Wednesday, November 23, 2011

Perketat pembiayaan langkah kawal hutang

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Pengenalan Garis Panduan Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat sebagai langkah awal terbaik untuk mengawal peningkatan hutang isi rumah pada tahun hadapan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Wahid Omar berkata, peraturan yang lebih ketat akan mengurangkan jumlah pembiayaan tahun hadapan, namun ia bukan isu besar.

“Perkara yang perlu dilihat di sini adalah bagaimana mengekang peningkatan hutang isi rumah agar tidak mencapai tahap kritikal.

“Peraturan baharu ini menjangkaui keadaan semasa dan merupakan persediaan awal terbaik untuk berdepan dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu tahun hadapan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Maybank Islamic Bhd. berjumlah RM9.02 juta di sini hari ini.

Wahid berkata, perbandingan hutang isi rumah negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sudah mencecah 77 peratus ketika ini, namun ada pihak mengatakan jumlah tersebut normal dan ada pula sebaliknya.

Katanya, jika dibandingkan dengan rantau lain, jumlah tersebut agak tinggi namun tidak setinggi di Australia di mana perbandingan hutang isi rumah dengan KDNK melebihi 100 peratus.

“Kita tidak mahu keadaan di Malaysia seperti itu, maka langkah awal BNM untuk mengawalnya adalah tepat,’’ katanya.

Ditanya adakah Maybank akan terjejas dengan peraturan baharu tersebut, Wahid berkata, terjejas atau tidak bukan soalnya tetapi bagaimana kita mengawal ekonomi negara dengan baik.

* Utusan Malaysia