Thursday, July 26, 2012

Bonus kakitangan awam


Bonus kakitangan awam 

 

 
NAJIB Tun Razak beramah mesra bersama pelajar Ma'ahad Tahfiz Akademi Iqro' Al-Quran, Bandar Baru Ampang pada Majlis Iftar Perdana Menteri Bersama Rakyat Selangor sempena Ramadan di Taman Nirwana, Ampang, Selangor, semalam. Turut sama Penyelaras Parlimen Ampang, Datuk Ismail Kijo (kiri). - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF 
 
KUALA LUMPUR 25 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.
Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam kenyataan di sini.
Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.
Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.
Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion.
Najib berkata, pemberian bonus dan bayaran khas itu merupakan penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan.
"Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan para pesara kerajaan," katanya.
Beliau berharap langkah itu dapat membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Najib berkata pembayaran bonus kepada penjawat awam itu bagi menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program pembangunan negara.
Sementara itu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini menghargai usaha dan keprihatinan Perdana Menteri yang telah mengumumkan bonus dan bayaran khas kepada penjawat awam dan pesara kerajaan.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pemberian berkenaan dapat meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dalam menghadapi musim perayaan akan datang.
"Saya amat berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di atas pengumuman tersebut dan berharap setiap penerima menggunakan wang berkenaan secara bijak.
"Pemberian bonus ini menjadi suntikan semangat kepada setiap penjawat awam agar menjalankan tugas dengan lebih komited manakala bagi pesara pula terus menyokong program pembangunan negara,'' katanya ketika dihubungi di sini. - BERNAMA

Wednesday, July 25, 2012

Ramadan bukan beban

ALHAMDULILLAH Ramadan telah melabuhkan tirainya kepada kita semua untuk sama-sama cuba meramadankan diri, sama ada ibadat yang wajib atau sunat.
Tetapi malangnya sebahagian orang merasakan Ramadan sebagai bebanan dan kesukaran dengan gambaran sikap puasa sebagai bebanan kepada mereka.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Allah SWT naungkan kepada kamu dengan berlabuhnya bulan Ramadan ini dengan Rasulullah SAW bersumpah: Tiadalah berlalu ke atas orang Islam bulan yang lebih baik bagi mereka daripada bulan Ramadan dan tidak kepada munafik lebih teruk daripada bulan Ramadan. Sesungguhnya Allah SWT menulis pahala ganjarannya sebelum menjelmanya bulan dan juga menulis dosa serta kehinaan sebelum masuknya bulan Ramadan." (riwayat Imam Ahmad dan al-Baihaqi).
Sebenarnya orang yang beriman melihat kepada laba dan keuntungan pahala yang dianugerahkan Allah kepada yang beriman dan beramal bersungguh-sungguh pada bulan Ramadan seperti berpuasa dengan sepenuh hati, melakukan qiamullail, terawih, witir dan lain-lain.
Sedangkan orang munafik melihat kepada habuan nafsu dan syahwat. Justeru, perasaan pertama terlintas kepada mereka bila Ramadan mengunjunginya dengan perasaan lapar, dahaga, letih, penat, mengantuk, malas, susah, banyak terganggu dan tergendala program kehidupan mereka selama 11 bulan.
Atas asas inilah mereka merasa sukar dengan munculnya Ramadan yang membawa 1001 rahmat dan kelebihan.
Daripada Abi Mas'ud al-Ghifari, katanya Rasulullah SAW bersabda: "Kalaulah hamba-hamba Allah mengetahui kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadan, nescaya mereka bercita-cita supaya bulan Ramadan berlaku sepanjang tahun." (riwayat al-Tabarani, Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya dan al-Baihaqi.
Inilah yang terjadi kerana tanpa kefahaman yang jelas menyebabkan mereka begitu hanyut dalam kehidupan sehingga lalai untuk beribadat.
Akhirnya mereka hanya melihat puasa sebagai amalan ritual atau semata-mata kewajipan tanpa memahami kelebihan yang begitu banyak dalam bulan tersebut.
Oleh kerana itu hendaklah kita cuba menghayati kelebihan Ramadan dan keistimewaannya untuk kita lakukan acara ibadat dengan sebanyak mungkin. Jadikanlah Ramadan kali ini lebih baik daripada Ramadan lalu dari sudut laba dan keuntungan akhirat. Penuhilah masjid dengan beriktikaf dan solat serta menghadiri majlis pengajaran ilmu.
Semoga kita menjadi hamba Allah yang benar-benar melaksanakan ibadat yang wajib dan sunat agar kita meraih takwa di sisi Allah SWT. Amin.
Utusan Malaysia arkib 24.7.2012

