Oleh Irfan Khairi
Adakalanya ketika di pusat membeli belah, saya
perasan keadaan di mana seorang makcik berpakaian serba sederhana sedang
meninjau-ninjau barangan, tidak dilayan. Tetapi, seorang lelaki yang
berpakaian serba segak berkot dan tali leher, amat pantas dilayani 2
orang jurujual.
Memang menjadi lumrah, yang cantik dan bergaya akan diberi perhatian. Kata orang putih Don't judge a book by it's cover, yang bermaksud
jangan sesekali melihat pada luaran sahaja kerana dalaman tiada siapa yang tahu.
Siapa
tahu, mungkin makcik yang sedang meninjau-ninjau barangan berpakaian
serba sederhana itu adalah seorang usahawan jutawan? Tidak siapa tahu
juga, lelaki segak yang berpakaian hebat mungkin hutang keliling
pinggang dan terkejar-kejar membayar bayaran kereta setiap bulan.
Pada hakikatnya, ramai yang berpegang pada pepatah
"Biar papa asal bergaya". Hujung bulan, tidak hirau bank berbaki negatif
asalkan bergaya dengan kereta mewah dan pakaian segak.
Konsep
sebegini semestinya adalah salah. Namun tulisan saya kali ini bukan
untuk memberi teknik dan strategi berjimat dan menyimpan, tetapi, lebih
kepada hubungan antara wang dan cara kita melihat diri kita sendiri.
Selalunya,
apabila memilikki wang, ia memberi keyakinan diri yang tinggi pada
seseorang, berbanding dengan seseorang yang tidak mempunyai wang. Wang
seolah-olah mempunyai kaitan dengan keyakinan diri kita sendiri.
Adakalanya juga wang akan membuat kita rasa gembira apabila sedang
bersedihan bila kita keluar melakukan terapi membeli belah. Tetapi, ada
kalanya juga, boleh membuatkan kita marah dan sedih bila kekurangan wang
untuk belanja pada isi rumah dan keluarga.
Berbalik
kita kepada persoalan seseorang yang memakai pakaian yang kemas, berkot
dan bertali leher dibandingkan dengan seseorang yang berpakaian agak
ringkas mungkin hanya baju T dan berseluar jeans. Pastinya juga,
seseorang yang
memakai pakaian kemas akan dapat merasakan keyakinan diri pada diri
sendiri meningkat. Sebagai tambahan, orang sekeliling juga mungkin
melayan mereka dengan lebih baik juga akan menambahkan lagi keyakinan.
Namun
tidak bermakna juga seseorang yang memakai baju T dan jeans tidak
mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Saya teringat beberapa ikon
keusahawanan yang saya minati seperti Richard Branson dan Steve Jobs
yang
merupakan bilionair, sering mengenakan pakaian ringkas walaupun di
majlis rasmi. Ini kerana, bagi mereka, keyakinan diri tidak datang
daripada cara pemakaian.
Ianya
bergantung kepada individu itu sendiri. Keyakinan diri tidak semestinya
datang daripada wang sahaja. Ianya dikatakan rezeki datang dalam
pelbagai cara. Bukan hanya wang. Kesihatan, keluarga bahagia, ilmu
pendidikan, kenalan, saudara mara dan sebagainya juga
adalah rezeki seseorang itu. Dengan melihat positif semua rezekki yang
kita miliki dan menjadikannya picu untuk meningkatkan keyakinan diri,
seseorang itu tetap dapat merasakan keyakinan diri meningkat.
Apa yang perlu diingat adalah, seperti pepatah don't judge a book by it's cover.
Orang yang pakai simple, jangan disangka tidak berduit. Orang pakai
kot, kemeja, tali leher dan slack, tak semestinya kaya. Apa yang
penting adalah, untuk melayan semua insan dengan baik tidak kira gaya
dan penampilan. Tidak kira kaya ataupun miskin.