Hari ini kita berada pada zaman
teknologi yang serba canggih, di mana segala keperluan hidup dapat kita
kecapi tanpa susah payah tidak seperti zaman dahulu.
Dalam mengharungi kehidupan di dunia,
kita senantiasa bersedia dengan keperluan yang dapat memberi manfaat
kepada diri kita khususnya dan kepada komuniti masyarakat umumnya.
Sebagai seorang hamba yang taat kepada
Allah Taala, seharusnya kita berdoa dan berusaha agar kita dapat
keuntungan di dunia dan akhirat.
Pada kali ini, suka penulis berkongsi
secebis ilmu tentang amalan yang di sukai Rasullah s.a.w iaitu amalan
sedekah. Amalan yang menjadi tauladan sejak zaman nabi Adam sehinggalah
di tiup sangkakala (hari akhirat).
Untung Berpanjangan
Apakah yang diingini oleh seorang
peniaga selain daripada mendapat keuntungan perniagaan, dapat membayar
hutang pinjaman bank dan berkongsi rezeki bersama kawan-kawan serta ahli
keluarga? Dalam hal ini, kita memerlukan suatu sumber kewangan kukuh
yang dapat kita salurkan kepada yang berhak melalui sedekah.
Kita amat beruntung kerana melalui
perniagaanlah kita dapat belajar hidup susah dan dari situ kita akan
belajar pula apa erti bersyukur kepada yang Maha Memberi. Selain itu
kita akan belajar tentang karakter orang.
Setelah itu, apa yang harus kita lakukan
dengan limpahan rezeki yang ada? Inilah poin yang ingin penulis
tegaskan iaitu dengan memberi kepada yang berhak atau bersedekah.
Sedekah Amalan Sunah
Amalan sedekah ini merupakan sunnah
Rasullah s.a.w yang menjadi ikutan para sahabat baginda dalam membantu
umat Islam khususnya bagi menjamin kehidupan yang lebih baik. Jangan
letakkan amalan sedekah ini melalui wang ringgit semata-mata akan tetapi
ia lebih luas bahkan kepada haiwan dan tumbuhan turut mendapat
manfaatnya.
Para sahabat Khulafa ar-Rasyidin serta
alim ulama menjadikan sedekah sebagai medan untuk mendekatkan diri
kepada Allah taala serta masyarakat. Hal ini kerana mereka terdiri
daripada peniaga yang menjalankan perniagaan di merata tanah Arab dengan
membawa barang dagangan untuk dipasarkan.
Secara tidak langsung ia memberi contoh
tauladan kepada bukan Islam melalui amalan yang dilihat ringan tetapi
berat timbangan mizan di akhirat kelak.
Kejayaan seseorang itu bukanlah terletak
kepada usaha sahaja malahan ia merangkumi semua aspek termasuklah
sedekah. Hanya melalui pintu sedekah kita akan terhindar daripada sifat
bakhil, tamak, pentingkan diri sendiri dan sebagainya.
Bukankah itu merupakan kejayaan juga?
Kita berjaya mengikis sifat mazmumah yang ada pada diri kita dan kita
berjaya juga membentuk hati kita supaya tidak menjadi hamba duit.
Benarlah hadis Rasullah s.a.w bersabda;
“Harta kekayaan adalah sebaik-baik penolong bagi memelihara ketakwaan kepada Allah taala,” hadis riwayat ad-Dailani.
Inilah pelaburan yang menjamin kehidupan
di dunia dan akhirat, apatah lagi jika kita berniaga mengikut
lunas-lunas syariat dan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan
larangan-Nya.
Lebih baik lagi apabila kita berbelanja
untuk dunia dan akhirat, di dunia kita dapat membantu orang yang
memerlukan manakala di akhirat kelak ia sebagai imbalan (balasan) kepada
diri kita sendiri.
Perniagaan dan amalan sedekah sudah
sinonim dalam kehidupan kita. Di mana sahaja kedengaran orang yang
susah, pasti pertolongan dihulurkan selagi mana ada hebahan mengenai
kekurangan atau kesusahan dalam komuniti masyarakat.
Tegak kukuhnya kehidupan dunia ini kerana 4 perkara iaitu:
1) Ilmu para ulama2) Derma orang kaya
3) Doa orang yang fakir
4) Keadilan para pemerintah (maksud hadis Sunan al-Tirmizi)
Lihatlah dengan mata hati bahawa
kehidupan di dunia ini ada hubung kait antara yang kaya dan miskin,
antara alim ulama dan umara’. Begitu cantik susunan ajaran Islam dalam
mendidik manusia supaya berfikir dan mengkaji melalui pancaindera yang
diamanahkan sebelum dipersoalkan di akhirat kelak.