Monday, July 23, 2012

Raja Muda: Budaya membaca pertingkat tamadun


22 Julai 2012
KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu masyarakat terus memupuk budaya membaca bagi memperkayakan diri dengan ilmu lantas mempertingkat  ketamadunan.
Menurut baginda, masyarakat yang miskin ilmu akan terus ketinggalan.
Baginda bertitah pada perasmian program Hijrah Minda anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Pelajaran Perlis di Masjid Tuanku Syed Putra di sini hari ini.
Titah baginda lagi, ilmu pengetahuan adalah asas bagi pembentukan masyarakat dan negara yang makmur dan budaya membaca perlu diterapkan ke seluruh rakyat bagi merapatkan jurang ilmu antara masyarakat bandar dengan luar bandar.
Dalam perkembangan lain Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil mahu persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) lebih agresif membantu mencerna perubahan pelajar.
Bertitah pada majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2012 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen di sini, baginda menegaskan perlunyu pemimpin masyarakat seiring membina masyarakat bermaklumat.
Pada majlis itu, baginda turut merasmikan Anjung Bestari dan menanam pokok di Laman Ilmu sekolah itu.
Turut hadir isteri Menteri Besar Perlis, Datin Seri Asiah Asmuni. - Bernama

Thursday, July 19, 2012

Akhlak berhutang


STATISTIK yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam sidang parlimen, baru-baru ini sekali lagi mengejutkan kita. Laporan yang berkaitan dengan bilangan kes kebankrapan yang ditadbir oleh Jabatan Insolvensi setakat April 2012 ialah sebanyak 241,740 kes.
Perkara ini sangat mengejutkan kerana kebanyakan mereka yang berstatus bankrap ini masih muda, seawal 25 tahun. Bayangkan, pada usia muda sudah menyandang status bankrap.
Menurut kajian yang telah dibuat, secara purata lebih kurang 41 individu muflis setiap hari akibat kegagalan menjelaskan bebanan bayaran kad kredit, yuran perubatan, sewa beli dan hutang ah long.
Beberapa tindakan telah diambil oleh kerajaan bagi membendung masalah ini. Antaranya ialah peraturan yang telah dikuatkuasakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengehadkan pemilikan kad kredit khususnya untuk mereka yang berpendapatan di bawah RM36,000 setahun untuk mengawal perbelanjaan boros, selain membendung risiko generasi muda diisytiharkan muflis.
Sekiranya kita amati secara teliti, sebenarnya punca kepada peningkatan kes kebankrapan adalah disebabkan oleh sikap.
Selagi mana sikap tamak, suka menunjuk-nunjuk dan suka membazir tidak dapat dikawal, maka selagi itulah masalah kebankrapan tidak dapat dibendung atau dikurangkan.
Memang tidak dapat dinafikan terdapat di kalangan kita yang mempunyai masalah kewangan. Barangkali, ia bukanlah disebabkan kelemahan perancangan yang dibuat, tetapi kerana berhadapan dengan situasi kecemasan yang tidak dijangkakan.
Oleh itu, Islam mengharuskan untuk kita berhutang. Walaupun ia dibenarkan dan diharuskan oleh Islam, ini tidak bermakna Islam menggalakkan kita berhutang. Ia hanyalah untuk memenuhi keperluan di peringkat dharuriyat iaitu keperluan yang bersangatan seperti rumah, kenderaan, perubatan dan pendidikan.
Islam tidak membenarkan kita berhutang untuk bermewah-mewah dan untuk menyombong diri. Orang yang mempunyai perasaan suka menunjuk-nunjuk tidak akan puas dengan apa yang dimiliki. Semuanya akan dibuat asalkan dia dapat mempamerkan kemewahannya kepada orang lain. Kekaguman orang terhadapnya seolah-olah memberikan suatu kepuasan kepadanya. (rujuk Luqman: 18)

Ibnu Az-Zubair pernah berkhutbah di Mekah, dengan menyatakan: "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Nabi SAW pernah bersabda: Seandainya manusia diberikan lembah yang dipenuhi dengan emas, maka dia masih menginginkan lembah yang kedua seumpama itu. Jika diberikan lembah kedua, dia akan masih menginginkan lembah yang ketiga. Perut manusia tidaklah akan penuh melainkan dengan tanah. Allah tentu menerima taubat bagi sesiapa sahaja yang bertaubat. (riwayat al-Bukhari)
Semoga kita terpelihara daripada belenggu hutang yang akhirnya membataskan dan menyulitkan kehidupan kita. Orang yang bebas daripada hutang ialah orang yang merdeka dan tumpuan mereka tidak terganggu serta yang paling penting sekali dia akan dapat mengelakkan diri daripada penipuan dan pengkhianatan.

