MASUK hari kedua 2014 saya masih membayar tol pada kadar lama. Dari rumah di Bandar Sunway ke pejabat Shah Alam terpaksa melewati tol Batu Tiga @ RM1.10. Senyuman dan tahi lalat gadis tol pun masih manis seperti sepanjang 2013.

Belum juga terasa kesan kenaikan tarif elektrik. Menurut kerajaan penyelarasan tarif TNB sebanyak 14.89 peratus di Semenanjung, tidak akan memberi kesan kepada rakyat, sebab kadar baharu itu hanya dikenakan ke atas industri dan syarikat. Apakah betul begitu?

Ada orang bertanya apa azam saya untuk tahun ini? Saya tidak perlu membuat azam baharu, sebab banyak azam tahun-tahun dulu pun belum terlaksana. Tetapi ada beberapa impian yang saya harap akan menjadi kenyataan sepanjang 12 bulan akan datang.

Pertama, kerajaan mesti tegas mengotakan apa yang selalu dikata, terutama ke atas peniaga yang menaikkan harga ikut suka hati. Selama ini selalu sangat kita mendengar kata-kata klise: “Kerajaan akan bertindak tegas sekiranya ada mana-mana pihak menaikkan harga barang!”

Tetapi selalunya tidak seperti dikata. Seperti yang kerap kita alami, setiap kali harga bahan api naik ramai peniaga turut menaikkan harga barang. Makanan dan minuman yang tidak ada kena mengena dengan petrol pun turut naik. Pengguna selalu berasa kerajaan macam tidak berbuat apa-apa, terlalu lembap.

Contoh, beberapa hari lalu ibu bapa yang membeli keperluan persekolahan anak-anak dikejutkan dengan kenaikan mendadak alat tulis. Tanpa sebarang amaran, buku latihan, pensel, pembaris, kertas melukis dan lain-lain dijual pada harga jauh lebih tinggi. Alasan penjual ialah kos meningkat.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, ibu bapa hendaklah membuat laporan sebelum tindakan boleh diambil. Sudah jelas harga naik, apa lagi hendak tunggu laporan? Sepatutnya sebaik keluhan diluahkan dalam media, kementerian terus kerahkan pegawai penguat kuasa menyerbu kedai berkenaan. Kerajaan perlu dilihat selalu lebih mesra pengguna, bukan asyik-asyik mesra peniaga.

Kedua, orang politik – tidak kira dari parti mana – jangan suka sangat buat kelakar. Cukup-cukuplah bersandiwara. Contoh, selalu terjadi apabila satu parti berasa dimalukan oleh parti lain, pihak yang diaibkan akan meminta parti lawan itu memohon maaf.

Berhari-hari kedua parti bertelagah dalam media.

Kemudian, ada kata dua daripada pihak yang diaibkan: “Kalau tiada permohonan maaf secara terbuka kami akan mengambil tindakan undang-undang.” Peliknya, apabila pihak lawan membuat kenyataan mohon maaf, pihak yang satu lagi akan berkata: “Permohonan maaf itu tidak ikhlas!”

Satu lagi contoh, apabila ada cadangan untuk bermuzakarah antara dua parti, pada peringkat awal semua nampak okey. Kemudian ada macam-macam syarat, macam-macam ‘songeh’, dan akhirnya masing-masing kata: “Awak tidak ikhlas!”

Maka jangan ada lagi cadangan atau ura-ura untuk berdamai, sebab kedua pihak memang tidak ikhlas, hanya buang masa, buang tenaga, buang air liur. Tidak perlu bersatu sebab masing-masing ada kekuatan, ada kelemahan.

Sudah dua PRU berlalu, pemain politik kita tidak habis-habis bertelagah. Masing-masing menghabiskan banyak masa caci-mencaci. Baik dalam mahupun luar Parlimen, mereka tidak habis-habis bergaduh. Kalau asyik bergaduh, mana ada masa untuk pembangunan rakyat!

Orang ramai sudah bosan dengan wayang politikus, lebih-lebih lagi dalam babak-babak yang nampak sangat membodohkan rakyat. Jadi hentikan sandiwara dan lawak-lawak bodoh itu. Mana-mana politikus yang hendak berlawak, dicadangkan menyertai program realiti TV, ‘Raja Lawak’.

Ketiga, kawasan perumahan tempat saya tinggal tidak sebersih dulu-dulu. Sepanjang tahun lalu perkhidmatan kutipan sampah amat tidak memuaskan. Jadual memungut sampah, terutama sampah pukal, kerap diabaikan.

Sana-sini sampah pukal bertimbun tidak dipungut. Lori sepatutnya datang sekali seminggu, tetapi ada ketikanya sebulan lori pukal tidak kelihatan. Sampah pukal yang tidak dipungut menjadi tempat pembiakan tikus, mungkin juga ular.

Sekiranya lama tidak dipungut timbunan pukal itu berpotensi menjadi tempat menyorok penjenayah, terutama pada waktu malam. Malah, kalau silap-silap gaya timbunan yang dibiarkan itu boleh menjadi tempat bersembunyi pengebom berani mati al-Qaeda!

Rasanya apa yang saya impikan itu tidaklah susah untuk dilaksanakan. Jadikan 2014 betul-betul tahun merealisasikan slogan ‘Rakyat Didahulukan’.