Wednesday, September 3, 2014

Pakai simple, tapi kaya. Pakai smart tapi miskin.

Oleh Irfan Khairi
Adakalanya ketika di pusat membeli belah, saya perasan keadaan di mana seorang makcik berpakaian serba sederhana sedang meninjau-ninjau barangan, tidak dilayan. Tetapi, seorang lelaki yang berpakaian serba segak berkot dan tali leher, amat pantas dilayani 2 orang jurujual.
Memang menjadi lumrah, yang cantik dan bergaya akan diberi perhatian. Kata orang putih Don't judge a book by it's cover, yang bermaksud jangan sesekali melihat pada luaran sahaja kerana dalaman tiada siapa yang tahu.
Siapa tahu, mungkin makcik yang sedang meninjau-ninjau barangan berpakaian serba sederhana itu adalah seorang usahawan jutawan? Tidak siapa tahu juga, lelaki segak yang berpakaian hebat mungkin hutang keliling pinggang dan terkejar-kejar membayar bayaran kereta setiap bulan.
Pada hakikatnya, ramai yang berpegang pada pepatah "Biar papa asal bergaya". Hujung bulan, tidak hirau bank berbaki negatif asalkan bergaya dengan kereta mewah dan pakaian segak.
Konsep sebegini semestinya adalah salah. Namun tulisan saya kali ini bukan untuk memberi teknik dan strategi berjimat dan menyimpan, tetapi, lebih kepada hubungan antara wang dan cara kita melihat diri kita sendiri.
Selalunya, apabila memilikki wang, ia memberi keyakinan diri yang tinggi pada seseorang, berbanding dengan seseorang yang tidak mempunyai wang. Wang seolah-olah mempunyai kaitan dengan keyakinan diri kita sendiri. Adakalanya juga wang akan membuat kita rasa gembira apabila sedang bersedihan bila kita keluar melakukan terapi membeli belah. Tetapi, ada kalanya juga, boleh membuatkan kita marah dan sedih bila kekurangan wang untuk belanja pada isi rumah dan keluarga.
Berbalik kita kepada persoalan seseorang yang memakai pakaian yang kemas, berkot dan bertali leher dibandingkan dengan seseorang yang berpakaian agak ringkas mungkin hanya baju T dan berseluar jeans. Pastinya juga, seseorang yang memakai pakaian kemas akan dapat merasakan keyakinan diri pada diri sendiri meningkat. Sebagai tambahan, orang sekeliling juga mungkin melayan mereka dengan lebih baik juga akan menambahkan lagi keyakinan.
Namun tidak bermakna juga seseorang yang memakai baju T dan jeans tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Saya teringat beberapa ikon keusahawanan yang saya minati seperti Richard Branson dan Steve Jobs yang merupakan bilionair, sering mengenakan pakaian ringkas walaupun di majlis rasmi. Ini kerana, bagi mereka, keyakinan diri tidak datang daripada cara pemakaian.
Ianya bergantung kepada individu itu sendiri. Keyakinan diri tidak semestinya datang daripada wang sahaja. Ianya dikatakan rezeki datang dalam pelbagai cara. Bukan hanya wang. Kesihatan, keluarga bahagia, ilmu pendidikan, kenalan, saudara mara dan sebagainya juga adalah rezeki seseorang itu. Dengan melihat positif semua rezekki yang kita miliki dan menjadikannya picu untuk meningkatkan keyakinan diri, seseorang itu tetap dapat merasakan keyakinan diri meningkat.
Apa yang perlu diingat adalah, seperti pepatah don't judge a book by it's cover. Orang yang pakai simple, jangan disangka tidak berduit. Orang pakai kot, kemeja, tali leher dan slack, tak semestinya kaya. Apa yang penting adalah, untuk melayan semua insan dengan baik tidak kira gaya dan penampilan. Tidak kira kaya ataupun miskin.