Wednesday, July 18, 2012

Terengganu umum ‘bonus’ juara Sukma

FARAH SHAZWANI ALI
17 Julai 2012 
 

Keriangan terserlah pada wajah kontinjen Terengganu apabila dinobatkan Juara Keseluruhan Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 pada majlis penutupan sukan itu- foto Bernama 
 
KUALA TERENGGANU- Baru sahaja dinobatkan sebagai juara Sukan Malaysia (Sukma) empat kali berturut-turut, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sekali lagi membuat kejutan dengan pengumuman penubuhan Akademi Ragbi bagi rakyat negeri ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri melihat potensi besar sukan itu dan kini sedang mengintai jurulatih dari New Zealand.

“Baru-baru ini saya sudah berbincang dengan Pesuruhjaya Tinggi New Zealand Ke Malaysia untuk membantu Terengganu mencari jurulatih ragbi yang bersesuaian dari negara itu.

“Kalau boleh kita mahu dapatkan bekas pemain All Blacks kerana kita akan tubuhkan akademi, melibatkan potensinya untuk dikembangkan. Sukan ragbi juga kuat, cuma sekarang kita perlukan jurulatih yang berwibawa.

“Seboleh-bolehnya kita mahu secepat mungkin bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat, terpulang kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) untuk menguruskannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Robocon 2012 peringkat Kebangsaan yang diadakan di Stadium Negeri di sini, semalam.

Kata Ahmad, Terengganu sudah mendapatkan khidmat beberapa jurulatih berpengalaman bagi sukan berpotensi seperti badminton (Indonesia), squash (Pakistan), takraw (Thailand) dan taekwondo (Korea).

Sehingga kini, Terengganu sudah mempunyai Akademi Bola Sepak dan Akademi Badminton bagi mencari bakat muda untuk diketengahkan.

“Terengganu merupakan negeri yang mengeluarkan perbelanjaan paling besar untuk pembangunan sukan. Bagi Sukma sahaja, kita membelanjakan RM7 juta, untuk MSN pula sebanyak RM12 juta,” katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai pencapaian keseluruhan Sukma kali ini, Ahmad dengan nada ceria berkata, beliau cukup berpuas hati.

“Kita muncul juara bagi tujuh acara iaitu takraw, olahraga, basikal, boling padang, hoki lelaki dan wanita. Malah ada lagi acara sukan yang dilihat boleh diperbaiki dan diberikan perhatian,” katanya.

Sementara itu, ketika tiba di sempadan Terengganu, iaitu Kemaman-Kuantan pada jam 11.30 pagi semalam, Ahmad mengisytiharkan cuti peristiwa sehari pada Ahad ini bagi negeri ini, sempena kejayaan kontinjen Terengganu pada Sukma ke-15.

Terengganu yang mengutip 62 emas, 24 perak dan 31 gangsa muncul juara Sukma Pahang 2012, sekali gus mempertahankan kejuaraan yang diraih sejak Sukma

Terengganu 2008, Sukma Melaka 2010 dan Sukma Kuala Lumpur 2011.

Sementara itu, jika mengikut insentif yang diwujudkan Kerajaan Negeri sejak Terengganu menjadi tuan rumah Sukma pada 2008, pemenang pingat emas akan menerima tunai RM5,000; perak, RM3,000 dan gangsa RM2,000.

