Tuesday, October 1, 2013

Gilap jiwa usahawan dalam diri

Oleh Dr Azizan Osman
Memperkasa ekonomi diri dulu sebelum anda ingin memperkasa ekonomi dunia.
Kebelakangan ini kita sering mendengar keluhan rakyat terutama Bumiputera akibat kenaikan harga bahan api kenderaan. Sedikit demi sedikit harga barang mula meningkat dan ia memberi kesan besar kepada perbelanjaan harian. Ramai mula berbalah dan menuding jari kepada kerajaan kerana tidak mengambil kira sensitiviti rakyat. Yang menariknya, kebanyakan yang menuding jari akibat dari kenaikan ini ialah kaum Bumiputera sendiri.

Tahukah anda secara amnya ekonomi dunia ini direka untuk sentiasa meningkat. Ini bermakna kos saraan hidup akan terus naik dari tahun ke tahun tanpa henti. Adakah anda masih ingat berapa sen yang anda bawa ke sekolah ketika anda kecil? Saya masih ingat lagi hanya membawa duit poket 50 sen ketika bersekolah rendah. Anda boleh teka berapa umur saya pada zaman itu? Ketika itu saya bersekolah rendah pada tahun 1980-an. Adakah hari ini mencukupi sekiranya kita memberikan duit poket hanya 50 sen? Pastinya tidak. Kenapa? Kerana ada satu perkara mengenai sistem ekonomi dunia yang anda perlu faham iaitu masalah inflasi. Sama ada suka atau tidak, duit sentiasa susut nilai dan harga barang 10 tahun dulu seperti harga rumah, barang dapur dan banyak lagi pastinya tidak sama. Jadi usahlah kita membuang masa menuding jari apabila kenaikan ini terjadi. Dari anda pening memikirkan masalah ekonomi dunia atau cuba menjadi ‘Superman’ mahu merubah ekonomi dunia, lebih baik fikirkan bagaimana hendak mengukuhkan lagi ekonomi diri sendiri dan keluarga.

Mungkin anda boleh mulakan dengan mengurangkan perbelanjaan yang tak sepatutnya. Mula perhatikan aliran wang keluar masuk anda dan isi rumah. Cuba mencari jalan menambahkan lagi simpanan dan paling penting, tingkatkan pendapatan bagi menampung kenaikan kos sara hidup yang luar biasa ini. Antara cara meningkatkan pendapatan melalui bekerja makan gaji ataupun berniaga sendiri.

Ramai menganggap dengan kelulusan tinggi saja boleh menjamin mendapat pekerjaan bagus serta gaji lumayan. Mungkin fahaman ini dipupuk sejak kecil hingga menjadi satu bentuk budaya atau tradisi yang patut diikuti kita sehingga ke hari ini. Tak salah mempunyai pendidikan bagus serta gred cemerlang, persoalannya kenapa perlu bekerja untuk orang lain sekiranya anda boleh berniaga sendiri.

Masalahnya kebanyakan bangsa kita menjadikan perniagaan itu satu pilihan terakhir di dalam memilih kerjaya sedangkan jika anda melihat kaum Cina, berniaga satu keutamaan di dalam masyarakat mereka. Mereka seolah-olah percaya bangsa mereka wajib berniaga berbanding bangsa kita yang rata-rata ditekankan mengenai pentingnya makan gaji terutama bekerja dengan kerajaan. Ia seolah-olah pilihan selamat untuk mendapat pencen satu hari nanti.

Kaum Bumiputera, bangkitlah dari keselesaan anda sekarang! Sedarlah kehidupan anda hari ini dalam keadaan membimbangkan. Pendapatan melalui makan gaji tidak dapat menampung dari getaran kewangan ekonomi dunia. Tetapi jika anda berniaga dan menjadi usahawan bermatlamat, anda pasti mampu tersenyum melihat gelagat ekonomi sedia ada dan juga yang bakal menjelma. Jika anda dapat menguasai ekonomi diri sendiri anda dapat tentukan apa anda inginkan dan ini salah satu kelebihan menjadi usahawan.

