Tuesday, December 31, 2013

7 contoh isteri yang sering diceraikan


Di dunia ini ada pelbagai jenis wanita. Isteri yang baik atau wanita solehah, adalah harta simpanan yang terbaik bagi seorang suami.

Rasulullah Shallallahu' alaihi Wasallam bersabda, " Mahukah kamu keberitahu suatu harta simpanan (perhiasan) yang sangat baik? Iaitu wanita solehah, yang apabila kamu melihatnya, ia menyeronokkan. Apabila kamu perintah, dia patuh. Dan apabila ditinggal pergi, dia selalu menjaga diri dan harta suaminya. " (Riwayat Abu Dawud)

Kalau dilihat dia menyenangkan, itu disebabkan budi yang luhur, pakaian bersih, dandanan yang serasi di hadapan suaminya dan berusaha yang terbaik untuk tampil menarik hanya di depan suami dan anak-anaknya.

Jika diperintahkan, dia akan patuh, menunjukkan ketaatan dan baktinya pada suaminya. Dia ingin selalu memberikan kepuasan bagi suaminya.

Sentiasa memelihara diri dan harta suaminya, menggambarkan betapa besar kekuatan agama dan ketebalan imannya terhadap ALLAH dan Rasul-Nya. Apabila suaminya tidak ada, dia tetap memelihara kehormatan diri dan harta suaminya.

Bila seorang wanita tidak solehah dan mempunyai sifat atau kebiasaan yang buruk, suka menyusahkan suaminya tentulah itu bukan perhiasan bagi seorang suami. Bahkan, boleh jadi suami tidak suka bersamanya, kemudian menceritakannya.

Jika engkau, wahai isteri menginginkan rumah tangga yang bahagia di dunia dan akhirat, buanglah jauh-jauh dari dirimu tujuh sifat tersebut. Bila tidak, engkau celaka di dunia dan akhirat .

Berikut ini tujuh jenis wanita yang sering diceraikan suami.

1. Tidak punya rasa malu . Yang tidak malu melakukan hal-hal yang dilarang ALLAH. Dia jauh dari sifat takwa dan banyak melakukan maksiat.

2. Ausyarah (kotor) iaitu tidak pandai mengatur rumah, malas mengemas diri, dan malas melakukan apa-apa sehingga dirinya, anak-anak dan rumahnya kotor dan tidak menyenangkan.

3. Asysyakasah (berani/mencabar) iaitu suka membebankan suaminya di luar kemampuannya sehingga mendorong suami melakukan hal hal yang dimurkai ALLAH.

4. Innah (berani/mencabar) yang tidak mahu diperintah suaminya untuk melakukan hal-hal yang baik. Berani melanggar apa yang diperintahkan, bahkan menentang si suami dengan tetap melakukan maksiat.

5. Bitnah (mementingkan isi perut dan banyak menuntut) yang tidak suka berinfak dan enggan mengeluarkan zakat. Selalu terkumpul harta kekayaan dan mengenyangkan perut dengan makanan-makanan yang tiada habisnya. Tidak terlintas dibenaknya untuk menyumbangkan kepada fakir miskin dan anak yatim. Untuk memenuhi segala keinginan nafsunya, dia mendorong suaminya untuk melakukan hal-hal yang boleh mendatangkan kemurkaan ALLAH.

6. Bahriyah (mendorong suami untuk berbuat jahat) iaitu selalu menghalang suami untuk berbuat baik. Jika melihat suami menyisihkan beberapa peratus dan pendapatan untuk zakat dan infak, dia sibuk mencerca dan mengadu pada suami tentang keadaan ekonomi rumah tangga, keperluan anak yang semakin membesar, pakaian yang telah koyak, kasut yang telah usang dan sebagainya sehingga suami menjadi ragu- ragu.