Tuesday, July 17, 2012

Bajet 2013: Kementerian cadang insentif cukai bagi hotel



Bajet 2013: Kementerian cadang insentif cukai bagi hotel

16 Julai 2012

GEORGE TOWN - Kementerian Pelancongan mencadangkan agar Bajet 2013 memberi beberapa insentif cukai kepada hotel, kata menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.
Beliau bagaimanapun berkata cadangan insentif itu hanya melibatkan hotel yang mempunyai penarafan bagi menjamin kualiti perkhidmatan.
"Adalah sesuatu yang cukup adil insentif cukai diberi kepada hotel yang mempunyai penarafan, jika tidak, kualitinya tidak terjamin," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan projek menaik taraf tandas awam di Pantai Mas, Batu Ferringhi di sini hari ini.
Dr Ng berkata kementerian itu juga sedang mengkaji insentif baru bagi hotel sedia ada yang melakukan baik pulih setelah mengadakan dialog dengan penggiat industri berkenaan.
"Tiada gunanya meminta terlalu banyak. Biarlah kita minta sesuatu yang boleh dilakukan dan boleh dilaksanakan secara berpanjangan seperti membaik pulih untuk menaik taraf hotel," katanya.

Dr Ng berkata langkah mengadakan penarafan bagi pusat spa adalah penting kerana Malaysia sedang bergerak ke arah pelancongan mewah.
Kata beliau industri spa sedang berkembang sebagai bidang pekerjaan popular dalam kalangan golongan muda.
Kabinet membenarkan kementerian itu memberi penarafan kepada pusat spa bagi menjamin kualitinya, kata beliau, sambil menggesa majlis tempatan menyokong usaha itu dengan tidak  mengeluarkan lesen kepada pengusaha yang tidak layak.
Dr Ng berkata kementerian itu juga diberi mandat memperakukan permohonan pekerja asing untuk bekerja di pusat spa untuk menjamin kemajuan industri terapi spa tempatan.
Projek menaik taraf tandas awam oleh kerajaan persekutuan melibatkan kos RM450,000 itu siap pada 26 Jun dan bertujuan memberi keselesaan kepada pengunjung ke Batu Ferringhi. -Bernama

Saturday, July 14, 2012

Wang kertas siri baru dilengkapi teknologi terkini

  
KUALA LUMPUR - Wang kertas siri baharu, yang akan berada dalam edaran mulai Isnin, dilengkapi dengan teknologi wang kertas terkini untuk meningkatkan ciri-ciri keselamatan, kata Bank Negara hari ini.

Teknologi baharu itu akan termasuk imej tanda bayang, tingkap pandang telus, potret tera air dengan piksel dan angka, benang keselamatan dengan warna berubah-ubah, benang kanta mikro, tanda pandang telus dan petak kilat berwarna, kata bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Bertema "Keunikan Malaysia", wang kertas terbaharu itu diinspirasikan daripada kepelbagaian budaya, warisan dan alam semulajadi negara, katanya.

Bank itu berkata mereka yang cacat penglihatan juga boleh menggunakan ciri-ciri spesifik seperti pengenalan sentuhan untuk mengenalpasti dan membezakan denominasi berlainan.

Siri wang kertas baharu itu adalah dalam denominasi RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100.

Wang kertas RM20 diperkenalkan semula dalam siri baharu ini dan substrat polimer digunakan untuk wang kertas RM1 dan RM5.

"Wang RM50 yang digunakan sekarang telah dikeluarkan semenjak Disember 2007 dan akan kekal dalam edaran," katanya.

Bank Negara menggesa pihak berkaitan untuk mempercepatkan penentukuran mesin mereka untuk menerima wang kertas siri baharu ini untuk kemudahan orang ramai.

Wang kertas siri baharu ini akan berada dalam edaran bersama-sama wang kertas sedia ada yang kekal sah. - Bernama

Thursday, July 12, 2012

Prasarana terokai segmen hartanah

Dari kiri, SM Nasarudin, SM Faliq, Shahril,  Firdaus  dan Ismail melihat  replika bangunan  yang akan dibina di Taman Tun Dr Ismail, di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Syarafiq Abd Samad  Berita Harian 12/7/2012.
Dari kiri, SM Nasarudin, SM Faliq, Shahril, Firdaus dan Ismail melihat replika bangunan yang akan dibina di Taman Tun Dr Ismail, di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Syarafiq Abd Samad.

 
Kuala Lumpur: Syarikat Prasarana Negara Bhd (Prasarana) memulakan penerokaan ke dalam pembangunan hartanah dalam usaha mempelbagaikan asas pendapatannya.

Projek sulungnya ialah kompleks kediaman di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur yang akan dimajukannya dengan Naza TTDI Ventures Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Naza TTDI Sdn Bhd. Peroleh mandat kerajaan
Syarikat yang diberikan mandat oleh kerajaan menguruskan projek infrastruktur awam itu kini memiliki beberapa bangunan tetapi kebanyakannya dihubungkan dengan perkhidmatan rel serta basnya.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Shahril Mohktar, berkata selain tanah di Taman Tun Dr Ismail itu, Prasarana juga telah mengenal pasti beberapa tanah lain yang berpotensi dimajukan termasuk di Ara Damansara, Brickfields, Dang Wangi, Putra Heights dan Taman Melawati.

