baik?

5. Bumbung

Apakah Kondisi bumbung rumah tersebut?
Adakah ia mempunyai karat didalam siling yang menunjukkan kebocoran?
Apakah kondisi siling rumah itu, adakah anda berpuas hati dengannya?
Bolehkah anda mengakses ke ruang loteng untuk mencari ruang bocor (cahaya matahari) melalui bumbung?
Apakah perlu pembaikan dari masalah diatas?

6. Lantai

Lantai rumah ini diperbuat dari apa?
Apakah ada kerosakan dari lantai?
Berapakah jubin yang pecah?
Berapakah jubin yang retak?
Adakah anda mahu membaik pulih lantai ini atau menukarnya?

7. Pendawaian Elektrik

Berapakah usia alatan elektrik disini?
Apakah ada sijil-sijil pengiktirafan pada setiap alatan elektrik disini?
Bagaimanakah keadaan kabel elektrik, lampu dan soket?
Adakah papan litar perlu digantikan?
Adakah rumah ini mempunyai Pendawaian 1 fasa – Untuk voltan rendah atau pendawaian 3 fasa – untuk voltan rendah hingga 60A

8. Paip Gas (Jika Ada)

Apakah kondisi paip gas ?
Adakah penggunaan paip gas tersebut mempunyai sijil-sijil keselamatan?

9. Bilik mandi

Bagaimana keadaan bilik mandi?
Bagaimana keadaan paip saluran air?
Apakah ada kebocoran air?

10. Dapur

Bagaimana keadaan dapur?
Adakah unit dapur ini memerlukan pembaikan atau penggantian?
Adakah posisi kabinet dapur sesuai dengan keselesaan anda?

11. Penghawa Dingin

Bagaimana keadaan penghawa dingin?
Telah berapa lama penghawa dingin ini digunakan?
Adakah apa-apa kerosakan ?
Adakah penghawa dingin ini memerlukan penyelenggaraan?

12. Pembentungan & perparitan


Bagaimana keadaan saluran sisa air?

13. Secara umum

Adakah rumah ini memerlukan anda melakukan pemodenan?
Adakah rumah ini perlu lukisan atau kertas dinding?
Adakah rumah ini perlu seri lantai baru seperti karpet atau lantai laminasi?
Apakah susun atur rumah ini sesuai dengan anda dan keluarga anda ?
Adakah ada beberapa pengubahsuaian diperlukan ?
Adakah dinding dalaman perlu di robohkan atau perlu dibahagikan dan bina dinding-dinding tertentu?

(Share)http://www.drumah.com/

Friday, January 13, 2012

Bukan mudah untuk jadi jutawan

Sinar Harian:

ABDUL JALIL ALI
January 12, 2012
Dulu, kini dan selamanya, saya tidak pernah percaya ada cara mudah untuk buat duit dan jadi kaya sekelip mata. Sejarah telah membuktikan duit yang diperoleh secara mudah lebih banyak mendatangkan mudarat.

Tentu semua masih ingat mengenai skim cepat kaya satu ketika dulu. Simpan RM1,000 boleh dapat RM5,000 dalam masa tiga bulan! Ramai orang kita – termasuk pegawai dan kakitangan awam – ghairah hendak jadi jutawan segera, masing-masing melabur dalam berbagai skim jenis ini. Antara yang paling popular skim Labu Peram.

Walaupun telah diingatkan oleh pihak berkuasa, ramai yang keluarkan semua simpanan dalam bank untuk melabur dalam skim haram ini. Ada yang jual tanah dan cagar rumah pinjam bank untuk melabur.

Memang ada seorang dua yang berjaya jadi kaya sekelip mata. Tetapi lebih ramai yang menjadi papa kedana. Jual rumah, jual tanah, jual emas untuk melabur, tiba-tiba RM juta-juta yang dilabur semuanya lebur. Maka ramailah yang tinggal sehelai sepinggang. Malah, ada yang hanya tinggal seluar dalam dan bercakap seorang diri sambil marah-marah pada tiang elektrik dan lampu isyarat.

