Tuesday, April 2, 2013

Jimat bil elektrik

PENGGUNA yang terasa beban kos kehidupan sebenarnya, mempunyai dua pilihan untuk mengatasi keadaan itu iaitu berusaha mendapatkan lebih wang atau kurangkan perbelanjaan.
Kekangan masa, bagaimanapun, menjadikan pilihan kedua sebagai lebih mudah dan praktikal untuk dilakukan.
Ini boleh dimulakan dari rumah, antaranya dengan memastikan penggunaan elektrik secara berhemah yang seterusnya mampu mengurangkan perbelanjaan bil elektrik.
Kemampuan mengurangkan bil elektrik dengan penggunaan berhemah misalnya dibuktikan melalui satu projek pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Marudi, Baram, Sarawak.
Projek tersebut berjaya memenangi pertandingan kecekapan tenaga anjuran Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (Wecam), sekali gus membuktikan kadar penggunaan elektrik dapat dikurangkan sehingga 70 peratus dalam tempoh dua bulan.
Cara tersebut dianggap satu penjimatan wang yang ketara, malah Setiausaha Agung Wecam, Foon Weng Lian amat teruja menyaksikan kejayaan penjimatan yang sebenarnya lebih tinggi berbanding 50 peratus sasaran penjimatan.
Kesatuan Wecam ditubuh oleh Persekutuan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan penggerak lain industri air dan tenaga bagi melindungi kepentingan setiap lapisan pengguna berhubung kitar air dan tenaga negara.
Menariknya, projek pelajar SMK Marudi hanya mengubah beberapa tabiat biasa tetapi amat praktikal termasuk meninggikan suhu penyaman udara di bilik guru dan sebagainya kepada 24 darjah Celsius.
"Banyak pejabat tidak melaraskan suhu penyaman udara mengikut keperluan sebaliknya ditetapkan kepada 16 darjah Celsius sepanjang masa sedangkan tabiat itulah yang banyak merugikan tenaga," tegas Foon.
Terkini, kerajaan juga mengambil inisiatif mengeluarkan pekeliling yang mewajibkan pejabat kerajaan menaikkan suhu penyaman udara antara 23 dan 24 darjah Celsius.
Beliau mengajak orang ramai mencontohi projek pelajar berkenaan termasuk mematikan penyaman udara dan sebaliknya menghidupkan kipas pada hari hujan, serta kerap membuka tingkap untuk meningkatkan peredaran udara.
Lampu juga jarang digunakan pada waktu siang sebaliknya sekolah itu memilih untuk menghias bilik menggunakan warna terang yang membenarkan pantulan cahaya semulajadi menerangi bilik.
Weng Lian kagum dengan komitmen pelajar yang berjaya membuktikan bil elektrik boleh dijimatkan dengan banyak melalui transformasi tingkah laku dan tabiat harian.
Oleh itu, Foon menyeru agar pengguna khususnya ibu bapa dapat belajar daripada pengalaman pelajar sekolah itu dan dapat mengubah beberapa tabiat dalam kehidupan seharian bagi membantu mengurangkan perbelanjaan.
Beliau memberi contoh satu tabiat pembaziran universal iaitu tidak mematikan suis televisyen dan dekoder televisyen kabel apabila tidak digunakan.
"Dekoder yang berada pada mod bersedia sebenarnya masih menggunakan sekitar 85 hingga 90 peratus tenaga elektrik, bayangkanlah berapa banyak tenaga elektrik yang dibazirkan sekiranya ia tidak ditutup sepanjang malam atau 24 jam sehari," tanya Foon.
Arus pendam
Selain menutup suis perkakas elektrik yang tidak digunakan, pengguna juga digesa menanggalkan terus palam perkakas daripada punca kuasa elektrik.
Tegas Foon, masih terdapat arus tenaga pendam yang mengalir merentasi palam ke peralatan elektrik berkenaan jika tidak dicabut meskipun suis telah dimatikan.
Malahan, amalan menanggalkan plak sebenarnya menyelamatkan perkakas elektrik, apabila berlakunya arus limpah ekoran ribut petir yang boleh menyambar litar elektrik dan merosakkan perkakas.
Antara tip mudah yang boleh menjadi amalan sekeluarga di rumah adalah memastikan lampu dan kipas dipadam jika tidak digunakan, jangan sesekali meninggalkan komputer dan alatan elektrik lain selama lebih 30 minit tanpa dimatikan dan palamnya ditanggal daripada punca kuasa.
Pilih dengan teliti barangan elektrik yang lebih menjimatkan tenaga seperti TV yang menggunakan monitor paparan cecair kristal (LCD), pemanas air segera berbanding pemanas air dalam tong dan lampu kalimantang berbanding lampu mentol bulat. - BERNAMA

© Utusan Melayu (M) Bhd