Saturday, October 5, 2013

Manipulasi Bisnes MLM & Skim Cepat Kaya

October 04, 2013 — Penulis:

Kategori: Konvensional / Perniagaan
Multi Level Marketing (MLM) atau Pemasaran Berbilang Tingkat merupakan satu strategi pemasaran di mana pasukan jualan atau ejen dibayar komisyen atau bonus berdasarkan jualan mereka sendiri dan juga jualan ejen lain yang direkrut. Pasukan jualan yang direkrut ini biasanya dipanggil sebagai ‘downline’.  Antara terma-terma lain yang digunakan untuk MLM ialah ‘network marketing’ dan ‘referral marketing’.
Kami sendiri tidak menjalankan bisnes berkonsepkan MLM dan tiada cita-cita mahu mengasaskan syarikat MLM. Kami menghormati sebahagian pembaca blog Majalah Niaga yang terlibat dalam industri ini.
Hasil bergaul dengan beberapa ketua di dalam syarikat MLM, kami boleh membuat kesimpulan ada 2 jenis manipulasi di dalam bisnes ini. Maklumat ini berguna supaya para pembaca dapat mengelak dari masuk perangkap.
#1. Manipulasi pengasas syarikat MLM.
Syarikat MLM seperti ini menjadikan produk sebagai wayang sahaja. Harga produk diletak tinggi melampau, tidak sesuai dengan kos dan kelebihan produk tersebut. Contoh, harga sekotak kopi berkhasiat biasa-biasa diletak harga RM 150.
Syarikat seperti ini sebenarnya fokus kepada jual beli orang (head hunting), bukannya jual beli produk. Produk digunakan untuk mengaburi mata bakal pelanggan. Modus operandi sebenar disebalik tabir ialah ‘money game’.


Selain itu, ada segelintir syarikat MLM yang terang-terangan melakukan aktiviti ‘money game’. Bagaimanakah ia dijalankan? Syarikat jenis ini lazimnya menyediakan 2 bentuk pelan pemasaran. Sebagai contoh, satu pelan A dan satu lagi pelan B. Pelan A fokus kepada merekrut ejen-ejen baru di bawah dan dibayar komisyen atas setiap rekrut. Pelan A ini adalah pelan pemasaran biasa yang diamalkan di dalam semua syarikat MLM.
Di sebalik pelan A, syarikat ini juga mengaktifkan pelan B di mana ditawarkan pelaburan berkonsepkan ‘goyang kaki dapat duit’. Peserta yang menyertai pelan B ini ditawarkan pulangan tertentu setiap bulan bergantung kepada jumlah pelaburan yang dibuat. Biasanya dalam lingkungan 5% hingga 20% setiap bulan.
Fokus utama syarikat ini sebenarnya untuk mengaut keuntungan daripada ‘money game’ pelan B. Tiada cara lain yang diguna pakai oleh mereka melainkan duit pelaburan orang baru digunakan untuk membayar pulangan pelaburan orang lama. Cara yang biasa diamalkan oleh penganjur skim cepat kaya yang lain. Pelan A itu pula sengaja dibuat-dibuat untuk mengaburi mata pihak berkuasa untuk mendapatkan lesen MLM.
#2. Manipulasi leader MLM.
Walaupun ada syarikat MLM yang meletak harga sesuai dengan produk dan menjadikan kekuatan produk sebagai alat utama mereka untuk berkembang, tetapi terdapat segelintir leader yang ‘kreatif’ telah memanipulasi pelan pemasaran dengan cara mempengaruhi bakal ahli membeli secara pukal.
Pembelian pukal ini memudahkan mereka naik pangkat dan bonus bulan pertama mereka akan banyak. Keratan atau slip bonus itulah yang dijaja untuk mempengaruhi bakal ahli lain. Ada pembelian pukal berjumlah sehingga RM 30,000. Ada juga serendah RM 5000. Lazimnya, mereka mempengaruhi bakal-bakal ahli membuat pinjaman peribadi untuk melakukan pembelian ini.
Hakikatnya, majoriti ahli yang membuat pembelian pukal tersebut banyak bonusnya di bulan pertama sahaja. Bulan kedua dan seterusnya merosot atau tiada langsung. Bonus kelihatan banyak di atas cek sahaja, selepas ditolak kos pembelian pukal, sebenarnya tidak balik modal.
Maka lahir ramai leader-leader MLM ‘berkereta mewah tetapi tayarnya botak.’
Penting untuk kami tekankan di sini bahawa tidak semua syarikat atau leader MLM seperti di atas. Ada syarikat MLM yang bagus dan patuh syariah. Maklumat di atas boleh dijadikan panduan untuk elak duit hangus dibakar oleh syarikat dan leader MLM bertopeng!

Skim Cepat Kaya – Kembali Berleluasa

Skim cepat kaya merupakan satu skim di mana sejumlah wang akan didepositkan atau dilaburkan kepada penganjur skim cepat kaya dangan janji dan syarat bahawa wang deposit tersebut akan dipulangkan kembali dengan faedah atau keuntungan. Faedah dan keuntungan yang ditawarkan biasanya lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan berlesen.


1980 – 1990
Daripada tahun 1980-an sehingga 1990-an generasi lama menyaksikan kejatuhan skim-skim cepat kaya seperti Pak Man Telo, Labu Peram, Platinum Lane, Skim 350 dan banyak lagi. Ketika ini, perbankan Internet masih tidak wujud. Majoriti pelaburan dibuat melalui serahan tangan dan melalui mesin deposit tunai. Pulangan pelaburan pula ada yang dihantar menggunakan kenderaan ke rumah-rumah pelabur. Selepas kes serbuan dan penutupan skim ini, ia terus senyap sepi.
2006 – 2007
Pada tahun 2006, fenomena skim cepat kaya kembali gempar dengan kemunculan berpuluh-puluh syarikat pelaburan Internet seperti Swiss Cash, EA Index, DanaFutures, E-Barrel, Arabic Fund dan banyak lagi.
Pada tahun 2007, skim-skim pelaburan Internet ini mula ditutup dan pusat operasi mereka diserbu oleh pihak berkuasa.
Majoriti penganjur-penganjur dan individu di sebalik tabir skim ini masih bebas kerana tiada bukti kukuh untuk mendakwa mereka.
2008 – 2010
Penganjur sama yang terlibat di dalam pelaburan Internet pada tahun 2006 kembali dengan cara lebih kreatif. Kali ini, mereka mengaktifkan semula skim ini dengan cara mendaftar sebagai koperasi.
Mereka menyalahgunakan lesen koperasi untuk kutip duit melabur dan dijanjikan pulangan lumayan sama ada melalui ‘introducer bonus’ atau melalui pelaburan dibuat. Mereka meyakinkan pelabur dengan mengatakan pelaburan yang dibuat itu dilaburkan di dalam sektor pertanian, penternakan dan hartanah.
Mereka mendakwa koperasi mereka memiliki tanah-tanah seluas berhektar-berhektar untuk digunakan atas tujuan-tujuan di atas. Semakin tinggi pelaburan, semakin tinggi pulangan setiap bulanan diterima. Pembayaran keuntungan itu dibuat tanpa dijelaskan terperinci mengenai prestasi perniagaan. Akaun-akaun perniagaan mereka juga tidak diaudit.
Majoriti koperasi yang mengamalkan skim pelaburan cepat kaya ini telah ditutup. Sebahagian sahaja diserbu dan dibekukan akaun oleh Bank Negara. Baki yang lain sengaja ditutup atas tujuan untuk melesapkan duit peserta. Penutupan itu telah dirancang lebih awal.
2011 – 2013
Tamat kisah skim cepat kaya koperasi , kini timbul pula skim berasaskan Forex dan Emas.
Kami tidak mahu mengulas panjang mengenai skim pelaburan emas berikutan kes serbuan ke atas syarikat Genneva pada tahun lepas dan tempoh hari 5 individu berkait rapat dengan syarikat ini akan dihadapkan ke Mahmakan Seksyen atas tuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM 937 juta.


Hati-hati dengan mana-mana syarikat pelaburan emas yang menawarkan pulangan setiap bulan atas pembelian emas. Ia satu operasi bisnes yang tidak logik. Cara betul ialah dengan membeli emas sama ada jongkong, dinar atau barang kemas di kedai-kedai emas atau melalui institusi kewangan berlesen. Keuntungan diperolehi melalui jualan semula emas tersebut dengan harga lebih tinggi.
Berkenaan dengan Forex pula, kami tidak mahu mengulas mengenai urusniaga mata wang asing melalui Internet yang dibuat secara individu. Walaupun telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, namun status hukumnya masih diperdebatkan di kalangan pedagang-pedagang Forex.
Kami hanya mahu mengulas mengenai segelintir syarikat yang menjadikan Forex sebagai wayang. Syarikat-syarikat ini membina platform graf yang dipanggil Metatrader4. Mereka membenarkan klien membuka akaun Forex sama ada akaun Demo atau Real. Syarikat ini kelihatan seperti memenuhi kriteria dan ciri-ciri asas broker Forex yang sah.
Namun, itu semua dibuat untuk mengaburi mata. Di belakang tabir, syarikat ini menawarkan pulangan bulanan di atas pelaburan yang dibuat. Laman web broker ini juga tidak menunjukkan dengan jelas siapa pengasas, board of directors, dan staf-staf yang terlibat. Ayat-ayat di laman web mereka adalah skrip sama yang dipakai oleh laman-laman web syarikat skim cepat kaya yang lain.
Mereka juga menyatakan kononnya mereka didaftarkan secara sah di negara-negara seperti Cyprus, Panama, Virginia Island, South Africa dan di lokasi-lokasi luar pesisiran pantai.
Modus operandi di belakang tabir ialah, apabila klien mendepositkan jumlah tertentu untuk membuka akaun Forex, duit dagangan mereka itu akan dipaparkan di skrin ‘trading station’. Untuk menarik minat klien atau pelabur, biasanya mereka akan ditawarkan bonus berupa modal tambahan di dalam akaun mereka. Contohnya, klien mendeposit 1000 usd, mereka akan diberi modal tambahan sebanyak 1000 usd, menjadikan jumlah modal untuk didagangkan di pasaran Forex berjumlah 2000 usd.
Dari manakah duit itu datang? Duit yang dipaparkan itu sebenarnya hanya wujud ‘on screen’ sahaja. Modal tambahan itu sebenarnya tidak wujud dan biasanya diberikan syarat-syarat tertentu supaya pelabur sukar untuk melakukan pengeluaran.