Tetapi, orang kita tidak pernah belajar dari sejarah. Pasca Labu Peram memperlihatkan sekian banyak penipuan dilakukan untuk mengabui mata dan hati mereka yang tamak dan hendak cepat jadi jutawan. Ramai yang sudah terkena, tetapi masih ramai juga yang ingin mencuba.

Paling popular ialah skim gores dan menang atau ‘G&M’. Beli barang RM10, boleh gores kertas dan akan dapat kereta, banglo, pakej percutian, wang tunai RM ribu-ribu. Ada juga sindiket duit hitam @ ‘black money’ yang konon boleh menjadikan seseorang kaya sekelip mata. Semua telah terbukti auta, tetapi masih ramai yang tidak serik.

Akhir-akhir ini ada satu lagi cara buat duit dengan mudah, iaitu jadi keldai dadah. Kalau sekali berjaya, terus jadi jutawan. Ada sindiket dadah antarabangsa yang memujuk dan memikat anak gadis kita untuk menjadi keldai. Banyak gadis kita telah terperangkap.

Menurut Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Datuk M Govinden, ibu bapa kena mengawasi anak gadis mereka sebab perangkaan menunjukkan semakin ramai gadis pada usia 19 dan 20 tahun dikeldaikan oleh sindiket tidak berhati perut ini.

Setakat Jun tahun lalu, 17 wanita tempatan telah ditahan di China, kerana menyeludup dadah. Itu tidak termasuk yang ditahan di negara-negara lain atas kesalahan sama. Mereka terpesona dengan tawaran sindiket yang antaranya membeli beg tangan berjenama mahal dan wang.

Kata orang, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah. Kalau tupai yang pandai pun boleh kecundang, inikan pula keldai yang memang terkenal bodoh! Pendek kata, jangan jadi keldai dadah.

Seperti yang dibuktikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ada satu lagi cara mudah menjadi jutawan, tetapi akhirnya menerima nasib keldai. Agensi tersebut baru-baru ini menyerbu rumah seorang pegawai kanan Jabatan Perhutanan Perak dan menemukan RM720,000 tunai.

Kesemua wang tunai tersebut disembunyikan di beberapa sudut rumah itu termasuk di bahagian dapur dan ruang tamu. Malah, ada wang yang disembunyikan dalam lipatan kain telekung. Pakaian untuk beribadat pun digunakan untuk membungkus duit haram!

Selain wang tunai lebih RM tiga suku juta, pegawai SPRM juga menemui beberapa akaun saham amanah atas nama ahli keluarga pegawai hutan berkenaan yang nilai pelaburannya mencecah RM4 juta.

Demikianlah bagi sesetengah orang mudah sangat mendapat duit RM juta-juta. Tetapi, akhirnya tupai dan keldai kecundang juga. Pendek kata, apa-apa yang mudah tetapi salah, pasti membawa padah. Kalau betul RM720,000 dan RM4 juta itu hasil rasuah, kerjakan dia hingga ke akar umbi.

Di Johor Bahru, keinginan untuk cepat kaya bertukar menjadi kecewa. Selama kira-kira seminggu kawasan lapang di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee diserbu orang ramai untuk mencari emas.

Tidak pasal-pasal orang menemui ketul-ketul batu bersalut emas, maka beratus orang berkampung di situ, tidak henti-henti mendulang emas dari pagi hingga lewat malam, malah ada yang mengorek hingga ke subuh.

Baru kelmarin terbukti apa yang ditemui di Jalan Mewah bukanlah galian mewah. Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Johor, Shahar Effendi mengesahkan apa yang disangka emas itu sebenarnya mineral besi sulfid (iron pyrite) yang juga dikenali sebagai fool’s gold. Pendek kata, bukan mudah hendak jadi kaya.

Wednesday, November 23, 2011

Perketat pembiayaan langkah kawal hutang

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Pengenalan Garis Panduan Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat sebagai langkah awal terbaik untuk mengawal peningkatan hutang isi rumah pada tahun hadapan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Wahid Omar berkata, peraturan yang lebih ketat akan mengurangkan jumlah pembiayaan tahun hadapan, namun ia bukan isu besar.

“Perkara yang perlu dilihat di sini adalah bagaimana mengekang peningkatan hutang isi rumah agar tidak mencapai tahap kritikal.