7. Tidak aktif iaitu malas berbuat apa-apa. Tidak mempunyai keinginan untuk menambah ilmu duniawi maupun ukhrawi .


Sumber : Majalah Fatwa Jilid IV No 12 I Zulhijjah 1429 H

*Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber islampos.com

Wednesday, December 18, 2013

6 sebab kita MEMBAZIR WANG

Oleh Irfan Khairi

Adakah anda sanggup keluarkan wang satu ringgit dari poket anda dan koyak-koyakkannya? Pastinya jawapan anda adalah, TIDAK. Sebab apa? Sebab anda tidak akan membazir wang sebegitu. Tetapi, tanya pada diri sendiri. Pernah atau tidak anda membeli majalah atau buku, dan meletakkanya ke tepi di mana kemudian anda tidak sempat membacanya? Atau membeli baju baru, dan hanya sedar selepas beberapa bulan anda hanya memakainya sekali sahaja? Pernahkah anda membeli sesuatu yang anda rasakan amat anda mahukannya, tetapi, sedar tak sedar, anda tidak perlukannya?

Pastinya pernah bukan? Ianya terjadi pada ramai antara kita.

Apabila melihat wang ringgit di tangan, semestinya kita sayangkannya  oleh kerana penat lelah kita bekerja untuk mendapatkannya. Tetapi, bila datangnya masa untuk berbelanja dan membeli, adakalanya nilai barang yang dibeli sudah tidak dapat dilihat, dan di sini pembaziran pun berlaku.

Berikut adalah 6 sebab mengapakah pembaziran berlaku:

Kita memberi alasan untuk berbelanja

Kita sering memberi sebab mengapa kita perlu berbelanja, seperti "aku dah kerja keras, aku berhak berbelanja untuk kepuasan diri". Tidak kira, sama ada untuk membeli sesuatu yang mahal, makan minum yang mewah atau percutian diluar kemampuan. Adakalanya juga kita yakinkan diri sendiri untuk menjaga ego kita bahawa kita mampu berbelanja sedemikian.

Kita tak mahu dilihat kedekut

Adakalanya kita fikirkan apa orang lain berangapan mengenai kita. Kita rasakan orang akan menganggap kita kedekut sekiranya kita kurang berbelanja. Untuk meningkatkan keyakinan diri, kita berbelanja supaya mendapat apa yang dianggap persetujuan dari orang lain.

Kita rasakan ianya sukar untuk memahami kewangan

Alasan tidak memahami perihal kewangan juga sering diberi, seperti, "aku tak pandai dengan angka", "aku tak akan jadi kaya", sukarnya memahami pelaburan" dan sebagainya. Alasan sebegini juga mengukuhkan lagi sebab mengapa kita perlu berbelanja dan membazir dan tidak pula menyimpan dan melabur.

Kita suka pada kepuasan sebentar

Apabila emosi menguasai perasaan ingin membeli, pastinya kita akan membeli sesuatu itu, tidak kira sama ada perlu ataupun tidak. Kepuasan sementara yang dialami apabila mengeluarkan wang dan mendapatkan sesuatu itu dirasa bagaikan satu nikmat yang amat sangat.

Kita tidak mengaku (atau tahu) berapa sebenarnya perbelanjaan kita

Pernah kah kita mengira berapa sebenarnya perbelanjaan bulanan anda dengan tepat? Selalunya tidak. Mungkin anda mengira bil telefon anda, bayaran rumah, ansuran kereta, bajet makan minum sebulan, serta anda juga mengira wang untuk hiburan dan sebagainya. Tetapi, bagaimana pula dengan perbelanjaan yang datangnya sekali sekala seperti bayaran insurans kereta dan cukai jalan, bayaran servis kereta, baik pulih rumah, temujanji doktor gigi setahun sekali dan sebagainya? Adakah perbelanjaan sekali sekala ini dikira dalam bajet bulanan? Selalunya tidak dan ini yang mengakibatkan kita tidak dapat lihat perbelanjaan sebenar dan mengakibatkan pula kita berbelanja lebih.

Kita melengah-lengahkan masa menguasai wang

Saya yakin ramai antara kita ingin memperbaiki kewangan diri. Sama ada dengan cara ingin melabur, atau ingin memulakan perniagaan atau ingin pelajari skil baru untuk menambahkan lagi pendapatan. Namun, kita melengah-lengahkan masa dan tidak meletakkan ini sebagai  prioriti. Akibatnya, kita berbelanja dam membazir sehingga tiba waktu yang terbaik untuk kita mulakan langkah kita memperbaiki kewangan.
Dengan memahami dan mengetahui sebab kita membazirkan wang, maka kita setapak lagi kehadapan dalam memahami tabiat kewangan kita. Mudahan kita akan ingat 6 sebab ini sebelum kita melakukan pembaziran.