Di belakang tabir, deposit asal itu dipusing untuk membayar pelabur lama dan membayar komisyen kepada pihak yang menjadi ‘introducer’. Dagangan Forex mereka seolah-olah dilakonkan di skrin sahaja. Ia sebenarnya tidak wujud, yang wujud hanyalah ‘money game’ semata-mata.
2014??
Kami tidak tahu apakah lagi idea-idea penganjur skim cepat kaya ini. Mereka terdiri daripada orang yang sama. Apabila sudah melesapkan duit pelaburan berjuta-juta ringgit, mereka akan rehat dahulu berbulan-bulan sebelum kembali dengan skim terbaru.
Mereka sungguh licik. Mereka akan terus menjadikan sesuatu produk, saham, emas, perak atau forex sebagai wayang untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan bakal pelabur supaya modus operandi sebenar di belakang tabir sukar dikesan.
Tidak mustahil pada tahun 2014, skim cepat kaya ini akan berlindung pula di sebalik nama kelab kebajikan. Itu jangkaan kami berdasarkan penubuhan beberapa kelab kebajikan yang mempunyai pelan pelaburan dengan pulangan tetap setiap bulan.
Akhir sekali, pegang pada kata-kata ini untuk menyelamatkan duit kita daripada hangus ditelan skim-skim anjuran syaitan bertopeng manusia…
 Sesuatu yang menguntungkan tetapi seakan terlalu mustahil untuk diterima akal, berkemungkinan besar merupakan satu penipuan

Tuesday, October 1, 2013

RM1.5 bilion bangunkan GDV D'Pristine@Medini


Mohamed Khaled Nordin melihat model bangunan perniagaan dan kediaman D'Pristine @ Medini yang akan dibina di Nusajaya sempena majlis Pecah Tanah Projek D'Pristine @ Medini di Nusajaya, Johor Bahru, semalam.
NUSAJAYA 30 Sept. - Satu lagi projek pembangunan bercampur yang menawarkan gaya hidup moden, bermutu dan berprestij dikenali sebagai D'Pristine @ Medini akan dibangunkan di sini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion.
Projek yang dibina di atas tanah seluas 3.28 hektar dengan keluasan pembangunan kasar lebih dua juta kaki persegi itu dibangunkan Syarikat D'Pristine Medini Sdn. Bhd. (D'Pristine Medini) di kawasan Iskandar Malaysia.
Pengarah projek, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, projek tersebut bakal dibangunkan dalam tiga fasa di atas tiga bidang tanah terletak di kawasan bandar Medini dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2016.
"Pembangunan tersebut merangkumi tiga tingkat pusat beli-belah, dua menara SOFO (projek pejabat kecil pejabat fleksibel), menara pejabat korporat, hotel bertaraf empat bintang dan lima tingkat tempat letak kereta.
"Kawasan ini dipilih kerana kedudukannya yang strategik serta menjadi tumpuan pelabur," katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek D'Pristine @ Medini yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latiff Bandi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil dan Pengasas MCT, Tan Sri Barry Goh.
Mohd. Arifin berkata, setiap komponen tersebut dibina dengan menyasarkan segmen pelanggan yang berbeza kerana menawarkan fungsi berlainan melalui reka bentuk senibina moden dan menarik bersesuaian pada masa kini.
D'Pristine Medini merupakan sebuah syarikat pemaju yang dimiliki penuh oleh B&G Capital Resources Bhd. (B&G Capital) yang terkenal dengan jenama MCT yang berjaya menyiapkan projek pembangunan bernilai RM2 bilion di negara ini.
Kumpulan syarikat itu juga sedang mengusahakan 10 projek pembangunan bernilai RM3 bilion dan mempunyai simpanan tanah seluas 360 hektar di beberapa tempat yang mampu menghasilkan nilai pulangan sebanyak RM15.3 bilion.

Gilap jiwa usahawan dalam diri

Oleh Dr Azizan Osman
Memperkasa ekonomi diri dulu sebelum anda ingin memperkasa ekonomi dunia.
Kebelakangan ini kita sering mendengar keluhan rakyat terutama Bumiputera akibat kenaikan harga bahan api kenderaan. Sedikit demi sedikit harga barang mula meningkat dan ia memberi kesan besar kepada perbelanjaan harian. Ramai mula berbalah dan menuding jari kepada kerajaan kerana tidak mengambil kira sensitiviti rakyat. Yang menariknya, kebanyakan yang menuding jari akibat dari kenaikan ini ialah kaum Bumiputera sendiri.

Tahukah anda secara amnya ekonomi dunia ini direka untuk sentiasa meningkat. Ini bermakna kos saraan hidup akan terus naik dari tahun ke tahun tanpa henti. Adakah anda masih ingat berapa sen yang anda bawa ke sekolah ketika anda kecil? Saya masih ingat lagi hanya membawa duit poket 50 sen ketika bersekolah rendah. Anda boleh teka berapa umur saya pada zaman itu? Ketika itu saya bersekolah rendah pada tahun 1980-an. Adakah hari ini mencukupi sekiranya kita memberikan duit poket hanya 50 sen? Pastinya tidak. Kenapa? Kerana ada satu perkara mengenai sistem ekonomi dunia yang anda perlu faham iaitu masalah inflasi. Sama ada suka atau tidak, duit sentiasa susut nilai dan harga barang 10 tahun dulu seperti harga rumah, barang dapur dan banyak lagi pastinya tidak sama. Jadi usahlah kita membuang masa menuding jari apabila kenaikan ini terjadi. Dari anda pening memikirkan masalah ekonomi dunia atau cuba menjadi ‘Superman’ mahu merubah ekonomi dunia, lebih baik fikirkan bagaimana hendak mengukuhkan lagi ekonomi diri sendiri dan keluarga.

Mungkin anda boleh mulakan dengan mengurangkan perbelanjaan yang tak sepatutnya. Mula perhatikan aliran wang keluar masuk anda dan isi rumah. Cuba mencari jalan menambahkan lagi simpanan dan paling penting, tingkatkan pendapatan bagi menampung kenaikan kos sara hidup yang luar biasa ini. Antara cara meningkatkan pendapatan melalui bekerja makan gaji ataupun berniaga sendiri.

Ramai menganggap dengan kelulusan tinggi saja boleh menjamin mendapat pekerjaan bagus serta gaji lumayan. Mungkin fahaman ini dipupuk sejak kecil hingga menjadi satu bentuk budaya atau tradisi yang patut diikuti kita sehingga ke hari ini. Tak salah mempunyai pendidikan bagus serta gred cemerlang, persoalannya kenapa perlu bekerja untuk orang lain sekiranya anda boleh berniaga sendiri.

Masalahnya kebanyakan bangsa kita menjadikan perniagaan itu satu pilihan terakhir di dalam memilih kerjaya sedangkan jika anda melihat kaum Cina, berniaga satu keutamaan di dalam masyarakat mereka. Mereka seolah-olah percaya bangsa mereka wajib berniaga berbanding bangsa kita yang rata-rata ditekankan mengenai pentingnya makan gaji terutama bekerja dengan kerajaan. Ia seolah-olah pilihan selamat untuk mendapat pencen satu hari nanti.

Kaum Bumiputera, bangkitlah dari keselesaan anda sekarang! Sedarlah kehidupan anda hari ini dalam keadaan membimbangkan. Pendapatan melalui makan gaji tidak dapat menampung dari getaran kewangan ekonomi dunia. Tetapi jika anda berniaga dan menjadi usahawan bermatlamat, anda pasti mampu tersenyum melihat gelagat ekonomi sedia ada dan juga yang bakal menjelma. Jika anda dapat menguasai ekonomi diri sendiri anda dapat tentukan apa anda inginkan dan ini salah satu kelebihan menjadi usahawan.

Bakat dan ilmu antara intipati untuk menjadi usahawan.

Kebiasaannya ramai beranggapan untuk menjadi usahawan berjaya memerlukan bakat semula jadi ataupun diwarisi dari keluarga. Realitinya, untuk menjadi usahawan anda tidak memerlukan bakat yang hebat, tetapi apa anda perlukan adalah ilmu mencukupi. Dari ilmu, bakat dan kemahiran dibina secara tidak langsung ke dalam diri usahawan secara berperingkat sehingga ia menjadi darah dagingnya sendiri. Ramai yang lahir menjadi usahawan berjaya terutama beberapa tahun kebelakangan ini dalam kalangan Bumiputera dengan sokongan kerajaan serta inisiatif banyak pihak termasuk saya di dalam membantu melatih membangunkan usahawan yang berjaya.

Jika anda perhatikan mereka yang menjadi usahawan berjaya, ramai tidak mempunyai latar belakang keluarga berniaga atau mempunyai kelulusan MBA di dalam pengurusan perniagaan, malah ramai mempunyai kelulusan bidang pengurusan perniagaan yang takut berniaga atau gagal di dalam perniagaan mereka. Adakah kita perlukan ‘genetik’ usahawan untuk menjadi usahawan? Pada tahun 2010, penulis buku ‘Born Entrepreneurs, Born Leaders’, Scott Shane, professor bidang kajian keusahawanan di Cleveland Case Western Reserve University menganjurkan masalah genetik tidak mempengaruhi sama ada seseorang itu akan memilih untuk bekerja atau berniaga, tetapi beliau tidak menafikan faktor sekeliling banyak mempengaruhi seseorang membuat keputusan untuk berniaga.

Usahawan datang dari semua lapisan masyarakat, semua kumpulan umur dan dari segala sudut. Mereka orang biasa seperti anda dan saya. Mereka tinggal dan bekerja di negara ini. Mereka menghadapi masalah sama yang kita hadapi setiap hari. Mereka mempunyai akses kepada sumber sama, seperti yang kita miliki.

Namun, apa membezakan usahawan dan orang biasa ialah ilmu dan pilihan berani bertindak membuat keputusan dalam mencapai sesuatu perkara.

