Thursday, July 25, 2013

PM umum bantuan RM500 kepada penjawat awam

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
 
KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan hari raya kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka.

Katanya pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 31 Julai ini.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan itu masing-masing membabitkan peruntukan kewangan RM670 juta dan RM165 juta, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di samping bayaran bantuan khas itu, penjawat awam menikmati dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada tahun ini, katanya.

"Pertama, kenaikan gaji tahunan biasa dan kedua adalah pemberian faedah pemindahan gaji yang diawalkan bersamaan dengan amaun 1KGT mengikut gred gaji masing-masing yang akan diterima esok, sebagaimana yang diumumkan oleh saya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-13," katanya.

Najib berkata langkah itu berikutan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan dan pembetulan struktur gaji yang akan diselesaikan pada Disember ini dalam Sistem Saraan Transformatif.

Katanya, pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan RM1.3 bilion bagi 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion untuk setahun.

"Faedah ini akan diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan. Mereka juga akan menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini," katanya.

Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM4.7 bilion bagi pembayaran KGT dan Bayaran Bantuan Khas Kerajaan bagi penjawat awam dan pesara bagi membantu meringankan beban kewangan bagi persiapan hari raya. - Bernama

Wednesday, July 24, 2013

TPP: Harga rumah akan naik

Sinar Harian

TPP: Harga rumah akan naik
Arkim jangka persaingan meningkat bagi tanah yang semakin terhad akan menyebabkan harga rumah naik selepas TPP - Gambar hiasan
Mohsen Hasbollah
Mohsen Hasbollah
HARGA rumah yang telah dianggap terlalu tinggi pada masa ini akan melonjak naik jika perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang sedang dirundingkan Malaysia dengan 11 negara lain ditandatangani.
Wakil Persatuan Usahawan Arkitek Melayu Malaysia (Arkim) Mohamad Mokhtar Abdullah berkata, persaingan yang semakin meningkat antara firma luar negara dan tempatan akan meningkatkan harga lot tanah di mana projek perumahan akan dibina, menyebabkan kenaikan dalam harga rumah.

“Pasaran hartanah bukan macam jual baju. Kalau baju, lagi banyak kilang dibuka lagi murah.

“Tapi dalam hartanah, akan berlaku persaingan (dengan syarikat luar) untuk dapatkan tanah, permintaan akan semakin meningkat tetapi jumlah tanah tetap sama, jadi harga akan naik,” katanya dalam sidang media berhubung impak TPP kepada industri pembinaan di Kuala Lumpur, semalam.

Sidang media oleh Gabungan Persatuan NGO-NGO Kluster Pembinaan Melayu yang bernaung di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu itu turut dihadiri Presiden Persatuan Pengilang, Pembekal, Kontraktor, Industri Elektrikal, Elektronik, Mekanikal dan ICT Melayu dan Bumiputera Malaysia (Perkem) Mohsen Hasbollah serta Presiden Persatuan Kontraktor Penyelenggaraan dan Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PKPP) Jamaliah Abdul Hamid.

Rundingan TPP yang bermula pada 2010 kini memasuki pusingan ke-18 yang sedang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah dan dihadiri wakil semua 12 negara peserta TPP iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Mohamad Mokhtar juga berkata, peluang untuk berniaga di negara anggota TPP lain dianggap tidak wujud kerana pelbagai syarat dan terma ketat yang dikenakan dan tiada data yang boleh menyokong jangkaan kerajaan bahawa syarikat pembinaan akan dapat menembusi pasaran luar walaupun TPP memberi akses pasaran yang lebih besar.

“Bukan  mereka tak benarkan kita berniaga di sana tapi firma Malaysia ini kebanyakannya kecil dan sederhana (PKS), jadi kalau diikut dari segi modal dan keupayaan, awal-awal lagi dah ditolak,” katanya.

Mengikut perangkaan SME Corporation Malaysia, sebanyak 97.3 peratus perniagaan di Malaysia terdiri daripada PKS.

Sementara itu, Mohsen berkata, keupayaan syarikat kontraktor Melayu dan bukan Melayu di Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara lain dan menganggap pembukaan pasaran seperti dirundingkan dalam TPP ibarat gergasi melawan manusia.

“Bila buka pasaran, macam gergasi (syarikat asing) melawan manusia (syarikat tempatan). Adakah kita bersedia?

“Bukan sahaja kami sektor swasta perlu bersedia tapi adakah kerajaan sendiri bersedia? Bagaimana dengan kesan aliran keluar mata wang jika projek di negara ini diberi kepada syarikat luar?,” soalnya.

Beliau turut meminta kerajaan ikut langkah negara lain seperti Jepun yang memberi keutamaan kepada syarikat tempatan mereka sehingga membolehkan nilai mata wang mereka kekal kukuh.

