Sunday, November 10, 2013

Pelaburan RM20.4b di Terengganu

Oleh Nik Jasni Che Jaafar
pengarang@utusan.com.my

Jebasingam Issace John (tengah) diberikan penerangan mengenai perkembangan projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) oleh Pengurus Besar (infrastruktur) ECERDC, Arizan Arifin (dua, kiri) sewaktu melawat tapak KTCC di Kuala Terengganu, semalam. 
 
KUALA TERENGGANU 7 Nov. - Terengganu berjaya menarik masuk pelaburan swasta bernilai RM20.4 billion daripada nilai keseluruhan RM53.8 billion sejak Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) diwujudkan lima tahun lalu.
Melalui pelbagai insentif yang diperkenalkan, tarikan pelabur ke negeri ini turut menyediakan 10,850 peluang pekerjaan di samping melahirkan 800 usahawan baru.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John berkata, dari segi jumlah pelaburan, Terengganu berada di tangga kedua selepas Pahang (RM 24.8 bilion), manakala Kelantan dan Mersing, masing-masing menerima RM7 bilion dan RM 1.6 bilion.
''Pelabur-pelabur termasuklah syarikat-syarikat bertaraf global seperti Petronas, Gevo dan Huntsman dari Amerika Syarikat , Arkema dari Perancis, CJ Cheiljedang dari Korea Selatan dan Shougang Corporation dari China," ujarnya.
"Hasilnya, pendapatan rakyat telah meningkat dan seterusnya membawa kepada peningkatan di dalam taraf hidup mereka. Inilah matlamat utama ECERDC yang sentiasa berganding bahu dengan kerajaan negeri bagi menggerakkan transformasi ekonomi negeri, demi manfaat rakyat.
''Pelaburan awam dan swasta telah memacu momentum transformasi ekonomi negeri ini dan negeri lain di pantai timur," ujarnya dalam sesi taklimat bersama media sempena ulang tahun ke-5 ECER di pejabat ECERDC Terengganu di di sini, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan Pusat terus memberi fokus terhadap perkembangan ECER dan melalui ECERDC, sejumlah RM 1.11 bilion diperuntukkan untuk melaksanakan 41 projek ECER di negeri ini di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan RMK10," katanya.
''Pelbagai program yang dilaksanakan memberi tumpuan kepada aspek peningkatan sosioekonomi dengan tumpuan kepada projek berimpak tinggi, menepati tiga kriteria utama iaitu mewujudkan pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat dan membuka peluang keusahawanan," ujarnya.
Di negeri ini, katanya, ECERDC sedang melaksanakan pelbagai projek dan program yang memanfaatkan sumber semulajadi seperti minyak dan gas asli, bijih besi, pertanian dan pelancongan.
Jelasnya, pembangunan Taman Biopolimer Kertih (KBP) sebagai lokasi loji bio-metionina dan tiokimia bersepadu pertama dunia yang akan beroperasi pada 2014 akan melonjakkan Terengganu sebagai pusat teknologi baru dan peneraju serantau dalam bidang bio-penapisan.
Projek lain, tambahnya, termasuk Taman Bio Herba Pasir Raja, Pusat Pembiakbakaan dan Inovasi Ternakan Biri-biri di Kuala Berang, Taman Industri Berat Kemaman serta Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC).