Thursday, November 29, 2012

Artikel Pilihan: KESAN FIKIRAN NEGATIF

Oleh: Irfan Khairi

Kita sedia maklum bahawa untuk berjaya perlu berfikir positif. Sehingga bagaikan satu cliché sering disebut oleh pakar-pakar motivasi bila berceramah. Namun, berfikir positif setiap masa bukannya perkara yang mudah.
Berfikir negatif  ada tempatnya juga, bukan setiap masa perasaan berfikir negatif seperti marah, sedih, cemburu, duka, bengang dan seumpama dengannya tidak akan terlintas dalam diri kita. Sebagai manusia, pastinya kita akan merasa juga perasaan-perasaan ini.
Image
Apa yang penting adalah untuk kita menyedarinya dan dengan pantas, alihkan fikiran tersebut supaya fikiran negatif tidak memakan diri kita sendiri. Dengan menyedari dan mengetahui apakah kesan-kesan negatif yang akan terjadi pada diri kita, ia merupakan langkah awal untuk kita alihkan tumpuan kepada perkara yang lebih positif.
Negatif terhadap diri
Negatif terhadap diri sering dikaitkan dengan perasaan tidak yakin dengan diri sendiri. Kita akan sering melihat orang lain lebih berilmu, lebih berpengalaman dan lebih bagus dari kita, dan sering memperlekehkan kupayaan diri kita sendiri.

Kelemahan utama diri kita sebenarnya bermula dalam minda. Sekiranya minda sudah mengalah pada awalnya, maka, sebelum mengambil apa jua tindakan, badan kita sudah tidak bertenaga kerana tidak yakin dengan apa yang kita boleh lakukan.

Untuk mengubah kejayaan kita, kita perlu mengubah aksi diri kita dan aksi diri kita bermula dengan minda kita supaya tidak berfikir negatif!

Negatif terhadap orang lainTidak cukup dengan negatif pada diri sendiri, sesetengah kita sering memandang negatif terhadap orang lain. Mungkin perasaan buruk sangka, iri hati atau atau tidak puas hati dengan kejayaan yang dicapai oleh orang lain.

Apa yang akan terjadi adalah secara tak sedar, kita akan kaitkan "kejayaan" dengan perkara-negatif oleh kerana itu yang telah dikaitkan pada orang lain. Ertinya, minda kita akan rasa sekiranya kita mencapai kejayaan, orang lain akan buruk sangka pada kita, iri hati dan tidak berpuas hati- dan ini akan menghampakan diri kita untuk mencapai kejayaan sendiri.

Pastinya dengan perasaan sebegini secara tak sedar, kita juga tidak 'mahu' untuk capai kejayaan dan sering menyalahkan orang lain!