Bakat dan ilmu antara intipati untuk menjadi usahawan.

Kebiasaannya ramai beranggapan untuk menjadi usahawan berjaya memerlukan bakat semula jadi ataupun diwarisi dari keluarga. Realitinya, untuk menjadi usahawan anda tidak memerlukan bakat yang hebat, tetapi apa anda perlukan adalah ilmu mencukupi. Dari ilmu, bakat dan kemahiran dibina secara tidak langsung ke dalam diri usahawan secara berperingkat sehingga ia menjadi darah dagingnya sendiri. Ramai yang lahir menjadi usahawan berjaya terutama beberapa tahun kebelakangan ini dalam kalangan Bumiputera dengan sokongan kerajaan serta inisiatif banyak pihak termasuk saya di dalam membantu melatih membangunkan usahawan yang berjaya.

Jika anda perhatikan mereka yang menjadi usahawan berjaya, ramai tidak mempunyai latar belakang keluarga berniaga atau mempunyai kelulusan MBA di dalam pengurusan perniagaan, malah ramai mempunyai kelulusan bidang pengurusan perniagaan yang takut berniaga atau gagal di dalam perniagaan mereka. Adakah kita perlukan ‘genetik’ usahawan untuk menjadi usahawan? Pada tahun 2010, penulis buku ‘Born Entrepreneurs, Born Leaders’, Scott Shane, professor bidang kajian keusahawanan di Cleveland Case Western Reserve University menganjurkan masalah genetik tidak mempengaruhi sama ada seseorang itu akan memilih untuk bekerja atau berniaga, tetapi beliau tidak menafikan faktor sekeliling banyak mempengaruhi seseorang membuat keputusan untuk berniaga.

Usahawan datang dari semua lapisan masyarakat, semua kumpulan umur dan dari segala sudut. Mereka orang biasa seperti anda dan saya. Mereka tinggal dan bekerja di negara ini. Mereka menghadapi masalah sama yang kita hadapi setiap hari. Mereka mempunyai akses kepada sumber sama, seperti yang kita miliki.

Namun, apa membezakan usahawan dan orang biasa ialah ilmu dan pilihan berani bertindak membuat keputusan dalam mencapai sesuatu perkara.

Bagi mewujudkan lebih ramai usahawan di negara ini, kerajaan memperkasakan penyertaan Bumiputera ke dalam sektor perniagaan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mengumumkan lima teras meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara. Antara teras itu penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang tidak lama lagi akan dipengerusikan Perdana Menteri sendiri. Dengan kemudahan ini, ia memberi banyak peluang serta memudahkan usahawan Bumiputera memperluaskan lagi perniagaan mereka.

Mungkin anda tersenyum ghairah mendengar peluang yang bakal menjelma. Ini cara kerajaan memastikan Bumiputera tidak ketinggalan dalam dunia keusahawanan di Malaysia. Dengan ini, usahawan Bumiputera tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada perlindungan kerajaan. Tetapi percayalah, tanpa bantuan kerajaan sekalipun, kita sebenarnya mampu membina perniagaan kita sendiri berbekalkan formula membina perniagaan yang terbukti berjaya.

Sebenarnya peluang mendapat pendapatan lebih tinggi sememangnya menuntut untuk kita menjadi usahawan. Jika anda masih lagi bersandarkan kehidupan makan gaji, inilah masanya untuk anda mula berjinak-jinak dalam dunia keusahawan. Tetapi ingat, jangan terjun dalam dunia keusahawanan jika masih belum mempunyai ilmu mencukupi mengenainya. Mulalah mencari ilmu melalui pembacaan buku, hadiri seminar keusahawanan dan pastikan mempunyai mentor yang betul untuk membantu anda mencapai arah yang ingin dituju dengan mudah dan pantas.


Penulis adalah usahawan, pakar pembangunan usahawan dan pemasaran