• Saga SV  
  • Saga SV
PROTON Holdings Bhd telah menjual 43,260 unit dalam suku ketiga 2013, meningkat 27 peratus berbanding dengan suku yang sama 2012, terutama dipacu oleh pengenalan Proton Saga SV pada Jun tahun ini.
  
Dalam satu kenyataan hari ini, Proton berkata Saga SV telah membantunya mencatatkan lonjakan ketara sebanyak 72 peratus dalam jualan keseluruhan Saga pada suku ketiga berbanding suku kedua 2013.
  
Dalam tempoh empat bulan, lebih 22,000 unit Saga SV telah didaftarkan, katanya.
  
Ketua Pegawai Operasi Proton (Komersil), Hisham Othman berkata, Saga SV akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pilihan utama pengguna untuk sedan peringkat kemasukan ekoran proposisi jualannya yang unik, penarafan keselamatan Asean tiga bintang dan harga yang begitu kompetitif iaitu bermula hanya dari RM33,438.
  
Tawaran terbaru Proton, Suprima S, turut mendapat sambutan menggalakkan daripada para pengguna sejak pelancarannya pada Ogos, kata beliau.
  
"Sementara kita telah melihat pertumbuhan menggalakkan di dalam pasaran domestik, kita tahu landskap automotif sememangnya amat mencabar dan berdaya saing," katanya.
  
Hisham juga berkata pengenalan baharu dari Proton boleh dijangkakan dalam tempoh enam bulan ini kerana pembuat kereta negara itu akan terus menyediakan pelbagai model yang memenuhi keperluan dan jangkaan para pembeli.  - Bernama