Sunday, November 25, 2012

Terengganu Sedia Terima Kedatangan 4 Juta Pelancong Sempena TMT 2013


Posted by Mohamad Firdaus Musa on November 20, 2012
TERENGGANU  bersedia menyambut kedatangan kira-kira empat juta pelancong yang disasarkan sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata untuk menampung kedatangan pelancong itu beberapa hotel baharu diwujudkan, di negeri itu .
“Hotel-hotel baharu yang telah beroperasi seperti Hotel Sumai, Tanjung Vista, Permai Inn yang diubahsuai dengan penambahan bilik, selain hotel-hotel bajet.
“Sempena TMT 2013 juga, kita telah meluluskan pembinaan sebuah taman tema di kawasan seluas empat hektar oleh pihak swasta di Bukit Bauk, Dungun. Pengusaha telah mempunyai resort di situ (Bukit Bauk) dan mereka akan bangunkan taman tema di sebelahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian pameran Islamik 2012 di Kompleks Muzium negeri di sini, hari ini. Turut hadir pada majlis itu Pengarah Muzium Mohd Yusof Abdullah.
Abdul Rahin berkata dalam aspek warisan, kerajaan akan mencetak buku mengenai makanan dan kuih tradisional Terengganu yang akan diagihkan kepada pelancong, jabatan kerajaan untuk mengambarkan mengenai keunikan masakan negeri Pantai Timur itu.
“Manakala dalam warisan bahasa, kita akan membuat kosa kata dalam dialek Terengganu yang kini sudah di peringkat akhir, juga akan diedarkan kepada pelancong,” katanya.
Beliau berkata, sempena TMT 2013 muzium juga akan mengadakan pameran mengenai sejarah kedatangan Islam ke Terengganu bermula kurun ke-14 seperti yang tercatat di Batu Bersurat.
Abdul Rahin berkata, sempena TMT 2013 juta kerajaan akan mengadakan majlis perasmian TMT 2013 pada pertengahan Disember depan yang akan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Sehubungan itu Abdul Rahin turut mengingatkan para peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang jualan mereka.
“Kita kena fikir untuk jangka panjang, kalau kita jual mahal orang datang sekali sahaja dan itu merugikan kita,” katanya.
Sementara itu, Mohd Yusof berkata sebuah muzium baharu telah dibuka di daerah Kemaman bertempat di Bandar Cukai, pada 1 Julai lepas dan majlis perasmianya akan disempurnakan Menteri Besar.
Menurut beliau muzium tersebut agak unik kerana ia menempatkan gambar tokoh terkenal anak Terengganu dalam pelbagai bidang.

Thursday, November 22, 2012

Tarikan pantai, makanan Terengganu

Wartawan Sinar Harian
21 November 2012
Tarikan pantai, makanan Terengganu
Produk batik menjadi pilihan pelancong yang datang ke negeri ini sepanjang cuti sekolah.
 
KUALA TERENGGANU – Terengganu yang memiliki pantai putih dan bersih, produk kraf tangan menarik dan juga makanan yang enak menjadi pilihan pelancong untuk datang bercuti serta membeli-belah.

Pasar Besar Kedai Payang dan Bazar Warisan kini pula menjadi faktor utama pelancong melawat ke bandar raya ini sempena cuti persekolahan, apatah lagi pulau-pulau sudah mula tidak menawarkan pakej lawatan disebabkan musim tengkujuh.

Tinjauan Sinar Harian di kedua-dua lokasi tersebut mendapati ramai pelancong datang bersama keluarga dan rombongan memenuhi lokasi berkenaan.

Keadaan ini sudah pasti melariskan pelbagai barangan dijual peniaga seperti batik sarung, batik sutera, tenunan songket dan pastinya juga keropok keping dan keropok lekor segar ‘made ini Terengganu’ laris.

Bagi Ezaiyue Shazwany Ghani, 32, dari Ampang, Selangor, kunjungannya ke negeri ‘penyu bertelur’ yang ditemani ahli keluarga itu adalah aktiviti percutian keluarga serta untuk membeli belah, walaupun ada segelintir pihak menganggap barang di sini mahal.

“Kali ini kami datang semula ke Terengganu tetapi dengan lebih ramai ahli keluarga. Datang ke sini tidak lengkap kalau tidak berkunjung ke pasarnya dan membeli kain batik serta batik sutera,” katanya yang menafikan pelbagai barangan produk buatan negeri ini mahal, sebaliknya menurutnya ia dijual dengan harga murah dan berpatutan.

