Wednesday, May 27, 2015

+++ Kekayaan ++++

3 Perkara yang diabaikan dalam kekayaan...
Oleh: Irfan Khairi 

Bila terdengar perkataan “kekayaan” apa yang dibayangkan adalah kekayaan wang. Gambaran rumah besar, kereta mewah, melancong serata dunia, membeli belah di kedai berjenama, hotel lima bintang dan  bermacam-macam lagi.

Satu impian yang ramai antara kita idam-idamkan.

Namun, kekayaan, bukan sekadar itu sahaja, malah lebiih daripada itu. Kekayaan juga bermaksud apabila kita kaya dengan ilmu, kaya dengan kasih sayang, kaya dengan amalan, kaya dengan kesihatan, kaya dengan nilai-nilai murni dan banyak lagi.

Dengan hanya meletakkan skop kekayaan pada barangan material sahaja, pastinya tidak dapat melihat kekayaan yang sebenar.
 
1. Pernahkah anda dengar kisah seseorang usahawan yang berjaya dan kaya, tetapi hidupnya bersama keluarga terumbang-ambing? Pada zahirnya kelihatan mewah berkereta hebat sana sini, tetapi apabila pulang ke rumah, rumahnya sekadar bangunan yang berbumbung tanpa kasih sayang keluarga.

Hidup juga porak peranda bila bergaduh sesama suami isteri. Jiwa pula tidak tenang oleh kerana masalah-masalah yang melibatkan anak-anak yang tidak terjaga dan dididik dengan cara yang betul.

Apa yang terjadi jelaslah kekayaan yang dicari hanyalah pada kekayaan wang, harta dan benda dan bukan pada kekayaan kekeluargaan yang perlu lebih diutamakan.

2. Ada juga kisah mengejar kekayaan sehingga melupakan etika, amalan dan undang-undang. Di mana seseorang itu melakukan perkara-perkara yang dilarang agama dan undang-undang demi mengejar kekayaan.

Melibatkan diri dalam rasuah untuk mempermudahkan jalan menerima sesuatu projek, menjalankan aktiviti haram jual beli dadah, memperdaggangkan manusia, dan banyak lagi. Lihat sahaja dada-dada akhbar yang banyak memaparkan kes-kes sebegini.

Pastinya ini bukanlah kekayaan yang dikejar dan diimpikan oleh kerana ia hanya memudaratkan diri sahaja, kalau bukan di dunia, di akhirat kelak.

3. Kekayaan juga perlu selari dengan kesihatan. Bekerja siang dan malam mencari rezeki tanpa menjaga kesihatan pastinya akan mmeberi impak negatif  terhadap kesihatan badan. Pelbagai penyakit akan datang sekiranya mengabaikan kesihatan dalam terlalu mengejar kekayaan. Antaranya adalah penyakit stress yang menyerang psikologi dan kemudiannya tubuh badan seseornag itu.

Tiada erti kekayaan sekiranya tidak datang bersama kesihatan.

Matlamat kekayaan tidak seharusnya hanya tertumpu pada harta benda. Sekiranya selama ini fokus kita adalah pada harta benda sahaja, maka kita tidak akan mencapai kekayaan yang sebenar yang merangkumi lebih banyak aspek keseluruhan hidup.

Fahami diri sendiri, minda dan juga aksi yang perlu dilakukan untuk mencapai keakayaan yang sebenar.