Bagi mewujudkan lebih ramai usahawan di negara ini, kerajaan memperkasakan penyertaan Bumiputera ke dalam sektor perniagaan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mengumumkan lima teras meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara. Antara teras itu penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang tidak lama lagi akan dipengerusikan Perdana Menteri sendiri. Dengan kemudahan ini, ia memberi banyak peluang serta memudahkan usahawan Bumiputera memperluaskan lagi perniagaan mereka.

Mungkin anda tersenyum ghairah mendengar peluang yang bakal menjelma. Ini cara kerajaan memastikan Bumiputera tidak ketinggalan dalam dunia keusahawanan di Malaysia. Dengan ini, usahawan Bumiputera tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada perlindungan kerajaan. Tetapi percayalah, tanpa bantuan kerajaan sekalipun, kita sebenarnya mampu membina perniagaan kita sendiri berbekalkan formula membina perniagaan yang terbukti berjaya.

Sebenarnya peluang mendapat pendapatan lebih tinggi sememangnya menuntut untuk kita menjadi usahawan. Jika anda masih lagi bersandarkan kehidupan makan gaji, inilah masanya untuk anda mula berjinak-jinak dalam dunia keusahawan. Tetapi ingat, jangan terjun dalam dunia keusahawanan jika masih belum mempunyai ilmu mencukupi mengenainya. Mulalah mencari ilmu melalui pembacaan buku, hadiri seminar keusahawanan dan pastikan mempunyai mentor yang betul untuk membantu anda mencapai arah yang ingin dituju dengan mudah dan pantas.


Penulis adalah usahawan, pakar pembangunan usahawan dan pemasaran

Monday, September 23, 2013

Hutang mengikut perspektif Islam



  • Hutang mengikut perspektif Islam  
  • Naib Yang Dipertua 1 Persatuan Ulama Malaysia, Dr Fauzi Draman (kanan) membentangkan kertas kerjanya sempena Seminar Maqasid Syariah di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, kelmarin. - Foto Sinar Harian oleh Zulfadhli Zaki
1 / 1
Berikut sambungan ucaptama Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Al Sheikh Abdul Halim Abd Kadir dalam seminar Maqasid Syariah, Isu-isu Kepenggunaan: Realiti dan Cabaran yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, kelmarin.

ii) Hutang dari perspektif Islam

Perspektif Islam berkenaan hutang dapat difahami dengan jelas jika kita merujuk hadis-hadis Rasulullah SAW. Antaranya hadis Rasulullah SAW bermaksud:
“Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia)” (Riwayat Muslim, 6/28)

Di dalam satu lagi hadis Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, ALLAH akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamkannya dengan niat ingin merugikannya, ALLAH akan merugikannya” (Riwayat al-Bukhari, 2/83)

Islam juga melihat hutang sebagai sesuatu yang membahayakan individu dan umat Islam. Ini dapat dilihat dari doa yang diajar oleh Rasulullah SAW yang berbunyi:
“Ya ALLAH, aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya: Mengapa tuan sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari” (Riwayat al-Bukhari, 1/214)

Di dalam hadis lain pula Rasulullah SAW bersabda:
Ertinya: Ya ALLAH, aku berlindung dari kekufuran dan hutang. Mendengar itu seseorang bertanya, “Apakah tuan menyamakan kekufuran dengan hutang wahai Rasulullah?, “Benar,” jawab Rasulullah. (Riwayat an-Nasaie, 2/316, Ahmad, 3/38, al-Hakim berkata, sahih dan disepakati oleh az-Zahabi, menurut Albani: Dhaif)

Berhutang dari perspektif Islam adalah perkara yang tidak baik dan perlu dijauhi, kecuali dalam keadaan kesempitan yang amat sangat. Namun, sekarang kita dapati industri perbankan, termasuk sektor perbankan Islam, amat menggalakkan budaya berhutang. Akibat aktiviti mereka yang ingin berkembang, tahap hutang masyarakat menjadi bertambah.

iii) Peningkatan hutang isi rumah di Malaysia
Data menunjukkan tahap dan tren hutang isi rumah di Malaysia sedang meningkat dari setahun ke setahun. Menurut laporan Bank Negara, hutang isi rumah di negara kita telah meningkat selama 10 tahun berturut-turut pada kadar tahunan sebanyak 12.5 peratus pada Disember 2011. Nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar negara adalah 76.6 peratus.

Malah, hampir 50 peratus daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk membiayai bebanan hutang. Berbanding negara lain, Malaysia mempunyai nisbah hutang isi rumah berbanding pendapatan bersih yang tertinggi.

Maka, tidak hairanlah jika fenomena permasalahan hutang akan meningkat dalam kalangan orang Islam walaupun mereka peka berkenaan isu halal dan haram. Meskipun sebenarnya hutang mereka adalah halal, namun ianya tetap hutang dan jika bertambah, bahayanya tidak jauh berbeza dengan keadaan hutang haram.

Jika masyarakat kita mempunyai sikap konsumerisme yang tinggi, ia akan lebih mudah bagi sektor perbankan Islam mencapai strategi perniagaan untuk menambah jumlah masyarakat yang berhutang. Ini sudah tentu bertentangan dengan matlamat dakwah dan tarbiah Islam.

iv) Fenomena kahwin lambat
Perkahwinan adalah antara aspek yang melibatkan kebendaan dan kepenggunaan. Soalnya, fenomena kahwin lambat ini berlaku kerana maqasid syariah yang sewajarnya tidak diutamakan.

Disebabkan terikut-ikut dengan budaya semasa dan sikap bermegah dalam mengatur majlis perkahwinan menyebabkan kos majlis menjadi terlalu mahal dan membebankan.

Ini termasuklah nilai hantaran yang melambung tinggi dan belanja perkahwinan yang melampaui kadar munasabah menyebabkan maqasid syariah untuk mencapai tujuan perkahwinan itu disyariatkan tidak tercapai. Sebagai jalan mudah untuk keluar dari masalah ini ialah dengan berhutang.

Antara faktor utama menyumbang kepada kahwin lambat ialah kestabilan. Selain itu, faktor kepentingan kerjaya yang berkait rapat dengan kebendaan turut mempengaruhi kahwin lewat. Sementara itu, 30 peratus daripada mereka yang belum berkahwin berpendapat kerjaya adalah segala-galanya.

Sedangkan dalam tuntutan perkahwinan, antara maqasid syariah yang dapat dikenal pasti ialah untuk mengelakkan gejala sosial selain membina zuriat Muslim bagi kelangsungan umat. Jika kahwin lambat jadi tren, pasti sukar memenuhi tujuan syarak tentang perkahwinan.

Cabaran mewujudkan halal living menuntut komitmen besar semua pihak dan  perkara penting  yang perlu diberi perhatian dalam usaha mewujudkan halal living:
l    Menyempurnakan misi kehambaan dan kekhalifahan sepanjang aktiviti kepenggunaan.
l    Menjadikan aktiviti kepenggunaan sehari-hari sebagai ibadah.
l    Memanfaatkan sumber kepenggunaan sebaik mungkin.
l    Menjalani gaya hidup sihat berdasarkan tingkat keperluan dan kemampuan.
l    Mengutamakan matlamat kepenggunaan jangka panjang berbanding jangka pendek.
l    Menggiatkan promosi halal living melalui proses bimbingan dan pendidikan.
l    Menggubal undang-undang mesra pengguna.
l    Menguatkuasakan akta dan undang-undang sedia ada.

Rumusan dan Kesimpulan

a.    Di peringkat pengguna: Pengguna berhak diberi perlindungan berikut:-
l    Melindungi pengguna daripada bahaya kesihatan dan keselamatan.
l    Melindungi kepentingan ekonomi pengguna.
l    Menyalurkan maklumat dan penerangan yang mencukupi agar pengguna dapat buat keputusan secara bertanggungjawab.
l    Memperoleh ganti rugi yang murah, efektif dan cepat.
l    Mendidik pengguna secara meluas dalam isu kepenggunaan.
l    Memelihara alam sekeliling pengguna
l    Memberi kebebasan dan kesejahteraan kepada pengguna.

b.    Di peringkat agensi:
l    Penguatkuasaan undang-undang sedia ada dan pemantauan ketat Bank Negara terhadap institusi kewangan dalam soal pemberian pinjaman.
l    Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) harus berperanan lebih agresif dalam meningkatkan khidmat nasihat kewangan dan bantuan penstrukturan semula hutang dalam usaha menggalakkan pengurusan kewangan berhemat dan meningkatkan tahap celik kewangan.
l    AKPK juga perlu meneruskan usaha menganjurkan taklimat dan pameran di seluruh negara bagi pelbagai kumpulan sasar.
l    AKPK perlu lebih dinamik dalam memberikan kaunseling kewangan kepada individu dan membantu penstrukturan bayaran balik hutang melalui Program Pengurusan Hutang.

c.    Lain-lainnya:
l    Usaha perlu digiatkan untuk mendidik rakyat, umat Islam, khususnya untuk memiliki ilmu perancangan kewangan peribadi.
l    Peranan sistem perbankan dalam ekonomi perlu diteruskan dengan urus tadbir yang baik, amalan pengurusan risiko yang berkesan dan pembiayaan yang bertanggungjawab untuk memastikan sistem ekonomi negara keseluruhannya teguh dan mampan.

Sebagai kesimpulan, kami ingin menyebutkan langkah utama ke arah memperkasakan masyarakat Islam dalam bidang ekonomi tidak seharusnya dilihat semata-mata dengan memperkukuhkan sektor perbankan Islam. Sebaliknya, kita juga harus menekankan aspek untuk merubah nilai masyarakat Islam supaya tidak terlampau mengejar kebendaan tetapi mengejar kejayaan akhirat dengan menambahkan ketakwaan mereka.

Sunday, September 22, 2013

Permudah pembiayaan

Oleh Sofyan Rizal Ishak
Kuala Lumpur: Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) menyarankan agar kerajaan memberikan kelonggaran dan menyediakan lebih akses terhadap kemudahan pinjaman bagi membantu pengukuhan pemilikan aset bukan kewangan dalam kalangan Bumiputera.
Pengarah Urusannya Profesor Datuk Kamal Rashdan Salleh berkata, kemudahan pinjaman adalah halangan utama buat Bumiputera dalam memiliki aset terutama rumah memandangkan kebanyakan mereka hanya mampu membeli rumah pada harga bawah RM250,000. “Maklum balas pihak industri mendapati institusi perbankan agak sukar memberi pinjaman di bawah RM100,000 kerana ia berisiko tinggi. Oleh itu, kerajaan harus menyediakan satu kemudahan pinjaman khusus seperti tabung perumahan bagi memastikan Bumiputera memiliki aset masing-masing,” katanya pada Bisnes Metro di sini, kelmarin.