“Pada dasarnya, kami bersetuju bekerjasama dengan Crest Builder Group memajukan projek di Dang Wangi dan telah membuka tender berakhir 21 Julai ini bagi tanah di Brickfields.

“Tender memajukan aset di Ara Damansara pula baru ditutup. Prasarana mengalu-alukan pembida berminat mengemukakan cadangan dan tidak akan mengehadkan kreativiti mereka,”
katanya selepas memeterai perjanjian usaha sama antara Prasarana dan Naza TTDI Ventures itu di Kuala Lumpur, semalam.

Wednesday, July 11, 2012

Rendah martabat jika hilang rasa malu


Golongan tidak berakhlak bangga dengan perbuatan melampaui batas

Malu ialah sifat atau perasaan yang membataskan seseorang itu melakukan perkara kurang sopan yang menyingkap nilai iman dan menentukan tinggi atau rendah akhlaknya.

Bagi yang memiliki perasaan malu apabila melakukan sesuatu yang tidak patut baginya maka wajahnya akan berubah menjadi pucat sebagai tanda penyesalan selepas terlanjur melakukan perkara tidak wajar. Ini menunjukkan hati kecilnya hidup dan batinnya suci serta bersih. Sebaliknya bagi yang tidak memiliki rasa malu, dia pastinya gembira dan bersahaja apabila melakukan perbuatan tidak sopan malah bangga dengan perbuatan itu. Golongan begini jelas tidak baik akhlaknya.
Islam mengingatkan umatnya supaya mengamalkan perasaan malu dalam kehidupan sehari-hari kerana perasaan malu dapat meningkatkan akhlak dan iman seterusnya mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya semua agama itu mempunyai akhlak dan akhlak Islam itu perangai malu.” (Hadis riwayat Imam Malik)

Mereka yang mempunyai rasa malu akan sentiasa menahan diri daripada melakukan perbuatan yang boleh mengganggu perasaan orang lain.

Nabi Muhammad SAW seorang yang tinggi akhlaknya, hebat sopan santun dan tingkah lakunya, paling tinggi ketaatannya kepada segala perintah Allah SWT, tugas kemasyarakatan dan selalu menahan diri daripada segala larangan-Nya.
Daripada Abi Sa’id al-Khudzri ia berkata: “Adalah Rasulullah SAW lebih pemalu daripada gadis pingitan. Dan bila terjadi sesuatu yang tidak disukainya, kami dapat mengenal dari wajahnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Iman yang sempurna ikatan tidak dapat dipisahkan antara manusia dengan Allah SWT. Ikatan ini mempunyai pengaruh kuat untuk membersihkan jiwa, mempertinggikan akhlak dan meningkatkan amal kebajikan.

Untuk mencapai semua ini, seharusnya ditanam dalam jiwa manusia berusaha untuk menguatkan iman, menyuburkan batin, memperkasakan akhlak dan memperbanyakkan amal soleh. Apabila ini tertanam dalam jiwa, maka timbul rasa enggan melakukan kesalahan dan tidak menyukai kelakuan buruk.

Mengetahui sesuatu yang hina dan tidak peduli melakukan perbuatan buruk, itulah petanda jiwa sudah hilang rasa malu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Malu dan iman itu adalah teman seiring sejalan, jika yang satu diangkat nescaya terangkatlah pula yang satu lagi.” (Hadis riwayat Muslim)

