Wednesday, July 3, 2013

Not RM1, RM5 mesra alam

Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM), bercadang untuk mengurangkan pengeluaran wang kertas RM1 dan RM5 secara berperingkat bermula tahun ini sekali gus mempertingkatkan penggunaan wang kertas menggunakan substrat polimer bagi ketahanan lebih lama.
Penolong Gabenor BNM, Norzila Abdul Aziz berkata, BNM akan mengeluarkan wang polimer yang sesuai untuk edaran semula dalam denominasi RM1 dan RM5 sempena musim perayaan akan datang untuk menggalakkan pemuliharaan alam sekitar.

Beliau berkata, wang polimer dapat bertahan dua hingga tiga kali lebih lama berbanding wang kertas biasa dan penggunaannya terbukti berkesan kerana meningkatkan ketahanan wang kertas serta mengurangkan pembaziran.
“Setiap tahun BNM mengeluarkan kira-kira 750 juta keping wang denominasi RM1 dan RM5 bagi memenuhi permintaan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina. Bagaimanapun, lebih kurang 70 peratus daripada wang dikeluarkan tidak diperlukan untuk urus niaga pembayaran biasa.

“Sebaliknya, wang terbabit dipulangkan sebagai deposit sejurus selepas musim perayaan dan menyebabkan lebihan pengumpulan wang denominasi RM1 dan RM5 di BNM,” katanya selepas merasmikan Kempen Amalan Hijau Penggunaan Wang Polimer di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kettha), Datuk Nor’ Aini Abdul Wahab.
FotoNOR’ Aini (kiri) dan Norzila (kanan) merasmikan Kempen Amalan Hijau Penggunaan Wang Polimer di Kuala Lumpur, semalam.
Norliza berkata, setiap musim perayaan, BNM akan mengeluarkan wang kertas baru untuk memenuhi permintaan orang ramai yang majoriti mengamalkan budaya memberi duit raya dengan wang kertas baru.

Menurutnya, cetakan tambahan 500 juta keping wang untuk memenuhi permintaan perayaan adalah satu pembaziran sumber kerana ia menggunakan lebih daripada 80 tan dakwat dan dua juta kWh elektrik yang cukup bagi kegunaan 7,500 rumah di Malaysia serta menyalakan 48,000 biji mentol selama sebulan.
“Kami menyeru orang ramai untuk menyokong usaha ini dengan semangat mengurangkan pembaziran serta menggalakkan penggunaan wang kertas dan polimer yang sesuai untuk edaran semula,” katanya.

BNM akan mengitar semula 30 peratus wang kertas RM1 manakala 60 peratus bagi wang kertas RM5 dan selebihnya adalah bagi pengeluaran wang baru.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03-Metro