Saturday, November 17, 2012

Pakar: Pertumbuhan suku ketiga lepasi jangkaan

16 November 2012
KUALA LUMPUR - Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk suku ketiga iaitu 5.2 peratus adalah lebih baik daripada yang dijangkakan, kata seorang ahli ekonomi.
Ketua Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Anthony Dass berkata bank pelabur itu melihat kepada 4.9 peratus untuk suku di bawah kajian.
"Untuk suku keempat, kami menyasarkan antara 5.6 peratus dan 5.7 peratus untuk pertumbuhan KDNK, di mana untuk tahun sepenuhnya, kami menjangka pertumbuhan itu akan mencapai 5.3 peratus.
"Untuk pertumbuhan KDNK tahun hadapan pula, ialah antara 5.5 peratus dan 5.8 peratus, dan sebahagian besar pertumbuhan ialah daripada permintaan domestik, dilengkapi dengan eksport yang tinggi," kata beliau kepada Bernama.
Beliau berkata peningkatan dalam eksport tahun depan akan dirangsang oleh pertumbuhan global yang dijangkakan, dengan MIDF mengunjurkan ekonomi Amerika Syarikat berkembang 2.5 peratus dan China sebanyak 8.2 peratus.
"Kami turut menjangkakan isu jurang fiskal AS, atau mungkin sebahagiannya, dapat diselesaikan tahun depan," tambah beliau.

Jurang fiskal AS, gabungan pengurangan perbelanjaan dan kenaikan cukai, boleh menjerumuskan ekonomi AS kembali kepada kemelesetan.
Ia akan bermula pada 1 Jan tahun depan, melainkan Presiden AS Barack Obama dan Kongres setuju kepada alternatif lain.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Affin Investment Bank Bhd berkata pertumbuhan KDNK suku ketiga juga melepasi sasaran bank 4.5 peratus.
Mengenai suku keempat dan tinjauan tahun sepenuhnya, Tan berkata ia boleh mencecah dalam lingkungan lima peratus.
"Tahun hadapan, kami menyasarkan pertumbuhan KDNK turut mencapai lima peratus, bagaimanapun masih lagi ada situasi yang boleh menjuruskan kepada risiko ke bawah seperti krisis zon Euro dan jurang fiskal AS," kata beliau sambil menambah yang eksport akan terus perlahan dalam suku keempat tahun ini dan separuh pertama tahun depan.
"Sebarang pemulihan dalam segmen eksport kita akan hanya berlaku pada separuh kedua tahun hadapan, tetapi penggunaan domestik dan pelaburan yang meningkatkan akan menampan kelembapan eksport," kata beliau.- Bernama

Thursday, November 8, 2012

Mahasiswa disaran manfaat program usahawan aplikasi telefon pintar

KUANTAN - Golongan mahasiswa di negara ini harus merebut peluang menceburi program keusahawanan aplikasi telefon mudah alih pintar berikutan pasaran dan permintaan yang tinggi terhadap gajet berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains dan Inovasi Negeri Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, ia secara tidak langsung dapat membentuk dan menyediakan mereka menjadi graduan yang mempunyai nilai tambah sekaligus memenuhi tuntutan pasaran kerja masa kini.
"Perniagaan aplikasi adalah satu fenomena baru dan sangat relevan masa kini.
"Perkhidmatan ini sering dibangunkan oleh usahawan yang berinovasi dalam menyelesaikan isu-isu sosial dan menangani keperluan pasaran setempat menerusi teknologi mudah alih," katanya ketika merasmikan Program Inkubator Teknopreneur ICT MY APPS di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh anggota Dewan Undangan Negeri Semambu merangkap Anggota Jawatankuasa ICT negeri, Datuk Phang Tsu Ming.
Program yang dijalankan dengan usahasama syarikat aplikasi tempatan iaitu MYAPPSZIL (Asia) Sdn Bhd itu memberi peluang kepada kira-kira 90 mahasiswa UMP yang terpilih untuk menyertai latihan perindustrian selama enam hingga sembilan bulan di pusat inkubator UMP di Semambu, dekat sini.
Beliau berkata pembabitan mahasiswa UMP dalam program itu membolehkan mereka menjana pendapatan menerusi penjualan aplikasi yang dicipta sendiri secara online atau menjadi seorang pembangun aplikasi di syarikat antarabangsa seperti Samsung, LG atau HTC.
"Selain itu penglibatan mahasiswa dalam program itu dapat menerapkan elemen penting seperti disiplin kendiri, kepimpinan, etika, komunikasi dan inovasi" katanya.- Bernama

Saturday, November 3, 2012

Bayi bantu ibu bersih lantai

PENGELUAR menggunakan gentian mikro sebagai bahan mop pada pakaian bayi ini.
PENGELUAR menggunakan gentian mikro sebagai bahan mop pada pakaian bayi ini.
PADA harga RM120, Baby Mop ini boleh membantu ibu.
PADA harga RM120, Baby Mop ini boleh membantu ibu. 
 
