Monday, December 9, 2013

Along oh along!



Along oh along!

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Terdesak akibat perniagaan merudum, seorang kontraktor syarikat kejuruteraan yang hanya mahu dikenali sebagai Hashim, 63, mengakui dia terpaksa meminjam wang daripada tujuh along semata-mata mahu membayar pelbagai keperluan termasuk gaji pekerja, sewa premis, elektrik dan air.
Pada awalnya saya membuat pinjaman daripada seorang along sembilan bulan lalu sebanyak RM20,000.

Sebelum meminjam, along memberitahu kadar bunga yang dikenakan adalah sebanyak 10 peratus bagi tempoh 12 hari, namun selepas sebulan kadar itu bertukar kepada 10 peratus dalam masa 10 hari.
“Ketika itu, saya masih mampu membayar hutang itu, namun selepas sebulan along menghubungi memaklumkan kadar bunga naik kepada 15 peratus bagi tempoh 10 hari.
“Saya mula menggelabah kerana sebelum ini hanya membayar RM2,400 dalam masa 12 hari, namun selepas kadar bertukar saya perlu membayar sebanyak RM3,000.
“Saya tidak dapat meneruskan bayaran kerana terlalu tinggi sedangkan perniagaan semakin merosot,” katanya.
Walaupun hanya meminjam RM20,000, dia sudah menyelesaikan hutang itu dengan bayaran lebih RM30,000.
Katanya, dalam keadaan kewangan yang teruk, along lain menghubungi dengan menawarkan pinjaman sebanyak RM20,000 bagi membayar hutang.
Akibat terdesak dan ugutan daripada along sebelum ini, dia mengambil keputusan membuat pinjaman daripada tujuh along.
Jumlah semua pinjaman sebanyak RM100,000 dan setakat ini dia sudah membayar lebih RM200,000 kepada tujuh along itu, namun ia masih tidak mencukupi sehinggakan semua along mula memburunya.
Tidak cukup dengan panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS), mereka turut datang ke pejabatnya dan melakukan pelbagai ugutan.
“Takut dengan ugutan itu saya cuba melarikan diri, namun mereka sungguh licik kerana dapat mencari saya ke mana jua.
“Saya kini bimbang dengan keselamatan keluarga kerana mereka sanggup mengganggu kehidupan saya untuk mendapat wang yang dimahukan,” katanya.
Menurutnya, keadaan perniagaan yang merosot dan gangguan along itu membuatkan dia juga berada dalam tertekan hingga menjejaskan kesihatan diri.
“Saya tidak begitu sihat kerana mempunyai penyakit jantung dan bimbang sekiranya gangguan itu akan menjejaskan lagi tahap kesihatan.
“Saya nasihatkan kepada semua supaya tidak membuat pinjaman daripada along walaupun dalam keadaan terdesak kerana ia hanya akan memakan diri dan keluarga,” katanya.
Sehubungan itu, Hashim meminta bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) beberapa minggu lalu kerana tidak mahu along mengganggu dan mendesaknya supaya membuat bayaran tidak munasabah.