Wednesday, November 23, 2011

Perketat pembiayaan langkah kawal hutang

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Pengenalan Garis Panduan Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat sebagai langkah awal terbaik untuk mengawal peningkatan hutang isi rumah pada tahun hadapan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Wahid Omar berkata, peraturan yang lebih ketat akan mengurangkan jumlah pembiayaan tahun hadapan, namun ia bukan isu besar.

“Perkara yang perlu dilihat di sini adalah bagaimana mengekang peningkatan hutang isi rumah agar tidak mencapai tahap kritikal.

“Peraturan baharu ini menjangkaui keadaan semasa dan merupakan persediaan awal terbaik untuk berdepan dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu tahun hadapan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Maybank Islamic Bhd. berjumlah RM9.02 juta di sini hari ini.

Wahid berkata, perbandingan hutang isi rumah negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sudah mencecah 77 peratus ketika ini, namun ada pihak mengatakan jumlah tersebut normal dan ada pula sebaliknya.

Katanya, jika dibandingkan dengan rantau lain, jumlah tersebut agak tinggi namun tidak setinggi di Australia di mana perbandingan hutang isi rumah dengan KDNK melebihi 100 peratus.

“Kita tidak mahu keadaan di Malaysia seperti itu, maka langkah awal BNM untuk mengawalnya adalah tepat,’’ katanya.

Ditanya adakah Maybank akan terjejas dengan peraturan baharu tersebut, Wahid berkata, terjejas atau tidak bukan soalnya tetapi bagaimana kita mengawal ekonomi negara dengan baik.

* Utusan Malaysia

Sunday, November 20, 2011

Syarat ketat elak lebih ramai muflis

Oleh Rohaniza Idris, Suzalinda Halid dan Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bharian.com.my
2011/11/20
Didik golongan muda hemah berbelanja ikut kemampuan

KUALA LUMPUR: Penilaian lebih ketat terhadap permohonan pembiayaan oleh institusi kewangan tempatan seperti diumumkan Bank Negara kelmarin, mampu menyekat lebih ramai golongan muda diisytihar muflis selain menggalakkan orang ramai berbelanja secara berhemah. Kalangan penganalisis ekonomi berpendapat, langkah itu ibarat pelindung golongan muda khususnya yang tidak mampu membayar balik pinjaman kenderaan serta kad kredit. Kini ramai mendapat pembiayaan walaupun hakikatnya mereka tidak mempunyai aliran tunai banyak atau lebihan kewangan bagi membayar balik pinjaman. - Dr Barjoyai Bardai, Profesor Perakaunan dan Keusahawanan, Sekolah Siswazah Perniagaan, UNIRAZAK Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Dr Mahani Zainal Abidin, berkata ketika ini, dilaporkan banyak golongan muda diisytihar muflis kerana gagal membuat pembayaran balik pinjaman serta menanggung kadar faedah yang tinggi.

Katanya, dengan adanya syarat lebih ketat termasuk mengambil kira pendapatan bersih peminjam, maka risiko lebih ramai ‘bankrap’ akibat tidak mampu membayar balik pembiayaan dapat dikurangkan.

“Saya tidak nampak usaha terbaru ini cuba menyekat lebih ramai membeli rumah dan kenderaan, sebaliknya mendidik rakyat berbelanja secara hemah mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

“Kerajaan perlu membantu rakyat dengan menyediakan lebih banyak ruang untuk orang ramai memiliki rumah serta tingkatkan pengangkutan awam,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Bank Negara bahawa institusi kewangan kini perlu mengambil kira pendapatan bersih, iaitu selepas ditolak potongan wajib seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, potongan cukai berjadual (PCB), selain menetapkan supaya institusi itu memberikan maklumat terperinci mengenai produk pembiayaan dimohon.

Profesor Perakaunan dan Keusahawanan, Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof Dr Barjoyai Bardai pula mengalu-alukan garis panduan baru yang mengelak pengguna ‘terjerat’ dalam tawaran pembiayaan institusi kewangan yang membebankan pengguna.

Katanya, kini ramai mendapat pembiayaan walaupun hakikatnya mereka tidak mempunyai aliran tunai banyak atau lebihan kewangan bagi membayar balik pinjaman.