Monday, December 16, 2013

PR1MA perkenal program bantuan pembeli rumah

14 Disember 2013


  • PR1MA 
KUALA LUMPUR - Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan memperkenalkan program bantuan pembeli rumah pada awal tahun depan bagi membantu mereka yang tidak layak untuk pinjaman perumahan daripada bank-bank tetapi telah dipilih untuk memiliki rumah perumahan rakyat 1Malaysia.
  
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, PR1MA kini bekerjasama dengan rakan kongsi untuk membangunkan skim pembiayaan khas itu dan sedang menyiapkan butiran akhir.
  
Bercakap kepada Bernama dalam satu temu bual di sini, Abdul Mutalib berkata terdapat pembeli yang berjaya dalam pengundian telah gagal mendapat pembiayaan bank.
  
"Kami pernah melihat orang menangis selepas berjaya dalam pengundian kerana mereka tidak boleh mendapat pembiayaan. Kami berpendapat perlu ada mekanisme lain yang kami boleh memberikan bantuan, oleh itu adanya program bantuan pembeli kami ini," katanya.
  
Meskipun PR1MA berharap peratusan pembeli yang mendapat pembiayaan bank meningkat, terdapat keperluan untuk mereka bentuk skim seumpama itu untuk bertindak sebagai penampan.
  
"Program sebegini terdapat dalam Akta PR1MA 2012. PR1MA dibenarkan untuk mengadakan pelbagai program bantuan bagi membantu pembeli yang disasarkan yang tidak boleh mendapatkan pembiayaan. Setakat ini, kita hanya bergantung kepada pembiayaan bank," kata Abdul Mutalib.
  
Beliau berkata, akan terdapat dua skim iaitu 'Pelan Sewa & Bayar' serta 'Pelan Sewa & Tinggal' untuk dipilih pembeli dan apabila mereka mampu mendapatkan pembiayaan bank, mereka boleh membeli rumah itu pada harga asal.
  
"Secara progresif, apabila pendapatan mereka meningkat, mereka akan boleh mendapatkan pembiayaan bank dan menukar skim ini pada pembiayaan tradisional biasa pada harga asal," katanya.
  
Sebagai contoh, Abdul Mutalib berkata bagi sebuah hartanah berharga RM200,000, pertamanya, pembeli memerlukan wang pendahuluan kira-kira RM20,000.
  
"Selain itu, untuk melayakkan diri kepada pinjaman, mereka perlu mempunyai pendapatan isi rumah sebanyak RM3,865 sebulan. Bagi hartanah berharga RM400,000 pula, jumlahnya RM7,700, dan seterusnya.     Bayaran bulanan pula, antara RM966 hingga RM1,933," katanya.
  
PR1MA yang menyedari ada dalam kalangan pembeli yang tidak dapat memenuhi keperluan ini, memutuskan untuk menangani masalah kewangan mereka, katanya.
  
"Kami tidak mahu melihat keadaan di mana pembeli kecewa, selepas berjaya dalam pengundian, mereka tidak boleh mendapatkan rumah. Kami mahu orang ramai tidak putus harapan," katanya.
  
Skim ini juga dibuka kepada pemohon yang mencari rumah kedua.
  
"Kami sentiasa menegaskan bahawa mereka yang sudah memiliki rumah layak memohon PR1MA. Rasionalnya adalah mudah. Sesetengah orang telah membeli sebuah rumah di lokasi yang tidak menguntungkan kerana itu yang mereka mampu pada masa itu.
  
"Bagi kami tidak membenarkan mereka untuk tidak mengambil bahagian adalah tidak adil, tetapi sudah tentu kewajaran diberikan lebih kepada mereka yang tidak memiliki rumah," kata Ahmad Mutalib.
  
Beliau berkata, banyak orang mempunyai salah tanggapan bahawa PR1MA hanya untuk golongan berpendapatan rendah, dan menggesa orang ramai yang berminat, terutamanya yang golongan muda supaya mendaftar dan memohon.
  