Beliau diminta mengulas mengenai inisiatif mengukuhkan pemilikan aset bukan kewangan Bumiputera yang diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini di mana SPNB dan Syarikat Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) ditugaskan untuk mempertingkatkan bilangan rumah mampu milik di Malaysia.
“Saya yakin pemilikan aset dalam kalangan Bumiputera mungkin dapat dipertingkatkan kepada 62 hingga 75 peratus sekiranya terdapat lebih akses terhadap kemudahan pinjaman terbabit,” katanya. Dalam masa sama, SPNB turut berharap pihak kerajaan menyemak semula kapasiti dan mekanisme pelaksanaan projek perumahan yang didapati agar sukar dicapai sepenuhnya disebabkan ia membabitkan banyak pihak dan memakan masa panjang.

Menurutnya, perkara seperti pertukaran hak milik tanah dan kelulusan perancangan pembangunan harus dikaji bagi memastikan urusan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah serta lancar. Kamal berkata, SPNB yakin mampu mempertingkatkan bilangan rumah mampu milik berdasarkan keupayaan membina rumah daripada pelbagai kategori seperti rumah mampu milik, mesra rakyat dan terbengkalai sebanyak 80,000 unit dalam tempoh lima tahun.

“Kami tidak berhadapan masalah menjayakan agenda terbabit kerana sudah mempunyai rantaian pembekal dan kontraktor berkemampuan untuk melaksanakannya. Mulai tahun ini, kami mewujudkan pembekal Bumiputera untuk membekalkan barangan keperluan seperti kelengkapan rumah, marmar, cat dan lain-lain bagi membina lebih banyak rumah sekali gus membawa nilai tambah terbaik daripada aspek harga dan kualiti.
“Selain itu, kami turut membangunkan pembekal utama produk sistem bangunan industri (IBS) sejak dua tahun lalu dan memilih 46 pembekal bagi menyediakan produk terbabit dalam pelbagai bentuk dan jenis lantas memberi kesan baik kepada operasi SPNB secara keseluruhan,” katanya.

SPNB adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (Mof Inc) yang memberi fokus kepada pembangunan rumah mampu milik dengan harga di bawah RM400,000 melalui dua kategori iaitu rumah mampu milik SPNB dan rumah mesra rakyat. Untuk tahun ini, syarikat terbabit sedang membina hampir 21,000 rumah mampu milik dengan 10,719 sudah berjaya disiapkan manakala pada tahun hadapan sebanyak 20,989 unit rumah dijangka dibina di seluruh negara.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/21-Harian Metro

Thursday, September 19, 2013

Pelabur hartanah Malaysia diyakini

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Pemaju hartanah United Kingdom (UK), Ballymore Group yakin dengan potensi pembeli hartanah dari Malaysia terhadap projek kediamannya di London, meskipun kedudukan ringgit yang agak merosot ketika ini.
Ballymore Group ketika ini sedang membangunkan projek bersepadu komersial, City Island, dengan menggabungkan kediaman, pejabat serta pusat beli-belah terletak di Timur London.
Syarikat itu menerusi wakil pemasarannya, Henry Butcher Malaysia, menjangka dapat mengumpul 30 hingga 40 pembeli dari Malaysia daripada 1,700 apartmen yang ditawarkan di City Island.
Keluasan apartmen yang ditawarkan bermula dari 400 kaki persegi itu, dijual pada harga serendah 220,000 Pound Sterling (RM1.14 juta) sebuah.
Pengarah Henry Butcher Malaysia, Lim Eng Chong berkata, penganalisis berpendapat prestasi ringgit akan terus menyusut sehingga akhir tahun ini dan menganggap waktu ini merupakan masa yang terbaik kepada rakyat Malaysia untuk meluaskan pelaburan hartanah di luar negara.
"London kini merupakan lokasi pelaburan hartanah terpenting di Eropah dengan keupayaan mengumpul penyewa berkualiti tinggi.
"Kedudukan City Island yang berhampiran stesen pengangkutan awam menjanjikan pelaburan yang baik kepada pembeli," katanya pada sidang akhbar bagi menguar-uarkan pembangunan City Island di sini hari ini.
Ballymore Group kini di dalam siri penjelajahan ke Asia bagi mempromosi projek tersebut khususnya bagi mencari pembeli dari rantau ini.
Jelas Eng Chong, kerajaan melalui pembentangan Bajet 2014 dijangka mengumumkan dasar baharu bagi memperlahankan peningkatan harga hartanah di Malaysia.
"Oleh itu, kami merasakan pelabur hartanah tempatan boleh mencari lokasi pelaburan yang baharu termasuk di London," katanya lagi.
Pelancaran rasmi kepada projek ini akan dilakukan di Kuala Lumpur pada 11 hingga 13 Oktober ini.

Tuesday, August 6, 2013

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Di kesempatan ini, kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada
anda yang teristimewa untuk kami.

Kami mendoakan hari raya anda sentiasa dipenuhi
dengan kesyukuran, keriangan, kegembiraan serta
kebahagiaan yang tidak putus-putus.

Jika ada salah silap serta terkasar bahasa
sebelum ini, kami memohon maaf zahir dan batin
atas segala kekhilafan serta ketidak sengajaan
kami semasa berurusan samada sedar mahupun tidak sedar.

Kami juga sangat berterima kasih atas segala
sokongan  anda yang menyokong setiap perkhidmatan kami yang tak seberapa
 ini .



 KEPADA SEMUA PELANGGAN DAN BAKAL PELANGGAN :


Thursday, July 25, 2013

PM umum bantuan RM500 kepada penjawat awam

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
 
KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan hari raya kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka.

Katanya pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 31 Julai ini.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan itu masing-masing membabitkan peruntukan kewangan RM670 juta dan RM165 juta, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di samping bayaran bantuan khas itu, penjawat awam menikmati dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada tahun ini, katanya.

"Pertama, kenaikan gaji tahunan biasa dan kedua adalah pemberian faedah pemindahan gaji yang diawalkan bersamaan dengan amaun 1KGT mengikut gred gaji masing-masing yang akan diterima esok, sebagaimana yang diumumkan oleh saya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-13," katanya.

Najib berkata langkah itu berikutan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan dan pembetulan struktur gaji yang akan diselesaikan pada Disember ini dalam Sistem Saraan Transformatif.

Katanya, pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan RM1.3 bilion bagi 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion untuk setahun.

"Faedah ini akan diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan. Mereka juga akan menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini," katanya.

Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM4.7 bilion bagi pembayaran KGT dan Bayaran Bantuan Khas Kerajaan bagi penjawat awam dan pesara bagi membantu meringankan beban kewangan bagi persiapan hari raya. - Bernama

Wednesday, July 24, 2013

TPP: Harga rumah akan naik

Sinar Harian

TPP: Harga rumah akan naik
Arkim jangka persaingan meningkat bagi tanah yang semakin terhad akan menyebabkan harga rumah naik selepas TPP - Gambar hiasan
Mohsen Hasbollah
Mohsen Hasbollah
HARGA rumah yang telah dianggap terlalu tinggi pada masa ini akan melonjak naik jika perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang sedang dirundingkan Malaysia dengan 11 negara lain ditandatangani.
Wakil Persatuan Usahawan Arkitek Melayu Malaysia (Arkim) Mohamad Mokhtar Abdullah berkata, persaingan yang semakin meningkat antara firma luar negara dan tempatan akan meningkatkan harga lot tanah di mana projek perumahan akan dibina, menyebabkan kenaikan dalam harga rumah.

“Pasaran hartanah bukan macam jual baju. Kalau baju, lagi banyak kilang dibuka lagi murah.

“Tapi dalam hartanah, akan berlaku persaingan (dengan syarikat luar) untuk dapatkan tanah, permintaan akan semakin meningkat tetapi jumlah tanah tetap sama, jadi harga akan naik,” katanya dalam sidang media berhubung impak TPP kepada industri pembinaan di Kuala Lumpur, semalam.

Sidang media oleh Gabungan Persatuan NGO-NGO Kluster Pembinaan Melayu yang bernaung di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu itu turut dihadiri Presiden Persatuan Pengilang, Pembekal, Kontraktor, Industri Elektrikal, Elektronik, Mekanikal dan ICT Melayu dan Bumiputera Malaysia (Perkem) Mohsen Hasbollah serta Presiden Persatuan Kontraktor Penyelenggaraan dan Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PKPP) Jamaliah Abdul Hamid.

Rundingan TPP yang bermula pada 2010 kini memasuki pusingan ke-18 yang sedang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah dan dihadiri wakil semua 12 negara peserta TPP iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Mohamad Mokhtar juga berkata, peluang untuk berniaga di negara anggota TPP lain dianggap tidak wujud kerana pelbagai syarat dan terma ketat yang dikenakan dan tiada data yang boleh menyokong jangkaan kerajaan bahawa syarikat pembinaan akan dapat menembusi pasaran luar walaupun TPP memberi akses pasaran yang lebih besar.

“Bukan  mereka tak benarkan kita berniaga di sana tapi firma Malaysia ini kebanyakannya kecil dan sederhana (PKS), jadi kalau diikut dari segi modal dan keupayaan, awal-awal lagi dah ditolak,” katanya.

Mengikut perangkaan SME Corporation Malaysia, sebanyak 97.3 peratus perniagaan di Malaysia terdiri daripada PKS.

Sementara itu, Mohsen berkata, keupayaan syarikat kontraktor Melayu dan bukan Melayu di Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara lain dan menganggap pembukaan pasaran seperti dirundingkan dalam TPP ibarat gergasi melawan manusia.

“Bila buka pasaran, macam gergasi (syarikat asing) melawan manusia (syarikat tempatan). Adakah kita bersedia?

“Bukan sahaja kami sektor swasta perlu bersedia tapi adakah kerajaan sendiri bersedia? Bagaimana dengan kesan aliran keluar mata wang jika projek di negara ini diberi kepada syarikat luar?,” soalnya.