Demikianlah, apabila manusia telah hilang rasa malunya maka akan secara beransur-ansur keadaannya semakin buruk, kemudian menurun lagi kepada yang lebih buruk.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah apabila menghendaki membinasakan seseorang, Dia mencabut rasa malu daripadanya. Apabila rasa malunya sudah dicabut, kamu tidak menjumpainya kecuali dibenci. Kemudian apabila tidak ditemuinya kecuali dibenci, dicabutlah daripadanya amanah dan kepercayaan. Apabila sudah dicabut sifat amanah dan kepercayaan daripadanya, maka tidak akan didapatinya kecuali sebagai pengkhianat dan dikhianati. Kalau sudah jadi pengkhianat dan dikhianati maka dicabutkan daripadanya rahmat. Kalau sudah dicabut rahmat daripadanya tidak akan kamu dapati kecuali terkutuk yang mengutuk. Apabila terkutuk yang mengutuk sudah dicabut daripadanya, maka akhirnya dicabutkan ikatan keislamannya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Setiap Muslim dituntut memiliki sifat malu ketika berbicara, malu membicarakan perkara keji dan tidak senonoh, malu mencela sesuatu, malu membicarakan aib orang lain dan membuat sesuatu perkara mendatangkan keaiban pada diri sendiri.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Malu adalah cabang iman dan iman di dalam syurga dan kurang sopan itu adalah sebahagian daripada kekerasan hati, kekerasan hati adalah di dalam api neraka.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan at-Tarmizi)

Seseorang yang tidak mempunyai sifat malu, dia bukanlah hidup sebenarnya, tetapi sudah mati atau hampir mati imannya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.” (Hadis riwayat Muslim) 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Rendahmartabatjikahilangrasamalu/Article/

Tuesday, July 10, 2012

Tokoh budayawan Azah Aziz meninggal dunia

Wartawan Sinar Harian
9 Julai 2012
Profesor Diraja Ungku Aziz bersama Azah Aziz. – Foto ihsan
Profesor Diraja Ungku Aziz bersama Azah Aziz. – Foto ihsan
KUALA LUMPUR - Tokoh budayawan Azah Aziz, yang juga isteri kepada Profesor Diraja Ungku Aziz meninggal dunia di sini, hari ini.
Azah Aziz atau nama penuhnya Sharifah Azah Mohamed Alsagoff, yang juga ibu kepada Gabenor Bank Negara, meninggal dunia pada usia 84.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan sanak saudara Azah Aziz.
Dipetik Bernama, Najib berkata, pemergian tokoh budaya itu, yang lebih dikenali sebagai Azah Aziz akan dikenang oleh masyarakat atas kegigihannya memartabatkan budaya dan kesenian bangsa.
"Kegigihan beliau untuk memartabatkan budaya dan kesenian akan dikenang oleh masyarakat," kata Perdana Menteri dalam kenyataan.
Azah Aziz menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira 10 pagi akibat serangan angin ahmar.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini selepas solat Asar.
Antara yang berada di tanah perkuburan untuk pengebumian ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, serta anggota keluarga dan kenalan rapat.
  

Sunday, July 8, 2012

Dana RM500j untuk usahawan


Nor Mohamed Yakcob memberi penerangan pada sidang akhbar sempena kerjasama Teraju dan SME Bank sambil disaksikan Rahmat Bivi Yusoff (kiri) dan Husni Salleh di Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, semalam.
PETALING JAYA 6 Julai - Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bekerjasama dengan SME Bank untuk menubuhkan Pembiayaan Teras, satu kemudahan pembiayaan dengan dana sebanyak RM500 juta.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, pembiayaan tersebut adalah untuk membantu pengembangan perniagaan syarikat bumiputera berprestasi tinggi di bawah program Teras.
" Peminjam untuk kegunaan modal kerja boleh meminjam dari jumlah RM1 juta sehingga RM10 juta, manakala bagi pembiayaan pembelian aset boleh meminjam sehingga RM20 juta," katanya semasa sidang akhbar mengumumkan kerjasama tersebut di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Eksekutif Teraju, Husni Saheh dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Rahmat Bivi Yusoff.
Menurut Nor Mohamed, skim pembiayaan terbaharu ini tidak memerlukan peminjam mengemukakan cagaran, namun setiap projek yang dicadangkan haruslah mempunyai prospek keuntungan.
Program Teras dikendalikan oleh Teraju dengan matlamat untuk membantu usahawan bumiputera berkembang ke peringkat antarabangsa dengan memudah cara akses kepada peluang-peluang perniagaan.
Jelasnya, setakat ini 130 syarikat telah dipilih berikutan mempunyai rekod perniagaan yang baik, kedudukan kewangan yang kukuh serta menunjukkan potensi pertumbuhan yang telah dinilai dengan teliti oleh SME Corporation, menerima SCORE di antara tiga bintang sehingga lima bintang dan pernilaian kredit yang tinggi.
"Jika boleh, kami mahu bayaran pinjaman itu dikeluarkan sepenuhnya dalam masa setahun," katanya.
Di sidang media yang sama, Nor Mohamed turut mengumumkan agihan RM500 juta daripada Dana Mudah Cara bernilai RM2 bilion akan dibahagikan sama rata untuk lima koridor ekonomi iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak dan Koridor Pembangunan Sabah.
Dana Mudah Cara diwujudkan hasil usahasama Teraju dengan Unit Kerjasama Awam - Swasta (UKAS) dan telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Ogos lalu.
Menurut Nor Mohamed, dana tersebut bakal membantu syarikat bumiputera yang bakal mempunyai akses yang lebih meluas menerusi koridor-koridor berkenaan.
"Perdana Menteri juga bersetuju menurunkan minimum kos projek kepada RM5 juta daripada RM20 juta sebelumnya.
"Ini kerana daripada penyelidikan yang dijalankan, kebanyakan projek yang diusahakan syarikat Bumiputera bernilai antara RM5 juta dan RM30 juta," katanya.
Ia merupakan sebahagian daripada Dana Mudah cara bernilai RM20 bilion, yang diperuntukkan oleh kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Thursday, July 5, 2012