“Keadaan itu bukan hanya ‘menjerat’ peminjam kerana terpaksa membayar faedah yang tinggi jika lewat membuat bayaran balik malah menyekat pengguna berbelanja mengikut kemampuan. Dengan adanya syarat lebih ketat ini, maka pengguna diajar menilai kemampuan diri sebelum berbelanja atau membuat pinjaman.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata garis panduan berkenaan juga mampu mengelakkan lebih ramai pengguna di negara ini berdepan risiko diisytihar muflis akibat tidak mampu membayar pinjaman.

Thursday, November 17, 2011

Pemaju Projek Terbengkalai Lakukan Kesalahan Jenayah Di Bawah Pindaan Akta

KUALA KUMPUR, 16 Nov (Bernama) — Pemaju perumahan berlesen yang gagal menyempurnakan projek perumahan dan menyebabkannya terbengkalai akan dianggap sebagai melakukan satu kesalahan jenayah di bawah pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966.

Jika disabit kesalahan, pemaju berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Perkara ini diperuntukkan dalam seksyen baru di bawah fasal 9 Rang Undang-undang Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan)(Pindaan) 2011.

Ia merupakan antara beberapa pindaan kepada peruntukan-peruntukan dalam Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) yang bakal memberi jaminan dan hak lebih luas kepada para pembeli rumah dan mengelakkan projek terbengkalai.

Menurut rang undang-undang berkenaan, fasal 9 bertujuan untuk memasukkan seksyen baru 18A ke dalam Akta 118 bagi mengatasi masalah projek rumah terbengkalai serta hak mengenakan tindakan undang-undang terhadap pemaju yang tidak bertanggungjawab.

Peruntukan ini terpakai kepada semua pemaju yang enggan meneruskan projek atau menangguhkan atau menggantung atau menghentikan untuk tempoh enam bulan atau lebih atau tempoh siap yang dipersetujui di dalam perjanjian jual beli.

Rang undang-undang berkenaan telah dibaca buat kali pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung di Dewan Rakyat hari ini dan apabila diluluskan kelak akan dikenali sebagai Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan)(Pindaan) 2011.

Selain itu, fasal 5 yang bertujuan menggantikan seksyen 8A Akta 118 di dalam rang undang-undang tersebut turut memberi hak kepada pembeli untuk menamatkan perjanjian jual beli sekiranya pihak pemaju perumahan enggan meneruskan projek selepas enam bulan perjanjian tersebut ditandatangani.

Rang Undang-undang itu juga bercadang memasukkan fasal 3, yang bertujuan meminda seksyen 6 Akta 118 yang memperuntukkan jumlah deposit bagi memperoleh satu lesen pemajuan perumahan dinaikkan daripada RM200,000 kepada tiga peratus daripada anggaran kos pembinaan.

Cadangan pindaan ini adalah untuk memastikan supaya hanya pemaju yang mempunyai keupayaan kewangan yang mencukupi dibenarkan mengusahakan projek perumahan.

Fasal 8 bertujuan meminda seksyen 16AD Akta 118 telah memperuntukkan untuk menaikkan penalti minimum ketidakpatuhan kepada award tribunal daripada RM10,000 kepada penalti maksimum RM50,000.

Selain itu fasal 6 yang bertujuan meminda subseksyen 16N (1) berkaitan dengan had bidang kuasa tribunal dan memberi kuasa lebih luas kepada tribunal untuk mendengar tuntutan daripada suatu perjanjian jual beli yang melibatkan seseorang pemaju perumahan tidak berlesen.

Cadangan fasal 10 pula bertujuan untuk meminda seksyen 24 untuk menaikkan penalti bagi mana-mana tindakan atau peninggalan yang melanggar mana-mana peraturan daripada denda tidak melebihi RM20,000 kepada RM50,000.

– BERNAMA

Saturday, November 12, 2011

BNM: OPR kekal 3 peratus

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus di tengah-tengah momentum pertumbuhan global yang sederhana.

“Petunjuk terbaharu menunjukkan momentum pertumbuhan global menjadi sederhana sejak beberapa bulan lepas.

“Aktiviti ekonomi di ekonomi maju menerima kesan dari turun naik pasaran yang meningkat serta tahap keyakinan yang lebih rendah di tengah-tengah ketidakpastian.”