“Peraturan baharu ini menjangkaui keadaan semasa dan merupakan persediaan awal terbaik untuk berdepan dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu tahun hadapan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Maybank Islamic Bhd. berjumlah RM9.02 juta di sini hari ini.

Wahid berkata, perbandingan hutang isi rumah negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sudah mencecah 77 peratus ketika ini, namun ada pihak mengatakan jumlah tersebut normal dan ada pula sebaliknya.

Katanya, jika dibandingkan dengan rantau lain, jumlah tersebut agak tinggi namun tidak setinggi di Australia di mana perbandingan hutang isi rumah dengan KDNK melebihi 100 peratus.

“Kita tidak mahu keadaan di Malaysia seperti itu, maka langkah awal BNM untuk mengawalnya adalah tepat,’’ katanya.

Ditanya adakah Maybank akan terjejas dengan peraturan baharu tersebut, Wahid berkata, terjejas atau tidak bukan soalnya tetapi bagaimana kita mengawal ekonomi negara dengan baik.

* Utusan Malaysia

Sunday, November 20, 2011

Syarat ketat elak lebih ramai muflis

Oleh Rohaniza Idris, Suzalinda Halid dan Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bharian.com.my
2011/11/20
Didik golongan muda hemah berbelanja ikut kemampuan

KUALA LUMPUR: Penilaian lebih ketat terhadap permohonan pembiayaan oleh institusi kewangan tempatan seperti diumumkan Bank Negara kelmarin, mampu menyekat lebih ramai golongan muda diisytihar muflis selain menggalakkan orang ramai berbelanja secara berhemah. Kalangan penganalisis ekonomi berpendapat, langkah itu ibarat pelindung golongan muda khususnya yang tidak mampu membayar balik pinjaman kenderaan serta kad kredit. Kini ramai mendapat pembiayaan walaupun hakikatnya mereka tidak mempunyai aliran tunai banyak atau lebihan kewangan bagi membayar balik pinjaman. - Dr Barjoyai Bardai, Profesor Perakaunan dan Keusahawanan, Sekolah Siswazah Perniagaan, UNIRAZAK Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Dr Mahani Zainal Abidin, berkata ketika ini, dilaporkan banyak golongan muda diisytihar muflis kerana gagal membuat pembayaran balik pinjaman serta menanggung kadar faedah yang tinggi.

Katanya, dengan adanya syarat lebih ketat termasuk mengambil kira pendapatan bersih peminjam, maka risiko lebih ramai ‘bankrap’ akibat tidak mampu membayar balik pembiayaan dapat dikurangkan.

“Saya tidak nampak usaha terbaru ini cuba menyekat lebih ramai membeli rumah dan kenderaan, sebaliknya mendidik rakyat berbelanja secara hemah mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

“Kerajaan perlu membantu rakyat dengan menyediakan lebih banyak ruang untuk orang ramai memiliki rumah serta tingkatkan pengangkutan awam,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Bank Negara bahawa institusi kewangan kini perlu mengambil kira pendapatan bersih, iaitu selepas ditolak potongan wajib seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, potongan cukai berjadual (PCB), selain menetapkan supaya institusi itu memberikan maklumat terperinci mengenai produk pembiayaan dimohon.

Profesor Perakaunan dan Keusahawanan, Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof Dr Barjoyai Bardai pula mengalu-alukan garis panduan baru yang mengelak pengguna ‘terjerat’ dalam tawaran pembiayaan institusi kewangan yang membebankan pengguna.

Katanya, kini ramai mendapat pembiayaan walaupun hakikatnya mereka tidak mempunyai aliran tunai banyak atau lebihan kewangan bagi membayar balik pinjaman.

“Keadaan itu bukan hanya ‘menjerat’ peminjam kerana terpaksa membayar faedah yang tinggi jika lewat membuat bayaran balik malah menyekat pengguna berbelanja mengikut kemampuan. Dengan adanya syarat lebih ketat ini, maka pengguna diajar menilai kemampuan diri sebelum berbelanja atau membuat pinjaman.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata garis panduan berkenaan juga mampu mengelakkan lebih ramai pengguna di negara ini berdepan risiko diisytihar muflis akibat tidak mampu membayar pinjaman.