Beliau turut meminta kerajaan ikut langkah negara lain seperti Jepun yang memberi keutamaan kepada syarikat tempatan mereka sehingga membolehkan nilai mata wang mereka kekal kukuh.

Thursday, July 18, 2013

Kerajaan kaji pemberian bonus buat penjawat awam

17 Julai 2013

Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
 
PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mengkaji kemungkinan memberi bonus kepada penjawat awam menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.
Perdana Menteri berkata kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan perkara itu.
"Kita akan mengkaji perkara ini. Masih ada masa lagi," katanya dalam satu persidangan media di bilik mesyuarat khas pejabatnya di sini sejurus selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan empat syarikat yang bersetuju melabur RM1.96 bilion di negeri-negeri di kawasan Koridor Utara.
Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai kemungkinan ada berita baik buat 1.4 juta penjawat awam berikutan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) semalam yang masih berharap kerajaan akan memberi bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam walaupun mereka akan menerima kenaikan gaji tahunan pada bulan ini.
Sebelum ini, Presidennya Datuk Omar Osman meminta kerajaan mempertimbang pemberian bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam sempena Aidilfitri kerana ia dapat mengurangkan beban penjawat awam membuat  persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.
Kenyataan Cuepacs itu menyusul sehari selepas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus, dan pengumuman Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dua kali untuk tahun ini sudah boleh dianggap sebagai bonus. - Bernama

Wednesday, July 17, 2013

Ceupacs: Bonus Aidilfitri satu keperluan

 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman 

 
SHAH ALAM – Cuepacs hari ini menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan pemberian bonus setengah bulan gaji kepada 1.4 juta penjawat awam di negara ini menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, bulan depan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kadar bonus raya yang dicadangkan kongres pada 9 Julai lalu adalah berpatutan dan hanya melibatkan kenaikan setengah bulan sahaja berbanding yang diberikan kerajaan pada tahun lepas.

“Tahun lepas kerajaan sudah beri dua bulan bonus, jadi kami harap tahun ini dapat diberikan sedikit kenaikan kepada penjawat awam memandangkan harga barangan keperluan semakin naik, sekali gus dapat meringankan beban mereka khususnya mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan dan golongan pesara.

“Hal itu bukan saja berita gembira buat penjawat awam ini bahkan akan beri sedikit keceriaan kepada peniaga di luar sana yang kita dapati kurang dapat sambutan penjawat awam yang masih menunggu bayaran bonus itu,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubunginya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa semalam yang mengatakan kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus kepada 1.4 juta penjawat awam sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sebelum ini telah mengumumkan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak dua kali untuk tahun ini sahaja.

Omar berharap kerajaan dapat merealisasikan pemberian bonus Aidilfitri itu sepuluh hari atau seminggu sebelum umat Islam menyambut Hari Raya, bulan depan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peniaga barangan keperluan hari raya supaya tidak mengambil kesempatan jika penjawat awam bila penjawat awam diberikan bonus raya nanti.

Sebaliknya golongan peniaga patut berterima kasih kerana sedikit sebanyak dapat membantu mereka melariskan barangan jualan mereka yang kini masih suram daripada pengunjung baik di pasaraya mahupun bazar Ramadan.

Pada 9 Ogos tahun lepas, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam dan bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan bagi membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri.- Sinar Harian

Harga rumah: Jangan cakap sahaja, kata Cuepacs

 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman 
 
SHAH ALAM - Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman mendesak kerajaan agar menyediakan rumah mampu milik dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

Menurutnya, rakyat terutama golongan penjawat awam yang berpendapatan sederhana dan rendah sudah muak dengan janji-janji yang ditaburkan kerajaan.

“Kita mahukan tindakan segera daripada kerajaan dan agensi berkaitan bukan hanya sekadar melakukan pecah tanah dan perasmian namun rumah berkenaan tidak dibangunkan.

“Cuepacs mahu kerajaan sediakan perumahan mampu milik ini selewat-lewatnya 31 Disember 2015,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai dilema pembeli terutamanya penjawat awam untuk memiliki rumah mampu milik.

Omar berkata, sebagai suara kepada penjawat awam, Cuepacs tidak mampu menyediakan perumahan tetapi hanya sekadar menyampaikan hasrat kakitangan kerajaan ini.

“Saya sasarkan setiap penjawat awam mampu memiliki kediaman sendiri pada usia 35 ke 40 tahun.

“Kerana sekiranya usia mereka lanjut dan ini akan membebankan mereka untuk membayar kos pinjaman perumahan apabila bersara kelak, kerajaan perlu pertimbangkan aspek ini juga,” katanya.

Kata beliau, sebelum ini pihaknya ada mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berhubung kekangan kerajaan untuk melaksanakan segera rumah mampu milik kepada rakyat.

“Kekangan yang diberikan ialah lokasi, masalah tanah, penempatan dan sebagainya namun kerajaan perlu fikirkan nasib rakyat.

“Rumah adalah aset kepada mereka, takkanlah sehingga tua dan bersara mereka hanya menyewa. Tindakan lemah kerajaan ini membuatkan mereka tawar hati dan kecewa,” katanya.

Perkembangan sama, Omar berkata dengan hanya bersandarkan jawapan ‘dalam perancangan’ dan ‘sedang diusahakan’ bukanlah keputusan yang dinantikan rakyat.

Beliau berkata, berdasarkan rekod berpuluh ribu penjawat awam telah memohon untuk miliki Rumah Mampu Milik namun kepastian belum dapat dibayangkan hanya menunggu.

“Kita dah arahkan setiap Kerajaan Negeri untuk bina perumahan kos sederhana untuk penjawat awam.

“Situasi terkini sewa rumah paling rendah sahaja sudah mencecah RM 800 ke RM 900 sedangkan keadaan boleh diumpamakan seperti ‘reban ayam’,” katanya.

Oleh yang demikian, Cuepas mendesak perkara ini diambil tindakan segera bukan hanya bercakap sahaja. Nasib rakyat dan penjawat awam tidak wajar diperjudikan.- Sinar Harian

Tuesday, July 9, 2013

Umat Islam mula puasa Rabu ini (10.7.2013)

Umat Islam mula puasa Rabu ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa Rabu ini.(10.7.2013)
  
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad ketika mengumumkan demikian berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Rabu, 10 Julai 2013, bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
  
Pengumuman itu disiar secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
  
Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab. - Bernama

Wednesday, July 3, 2013

Not RM1, RM5 mesra alam

Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM), bercadang untuk mengurangkan pengeluaran wang kertas RM1 dan RM5 secara berperingkat bermula tahun ini sekali gus mempertingkatkan penggunaan wang kertas menggunakan substrat polimer bagi ketahanan lebih lama.
Penolong Gabenor BNM, Norzila Abdul Aziz berkata, BNM akan mengeluarkan wang polimer yang sesuai untuk edaran semula dalam denominasi RM1 dan RM5 sempena musim perayaan akan datang untuk menggalakkan pemuliharaan alam sekitar.

Beliau berkata, wang polimer dapat bertahan dua hingga tiga kali lebih lama berbanding wang kertas biasa dan penggunaannya terbukti berkesan kerana meningkatkan ketahanan wang kertas serta mengurangkan pembaziran.
“Setiap tahun BNM mengeluarkan kira-kira 750 juta keping wang denominasi RM1 dan RM5 bagi memenuhi permintaan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina. Bagaimanapun, lebih kurang 70 peratus daripada wang dikeluarkan tidak diperlukan untuk urus niaga pembayaran biasa.

“Sebaliknya, wang terbabit dipulangkan sebagai deposit sejurus selepas musim perayaan dan menyebabkan lebihan pengumpulan wang denominasi RM1 dan RM5 di BNM,” katanya selepas merasmikan Kempen Amalan Hijau Penggunaan Wang Polimer di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kettha), Datuk Nor’ Aini Abdul Wahab.
FotoNOR’ Aini (kiri) dan Norzila (kanan) merasmikan Kempen Amalan Hijau Penggunaan Wang Polimer di Kuala Lumpur, semalam.
Norliza berkata, setiap musim perayaan, BNM akan mengeluarkan wang kertas baru untuk memenuhi permintaan orang ramai yang majoriti mengamalkan budaya memberi duit raya dengan wang kertas baru.

Menurutnya, cetakan tambahan 500 juta keping wang untuk memenuhi permintaan perayaan adalah satu pembaziran sumber kerana ia menggunakan lebih daripada 80 tan dakwat dan dua juta kWh elektrik yang cukup bagi kegunaan 7,500 rumah di Malaysia serta menyalakan 48,000 biji mentol selama sebulan.
“Kami menyeru orang ramai untuk menyokong usaha ini dengan semangat mengurangkan pembaziran serta menggalakkan penggunaan wang kertas dan polimer yang sesuai untuk edaran semula,” katanya.

BNM akan mengitar semula 30 peratus wang kertas RM1 manakala 60 peratus bagi wang kertas RM5 dan selebihnya adalah bagi pengeluaran wang baru.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03-Metro

Tarikh lihat anak bulan Ramadan 8 Julai ini

Tarikh lihat anak bulan Ramadan 8 Julai ini

KUALA LUMPUR - Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan tarikh permulaan puasa ialah pada petang Isnin, 8 Julai bersamaan 29 Syaaban 1434 Hijrah, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini.
  
Menurut kenyataan itu, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh itu adalah berdasarkan rukyah dan hisab.
  
"Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan puasa yang ditetapkan, melalui radio dan televisyen," kata kenyataan itu.
  
Jawatankuasa yang bertanggungjawab akan melihat anak bulan di lokasi berikut:
  
    - Pontian Kecil, Johor;
    - Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka;
    - Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan;
    - Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor;
    - Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor;
    - Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, Selangor;
  
    Lokasi lain ialah:
    - Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong, Perak;
    - Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang;
    - Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Kedah;
    - Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, Kedah;
    - Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah;
    - Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu;
    - Bukit Geliga, Kemaman, Terengganu;
    - Pulau Perhentian, Besut, Terengganu;
    - Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu;
    - Bukit Peraksi, Pasir Putih, Kelantan;
    - Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai,

Kelantan;
    
    - Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Baharu, Kelantan;
    - Tanjung Lubang, Miri, Sarawak;
    - Teluk Bandung, Kuching, Sarawak;
    - Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak;
    - Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah;
    - Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Pahang;
    - Gunung Berincang, Cameron Highlands, Pahang;
    - Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang;
    - Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan;
    - Menara Kuala Lumpur;
    - Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; dan
    - Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.
    - Bernama

Wednesday, June 26, 2013

Tip melancong: Senarai barang mahu dibeli

Oleh Suliati Asri

Membeli-belah adalah aktiviti yang amat disukai kebanyakan orang ketika melancong. Dengan permintaan yang semakin meningkat maka terhasillah istilah percutian membeli-belah iaitu bercuti sambil membeli-belah.
Saat berkunjung ke destinasi yang menawarkan aktiviti membeli-belah juga sering menjadi pilihan pelancong masa kini.