Thursday, July 18, 2013

Kerajaan kaji pemberian bonus buat penjawat awam

17 Julai 2013

Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
 
PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mengkaji kemungkinan memberi bonus kepada penjawat awam menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.
Perdana Menteri berkata kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan perkara itu.
"Kita akan mengkaji perkara ini. Masih ada masa lagi," katanya dalam satu persidangan media di bilik mesyuarat khas pejabatnya di sini sejurus selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan empat syarikat yang bersetuju melabur RM1.96 bilion di negeri-negeri di kawasan Koridor Utara.
Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai kemungkinan ada berita baik buat 1.4 juta penjawat awam berikutan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) semalam yang masih berharap kerajaan akan memberi bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam walaupun mereka akan menerima kenaikan gaji tahunan pada bulan ini.
Sebelum ini, Presidennya Datuk Omar Osman meminta kerajaan mempertimbang pemberian bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam sempena Aidilfitri kerana ia dapat mengurangkan beban penjawat awam membuat  persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.
Kenyataan Cuepacs itu menyusul sehari selepas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus, dan pengumuman Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dua kali untuk tahun ini sudah boleh dianggap sebagai bonus. - Bernama

Wednesday, July 17, 2013

Ceupacs: Bonus Aidilfitri satu keperluan

 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman 

 
SHAH ALAM – Cuepacs hari ini menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan pemberian bonus setengah bulan gaji kepada 1.4 juta penjawat awam di negara ini menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, bulan depan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kadar bonus raya yang dicadangkan kongres pada 9 Julai lalu adalah berpatutan dan hanya melibatkan kenaikan setengah bulan sahaja berbanding yang diberikan kerajaan pada tahun lepas.

“Tahun lepas kerajaan sudah beri dua bulan bonus, jadi kami harap tahun ini dapat diberikan sedikit kenaikan kepada penjawat awam memandangkan harga barangan keperluan semakin naik, sekali gus dapat meringankan beban mereka khususnya mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan dan golongan pesara.

“Hal itu bukan saja berita gembira buat penjawat awam ini bahkan akan beri sedikit keceriaan kepada peniaga di luar sana yang kita dapati kurang dapat sambutan penjawat awam yang masih menunggu bayaran bonus itu,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubunginya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa semalam yang mengatakan kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus kepada 1.4 juta penjawat awam sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sebelum ini telah mengumumkan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak dua kali untuk tahun ini sahaja.

Omar berharap kerajaan dapat merealisasikan pemberian bonus Aidilfitri itu sepuluh hari atau seminggu sebelum umat Islam menyambut Hari Raya, bulan depan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peniaga barangan keperluan hari raya supaya tidak mengambil kesempatan jika penjawat awam bila penjawat awam diberikan bonus raya nanti.

Sebaliknya golongan peniaga patut berterima kasih kerana sedikit sebanyak dapat membantu mereka melariskan barangan jualan mereka yang kini masih suram daripada pengunjung baik di pasaraya mahupun bazar Ramadan.

Pada 9 Ogos tahun lepas, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam dan bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan bagi membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri.- Sinar Harian

Harga rumah: Jangan cakap sahaja, kata Cuepacs

 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman 
 
SHAH ALAM - Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman mendesak kerajaan agar menyediakan rumah mampu milik dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

Menurutnya, rakyat terutama golongan penjawat awam yang berpendapatan sederhana dan rendah sudah muak dengan janji-janji yang ditaburkan kerajaan.

“Kita mahukan tindakan segera daripada kerajaan dan agensi berkaitan bukan hanya sekadar melakukan pecah tanah dan perasmian namun rumah berkenaan tidak dibangunkan.

“Cuepacs mahu kerajaan sediakan perumahan mampu milik ini selewat-lewatnya 31 Disember 2015,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai dilema pembeli terutamanya penjawat awam untuk memiliki rumah mampu milik.

Omar berkata, sebagai suara kepada penjawat awam, Cuepacs tidak mampu menyediakan perumahan tetapi hanya sekadar menyampaikan hasrat kakitangan kerajaan ini.

“Saya sasarkan setiap penjawat awam mampu memiliki kediaman sendiri pada usia 35 ke 40 tahun.

“Kerana sekiranya usia mereka lanjut dan ini akan membebankan mereka untuk membayar kos pinjaman perumahan apabila bersara kelak, kerajaan perlu pertimbangkan aspek ini juga,” katanya.

Kata beliau, sebelum ini pihaknya ada mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berhubung kekangan kerajaan untuk melaksanakan segera rumah mampu milik kepada rakyat.

“Kekangan yang diberikan ialah lokasi, masalah tanah, penempatan dan sebagainya namun kerajaan perlu fikirkan nasib rakyat.

“Rumah adalah aset kepada mereka, takkanlah sehingga tua dan bersara mereka hanya menyewa. Tindakan lemah kerajaan ini membuatkan mereka tawar hati dan kecewa,” katanya.

Perkembangan sama, Omar berkata dengan hanya bersandarkan jawapan ‘dalam perancangan’ dan ‘sedang diusahakan’ bukanlah keputusan yang dinantikan rakyat.

Beliau berkata, berdasarkan rekod berpuluh ribu penjawat awam telah memohon untuk miliki Rumah Mampu Milik namun kepastian belum dapat dibayangkan hanya menunggu.

