Sunday, April 7, 2013

Bagaimana hendak jadi KAYA?

Artikel Pilihan: Bagaimana hendak jadi KAYA?

 Kongsi ilmu : 
Oleh: Irfan Khairi

Percaya atau tidak sekiranya saya kata, kebanyakan kita yang tidak kaya adalah berpunca dari sebab sindrom 'tak mahu  kaya'? Ok, apa maksud saya?
Maksud saya adalah, jauh di sudut minda kita, mempunyai apa yang dikatakan sebagai "penghalang kekayaan" dan penghalang ini biasanya di bawah kesedaran kita. Kita tidak sedar, tetapi, ianya tetap ada.
Saya teringat ketika saya kecil satu masa dulu, makcik di kampung sering sebut, "Duit banyok pun tak boleh bawok kubo"  (sah orang Perak!) di alih lorat Perak menjadi "Duit banyak pun tak boleh di bawa ke kubur".  Ketika membesar, sering menoton TV cerita-cerita superhero seperti Superman dan Spiderman, di mana watak jahat pastinya orang yang kaya raya, tamak, sombong dan bongkak. Di bangku sekolah rendah dan sekolah menengah pula, kawan-kawan (dan saya juga- pengakuan!) sering mengejek 'anak orang-orang kaya'.  "Eleh, tengok anak orang kaya tu... macam bagus!"
Tak membantu juga, apabila  membaca akhbar, sering kisah jenayah kolar putih terpapar melibatkan wang berjuta dicuri akibat ketamakan wang.
Apa yang terjadi adalah, tanpa disedari berbagai-bagai tanggapan negatif mengenai kekayaan telah masuk ke minda kita yang menjadi penghalang kekayaan. Sejak kita kecil hingga hari ni, berbagai-bagai kisah negatif wang melanda minda kita. Bukan hendak kata tiada yang positif mengenai wang masuk ke minda kita, tetapi sering kali sesuatu yang negatif itu lebih memberi impak kepada pemikiran kita.
Keadaan ini akan membuatkan kita takut pada wang, tak mahu bercakap tentang wang, dan sehingga tidak mahu ambil tahu perihal pengurusan kewangan. Buktinya, tidak ramai yang membincangkan perihal kewangan dan matlamat kewangan bersama keluarga. Ada juga keluarga yang menganggap topik 'wang' sebagai seuatu yang pantang disebut!
Walaupun jauh disudut minda, perasaan ini akan menghalangkan kita mencapai matlamat kewangan kita. Apa yang terjadi adalah, kita sendiri telah mengsabotaj diri kita sebelum berusaha. Sebelum melakukan sesuatu untuk menambah baik kewangan, suara dalam diri sudah berbunyi "Eh... tak baik cakap pasal wang", "Eh... buat apa buat duit banyak-banyak, bukan boleh bawak kubur", "Eh... nanti buat duit banyak, apa pulak orang kata". Maka, langkah pertama pula tidak di ambil tanpa disedari.
Tetapi, ada juga yang berjaya dalam kewangan, mendapat pendapatan yang baik, tetapi entah kenapa, hujung bulan tidak kira berapa pendapatan yang dapat, baki di bank hanya cukup-cukup makan sahaja. Atau sampai satu tahap, ia tidak naik-naik. Anda pernah merasakan keadaan ini?
Ini juga adalah akibat kita sabotaj diri sendiri. Kita telah mengaitkan mempunyai lebih wang sebagai sesuatu yang negatif. Sesuatu yang tidak patut kita punyai. Dan sesuatu yang tidak boleh usahakan lebih. Dan semua ini berlaku tanpa kita sedari - kita tidak mahu kaya!
Mulai minggu ini saya akan berikan anda strategi, teknik dan tip kewangan untuk menguasai kewangan anda. Sebelum itu, fikirkan apa yang telah saya kongsikan ini. Adakah anda sendiri telah sabotaj diri anda mengenai kewangan selama ini tanpa anda sedari? Adakah anda mengaitkan elemen negatif kepada wang? Adakah anda dapati sukar untuk meingkatkan keadaan kewangan anda dan tidak tahu mengapa?
Puncanya mungkin pada sindrom 'tidak mahu kaya' yang terbenam dalam minda separuh sedar anda yang selama ini menghalang anda mencapai kekayaan yang anda impikan. Ada lagi beberapa sebab mengapa anda tidak boleh kaya dan saya akan kongsikan dalam minggu-minggu akan datang.

