Oleh: Irfan Khairi
Apakah
nilai yang anda letakkan pada diri anda
sendiri? Dengan meletakkan nilai pada diri kita sendiri, bukan sahaja
kita akan lebih menghargai masa, tetapi juga memudahkan kita membuat
sesuatu keputusan.
Nilai
yang saya maksudkan ini adalah nilai dalam bentuk wang- ringgit
Malaysia. Sekadar contoh,bayangkan seorang konsultan yang berpendapatan
RM300 satu jam apabila mengendalikan pelanggan. Masanya adalah lebih
berharga untuk mengendalikan
pelanggan berbanding dengan mungkin keluar membeli peralatan pejabat
yang boleh diagihkan kepada orang lain.
Seperti
contoh di atas, usahawan tersebut dapat meluangkan masa kepada perkara
yang lebih penting dan menjimatkan masanya. Dalam waktu yang sama dapat
membuat keputusan sama ada perlu bersama pelanggan atau keluar membeli
peralatan pejabat mengikut nilai aktiviti tersebut.
Sebagai
usahawan, ianya peting untuk meletakkan nilai pada diri sendiri.
Tetapi ia juga tidak bermakna mereka yang bukan usahawan tidak perlu
meletakkan nilai pada diri.
Memberi
nilai kepada diri kita sendiri akan membuatkan kita lebih menghargai
diri, dari segi masa yang diluangkan, kerja yang dihasilkan, juga usaha
yang
ditaburkan. Bila kita merasakan nilai kita tinggi, maka, pastinya kita
tidak mahu membuang masa. Kerana setiap waktu yang beredar, akan
digunakan dengan sebaiknya seperti nilai yang diletakkan.
Bayangkan
kita meletakkan nilai kita kini satu jam, bernilai RM1. Pastinya, kita
umpama tidak perlu menghagai masa kerana nilai satu jam atau dua jam
yang berlalu hanya RM1-RM2. Tetapi bayangkan sekiranya
nilai kita satu jam adalah RM100 untuk satu jam. Apa yang akan dirasa
adalah, setiap jam tersebut adalah amat berharga kerana nilai kita
tinggi. Bagaimana perasaan sekiranya 2 jam berlalu pada tahap nilai kita
RM100 sejam? Pastinya kita akan rugi RM200! Besar tu.
Keadaan
yang sama juga untuk menjelaskan konsep ini, pada hasil kerja dan
usaha. Sekiranya kita meletakkan nilai wang pada hasil kerja
dan usaha kita rendah, pastinya ia tidak dihargai dan mungkin kualiti
kerja dan usaha juga adalah rendah.
Tetapi
bayangkan anda seperti seorang doktor pakar bedah di mana nilai anda
adalah amat tinggi. Pastinya setiap pembedahan yang anda lakukan adalah
dengan amat teliti dan berkualiti- setaraf dengan nilai sendiri.
Berita baiknya adalah, anda tidak perlu menjadi pakar
bedah, untuk mempunyai nilai yang tinggi. Oleh kerana, nilai anda, anda
yang tetapkan dalam diri anda sendiri. Ianya bukan berdasarkan gaji anda
ataupun keuntungan perniagaan anda. Nilai, anda anda yang tetapkan 100%
oleh kerana tujuannya adalah untuk menjadikan anda sendiri lebih
produktif apabila meletakkan nilai wang pada waktu anda.
Manusia mempunyai otak yang amat hebat berbandingkan
dengan komputer yang paling hebat di dunia. Tubuh badan kita juga adalah
jauh lebih maju dari apa sahaja robot yang pernah dicipta. Deria kita
adalah amat canggih berbanding dengan apa sahaja ciptaan manusia yang
lain. Di sini sahaja, nilai kita adalah terlalu besar untuk diletakkan.
Sekiranya
kita yakin bahawa nilai kita adalah jauh
lebih tinggi dari apa yang kita rasakan kini, ini akan meningkatkan lagi
keyakinan diri kita dan membuatkan kita lebih menghargai diri, masa dan
hasil kerja.
Soalannya, berapakah nilai RM yang anda letakkan pada diri anda sendiri? Lakukan aksi harian anda berdasarkan nilai tersebut.