Justeru, amalan sedekah ini harus
menjadi ‘kurikulum wajib’ kepada diri sendiri sebagai asas didikan
supaya kita lebih bersyukur atas kurniaan yang Maha Memberi Rezeki.
Firman Allah taala dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud;
“Dan ingatlah tuhan kamu sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmat kepada kamu dan sesungguhnya jika kamu kufur, azab-Ku amatlah pedih.”
Inilah sifir kehidupan kita yang menjadi adab sopan kepada si penerima (hamba).
Sering kali kita terfikir apa yang aku
dapat andai aku bersedekah? Adakah hanya mendapat pahala semata-mata
atau sekadar memenuhi keperluan masyarakat di luar sana? Di sinilah
titik noktah kita dalam memahami sedekah hanya berdasarkan pahala di
akhirat tanpa kita memikirkan keajaibannya.
Keajaiban Bersedekah
1) Sedekah mendatangkan rezeki.
- Ini merupakan peluang yang terhidang luas buat kita sebagai orang Islam supaya melipat gandakan usaha amalan ini. Harta yang kita sedekahkan mendekat lagi rezeki yang tidak disangka-sangka.
2) Sedekah dapat memanjangkan umur.
- Di sini dapat difahami bahawa umur yang dimaksudkan ialah keberkatan dalam hidup. Peluang kehidupan yang diberi oleh Allah digunakan dengan perkara yang manfaat.
3) Sedekah dapat menyembuhkan penyakit.
- Ini seperti yang sedia maklum bahawa penyakit cinta dunia, harta, bakhil dan tamak haloba harus dirawat dengan amalan sedekah. Dengan kaedah ini sistem ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan hadis dapat memberi penawar kepada gejala yang kronik ini.
“Keluarkanlah harta. Bersedekahlah…”
Seruan yang biasa kita dengar dan acap
kali disebut oleh ulama dan orang tua kita supaya rajin-rajin
bersedekah. Selagi berkemampuan untuk memberi, lakukanlah kerana ia
menjadi “kredit” buat diri kita.
Firman Allah taala dalam surah al-Qasas ayat 77 bermaksud;
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu akan pahala dan kebahagiaan di hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagian mu (keperluan dan bekalan mu) dari dunia.”
Inilah kehebatan ajaran syariah Islam,
dalam kita belajar tentang bab halal haram mahupun syubhah, kita masih
lagi boleh belajar tentang amalan sedekah, infak, zakat dan sebagainya.
Ilmu yang dipraktikkan dalam alam
perniagaan sebenarnya menjadi asas dalam mendalami ilmu akhirat secara
tidak langsung. Sebab itulah amalan berniaga ini merupakan asas
pekerjaan nabi dan para rasul.
Setiap yang bernyawa pasti akan mati.
Itu sudah menjadi sunnatullah kehidupan manusia. Segala perbuatan dan
amalan akan diperlihatkan melalui buku catatan amalan kita sama ada yang
baik atau sebaliknya.
Dalam sepotong hadis, Rasullah s.a.w ada bersabda
“Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh kepada kedua-dua orang tuanya.”
Perhatikanlah amalan sedekah menjadi
pelaburan atau simpanan yang menjamin kehidupan di akhirat kelak. Amalan
yang menjadi ibadah dan seterusnya menjadi kebiasaan melahirkan seorang
individu yang matang dan berilmu kerana kita sedia maklum akhirat
merupakan matlamat utama (pegangan orang Islam).
Bersama-sama kita jadikan amalan sedekah
ini sebagai habit sihat dalam pembinaan rohani dan karakter yang cinta
agama. Biarlah kita menjadi juara dalam segala aspek kehidupan supaya
dengan itu ajaran Islam sesuai diamalkan oleh segenap lapisan
masyarakat.
“Jadilah kamu orang yang berilmu atau mempelajari ilmu atau yang mendengar ilmu atau suka kepada ilmu itu sendiri maka janganlah kamu jadi pihak yang kelima (iaitu tidak suka akan ilmu).”
Ahmad Fahmi Ishak
Graduan Universiti Al-Azhar dalam bidang Ijazah Syariah Islam. Aktif
dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Kini beliau
menjalankan perniagaan barangan keperluan Muslim di samping membantu
mengurus resort yang diusahakan keluarga di Hulu Langat.