Jika mahu bercuti sambil membeli-belah dan wang bukan masalah, anda ha­nya perlu membuat senarai barang yang mahu dibeli di lokasi yang akan dikunjungi.

Tetapi jika poket tidak berapa memberi keizinan untuk berbelanja besar dan perlu membeli cenderamata khas dari tempat yang dituju untuk kenang-kenangan atau sekadar ole-ole, anda perlu berhemah saat berbelanja supaya perjalanan anda tetap berjalan lancar dan menyenangkan.

Justeru, apa tipnya? Langkah pertama, anda tetap perlu membuat senarai atau paling tidak tahu barang yang ingin dibeli. Kemudian, tentukan jumlah wang yang diang­garkan untuk membeli apa yang disenaraikan.

Seterusnya, cari maklumat mengenai tempat penjualan barangan yang ingin dibeli itu. Ia boleh didapati daripada pelbagai sumber Internet. Salah satu sumber yang cukup meyakinkan adalah penduduk setempat di lokasi terbabit.

Di tempat berbelanja, jangan terpedaya dengan potongan diskaun atau promosi yang berlangsung. Perkara itu akan menyebabkan anda terdorong membeli barang-barang yang tidak diperlukan.

Namun, jika akhirnya tergoda saat berada di mana-mana lokasi membeli-belah, teliti dengan cermat barang yang akan dibeli itu. Adakah ia berbaloi untuk dibeli?

Carilah harga termurah untuk barang dengan kualiti yang lebih kurang sama. Dengan itu, jangan lupa melakukan penawaran.

Lakukan penawaran dengan tenang, jangan menunjukkan yang anda sangat tertarik pada sesuatu barang. Ajukan harga penawaran setengah daripada harga yang diajukan penjual.

Jika diberikan harga yang sangat murah, jangan pula mengambil lebih daripada jumlah yang perlu dibeli. Silap-silap nanti anda hanya akan simpan barangan yang banyak itu di dalam laci saat pulang ke rumah nanti.

Berbelanjalah dengan tenang, jangan terburu-buru. Hindari juga berbelanja ketika waktu sibuk atau jika anda tidak mempunyai masa yang cukup. Ini kerana ia secara tidak sedar membuat­kan anda kerugian terutama dari segi harga dan kualiti. Selamat membeli-belah!

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05 Harian Metro

Tuesday, June 25, 2013

PM akan umum bonus penjawat awam

24 Jun 2013

Datuk Seri Dr Ali Hamsa.
Datuk Seri Dr Ali Hamsa
.
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan membuat keputusan berhubung pemberian bonus untuk penjawat awam tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata keputusan itu akan dibuat Najib selaku Menteri Kewangan sempena pembentangan Belanjawan 2014 yang dijadual 25 Oktober ini.
"Saya rasa kerajaan akan membuat keputusan bila kerajaan buat bajet(pembentangan Belanjawan 2014), PM sendiri akan buat keputusan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Seramai 1,374 petugas dari 42 Jabatan/Agensi/Bahagian Jabatan Perdana Menteri menerima anugerah itu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kepada kerajaan supaya bonus melebihi sebulan setengah gaji diberikan kepada kira-kira 1.4 juta penjawat awam.
Semalam, Presiden Cuepacs    Datuk Omar Osman menyarankan kerajaan agar bonus melebihi sebulan setengah gaji atau sekurang-kurangnya sebulan setengah gaji diberikan kepada kakitangan awam dengan pembayaran setengah bulan gaji dibuat sebelum perayaan Aidilfitri nanti.
Tahun lalu, penjawat awam menerima bonus sebulan setengah gaji dengan pembayaran dibuat sebanyak tiga kali; sebelum perayaan Aidilfitri, bulan Disember dan pada Januari tahun ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Ali yang genap setahun menjalankan tugas sebagai KSN, meminta penjawat awam supaya lebih peka dan mendekati nadi rakyat dengan mengambil langkah proaktif melalui Program Jejak Mesra Perkhidmatan Awam.
"Penjawat awam (menerusi program itu) akan turun untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan membawa perkhidmatan kepada mereka.
"Ini adalah satu pendekatan baharu di mana kita tidak boleh menunggu untuk rakyat datang kepada kita dengan masalah mereka tetapi sebaliknya kita mendekati mereka," katanya.
Beliau juga mengalu-alukan maklum balas, pandangan dan cadangan membina daripada seluruh penjawat awam demi mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam.
"Kita semua (penjawat awam) perlu senang dihubungi dan didekati. Saya berharap agar sebarang maklum balas yang ingin disampaikan dapat disalurkan melalui saluran yang bersesuaian," katanya. - Bernama

Monday, June 24, 2013

Azlina dedah rahsia kejayaan

Intan Rohaizat Zakariya
23 Jun 2013
Sinar Harian:

Azlina
Azlina
NAMA wanita anggun ini bukan asing dalam dunia perniagaan. Beliau bersama suami antara ikon banyak beri inspirasi kepada usahawan muda dan golongan yang berminat menceburi bidang bisnes.

Sebelum bergelar tokoh usahawan terkenal, Datuk Dr Azlina Che Abdullah, 46, menempuh pelbagai dugaan  baik dalam kehidupan mahupun bisnes. Onak dan duri dilalui menjadikan beliau seorang matang dan bijak merebut peluang seterusnya merencana masa depan lebih teratur.

Usaha gigih beserta doa membuahkan hasil cukup manis buat Datuk Dr Azlina dan suami, Datuk Dr Stapa Haji Omar, 54.

Pasangan ini kini boleh berbangga dengan empayar bisnes dibina. Gabungan kepakaran dan kebijaksanaan Datuk Dr Azlina dan Datuk Dr Stapa meletakkan mereka peneraju syarikat besar seperti D’Navechee (sebuah syarikat kosmetik yang memegang lesen francaisor) dan DCL (syarikat jualan langsung terkemuka).

Kredibiliti dimiliki Datuk Dr Azlina atau mesra dengan sapaan Azlina membuatkan ramai pihak buka mata khususnya kepada usahawan Bumiputera. Kepetahan beliau berbicara,pengetahuan tinggi serta pengalaman luas menjadikan beliau sebagai salah seorang panel usahawan yang cukup disegani.

Atas kelebihan ini jugalah beliau diberi kepercayaan menjadi salah seorang panel Konvensyen Inspirasi Usahawan Mingguan Wanita 2013. Khusus buat peserta program ini Azlina akui bakal kongsi pengisian istimewa yang tidak hanya bercerita mengenai ruang lingkup bisnes malah beliau turut akan mengupas isu kerohanian yang baginya sangat penting untuk membentuk sahsiah dan akhlak usahawan.

“Saya begitu teruja dan bersyukur diberi mandat untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan peserta Konvensyen Inspirasi Usahawan Mingguan Wanita 2013. Peluang keemasan ini akan saya gunakan sebaik mungkin bukan sahaja memberi makanan minda malah rohani dan jasmani," ujarnya yang juga Pengetua DNV Entreprenuer Academy.

Tidak malu kongsi kisah hidup

“Kejayaan tidak datang bergolek, banyak dugaan saya tempuhi. Untuk berjaya, saya lakukan pengorbanan besar. Saya tidak berasal daripada keluarga berada lantaran amat perit untuk saya dan suami kumpul modal. Kami terpaksa jual aset seterusnya buka syarikat biarpun ketika kegawatan ekonomi.

“Banyak lagi kisah benar mengenai kehidupan lalu yang akan dikongsikan secara eksklusif dengan peserta program itu. Saya harap perkongsian ini beri kesedaran peserta bahawa kemiskinan bukan penghalang kejayaan,” kata Azlina.

Dalam temu bual itu, beliau juga tidak lokek berkongsi rahsia menjana keuntungan dalam bisnes dengan cara yang halal dan diredai. Kata Azlina, matlamat menceburi bisnes mesti jelas dan betul.

“Jangan hanya nampak imbuhan dari segi keuntungan sahaja kerana jika tidak diurus dengan baik, segala diusahakan menjadi sia-sia. Saya belajar daripada pengalaman hidup, untuk menjadi usahawan berjaya usah sasarkan pada keuntungan fizikal atau zahir sahaja tapi mesti disertai dengan pengisian jiwa atau lebih tepat seiringkan dunia dan akhirat.

“Di konvensyen itu nanti saya juga akan berkongsi bagaimana mahu kaya, berjaya, bahagia dan tenang” jelasnya.

Pada konvensyen itu, wanita jelita ini juga kongsi rahsia membina dan kekalkan bisnes dengan pendekatan Islamik.

“Saya kini akan perluaskan dakwah melalui program Khalifah Super agar lebih ramai usahawan yang akan dapat menerobos sempadan diri, menguasai jiwa dan mantapkan minda agar semua usahawan mempunyai perniagaan tidak rugi sampai bila-bila” ujarnya menutup perbualan.

Thursday, June 20, 2013

Kakitangan awam naik gaji 1 Julai

Kenaikan satu tangga antara RM80 hingga RM320

Kuala Lumpur: Kakitangan awam akan menerima kenaikan satu tangga gaji berkuat kuasa 1 Julai depan.

Kenaikan gaji antara RM80 hingga RM320 itu diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, awal tahun ini.
Mereka yang layak mendapat satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) itu membabitkan semua kakitangan awam di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) bertaraf tetap, sementara dan kontrak yang dilantik sebelum 1 Julai 2013 dan sedang berkhidmat pada hari berkenaan.


Pegawai dipinjam layak

Turut layak pegawai yang dipinjam atau ditukar sementara ke agensi kerajaan, pegawai yang dipinjamkan ke pertubuhan antarabangsa atau sektor swasta, pegawai yang bercuti bergaji penuh, cuti separuh gaji dan cuti tanpa gaji serta pegawai yang meninggal dunia pada 1 Julai 2013.