“Keadaan pasaran pekerja di beberapa ekonomi ini juga terus lemah,” kata BNM dalam kenyataan selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari hari ini.

BNM berkata, keadaan ini mungkin berterusan disebabkan oleh isu dasar yang penting masih belum selesai dan meningkatkan lagi risiko pertumbuhan global menjadi lebih rendah.

-UTUSAN MALAYSIA

Thursday, November 10, 2011

Berkongsi tips murah rezeki..

tips pertama
- Bangun pagi, dan jangan tidur selepas subuh. Mengikut kajian sains, udara waktu pagi mengandungi paling banyak oksigen. Sebab tu bila kita sedut, udaranya segar dan best. Baik untuk otak dan badan kita. Katanya, kadar oksigen dalam udara waktu pagi yang tinggi tu, bila disedut akan membantu badan kita menyahtoksid (detoksid) kandungan racun dalam badan. Wow, ini tips yang bagus dan mudah.

Bangun pagi-pagi, sedut udara pagi sambil tunggu solat subuh, atau selepas solat subuh sambil buat senaman ringan. Menarik dan mudah bukan. Lepas tu, kalau boleh, sebelum zohor atau dalam pukul 12 tengahari gitu, tidur la sekejap (nap) untuk dapatkan semula kesegaran. Ustaz Dr. Zahazan kata - Sabda Rasulullah SAW; "Lakukanlah qailulah (tidur sebentar di siang hari), kerana sesungguhnya syaitan itu tidak berani qailulah." (Riwayat al-Tabrani)".


Tips kedua
- Tunaikan solat sunat Dhuha 2 rakaat setiap pagi (dalam pukul 8 pagi ke atas dan sebelum pukul 11.30 pagi dah boleh buat). Ini tips sempoi dan mudah. Ada hadis dari Bukhari dan Muslim berbunyi "Kekasihku Rasulullah s.a.w berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya iaitu: supaya aku tidak tidur (malam) selepas menunaikan solat sunat witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakat solat sunat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari pada tiap-tiap bulan".Solat Dhuha ni macam ganti kepada tanggungjawab kita bersedekah pada sendi-sendi dan anggota badan kita setiap hari. Sudah tentu bila kita banyak bersedekah, banyak juga ganjaran pahala dan murah rezeki yang insyaAllah akan kita dapat. Kalau yang bekerja tu, maybe dah masuk pejabat, waktu rehat pukul 10 pagi tu,
boleh ke surau sekejap untuk tunaikan solat sunat dhuha.

Puasa sunat pulak, boleh pilih mana-mana hari dalam sebulan. Nak mudah puasa je hari Isnin dan Khamis, ataupun puasa setiap hari khamis, dah dapat 4 kali sebulan. Sunat witir pulak, sebelum tidur ataupun bila dah terjaga waktu malam, tunaikan 1 rakaat, 3 rakaat atau seterusnya dalam gandaan ganjil, ikut mana yang termampu. Dah complete wasiat Nabi s.a.w untuk kita sama-sama amalkan.

Tips terakhir
- Buat baik kepada kedua ibu-bapa (bagi yang masih hidup) atau pun anak-anak yatim.
Sesungguhnya, terlalu besar ganjaran dan pahala bila kita dapat membahagiakan hati kedua-dua ibu-bapa kita dan anak-anak yatim. Caranya macam-macam, ada tu tak perlukan wang ringgit atau modal yang banyak pun. Cukup sekadar kita telefon setiap pagi atau bila ada masa terluang, untuk bertanya khabar berita tentang kesihatan mereka, berceloteh dan apa-apa saja yang boleh buat mereka happy. InsyaAllah, bila kita mintak mereka doakan kerja kita agar dapat kejayaan dan berkat, doa tu makbul. Mungkin juga kejayaan yang kita kecapi selama ni pun berkat doa ibu ayah kita pada Allah.

OK tuan-tuan dan puan-puan, jom kita sama-sama cuba buat tips-tips murah rezeki kat atas. Bagi yang dah lama amalkan, alhamdulillah, teruskan mudah-mudahan usaha dan kerja kita beroleh keberkatan dan ganjaran berlipat ganda. Kalau ada lagi tips-tips lain yang bagus, boleh kongsi-kongsikan kat sini supaya kita sama-sama dapat manfaatnya.

* Team Rahsiarumah