Oleh Hafiz Ithnin
Umum tahu, bukan ramai antara kita mampu membeli kediaman secara
tunai. Rata-ratanya memerlukan pembiayaan pihak lain terutama institusi
kewangan untuk menanggung sekitar 90 peratus kos pembelian rumah.
Ada antara pembeli gagal mendapatkan pembiayaan perumahan walaupun
mempunyai pendapatan bulanan agak tinggi dan berasakan pendapatan
berkenaan mampu untuk membayar semula ansuran bulanan kepada pihak bank.
Presiden Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) Datuk
Mohd Redza Shah berkata, situasi berkenaan perkara biasa tanpa
menyedari terdapat beberapa faktor mengapa pihak bank terpaksa menolak
pembiayaan bakal pembeli rumah berkenaan.
Beliau berkata, bank biasanya menilai pendapatan bersih bulanan
(NDI) pelanggan yang secara kasar peminjam perlu mempunyai wang di dalam
akaun sekurang-kurangnya RM1,000 selepas ditolak semua hutang atau
ansuran bulanan dari entiti lain seperti pembiayaan kenderaan, insurans
dan kad kredit.
“NDI penting bagi memastikan peminjam tidak
mengalami masalah menanggung kos hidup selepas membuat pembayaran semua
pembiayaan atau hutang bulanan mereka terutama bagi mereka yang
berpendapatan rendah atau sekitar di bawah RM5,000 sebulan.
“Bank juga tidak mahu dipersalahkan kerana memberi pinjaman di luar
kemampuan mereka untuk membayar balik ansuran bulanan dan perkara ini
pernah terjadi dalam kalangan kami,” katanya kepada Bisnes Metro.
Redza berkata, bank juga akan menilai ketekalan pembayaran semua
kredit bulanan seperti pembayaran pembiayaan peribadi atau hutang kad
kredit tertangguh sehingga tiga bulan.
Katanya, sekiranya
pemohon ingin mendapat pembiayaan untuk pembelian rumah ketiga dan ke
atas, pihak bank akan menilai sama ada rumah berkenaan dibeli untuk
didiami atau dijadikan pelaburan.