Tuesday, July 12, 2011

35 juta penduduk tahun 2020

KUALA LUMPUR - Populasi Malaysia dijangka mencecah 35 juta orang menjelang tahun 2020, jika mengambil kira trend keluarga nukleus generasi kini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Kita tidak menetapkan sebarang sasaran. Namun, berdasarkan kadar dan trend pada masa ini, yang menyaksikan unit keluarga lebih kecil (berbanding generasi sebelumnya), kita sepatutnya mencecah jumlah 35 juta orang menjelang 2020,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kependudukan Antara­bangsa 2011 di sini semalam.

Populasi Malaysia kini seramai 27 juta orang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata ketika ini, sebanyak 9.9 peratus daripada populasi Malaysia berusia 60 tahun ke atas, dan jumlah ini akan meningkat kepada 15 peratus menjelang 2030.

Shahrizat berkata, sebagai persediaan awal bagi berdepan situasi ‘negara menua’, kementerian akan mengemukakan kertas cadangan berhubung perkara itu dalam tempoh sebulan kepada Kabinet.

“Kita hendak membuat perancangan strategik bagaimana kita boleh menggunakan warga emas sebagai sumber kepada pembangunan negara. Mereka patut dilihat sebagai sumber, dan bukan beban,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Shahrizat berkata bagi menangani keperluan warga emas yang semakin meningkat, kerajaan meluluskan Dasar Warga Tua dan Pelan Tindakan berkaitan pada Januari lepas.

Beliau berkata, antara lain, pelan tindakan itu menyebut negara memerlukan 700 pakar geriatrik menjelang 2020. Ketika ini, terdapat hanya 21 pakar geriatrik di negara ini.

“Sebagai kerajaan bertanggungjawab, kita juga kini sedang meneliti opsyen program keselamatan sosial lebih komprehensif bagi golongan tua dan mereka yang menderita akibat pengangguran, penyakit serta ketidakupayaan," katanya. - Bernama