Adakah
anda sanggup keluarkan wang satu ringgit dari poket anda dan
koyak-koyakkannya? Pastinya jawapan anda adalah, TIDAK. Sebab
apa? Sebab anda tidak akan membazir wang sebegitu. Tetapi, tanya pada
diri sendiri. Pernah atau tidak anda membeli majalah atau buku, dan
meletakkanya ke tepi di mana kemudian anda tidak sempat membacanya? Atau
membeli baju baru, dan hanya sedar selepas beberapa bulan anda hanya
memakainya sekali sahaja? Pernahkah anda membeli sesuatu yang anda
rasakan amat anda mahukannya, tetapi, sedar tak sedar, anda tidak
perlukannya?
Pastinya pernah bukan? Ianya terjadi pada ramai antara
kita.
Apabila
melihat wang ringgit di tangan, semestinya kita sayangkannya oleh
kerana penat lelah kita bekerja untuk mendapatkannya. Tetapi, bila
datangnya masa untuk berbelanja dan membeli, adakalanya nilai barang
yang dibeli sudah tidak dapat dilihat, dan di sini pembaziran pun
berlaku.
Berikut adalah 6 sebab mengapakah pembaziran berlaku:
Kita memberi alasan untuk berbelanja
Kita
sering memberi sebab mengapa kita perlu berbelanja, seperti "aku dah
kerja keras, aku berhak berbelanja untuk kepuasan diri". Tidak kira,
sama ada untuk membeli sesuatu yang mahal, makan minum yang mewah atau
percutian diluar kemampuan. Adakalanya juga kita yakinkan diri sendiri
untuk menjaga ego kita bahawa kita mampu berbelanja sedemikian.
Kita tak
mahu dilihat kedekut
Adakalanya
kita fikirkan apa orang lain berangapan mengenai kita. Kita rasakan
orang akan menganggap kita kedekut sekiranya kita kurang berbelanja.
Untuk meningkatkan keyakinan diri, kita berbelanja supaya mendapat apa
yang dianggap persetujuan dari orang lain.
Kita rasakan ianya sukar untuk memahami kewangan
Alasan
tidak memahami perihal kewangan juga
sering diberi, seperti, "aku tak pandai dengan angka", "aku tak akan
jadi kaya", sukarnya memahami pelaburan" dan sebagainya. Alasan sebegini
juga mengukuhkan lagi sebab mengapa kita perlu berbelanja dan membazir
dan tidak pula menyimpan dan melabur.
Kita suka pada kepuasan sebentar
Apabila emosi menguasai perasaan ingin membeli, pastinya kita akan membeli sesuatu itu, tidak kira sama ada perlu ataupun tidak. Kepuasan sementara yang dialami apabila mengeluarkan wang dan mendapatkan sesuatu itu dirasa bagaikan satu nikmat yang amat sangat.
Kita tidak mengaku (atau tahu) berapa sebenarnya perbelanjaan kita
Pernah
kah kita mengira berapa sebenarnya perbelanjaan bulanan anda dengan
tepat? Selalunya tidak. Mungkin anda mengira bil telefon anda, bayaran
rumah, ansuran kereta, bajet makan minum sebulan, serta anda juga
mengira wang untuk hiburan dan
sebagainya. Tetapi, bagaimana pula dengan perbelanjaan yang datangnya
sekali sekala seperti bayaran insurans kereta dan cukai jalan, bayaran
servis kereta, baik pulih rumah, temujanji doktor gigi setahun sekali
dan sebagainya? Adakah perbelanjaan sekali sekala ini dikira dalam bajet
bulanan? Selalunya tidak dan ini yang mengakibatkan kita tidak dapat
lihat perbelanjaan sebenar dan mengakibatkan pula kita berbelanja lebih.
Kita
melengah-lengahkan masa menguasai wang
Saya
yakin ramai antara kita ingin memperbaiki kewangan diri. Sama ada
dengan cara ingin melabur, atau ingin memulakan perniagaan atau ingin
pelajari skil baru untuk menambahkan lagi pendapatan. Namun, kita
melengah-lengahkan masa dan tidak meletakkan ini sebagai prioriti.
Akibatnya, kita berbelanja dam membazir sehingga tiba waktu yang terbaik
untuk kita mulakan langkah kita memperbaiki kewangan.
Dengan
memahami
dan mengetahui sebab kita membazirkan wang, maka kita setapak lagi
kehadapan dalam memahami tabiat kewangan kita. Mudahan kita akan ingat 6
sebab ini sebelum kita melakukan pembaziran.