Sunday, November 20, 2011

Syarat ketat elak lebih ramai muflis

Oleh Rohaniza Idris, Suzalinda Halid dan Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bharian.com.my
2011/11/20
Didik golongan muda hemah berbelanja ikut kemampuan

KUALA LUMPUR: Penilaian lebih ketat terhadap permohonan pembiayaan oleh institusi kewangan tempatan seperti diumumkan Bank Negara kelmarin, mampu menyekat lebih ramai golongan muda diisytihar muflis selain menggalakkan orang ramai berbelanja secara berhemah. Kalangan penganalisis ekonomi berpendapat, langkah itu ibarat pelindung golongan muda khususnya yang tidak mampu membayar balik pinjaman kenderaan serta kad kredit. Kini ramai mendapat pembiayaan walaupun hakikatnya mereka tidak mempunyai aliran tunai banyak atau lebihan kewangan bagi membayar balik pinjaman. - Dr Barjoyai Bardai, Profesor Perakaunan dan Keusahawanan, Sekolah Siswazah Perniagaan, UNIRAZAK Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Dr Mahani Zainal Abidin, berkata ketika ini, dilaporkan banyak golongan muda diisytihar muflis kerana gagal membuat pembayaran balik pinjaman serta menanggung kadar faedah yang tinggi.

Katanya, dengan adanya syarat lebih ketat termasuk mengambil kira pendapatan bersih peminjam, maka risiko lebih ramai ‘bankrap’ akibat tidak mampu membayar balik pembiayaan dapat dikurangkan.

“Saya tidak nampak usaha terbaru ini cuba menyekat lebih ramai membeli rumah dan kenderaan, sebaliknya mendidik rakyat berbelanja secara hemah mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

“Kerajaan perlu membantu rakyat dengan menyediakan lebih banyak ruang untuk orang ramai memiliki rumah serta tingkatkan pengangkutan awam,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Bank Negara bahawa institusi kewangan kini perlu mengambil kira pendapatan bersih, iaitu selepas ditolak potongan wajib seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, potongan cukai berjadual (PCB), selain menetapkan supaya institusi itu memberikan maklumat terperinci mengenai produk pembiayaan dimohon.

Profesor Perakaunan dan Keusahawanan, Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof Dr Barjoyai Bardai pula mengalu-alukan garis panduan baru yang mengelak pengguna ‘terjerat’ dalam tawaran pembiayaan institusi kewangan yang membebankan pengguna.

Katanya, kini ramai mendapat pembiayaan walaupun hakikatnya mereka tidak mempunyai aliran tunai banyak atau lebihan kewangan bagi membayar balik pinjaman.

“Keadaan itu bukan hanya ‘menjerat’ peminjam kerana terpaksa membayar faedah yang tinggi jika lewat membuat bayaran balik malah menyekat pengguna berbelanja mengikut kemampuan. Dengan adanya syarat lebih ketat ini, maka pengguna diajar menilai kemampuan diri sebelum berbelanja atau membuat pinjaman.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata garis panduan berkenaan juga mampu mengelakkan lebih ramai pengguna di negara ini berdepan risiko diisytihar muflis akibat tidak mampu membayar pinjaman.