PR1MA merupakan skim perumahan mampu milik di kawasan bandar utama bagi kumpulan berpendapatan sederhana antara RM2,500 hingga RM7,000 sebulan.- Bernama

Langkah Sukar Pelabur Hartanah Untuk Tahun 2014 dan 3 Cara Mengatasinya

December 11, 2013 — Penulis:

Kategori: Artikel / Hartanah / Pelaburan
Bagi yang mengikuti perkembangan saya sejak pada tahun lepas 2012, saya banyak mengenengahkan pembelian dan pelaburan hartanah tanpa modal yang mana terdapat skim-skim yang membantu pembeli rumah pertama mahupun yang bergelar pelabur hartanah.
Topik hari ini adalah untuk menunjukkan secara realitinya keadaan hartanah Malaysia yang mana kerajaan cuba menangani masalah spekulator yang menaikkan harga hartanah.
Dalam Artikel berbahasa Inggeris di ‘Star Online’ yang di tulis oleh Shahanaaz Habib yang bertajuk ‘Business As Usual in Property Market’ beliau menemu-ramah Presiden Insititut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) dan kesimpulan dibuat yang menjadikan kenaikan harga hartanah adalah disebabkan kelab-kelab pelabur hartanah.
Kelab-kelab pelabur hartanah ini bergabung dan membeli hartanah secara pukal dan mereka mengharapkan harga hartanah naik dalam masa akan datang. Ahli kelab ini adalah pelabur dan bukannya pembeli hartanah yang tulen yang mahu tinggal di dalam rumah tersebut.
Maka dengan itu sejak bajet 2013 lagi kerajaan telah mengambil langkah awal bagi mengurangkan gejala spekulator hartanah bagi memberikan peluang kepada pembeli hartanah yang tulen yang memerlukan rumah sebagai keperluan.
Rumah
Persoalannya adakah langkah kerajaan ini akan mengurangkan gejala spekulator dan bagaimana sebenarnya kenaikan harga rumah boleh di kawal? Ini kerana pelabur hartanah ini kebanyakkannya memang mempunyai modal yang tinggi dan mereka hanya perlu ubah strategi pembelian hartanah mereka.
Kenaikan harga hartanah bukan hanya bergantung kepada pelabur hartanah, ianya juga bergantung kepada harga yang ditawarkan oleh pihak pemaju juga dan kebanyakan harga hartanah melalui pihak pemaju memang terlalu tinggi. Alasan mereka terhadap kenaikan harga hartanah adalah disebabkan barang mentah yang tinggi serta kos pengurusan yang meningkat.
Oleh sebab itu, tidak adil juga menyalahkan seratus peratus kepada pelabur hartanah dan saya lihat langkah untuk mengawal kenaikan harga hartanah mesti daripada pihak kerajaan sendiri terhadap semua pihak. Ini kerana harga rumah mampu milik juga mahal daripada yang disangkakan, mungkin tidak semua namun masih ada lagi yang mengeluh dengan harga rumah mampu milik.
Oleh itu saya hendak kongsikan 3 cara atasi bajet 2014 ini dengan lebih tenang.

1. Beli Atau Melabur Hartanah Dengan Tempoh Jangka Masa Panjang

Kebanyakan aset hartanah yang lama seperti di lokasi Bangsar dan lain-lain lokasi yang perdana mengalami kenaikan harga hartanah dalam tempoh masa yang agak panjang.
Jadi sebagai pelabur hartanah atau penyimpan aset, anda seharusnya menyimpan aset anda dalam tempoh yang lama sehingga ada pembeli yang tulen yang mempunyai wang untuk membeli hartanah anda.
Tidak salah untuk anda menyimpan aset sekarang dan menuainya pada masa akan datang walaupun mungkin kenaikan harga tidak seperti dijangkan, namun hartanah pasti akan naik harganya disebabkan kekurangan tanah untuk menampung permintaan yang semakin tinggi.