Tuesday, April 2, 2013

Jimat bil elektrik

PENGGUNA yang terasa beban kos kehidupan sebenarnya, mempunyai dua pilihan untuk mengatasi keadaan itu iaitu berusaha mendapatkan lebih wang atau kurangkan perbelanjaan.
Kekangan masa, bagaimanapun, menjadikan pilihan kedua sebagai lebih mudah dan praktikal untuk dilakukan.
Ini boleh dimulakan dari rumah, antaranya dengan memastikan penggunaan elektrik secara berhemah yang seterusnya mampu mengurangkan perbelanjaan bil elektrik.
Kemampuan mengurangkan bil elektrik dengan penggunaan berhemah misalnya dibuktikan melalui satu projek pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Marudi, Baram, Sarawak.
Projek tersebut berjaya memenangi pertandingan kecekapan tenaga anjuran Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (Wecam), sekali gus membuktikan kadar penggunaan elektrik dapat dikurangkan sehingga 70 peratus dalam tempoh dua bulan.
Cara tersebut dianggap satu penjimatan wang yang ketara, malah Setiausaha Agung Wecam, Foon Weng Lian amat teruja menyaksikan kejayaan penjimatan yang sebenarnya lebih tinggi berbanding 50 peratus sasaran penjimatan.
Kesatuan Wecam ditubuh oleh Persekutuan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan penggerak lain industri air dan tenaga bagi melindungi kepentingan setiap lapisan pengguna berhubung kitar air dan tenaga negara.
Menariknya, projek pelajar SMK Marudi hanya mengubah beberapa tabiat biasa tetapi amat praktikal termasuk meninggikan suhu penyaman udara di bilik guru dan sebagainya kepada 24 darjah Celsius.
"Banyak pejabat tidak melaraskan suhu penyaman udara mengikut keperluan sebaliknya ditetapkan kepada 16 darjah Celsius sepanjang masa sedangkan tabiat itulah yang banyak merugikan tenaga," tegas Foon.
Terkini, kerajaan juga mengambil inisiatif mengeluarkan pekeliling yang mewajibkan pejabat kerajaan menaikkan suhu penyaman udara antara 23 dan 24 darjah Celsius.
Beliau mengajak orang ramai mencontohi projek pelajar berkenaan termasuk mematikan penyaman udara dan sebaliknya menghidupkan kipas pada hari hujan, serta kerap membuka tingkap untuk meningkatkan peredaran udara.
Lampu juga jarang digunakan pada waktu siang sebaliknya sekolah itu memilih untuk menghias bilik menggunakan warna terang yang membenarkan pantulan cahaya semulajadi menerangi bilik.
Weng Lian kagum dengan komitmen pelajar yang berjaya membuktikan bil elektrik boleh dijimatkan dengan banyak melalui transformasi tingkah laku dan tabiat harian.
Oleh itu, Foon menyeru agar pengguna khususnya ibu bapa dapat belajar daripada pengalaman pelajar sekolah itu dan dapat mengubah beberapa tabiat dalam kehidupan seharian bagi membantu mengurangkan perbelanjaan.
Beliau memberi contoh satu tabiat pembaziran universal iaitu tidak mematikan suis televisyen dan dekoder televisyen kabel apabila tidak digunakan.
"Dekoder yang berada pada mod bersedia sebenarnya masih menggunakan sekitar 85 hingga 90 peratus tenaga elektrik, bayangkanlah berapa banyak tenaga elektrik yang dibazirkan sekiranya ia tidak ditutup sepanjang malam atau 24 jam sehari," tanya Foon.
Arus pendam
Selain menutup suis perkakas elektrik yang tidak digunakan, pengguna juga digesa menanggalkan terus palam perkakas daripada punca kuasa elektrik.
Tegas Foon, masih terdapat arus tenaga pendam yang mengalir merentasi palam ke peralatan elektrik berkenaan jika tidak dicabut meskipun suis telah dimatikan.
Malahan, amalan menanggalkan plak sebenarnya menyelamatkan perkakas elektrik, apabila berlakunya arus limpah ekoran ribut petir yang boleh menyambar litar elektrik dan merosakkan perkakas.
Antara tip mudah yang boleh menjadi amalan sekeluarga di rumah adalah memastikan lampu dan kipas dipadam jika tidak digunakan, jangan sesekali meninggalkan komputer dan alatan elektrik lain selama lebih 30 minit tanpa dimatikan dan palamnya ditanggal daripada punca kuasa.
Pilih dengan teliti barangan elektrik yang lebih menjimatkan tenaga seperti TV yang menggunakan monitor paparan cecair kristal (LCD), pemanas air segera berbanding pemanas air dalam tong dan lampu kalimantang berbanding lampu mentol bulat. - BERNAMA

© Utusan Melayu (M) Bhd