Zeti Akhtar Aziz
Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
 
KUALA LUMPUR - Satu platform antarabangsa penting untuk mempermudah penyelarasan dan tadbir urus dasar yang berkesan di samping menangani risiko kewangan dalam menghadapi liberalisasi kewangan yang semakin meluas.

Ketika membuat saranan itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata dimensi rentas sempadan dalam penggubalan dasar belum meluas, meskipun pada peringkat antarabangsa sudah ada pelbagai reformasi kewangan untuk memperkukuh daya tahan sektor kewangan.

Keadaan ini juga wujud meskipun kejutan-kejutan merebak pantas dalam ekonomi global dan sistem kewangan antarabangsa berikutan krisis 2008 yang menjejaskan kestabilan baik ekonomi sedang muncul, mahupun sistem kewangan yang lebih maju.

Untuk mempermudah tindakan membuat keputusan dasar yang berkesan, kata Zeti, perlu ada platform dan proses tadbir urus bagi penyelarasan dasar di semua agensi dalam sesebuah ekonomi, dan ini seterusnya perlu diperluaskan bagi tindakan bersama di peringkat serantau dan antarabangsa.

Persetujuan bagi kerjasama dan penyelarasan dasar di kalangan institusi belum mencapai tahap yang sepadan dengan tahap penyepaduan ekonomi dan kewangan global, tegas beliau.

"Walaupun usaha persendirian oleh sesebuah ekonomi itu penting , namun ia tidak lagi dapat menjamin kestabilan kewangan global," kata beliau dalam ucapannya, bertajuk "Kestabilan Kewangan Global dan Pengantarabangsaan Sistem Kewangan dalam Ekonomi Sedang Muncul" pada Persidangan Euromoney-Qatar di Doha Selasa.

Teks ucapan beliau dikeluarkan di sini hari ini.

Ekonomi-ekonomi baru muncul yang lebih terbuka dan bersepadu dengan ekonomi global dan sistem kewangan antarabangsa paling terjejas oleh perkembangan-perkembangan ini.

Zeti menegaskan bahawa krisis itu, mahu tidak mahu, telah menunjukkan pentingnya dimensi dasar yang bersifat antarabangsa memandangkan hakikat bahawa ia mengakibatkan pengangguran yang tinggi di banyak negara di dunia.

Oleh kerana tekanan kewangan dalam satu-satu segmen khusus mungkin tidak lagi terbatas kepada segmen itu sahaja, sebaliknya mungkin dengan pantas menular kepada keseluruhan sistem kewangan, "tindak balas secara berasingan tidak mencukupi", katanya bagi menegaskan tentang iktibar yang harus diambil daripada krisis kewangan itu. 

"Ia memerlukan tindak balas menyeluruh untuk memastikan keadaan yang tegang itu tidak berubah menjadi krisis kewangan yang besar," katanya.

Antara pengajaran penting ialah, risiko terhadap kestabilan kewangan yang semakin bertapuk perlu dikenal pasti awal-awal lagi kerana tindakan persediaan akan mengurangkan akibat krisis ke atas sistem kewangan dan ekonomi.

Pihak-pihak berkuasa kawal selia juga perlu diberikan kuasa sewajarnya untuk menguruskan risiko terhadap kestabilan kewangan, manakala adunan dasar optimal mungkin bukan sahaja perlu merangkumi tindakan dasar untuk menyelesaikan isu-isu jangka terdekat, malah juga pada masa yang sama menyelesaikan isu-isu yang mendasari masalah.

Zeti berkata, kesedaran juga harus ada terhadap pentingnya keadaan-keadaan yang membolehkan dasar yang dilaksana menghasilkan keputusan yang diinginkan.

Sungguhpun faedah-faedah pelonggaran kewangan itu besar, namun ia juga boleh memburukkan lagi implikasi tekanan kewangan  dari negara-negara lain di dunia ke atas sistem kewangan domestik, serta menonjolkan dan meningkatkan lagi kitaran gelembung dan ledakan aset.

Beliau juga mengingatkan bahawa aliran modal yang pasang surut mungkin bukan sahaja menjejaskan kecekapan fungsi pasaran kewangan, malah juga boleh mengakibatkan kadar pertukaran yang tidak sejajar, yang tidak mencerminkan asas fundamental.

"Risiko dan kerapuhan yang mungkin timbul ini terus menjadi cabaran bukan sahaja kepada ekonomi-ekonomi sedang muncul, malah juga sistem kewangan dan ekonomi yang lebih maju," katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa mengantarabangsakan sistem kewangan terlalu awal boleh mengakibatkan wujudnya keadaan-keadaan yang amat menjejaskan kestabilan, dan itulah sebabnya proses liberalisasi perlu pragmatik, dengan mengambil kira matlamat berbeza-beza yang perlu dicapai.

"Dengan pembangunan prasarana kewangan, perlindungan dan penampanan yang mencukupi, ekonomi-ekonomi baru muncul berpotensi besar untuk mengambil bahagian dalam sistem kewangan yang lebih bersepadu di peringkat antarabangsa, yang akan membantu untuk sama-sama memperkukuh pertumbuhan dan pembangunan global," kata Zeti. - Bernama