“Kita dah arahkan setiap Kerajaan Negeri untuk bina perumahan kos sederhana untuk penjawat awam.

“Situasi terkini sewa rumah paling rendah sahaja sudah mencecah RM 800 ke RM 900 sedangkan keadaan boleh diumpamakan seperti ‘reban ayam’,” katanya.

Oleh yang demikian, Cuepas mendesak perkara ini diambil tindakan segera bukan hanya bercakap sahaja. Nasib rakyat dan penjawat awam tidak wajar diperjudikan.- Sinar Harian

Tuesday, July 9, 2013

Umat Islam mula puasa Rabu ini (10.7.2013)

Umat Islam mula puasa Rabu ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa Rabu ini.(10.7.2013)
  
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad ketika mengumumkan demikian berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Rabu, 10 Julai 2013, bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
  
Pengumuman itu disiar secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
  
Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab. - Bernama

Wednesday, July 3, 2013

Not RM1, RM5 mesra alam

Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM), bercadang untuk mengurangkan pengeluaran wang kertas RM1 dan RM5 secara berperingkat bermula tahun ini sekali gus mempertingkatkan penggunaan wang kertas menggunakan substrat polimer bagi ketahanan lebih lama.
Penolong Gabenor BNM, Norzila Abdul Aziz berkata, BNM akan mengeluarkan wang polimer yang sesuai untuk edaran semula dalam denominasi RM1 dan RM5 sempena musim perayaan akan datang untuk menggalakkan pemuliharaan alam sekitar.

Beliau berkata, wang polimer dapat bertahan dua hingga tiga kali lebih lama berbanding wang kertas biasa dan penggunaannya terbukti berkesan kerana meningkatkan ketahanan wang kertas serta mengurangkan pembaziran.
“Setiap tahun BNM mengeluarkan kira-kira 750 juta keping wang denominasi RM1 dan RM5 bagi memenuhi permintaan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina. Bagaimanapun, lebih kurang 70 peratus daripada wang dikeluarkan tidak diperlukan untuk urus niaga pembayaran biasa.

“Sebaliknya, wang terbabit dipulangkan sebagai deposit sejurus selepas musim perayaan dan menyebabkan lebihan pengumpulan wang denominasi RM1 dan RM5 di BNM,” katanya selepas merasmikan Kempen Amalan Hijau Penggunaan Wang Polimer di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kettha), Datuk Nor’ Aini Abdul Wahab.
FotoNOR’ Aini (kiri) dan Norzila (kanan) merasmikan Kempen Amalan Hijau Penggunaan Wang Polimer di Kuala Lumpur, semalam.
Norliza berkata, setiap musim perayaan, BNM akan mengeluarkan wang kertas baru untuk memenuhi permintaan orang ramai yang majoriti mengamalkan budaya memberi duit raya dengan wang kertas baru.

Menurutnya, cetakan tambahan 500 juta keping wang untuk memenuhi permintaan perayaan adalah satu pembaziran sumber kerana ia menggunakan lebih daripada 80 tan dakwat dan dua juta kWh elektrik yang cukup bagi kegunaan 7,500 rumah di Malaysia serta menyalakan 48,000 biji mentol selama sebulan.
“Kami menyeru orang ramai untuk menyokong usaha ini dengan semangat mengurangkan pembaziran serta menggalakkan penggunaan wang kertas dan polimer yang sesuai untuk edaran semula,” katanya.

BNM akan mengitar semula 30 peratus wang kertas RM1 manakala 60 peratus bagi wang kertas RM5 dan selebihnya adalah bagi pengeluaran wang baru.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03-Metro

Tarikh lihat anak bulan Ramadan 8 Julai ini

Tarikh lihat anak bulan Ramadan 8 Julai ini

KUALA LUMPUR - Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan tarikh permulaan puasa ialah pada petang Isnin, 8 Julai bersamaan 29 Syaaban 1434 Hijrah, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini.
  
Menurut kenyataan itu, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh itu adalah berdasarkan rukyah dan hisab.
  
"Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan puasa yang ditetapkan, melalui radio dan televisyen," kata kenyataan itu.
  
Jawatankuasa yang bertanggungjawab akan melihat anak bulan di lokasi berikut:
  
    - Pontian Kecil, Johor;
    - Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka;
    - Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan;
    - Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor;
    - Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor;
    - Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, Selangor;
  
    Lokasi lain ialah:
    - Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong, Perak;
    - Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang;
    - Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Kedah;
    - Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, Kedah;
    - Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah;
    - Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu;
    - Bukit Geliga, Kemaman, Terengganu;
    - Pulau Perhentian, Besut, Terengganu;
    - Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu;
    - Bukit Peraksi, Pasir Putih, Kelantan;
    - Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai,

Kelantan;
    
    - Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Baharu, Kelantan;
    - Tanjung Lubang, Miri, Sarawak;
    - Teluk Bandung, Kuching, Sarawak;
    - Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak;
    - Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah;
    - Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Pahang;
    - Gunung Berincang, Cameron Highlands, Pahang;
    - Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang;
    - Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan;
    - Menara Kuala Lumpur;
    - Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; dan
    - Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.
    - Bernama