KUALA LUMPUR - Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk suku ketiga iaitu 5.2 peratus adalah lebih baik daripada yang dijangkakan, kata seorang ahli ekonomi.
Ketua Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Anthony Dass berkata bank pelabur itu melihat kepada 4.9 peratus untuk suku di bawah kajian.
"Untuk suku keempat, kami menyasarkan antara 5.6 peratus dan 5.7 peratus untuk pertumbuhan KDNK, di mana untuk tahun sepenuhnya, kami menjangka pertumbuhan itu akan mencapai 5.3 peratus.
"Untuk pertumbuhan KDNK tahun hadapan pula, ialah antara 5.5 peratus dan 5.8 peratus, dan sebahagian besar pertumbuhan ialah daripada permintaan domestik, dilengkapi dengan eksport yang tinggi," kata beliau kepada Bernama.
Beliau berkata peningkatan dalam eksport tahun depan akan dirangsang oleh pertumbuhan global yang dijangkakan, dengan MIDF mengunjurkan ekonomi Amerika Syarikat berkembang 2.5 peratus dan China sebanyak 8.2 peratus.
"Kami turut menjangkakan isu jurang fiskal AS, atau mungkin sebahagiannya, dapat diselesaikan tahun depan," tambah beliau.

Jurang fiskal AS, gabungan pengurangan perbelanjaan dan kenaikan cukai, boleh menjerumuskan ekonomi AS kembali kepada kemelesetan.
Ia akan bermula pada 1 Jan tahun depan, melainkan Presiden AS Barack Obama dan Kongres setuju kepada alternatif lain.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Affin Investment Bank Bhd berkata pertumbuhan KDNK suku ketiga juga melepasi sasaran bank 4.5 peratus.
Mengenai suku keempat dan tinjauan tahun sepenuhnya, Tan berkata ia boleh mencecah dalam lingkungan lima peratus.
"Tahun hadapan, kami menyasarkan pertumbuhan KDNK turut mencapai lima peratus, bagaimanapun masih lagi ada situasi yang boleh menjuruskan kepada risiko ke bawah seperti krisis zon Euro dan jurang fiskal AS," kata beliau sambil menambah yang eksport akan terus perlahan dalam suku keempat tahun ini dan separuh pertama tahun depan.
"Sebarang pemulihan dalam segmen eksport kita akan hanya berlaku pada separuh kedua tahun hadapan, tetapi penggunaan domestik dan pelaburan yang meningkatkan akan menampan kelembapan eksport," kata beliau.- Bernama