Thursday, November 8, 2012

Mahasiswa disaran manfaat program usahawan aplikasi telefon pintar

KUANTAN - Golongan mahasiswa di negara ini harus merebut peluang menceburi program keusahawanan aplikasi telefon mudah alih pintar berikutan pasaran dan permintaan yang tinggi terhadap gajet berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains dan Inovasi Negeri Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, ia secara tidak langsung dapat membentuk dan menyediakan mereka menjadi graduan yang mempunyai nilai tambah sekaligus memenuhi tuntutan pasaran kerja masa kini.
"Perniagaan aplikasi adalah satu fenomena baru dan sangat relevan masa kini.
"Perkhidmatan ini sering dibangunkan oleh usahawan yang berinovasi dalam menyelesaikan isu-isu sosial dan menangani keperluan pasaran setempat menerusi teknologi mudah alih," katanya ketika merasmikan Program Inkubator Teknopreneur ICT MY APPS di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh anggota Dewan Undangan Negeri Semambu merangkap Anggota Jawatankuasa ICT negeri, Datuk Phang Tsu Ming.
Program yang dijalankan dengan usahasama syarikat aplikasi tempatan iaitu MYAPPSZIL (Asia) Sdn Bhd itu memberi peluang kepada kira-kira 90 mahasiswa UMP yang terpilih untuk menyertai latihan perindustrian selama enam hingga sembilan bulan di pusat inkubator UMP di Semambu, dekat sini.
Beliau berkata pembabitan mahasiswa UMP dalam program itu membolehkan mereka menjana pendapatan menerusi penjualan aplikasi yang dicipta sendiri secara online atau menjadi seorang pembangun aplikasi di syarikat antarabangsa seperti Samsung, LG atau HTC.
"Selain itu penglibatan mahasiswa dalam program itu dapat menerapkan elemen penting seperti disiplin kendiri, kepimpinan, etika, komunikasi dan inovasi" katanya.- Bernama