LONDON: Sebuah syarikat memperkenalkan pakaian unik yang membolehkan bayi ‘membantu’ ibu bapa mereka membersihkan rumah ketika mereka merangkak.
Syarikat itu menggabungkan baju bayi dengan pembersih lantai (mop) yang dilekatkan pada bahagian tangan dan kaki.

Dikenali sebagai Baby Mop, pakaian itu membolehkan lantai rumah digilap ketika bayi terbabit belajar merangkak. Baby Mop dijual pada harga kira-kira RM120 sepasang.
Ia adalah projek laman sesawang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), BetterThanPants.com yang diinspirasi daripada satu iklan di Jepun.

Dalam kenyataan di laman sesawang itu, syarikat terbabit secara bergurau berkata, Baby Mop akan “mendidik bayi anda mengamal etika kerja yang baik sejak kecil” ketika mereka dididik supaya tidak menyepahkan makanan di lantai.
Menurut laman sesawang BetterThanPants.com, bayi yang menggunakan Baby Mop juga “akan mendapat riadah berfaedah, membakar tenaga dan membentuk otot.” “Amalan itu akan membantu bayi mendapat tidur yang lebih baik,” kata syarikat itu.
Sementara itu, jurucakap BetterThanPants.com, Mike Parker, berkata kira-kira 100 pasang Baby Mop berjaya dijual dalam tempoh hanya sebulan sejak ia diperkenalkan di laman sesawang berkenaan.

“Setakat ini, maklum balas daripada pelanggan sangat positif walaupun ada sedikit e-mel negatif mengenai idea produk itu,” katanya. Bahagian pembersih pada tangan dan kaki Baby Mop diperbuat daripada bahan gentian mikro yang dilekatkan secara langsung. - DM

Thursday, November 1, 2012

Gaji sektor awam dikaji semula tahun depan

31 Oktober 2012 
 
Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.
Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa. 
 
MELAKA - Kerajaan akan mengkaji semula skim gaji penjawat awam termasuk kenaikan tahunan sehingga lima peratus bermula tahun depan.
Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata kajian itu bagi membantu penjawat awam menangani masalah kos hidup yang semakin meningkat.
"Kita akan mengambil kira mungkin mengikut kategori, kalau lima peratus itu untuk kategori yang teratas terlalu tinggi dan kita akan menyelaraskan semula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama 500 penjawat awam dan Anugerah Inovasi Sektor Awam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Datuk Mohamad Zaidi Zainal dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Omar Kaseh.
Beliau berkata kajian berkenaan juga akan meneliti segala aspek bagi memastikan setiap penjawat awam mendapat manfaat daripada pelaksanaan skim gaji berkenaan termasuk isu penjawat awam yang menerima tangga gaji maksimum.
Ali berkata pihaknya turut mengambil kira kajian yang dibuat Suruhanjaya Khas Tranformasi Perkhidmatan Awam yang akan membentangkan laporan penuh kepada kerajaan pada akhir tahun ini.
"Buat masa ini suruhanjaya berkenaan sedang membuat kajian menyeluruh berhubung sektor awam di negara ini, kita akan ambil isu kenaikan gaji ini jika ia ada termaktub dalam kajian itu, namun jika tidak ada isu (kenaikan gaji) dalam laporan itu, kita akan mulakan kajian mengenainya pada tahun depan," katanya.
Terdahulu pada majlis tersebut, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka memenangi anugerah Inovasi Sektor Awam dalam kategori Teknologi Maklumat dan Teknologi ICT manakala Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah
menerima Anugerah dalam kategori Pentadbiran Daerah dan Tanah.
Semua pemenang anugerah menerima sebuah Trofi dan juga cek bernilai RM300,000.- Bernama