Sunday, November 25, 2012

Terengganu Sedia Terima Kedatangan 4 Juta Pelancong Sempena TMT 2013


Posted by Mohamad Firdaus Musa on November 20, 2012
TERENGGANU  bersedia menyambut kedatangan kira-kira empat juta pelancong yang disasarkan sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata untuk menampung kedatangan pelancong itu beberapa hotel baharu diwujudkan, di negeri itu .
“Hotel-hotel baharu yang telah beroperasi seperti Hotel Sumai, Tanjung Vista, Permai Inn yang diubahsuai dengan penambahan bilik, selain hotel-hotel bajet.
“Sempena TMT 2013 juga, kita telah meluluskan pembinaan sebuah taman tema di kawasan seluas empat hektar oleh pihak swasta di Bukit Bauk, Dungun. Pengusaha telah mempunyai resort di situ (Bukit Bauk) dan mereka akan bangunkan taman tema di sebelahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian pameran Islamik 2012 di Kompleks Muzium negeri di sini, hari ini. Turut hadir pada majlis itu Pengarah Muzium Mohd Yusof Abdullah.
Abdul Rahin berkata dalam aspek warisan, kerajaan akan mencetak buku mengenai makanan dan kuih tradisional Terengganu yang akan diagihkan kepada pelancong, jabatan kerajaan untuk mengambarkan mengenai keunikan masakan negeri Pantai Timur itu.
“Manakala dalam warisan bahasa, kita akan membuat kosa kata dalam dialek Terengganu yang kini sudah di peringkat akhir, juga akan diedarkan kepada pelancong,” katanya.
Beliau berkata, sempena TMT 2013 muzium juga akan mengadakan pameran mengenai sejarah kedatangan Islam ke Terengganu bermula kurun ke-14 seperti yang tercatat di Batu Bersurat.
Abdul Rahin berkata, sempena TMT 2013 juta kerajaan akan mengadakan majlis perasmian TMT 2013 pada pertengahan Disember depan yang akan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Sehubungan itu Abdul Rahin turut mengingatkan para peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang jualan mereka.
“Kita kena fikir untuk jangka panjang, kalau kita jual mahal orang datang sekali sahaja dan itu merugikan kita,” katanya.
Sementara itu, Mohd Yusof berkata sebuah muzium baharu telah dibuka di daerah Kemaman bertempat di Bandar Cukai, pada 1 Julai lepas dan majlis perasmianya akan disempurnakan Menteri Besar.
Menurut beliau muzium tersebut agak unik kerana ia menempatkan gambar tokoh terkenal anak Terengganu dalam pelbagai bidang.