2. Sewakan Hartanah Anda, Bukan Menjual Terus

Bagi mengelakkan spekulasi harga hartanah yang semakin menjadi-jadi, anda di galakkan mengambil strategi sewa rumah anda bagi mendapat pendapatan pasif setiap bulan.
Jika ada penyewa yang bersetuju dengan harga sewa yang ditetapkan, maka anda tidak perlu risau akan berlaku penindasan terhadap penyewa kerana anda juga menanggung hutang bebas setiap bulan dengan bank.
Pihak penyewa perlulah bertimbang rasa kepada tuan rumah yang sanggup memberikan sewa kepada mereka dan sekaligus suasana menang-menang mesti ada dalam hal muamalat seperti ini.
Kondo

3. Melabur Ikut Kemampuan dan Tidak Berlebihan

Bagi mereka yang baru hendak memulakan pelaburan hartanah, melaburlah dengan bijak dan ikut kemampuan. Di dalam konsep pelaburan, anda mesti tahu had anda dan jika anda mahukan melabur hartanah lebih daripada satu atau dua buah rumah, anda perlu bekerja keras untuk mempunyai kemampuan dalam pelaburan ini.
Paling penting ialah ilmu tentang bagaimana meguruskan rumah pelabura anda supaya anda tidak mengalami kerugian sebelum, semasa dan selepas membeli hartanah anda.
Sejak saya mengendalikan program pelaburan hartanah saya lihat ramai yang mengalami masalah rumah terbengkalai dan juga terikut-ikut membeli dan melabur hartanah tanpa membuat kaji selidik yang lebih mendalam.
Diharapkan artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu pembeli dan pelabur hartanah yang baru yang merasakan mereka sudah tiada peluang untuk membuat pelaburan hartanah pada situasi yang sukar sekarang ini.
Sumber: http://www.thestar.com.my/News/Nation/2013/11/17/Business-as-usual-in-property-market.aspx
Kredit foto: artisticpursuitsezryrahmanasianz

Wednesday, December 11, 2013

Perlu bijak atur kewangan

Kuala Lumpur: Hijrah Wealth Management Sdn Bhd (Hijrah Wealth) melihat pembeli rumah pada hari ini perlu mempunyai pendapatan bulan RM5,000 dan ke atas bagi membolehkan mereka berada di tahap sedikit selesa untuk membuat tabungan deposit perumahan bulanan.
Penasihatnya Rohani Mohd Shahir berkata, pendapatan itu dilihat bersesuaian dengan gaya hidup di bandaraya seperti di Kuala Lumpur yang mempunyai kos sara hidup tinggi.

Beliau berkata, orang ramai perlu bijak mengatur setiap perbelanjaan mereka setiap bulan dengan mencatat peruntukan aktiviti kewangan supaya mereka tidak berbelanja lebih daripada kemampuan.
“Saya membuat pengiraan pendapatan RM5,000 seseorang individu berada di tahap selesa untuk memperuntukkan tabungan deposit pembelian rumah dalam tempoh lima tahun dengan menyertai pelbagai instrumen pelaburan yang ada pada hari ini.

“Jika seseorang itu kerja makan gaji dan berpendapatan kurang dari jumlah berkenaan, mereka boleh mengambil langkah menambah pendapatan dengan membuat perniagaan sampingan seperti perdagangan atas talian yang kini disertai ramai pekerja makan gaji di negara ini,” katanya.

FotoMEMILIKI rumah sendiri menjadi hasrat semua orang. - Gambar hiasan

Faktor pinjaman rumah ditolak

Oleh Hafiz Ithnin

Umum tahu, bukan ramai antara kita mampu membeli kediaman secara tunai. Rata-ratanya memerlukan pembiayaan pihak lain terutama institusi kewangan untuk menanggung sekitar 90 peratus kos pembelian rumah.
Ada antara pembeli gagal mendapatkan pembiayaan perumahan walaupun mempunyai pendapatan bulanan agak tinggi dan berasakan pendapatan berkenaan mampu untuk membayar semula ansuran bulanan kepada pihak bank.

Presiden Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) Datuk Mohd Redza Shah berkata, situasi berkenaan perkara biasa tanpa menyedari terdapat beberapa faktor mengapa pihak bank terpaksa menolak pembiayaan bakal pembeli rumah berkenaan.
Beliau berkata, bank biasanya menilai pendapatan bersih bulanan (NDI) pelanggan yang secara kasar peminjam perlu mempunyai wang di dalam akaun sekurang-kurangnya RM1,000 selepas ditolak semua hutang atau ansuran bulanan dari entiti lain seperti pembiayaan kenderaan, insurans dan kad kredit.

