27 Oktober 2013
SEMAKAN semula menaik Cukai Keuntungan Harta Tanah
(RPGT) adalah satu langkah drastik dan mungkin mengakibatkan kesan
spontan dalam industri harta, seterusnya menjejaskan sentimen pembeli.
Penaung dan bekas Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan
Malaysia (Redha), Datuk Ng Seing Liong berkata, peningkatan pada kadar
RPGT tidak akan mengurangkan harga harta dan menggesa kerajaan
menimbangkan cara lain untuk mengurangkan harga harta.
“Kami tidak fikir dengan menaikkan RPGT, harga harta akan turun secara mendadak.
“Kami selama ini telah menggesa kerajaan bahawa satu-satunya cara untuk
menurunkan atau menstabilkan harga harta ialah dengan menyediakan lebih
banyak bekalan dalam pasaran,” katanya.
Dalam Bajet 2014, RPGT dinaikkan kepada 30 peratus untuk harta yang dijual dalam tempoh pegangan tiga tahun.
Bagi penjualan dalam tempoh pegangan sehingga empat dan lima tahun, kadar itu naikkan kepada masing-masing 20 dan 15 peratus.
Bagi penjualan pada tahun keenam dan selanjutnya, tiada RPGT dikenakan, sementara syarikat di cukai pada lima peratus.
Sementara itu, Presiden Redha, Datuk Seri Micheal Yam berkata, kenaikan
RPGT akan mengekang belian spekulatif, walaupun sebilangan pembeli
sebenar mungkin terjejas.
“Mungkin beberapa perincian perlu dibuat. Pasaran umum akan menjual
harta mereka lambat sedikit dan ini akan mengurangkan bekalan dalam
pasaran,” katanya. - Bernama