Wednesday, July 9, 2014

Duit Hangus, Lebur dan Lesap!

Oleh: Irfan Khairi

Kesian bila setiap kali terbaca berita penipuan wang berlaku. Mangsa hilang beribu atau berpuluh ribu ringgit lesap di tangan si penipu. Ada juga keadaan di mana ianya satu skema terancang yang melibatkan sekumpulan penipu wang.

Berbagai-bagai cara penipuan wang berlaku hari ini, dari skim cepat kaya melalui Internet, teknik mendapatkan username dan password peribadi akaun kewangan melalui Internet, pertandingan gores dan menang yang menyeleweng, memenangi loteri yang tidak pernah sertai, mendapat durian runtuh dari seseorang usahawan di Nigeria, tabung derma yang tidak wujud  dan sebagainya.

Apatah lagi apabila kes penipuan wang ini melibatkan kenalan atau ahli keluarga sendiri. Yang selalu terjadi apabila kes "business partner buat hal" melesapkan wang kita. Ketika hendak mulakan perniagaan sama-sama berkobar-kobar. Tetapi bila memberi kepercayaan kepada seseorang, lesap pula wang dan tidak pernah berangkat handphone apabila cuba hubungi.
Semakin hari, semakin licik skim penipuan wang. Pada dasarnya, dilihat seperti sesuatu yang sah. Namun disebalikya satu perancangan yang rapi untuk meleburkan wang yang bertungkus lumus kita kumpulkan.

Perkara ini terjadi bukanlah pada mereka yang kurangnya ilmu sahaja. Sering kali juga terjadi kepada golongan yang berpendidikan dan pangkat tinggi. Kes penipuan wang sememangnya tidak kira mangsa. Asalkan mempunyai wang, maka sesiapa sahaja boleh menjadi sasaran pemangsa.

Mungkin juga pernah terjadi kepada kita. Tidak kira mungkin sekadar berpuluh ringgit sahaja atau berates. Apabila nilainya kecil, selalunya kita akan tutup sebelah mata sahaja. "Alah, biarlah... RM20 je...". Namun, bagi pemangsa yang telah menipu 1,000 orang, telah mendapat habuan haram RM20,000!

Ada juga yang tertipu dengan nilai yang lebih besar mencecah ribuan ringgit atau berpuluh ribu ringgit. Namun, tidak melakukan apa-apa tindakan dan hanya senyap sahaja. Mungkin kerana perasaan malu untuk kedepan. Takut nanti apa pula orang kata "Tu lah... nak cepat kaya sangat! Dah lesap RM10,000!". Ataupun mungkin tidak tahu bagaimana hendak meneruskan tindakan dengan cara yang betul.

Atas sebab-sebab ini, makin menjadi-jadi pula kes penipuan merata-rata.

Sebagai pengguna, kita perlu berhati-hati dan mempunyai kesedaran perkara ini terjadi disekeliling kita dan boleh terjadi pada diri kita sendiri pada bila-bila masa sahaja. Apabila wang kita hangus, lebur dan lesap dek penipu wang, bukan sahaja kehilangan wang. Tetapi merugikan masa dan usaha kita dalam mendapatkan wang dan mengumpulnya sebelum itu. Bukan itu sahaja, juga tekanan dari segi mental yang diberikan pada diri kita sendiri pastinya sungguh dasyat tambah-tambah lagi sekiranya jumlah wang itu besar. Ada juga melibatkan masalah rumah tangga.

Berhati-hati sekiranya terdapat janji-janji pulangan yang tidak masuk akal atau too good to be true. Berhati-hati apabila mendapat tawaran dari mereka yang anda tidak kenali dan sekiranya mereka anda kenali, pastikan anda sendiri melakukan penyelidikan secukupnya. Dan berhati-hati juga apabila terdapat gerak hati dan suara hati anda sendiri terasa ragu-ragu untuk meneruskan sesuatu transaksi. Selalunya mereka yang tertipu mempunyai gerak hati dan dapat merasakan sesuatu yang tidak kena sebelum terkena.  Wang anda adalah tanggungjawab anda.