“NDI penting bagi memastikan peminjam tidak mengalami masalah menanggung kos hidup selepas membuat pembayaran semua pembiayaan atau hutang bulanan mereka terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah atau sekitar di bawah RM5,000 sebulan.

“Bank juga tidak mahu dipersalahkan kerana memberi pinjaman di luar kemampuan mereka untuk membayar balik ansuran bulanan dan perkara ini pernah terjadi dalam kalangan kami,” katanya kepada Bisnes Metro.
Redza berkata, bank juga akan menilai ketekalan pembayaran semua kredit bulanan seperti pembayaran pembiayaan peribadi atau hutang kad kredit tertangguh sehingga tiga bulan.

Katanya, sekiranya pemohon ingin mendapat pembiayaan untuk pembelian rumah ketiga dan ke atas, pihak bank akan menilai sama ada rumah berkenaan dibeli untuk didiami atau dijadikan pelaburan.

Monday, December 9, 2013

Along oh along!



Along oh along!

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Terdesak akibat perniagaan merudum, seorang kontraktor syarikat kejuruteraan yang hanya mahu dikenali sebagai Hashim, 63, mengakui dia terpaksa meminjam wang daripada tujuh along semata-mata mahu membayar pelbagai keperluan termasuk gaji pekerja, sewa premis, elektrik dan air.
Pada awalnya saya membuat pinjaman daripada seorang along sembilan bulan lalu sebanyak RM20,000.

Sebelum meminjam, along memberitahu kadar bunga yang dikenakan adalah sebanyak 10 peratus bagi tempoh 12 hari, namun selepas sebulan kadar itu bertukar kepada 10 peratus dalam masa 10 hari.
“Ketika itu, saya masih mampu membayar hutang itu, namun selepas sebulan along menghubungi memaklumkan kadar bunga naik kepada 15 peratus bagi tempoh 10 hari.
“Saya mula menggelabah kerana sebelum ini hanya membayar RM2,400 dalam masa 12 hari, namun selepas kadar bertukar saya perlu membayar sebanyak RM3,000.
“Saya tidak dapat meneruskan bayaran kerana terlalu tinggi sedangkan perniagaan semakin merosot,” katanya.
Walaupun hanya meminjam RM20,000, dia sudah menyelesaikan hutang itu dengan bayaran lebih RM30,000.
Katanya, dalam keadaan kewangan yang teruk, along lain menghubungi dengan menawarkan pinjaman sebanyak RM20,000 bagi membayar hutang.
Akibat terdesak dan ugutan daripada along sebelum ini, dia mengambil keputusan membuat pinjaman daripada tujuh along.
Jumlah semua pinjaman sebanyak RM100,000 dan setakat ini dia sudah membayar lebih RM200,000 kepada tujuh along itu, namun ia masih tidak mencukupi sehinggakan semua along mula memburunya.
Tidak cukup dengan panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS), mereka turut datang ke pejabatnya dan melakukan pelbagai ugutan.
“Takut dengan ugutan itu saya cuba melarikan diri, namun mereka sungguh licik kerana dapat mencari saya ke mana jua.
“Saya kini bimbang dengan keselamatan keluarga kerana mereka sanggup mengganggu kehidupan saya untuk mendapat wang yang dimahukan,” katanya.
Menurutnya, keadaan perniagaan yang merosot dan gangguan along itu membuatkan dia juga berada dalam tertekan hingga menjejaskan kesihatan diri.
“Saya tidak begitu sihat kerana mempunyai penyakit jantung dan bimbang sekiranya gangguan itu akan menjejaskan lagi tahap kesihatan.
“Saya nasihatkan kepada semua supaya tidak membuat pinjaman daripada along walaupun dalam keadaan terdesak kerana ia hanya akan memakan diri dan keluarga,” katanya.
Sehubungan itu, Hashim meminta bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) beberapa minggu lalu kerana tidak mahu along mengganggu dan mendesaknya supaya membuat bayaran tidak munasabah.