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5, kenaikan itu bagaimanapun tidak membabitkan pegawai yang masih berkhidmat di bawah saraan Laporan Gaji Jawatankuasa Kabinet (JKK) 1976 atau Sistem Saraan Baru (SSB).

Turut tidak layak pegawai yang dikenakan tindakan tatatertib dengan hukuman buang kerja berkuat kuasa 1 Julai 2013, pegawai lantikan baru berkuat kuasa 1 Julai 2013, pegawai yang bersara pada atau sebelum 1 Julai 2013 dan pegawai yang meninggal dunia pada atau sebelum 30 Jun 2013.
Menurut pekeliling itu, kakitangan yang layak satu KGT mengikut gred jawatan/gred gaji masing-masing pada 1 Julai 2013 berdasarkan gaji hakiki pada 30 Jun 2013.

Kemuka permohonan

Ketua jabatan perlu mengemukakan permohonan penetapan gaji Khas Untuk Penyandang (KUP) kepada Bahagian Saraan sekiranya pemberian pemindahan gaji itu tidak dapat ditampung oleh amaun gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum – Maksimum (JGMM).

Untuk urusan kenaikan pangkat pula, pertukaran pelantikan atau pelantikan secara Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) berkuat kuasa sebelum atau pada 1 Julai 2013, pemberian gaji ini boleh diselaraskan dan dibayar berkuat kuasa 1 Julai 2013.

Perdana Menteri membuat pengumuman itu ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13, awal tahun ini.

Beliau dilaporkan berkata, kenaikan satu tangga gaji itu akan dilaksanakan selepas mengambil kira kedudukan 182,434 penjawat awam yang berada di tangga gaji maksimum pada 2013 dan tidak dapat menikmati kenaikan gaji tahunan.

Kenaikan gaji itu membabitkan perbelanjaan berjumlah RM1.5 bilion.- Berita Harian 20.6.2013

Wednesday, June 19, 2013

JOM!!! PAKAT GI RAMAI-RAMAI KE KARNIVAL PMINT 2013

  • DATARAN TAMAN AWAM BATU BUROK, KUALA TERENGGANU
  • 26 JUN - 29 JUN 2013 (RABU - SABTU)
  • 10 PAGI - 10 MALAM
  • PELBAGAI ACARA MENARIK
    - Pameran dan Jualan
    - Forum Perdana
    - Senamrobik
    - Pancaragam RAMD 
    - Persembahan Dikir Barat
    - Pertunjukan Badut dll.
    - Larian Perdana PMINT 2013 * Dataran Taman Awam Batu Burok * 29 Jun 2013 (Sabtu) * 8 pagi - 12 tengahari
  •  

Monday, June 17, 2013

Proton lancar kereta murah

Sinar harian: Proton lancar kereta murah
perbandingan saga FLX vs saga SV
perbandingan saga FLX vs saga SV
Proton lancar kereta murah
Mohd Khamil (depan) bersama pengurusan Proton melancarkan Proton Saga SV di bilik pameran Proton di Damansara, semalam.
PENGELUAR kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) melancarkan model terbaru Proton Saga Super Value (SV) yang akan dijual dengan harga lebih rendah, selari dengan dasar automotif baru negara yang akan mengurangkan harga kenderaan di Malaysia.

Pengerusi Eksekutif Proton Tan Sri Mohd Khamil Jamil berkata, Proton bertekad mahu menawarkan kereta mampu milik kepada seluruh rakyat Malaysia dengan kualiti ditingkatkan seperti ciri keselamatan, kejuruteraan, konsep dan reka bentuk yang lebih dinamik bagi membawa syarikat itu ke peringkat lebih tinggi.

“Pembeli dapat berjimat lebih 10 peratus untuk Saga SV ini (berbanding model Saga FLX sebelum ini), dan hanya membayar secara bulanan serendah RM250.

“Kita tawarkan harga lebih rendah tanpa sebarang kompromi terhadap aspek kualiti, malah ciri keselamatan dipertingkatkan lagi,” katanya pada sidang media di majlis pelancaran kereta itu di Damansara, semalam.

Menurutnya, langkah menawarkan harga rendah untuk kereta Proton itu selaras dengan matlamat kerajaan untuk menurunkan harga kereta secara berperingkat.
“Model ini adalah permulaan kepada azam kami untuk menyahut seruan kerajaan,” katanya.
Proton membuat sasaran awal menjual 2,000 unit Proton Saga SV setiap bulan bagi pasaran tempatan untuk tahun pertama.

Saga SV dilengkapi enjin 1.3 liter Campro IAFM dan ditawarkan pada harga permulaan RM33,438 bersama tiga tahun jaminan atau 100,000 kilometer.

Kereta itu boleh didapati dalam enam warna pilihan iaitu putih, merah, hitam, biru, perak dan coklat.
Berkonsepkan sedan keluarga yang elegan dan selesa, Saga SV disasarkan untuk pengguna yang sudah berkahwin berumur antara 20 hingga lewat 40 tahun serta untuk mereka yang ingin memiliki kereta tambahan.

Menurut Proton, Saga kekal menjadi model terlarisnya sehingga hari ini dan juga antara model paling banyak terjual di Malaysia.

Tuesday, June 11, 2013

BUKU : ALLAH Tidak pernah jauh.

ALLAH Tidak Pernah Jauh: Tentang Iman Sebenarnya

ALLAH Tidak Pernah Jauh
ALLAH Tidak Pernah Jauh oleh Suhana Amiril
Tentang Iman Sebenarnya

KALAU ditanyakan zaman yang menyeronokkan bagi saya, maka saya akan jawab, zaman masa sekolah menengah dulu! Memang, adakalanya rindu juga pada zaman itu.

Tapi sebenarnya, apa yang lebih saya rindukan adalah suasana dan pergaulan dengan rakan-rakan usrah. Saya merindui pertanyaan tulus daripada mereka. “Apa khabar iman?”

Setiap kali mengirimkan pesanan SMS, pasti antara yang pertama-tama sekali ditanya adalah mengenai khabar iman. Kemudian barulah hal-hal yang seterusnya akan disembangkan.

Begitu indah pertanyaan itu sebenarnya. Walaupun nampak agak cliché atau poyo, tapi percaya atau tidak, pertanyaan itu memberi impak kepada jiwa yang menerima pertanyaan sedemikian.

Saya melihat, bila kami bersembang santai sambil berkongsi rasa atau masalah yang terbuku di jiwa, maka antara pertanyaan yang terawal sekali ialah, “Iman di situ sebenarnya sihat ke tidak?” Tanya mereka sambil menunjuk ke arah dada.

Saya memandangnya bukan sebagai pertanyaan kosong. Ada suatu makna besar yang terkandung di dalam pertanyaan ‘Apa khabar iman?’

Ada waktu, kita mencari-cari punca kenapa terasa seperti ada kekurangan atau kekosongan di dalam hidup. Kenapa terasa seperti ada sesuatu yang belum diselesaikan? Kenapa terasa diri cepat sangat tergoda dengan perkara-perkara yang melalaikan atau maksiat? Kenapa diri berasa sangat berat dengan hal-hal kebaikan?

Kita asyik bertanya dan bertanya. Tetapi lupa bertanya kepada diri sendiri, “Apa khabar dengan iman aku?”, “Kenapa iman aku tidak sihat?”, “Apa kena dengan iman aku sampai aku cepat sangat tertarik pada benda-benda yang tidak penting?”

Ya. Memang ramai sebenarnya di antara kita lupa mengenai iman masing-masing.

Ideologi yang saya pegang sama seperti mahu merawat penyakit. Kita sebenarnya tidak tahu punca dan apa sebenarnya penyakit tersebut. Begitu jugalah dengan diri yang sentiasa ada sahaja yang tidak kena… yang tanpa kita sedari, iman itu yang sedang sakit dan perlukan rawatan.


Iman Itu Kekuatan Kita

“Apa khabar iman?”

Bagi saya sendiri, ia adalah pertanyaan tulus yang di dalamnya itu ada sentuhan halus yang menyuruh kita memeriksa keadaan iman kita. Adakah sihat-sihat sahaja, atau sedang sakit merana? Kerana iman yang kondisinya sedang sakit, memang akan jelas kelihatan pada perjalanan hidup seharian.

Iman itu adalah kekuatan bagi kita yang mengaku berusaha menjaga hubungan dengan-NYA. Maka, jika kekuatan itu ‘sedang lemah’ atau sakit, apa yang akan terjadi?

Hakikatnya, iman yang sedang sakit akan memberi kesan pada kehidupan kita... melemahkan kita. Manakala iman yang sihat akan membuatkan kehidupan kita lancar dalam tenang-tenang sahaja.

Iman yang sihat dan menguatkan ialah iman yang bukan sekadar percaya pada hati sahaja. Tapi ia mampu membuatkan hati lebih yakin, diserlahkan pada amalan yang baik dan tindakan yang selari dengan kemuliaan iman itu sendiri.

Iman yang sihat hanya akan dapat diperolehi bila kita sentiasa mahu mendekat dengan-NYA. Segala perbuatan kita bertunjangkan DIA. Apa sahaja yang dilakukan, ingatan sentiasa mengingati dan bertanya, “Apa yang aku akan buat ini diredhai ALLAH SWT ke tak?” See? Begitu hebat penangan iman.

Justeru, jika ada iman yang sihat, pastinya ada iman yang tidak sihat, bukan? Maka, apa sebenarnya yang membuatkan iman tidak sihat? Mengapa? Iman yang tidak sihat sudah tentulah apabila kita melakukan sesuatu yang memang tidak disukai ALLAH SWT.

Itu adalah ancaman sebenarnya. Ancaman kepada iman yang tidak sihat adalah dosa. Ya, dosa. Dosa itu bukanlah perkara yang terpuji. Ia tercela!


Dosa Itu Ancaman Iman

Saya selalu percaya bahawa apabila kita melakukan pekerjaan yang baik-baik, maka iman pada saat itu pasti sedang berbunga-bunga. Maksud saya, pasti jiwa kita terasa tenang dalam bahagia kerana kita tahu ALLAH SWT sukakan segala kebaikan.