Thursday, December 5, 2013

6 Faktor menjadi JUTAWAN!

Oleh Irfan Khairi

Menurut buku the Millionaire's Mind tulisan Dr Thomas Stanley yang memuatkan survey yang dijalankan keatas beribu jutawan, terdapat 6 faktor utama kejayaan seseorang jutawan. 

1. Kemahiran menjual produk dan idea sendiri

Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa kebanyakan jutawan datangnya dari bidang perniagaan. Sebagai usahawan, apa yang penting adalah kebolehan seseorang itu menjual produk dan idea mereka. Seringkali mereka adalah tergolong dalam orang-orang yang pandai berkomunikasi., terutamanya komunikasi dalam menjual produk, perkhidmatan dan juga idea sendiri.

2. Mempunyai semangat persaingan yang tinggi

Seringkali dalam mencapai kejayaan, kita perlu bersaing- sama ada dalam perniagaan atau dalam tangga koprat. Namun begitu, persaingan yang paling penting sekali adalah persaingan dengan diri sendiri, iaitu untuk mencapai kejayaan yang lebih daripada pencapaian kita sebelum ini setiap masa.

3. Mempunyai kualiti kepimpinan yang tinggi

Hanya 2% sahaja daripada kita adalah ketua yang boleh memimpin. 2% itulah seringkali mereka yang berada teratas di dalam industri masing-masing. Pepatah berbunyi "Leaders are readers", mereka yang memimpin selalunya banyak membaca untuk menambahkan ilmu dalam bidangnya tersendiri. Dengan ilmu, ia akan memudahkan kita mengurus dan mengetuai industri kita. Jutawan perlu cekap dalam menguruskan diri, perniagaan dan juga orang lain
4. Mencintai karier dan perniagaan 

Tidak dapat dinafikan lagi, mereka yang bergelar jutawan sememangnya melakukan apa yang mereka suka. Tidak kira sama ada bekerja makan gaji ataupun menjalankan perniagaan, mereka adalah peminat setia kepada industri yang mereka jalani. Mencintai karier dan perniagaan masing-masing adalah bagaikan petrol yang tidak akan kontang bagi sebuah kereta. Keghairahan akan membawa kita mencapai kejayaan tanpa mengira  penat lelah.

5. Bekerja lebih keras berbanding dengan orang lain

Orang keramaian menghabiskan masa kurang dari 50jam seminggu dalam karier atau perniagaan masing-masing. Mereka yang bergelar jutawan pula menghabiskan masa lebih daripada 50jam seminggu. Ramai yang sanggup bekerja sehingga 60-70jam atau lebih seminggu! Ini juga akibat daripada keghairahan yang dimiliki dalam karier atau perniagaan. Untuk mencapai jutawan, seseorang itu perlu keluar dari kepompong kebiasaan dan bekerja lebih keras berbanding orang lain.

6. Berdisiplin

Selalunya kejayaan dicapai apabila kita adalah "boss". Menjadi boss perlu disiplin yang kuat oleh kerana kita tidak mempunyai orang atasan. Sebagai contih, sekiranya menjalankan perniagaan, usahawan tidak perlu menjawab kepada sesiapa pun. Dirinya adalah boss kepada perniagaan sendiri. Tanpa disiplin, pastinya tidak dapat menguruskan perniagaan dengan betul dan lancar. Orang ramai sering mengaitkan menjadi jutawan boleh banyak berehat dan bersantai. Tetapi, sebaliknya yang berlaku kerana sekiranya jutawan banyak berehat dan santai, bagaimana pula dengan karier dan perniagaan? Pastinya dengan lebih banyak pendapatan, maka lebih banyak tanggungjawab atas karier dan perniagaan. Maka disiplin diri adalah penting untuk memastikan segalanya berterusan. 

PS: Alhamdulillah perniagaan Internet telah menjana sejuta RM saya yang pertama ketika berumur 25 tahun satu masa (yang lama) dulu ;) Sekrianya anda ingin mempelajari cara berniaga di Internet, sertai "Diploma Profesional Perniagaan Internet dan Strategi Media Sosial" di Open University Malaysia - IPD dan mulakan tahun 2014 anda dengan sebuah perniagaan Internet yang menjana pendapatan. Klik di sini untuk maklumat lanjut!