Maka, iman juga dalam keadaan baik. Insyaallah.

Tapi, ada sesuatu yang menjadi ancaman kepada iman kita yang senipis kulit bawang ini… dosa. Ya, dosa. Ketika kita melakukan maksiat serta keingkaran kepada ALLAH SWT, maka saat itulah iman terancam. Bahkan hakikatnya, kita telah mengkhianati kepercayaan DIA.

Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan sesuatu dosa, terbentuklah bintik hitam pada hatinya. Apabila dia bertaubat kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu. Apabila dia terus melakukan dosa, bertambahlah bintik hitam itu pada hatinya, sehingga tertutuplah seluruh hatinya. Itulah karat yang disebut ALLAH di dalam kitab-NYA: “Sesekali tidak. Sebenarnya apa yang mereka lakukan telah mengkaratkan (menutup) hati mereka.” (Surah Al- Mutoffifin ayat 14).” – HR. Al-Baihaqi.

Jika kita rasa bersalah selepas melakukan sesuatu dosa, maka itu tandanya iman masih membekas di dada. Walaupun iman itu tidak cukup kuat untuk mencegah kita daripada melakukannya. Iman kita ini perlu dibaja dan semai sebaiknya. Maka, ia akan berbunga cantik, menyedapkan mata.


Sahutlah Jeritan Iman yang Terancam

Sebelum atau selepas melakukan sesuatu dosa, biasanya kita akan rasa bersalah. Kita berasa ada yang tidak kena. Jiwa tertanya-tanya dan terbelenggu sendiri, “Aku dah buat dosa… kan?” Kadang-kadang kita tahu kita sedang melakukan dosa dan iman di dalam dada itu terjerit-jerit menyatakan rasa bersalah serta rasa berdosa. Tapi kita tidak endah. Kita buat-buat tidak perasan keresahan yang terbit di dada.

Rasa bersalah itu, rasa tidak kena itu, jika tidak disahut, pastilah ia akan terkubur begitu sahaja. Lama kelamaan, membuat dosa itu menjadi perkara biasa. Kita tidak berasa apa-apa saat melakukannya. Mengapa? Kerana hati kita sudah gelap. Di dalamnya sudah timbul bintik-bintik hitam yang menutupi kebersihan hati.

Bila masih melakukan dosa, bila lambung masih berat mahu menunaikan perintah ALLAH SWT, bila jiwa masih tidak berasa apa-apa saat melihat kebaikan, bila hati tidak terkesan dengan cerita-cerita kebesaran-NYA, maka bertanyalah kepada diri sendiri.

Bukan soalan seperti ini yang harus ditanyakan, “Kenapa aku begini? Kenapa ALLAH SWT ciptakan aku dengan hati yang keras sebegini? Kenapa? Kenapa? Kenapa?!”

Tapi cubalah bertanya, “Dosa apa yang masih aku buat sampai hari ini? Sampai hati aku susah tersentuh dengan perkara-perkara yang diredhai oleh ALLAH SWT?”

Ingatlah sahabat. Kita ini kadangkala memerlukan masa untuk bersendirian agar kita boleh menilai dan menghukum diri atas kelalaian-kelalaian yang dilakukan. Jika sudah menyedarinya, maka beritahulah kepada diri bahawa;

DIA yang menggerakkan hati supaya kita rasa bersalah. Maka, itu adalah tanda supaya kita kembali pada-NYA. Mendekat dengan-NYA. Menyerahkan sepenuh jiwa kita ini untuk melalui pembersihan dengan mengingati-NYA

Kerana itu, perlu periksa selalu iman kita.

Kena selalu rawat iman kita.

Kita ini manusia biasa yang sering dibolak-balikkan hati. Semoga ALLAH SWT tidak melepaskan hati-hati kita saat DIA membolak-balikkannya.

Maka, apa khabar iman?



P/S: Dapatkan buku ini di kedai berhampiran atau boleh melanggan terus kepada kami di karangkraf mall dengan melayari (FB: karangkraf mall) untuk maklumat lanjut atau terus ke emall (FB: emall) untuk belian terus ke telefon pintar anda.

Sunday, June 9, 2013

10 Usahawan Melayu terkaya di Malaysia

MOTIVASI:
“Takkan Melayu Hilang Di Dunia..”
Begitulah antara kata-kata Hang Tuah yang menjadi pegangan usahawan Melayu untuk terus cuba menguasai kekayaan di Malaysia ini walaupun hakikatnya pada hari ini dipegang oleh bangsa lain.
Kata-kata seperti “Melayu Mudah Lupa” mahupun “Melayu Mudah Dijajah” langsung tidak melemahkan semangat para usahawan melayu untuk cuba menjadi kaya serta mengkayakan bangsa sendiri.Tidak dinafikan lagi bahawa usahawan Melayu juga hebat berniaga seperti bangsa lain.
Lihat sahaja di mana-mana tempat, usahawan Melayu tetap ada menjalankan perniagaan mereka sama ada perniagaan kecil mahupun besar tanpa mengira apa jua industri. Malahan ramai usahawan Melayu kini telah berjaya dalam perniagaan mereka di dalam dan luar negara. Ini menunjukkan bahawa “Melayu Hebat Berniaga!”
Dalam artikel kali ini, kami akan mengetengahkan 10 usahawan Melayu yang sangat hebat dan berbakat dalam perniagaan yang mereka ceburi dan merupakan 10 usahawan terkaya di Malaysia.

#1 – Syed Mokhtar Al-Bukhari

syed-mokhtar-albukhary
  • Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari merupakan orang Melayu terkaya di Malaysia yang menguasai pelbagai industri di Malaysia.
  • Dilahirkan pada tahun 1952 di Alor Setar, Kedah dan merupakan pengasas Yayasan Albukhary
  • Merupakan orang ke-8 terkaya di Malaysia.
  • Jumlah Kekayaan: $2.75 bilion

#2 – Shahril & Shahriman Shamsuddin

shahril-shahriman-shamsuddin
  • Kedua adik-beradik ini merupakan antara bilionaire yang menjalankan perniagaan dalam industri gas dan petroleum.
  • Merupakan CEO dan Presiden Sapura Kencana manakala adik beliau merupakan lembaga pengarah syarikat tersebut.
  • Merupakan orang ke-12 terkaya di Malaysia.
  • Jumlah Kekayaan: $1.05 bilion


#3 – Mokhzani Mahathir

mokhzani-mahathir
  • Datuk Mokhzani Mahathir merupakan anak kedua mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad, yang menjalankan perniagaan dalam industri Gas dan Petroleum.
  • Dilahirkan pada Januari 1961, beliau merupakan naib Pengerusi Eksekutif di Sapura Kencana.
  • Merupakan orang ke-15 terkaya di Malaysia.
  • Jumlah Kekayaan: $980 juta


#4 – Azman Hashim

azman-hashim
  • Tan Sri Azman Hashim merupakan antara tokoh industri perbankan Melayu yang paling berjaya di Malaysia.
  • Dilahirkan pada Julai 1939, beliau merupakan Pengerusi Ambank Group yang merupakan bank ke-5 terbesar di Malaysia.
  • Merupakan orang ke-17 terkaya di Malaysia.
  • Jumlah Kekayaan: $810 juta


#5 – Kamarudin Meranun

kamarudin-meranun
  • Datuk Kamarudin Meranun merupakan tokoh terkemuka dan antara pemegang saham serta pengasas bersama dalam syarikat penerbangan Air Asia.
  • Merupakan rakan kongsi Tony Fernandes, beliau juga adalah Timbalan Pengarah Eksekutif Air Asia Berhad sejak Disember 2001.
  • Merupakan orang ke-20 terkaya di Malaysia.
  • Jumlah Kekayaan: $635 juta


#6 – Ahmayuddin bin Ahmad

ahmayuddin-ahmad
  • Merupakan pengasas bersama yang memegang saham sebanyak 17% dalam Westport Malaysia, terminal terbesar di Pelabuhan Klang.
  • Kini berusia 56 tahun, beliau merupakan Pengarah Westport Holdings Sdn Bhd dan Pengarah Kuala Lumpur Sentral.
  • Merupakan orang ke-32 terkaya di Malaysia.
  • Jumlah Kekayaan: $315 juta


#7 – Eleena Azlan Shah

Raja-Eleena-Azlan-Shah
  • YAM Raja Eleena Sultan Azlan Shah merupakan anak perempuan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
  • Dilahirkan pada 3 April 1960, beliau merupakan Pengarah syarikat Gamuda yang merupakan sebuah syarikat pembinaan terbesar di Malaysia.
  • Merupakan orang ke-41 terkaya di Malaysia.
  • Jumlah Kekayaan: $200 juta


#8 – Abdul Hamed Sepawi

abdul-hamed-sepawi
  • Datuk Abdul Hamed Sepawi merupakan antara tokoh dalam industri pembalakan dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan hutan.
  • Berusia 64 tahun, beliau merupakan Pengerusi Naim Holdings Berhad, Sarawak Energy Berhad, and Ta Ann Holdings Berhad.
  • Merupakan orang ke-43 terkaya di Malaysia.
  • Jumlah Kekayaan: $167 juta


#9 – Nazir Razak

nazir-razak
  • Dato’ Seri Mohd Nazir merupakan anak bongsu kepada Perdana Menteri Malaysia ke-2, Tun Abdul Razak dan merupakan adik kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Najib.
  • Dilahirkan pada tahun 1966 di Kuala Lumpur, beliau merupakan tokoh perbankan yang mengetuai bank ke-5 terbesar di ASEAN, CIMB. Beliau juga merupakan Pengarah Urusan & CEO CIMB Group.
  • Merupakan orang ke-49 terkaya di Malaysia.
  • Jumlah Kekayaan: $147 juta


#10 – Hamdan Mohamad

hamdan-mohamad
  • Tan Sri Hamdan Mohamad merupakan antara tokoh usahawan Melayu yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa dalam industri pembinaan dan insfrastruktur.
  • Berusia 57 tahun, beliau merupakan Pengarah Eksekutif, Presiden dan CEO Ranhill Berhad yang menguasai 56.9% pegangan saham syarikat.
  • Merupakan orang ke-50 terkaya di Malaysia.
  • Jumlah Kekayaan: $145 juta


(Sumber gambar: Forbes,  qippy, fhyzal