Wajib adakan latihan pra persaraan

MAZNAH HAMID
BEBERAPA minggu kebelakangan ini, media massa sibuk melaporkan mengenai usia persaraan yang dinaikkan kepada 60 tahun bagi sektor swasta.
Ia merupakan susulan Rang Undang-Undang Umur Persaraan Minimum 2012 yang mewajibkan umur persaraan pekerja sektor swasta dilanjutkan daripada 55 kepada 60 tahun dibentangkan buat bacaan kali pertama di Dewan Rakyat baru-baru ini, ia menjadi satu topik hangat dan menarik yang tidak habis-habis diperkatakan di tempat-tempat kerja terutamanya syarikat swasta.
Ada yang bersetuju dan bersyukur dengan langkah berkenaan manakala tidak kurang pula mempersoalkan tahap kemampuan pekerja yang menghampiri usia persaraan itu untuk meneruskan perkhidmatan selama lima tahun lagi, terutama sekali bagi mereka di kalangan baby boomers atau mereka yang lahir sekitar 1946 hingga 1964.

Tuesday, July 3, 2012

Antara ‘Freehold’, ‘Leasehold’ dan “Hak Milik Sementara

Kongsi drp http://tipshartanah.com/
Sedikit perkongsian ingin saya tulis di dalam artikel kali ini adalah mengenai jenis pegangan hartanah dan juga sedikit penjelasan tentang jenis hakmilik yang menjadikan sesetengah orang sedikit keliru mengenainya.
Ini adalah berikutan beberapa salah faham yang berlaku apabila saya bersembang dengan beberapa orang bakal pembeli rumah, pemilik dan juga oleh sesetengah agen hartanah sendiri.  Antara yang ingin saya kongsikan di sini adalah mengenai pegangan milikan bebas (freehold), pajakan (leasehold) dan juga apakah dia Hakmilik Sementara yang mana boleh jadi ‘freehold’ mahupun ‘leasehold’.
Untuk penerangan di dalam artikel ini saya tidak akan menyentuh dengan mendalam dari segi perundangan (akta-akta dan sebagainya) tetapi hanya lebih kepada penerangan yang lebih mudah difahami oleh orang-orang biasa.
OK, pertamanya apakah FREEHOLD dan apa pula LEASEHOLD?
 
FREEHOLD atau pegangan bebas merupakan tanah di mana pemilikannya adalah untuk tempoh selama-lamanya (kekal).    Dalam ertikata mudah, pemilik tanah pegangan bebas memiliki tanah tersebut selamanya tanpa tertakluk kepada tanah tersebut kembali semula kepada hak milik kerajaan selepas sesuatu tempoh tertentu (kecuali melalui pegambilan balik tanah oleh kerajaan).  Di dalam dokumen hakmilik muktamad (‘final title’), pegangan bebas dikenali sebagai GERAN (sama ada Geran atau Geran Mukim) seperti di dalam rajah di sebelah.  Geran merujuk kepada hakmilik yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar Negeri manakala Geran Mukim merujuk kepada hakmilik yang dikeluarkan dan ditadbir oleh Pejabat Tanah dan Daerah.
Sebagai contoh, jika dokumen hakmilik itu dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar Tanah Negeri maka ianya menggunakan No. Hakmilik seperti GERAN 1234 manakala jika ianya dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah maka No. Hakmilik adalah seperti Geran Mukim 1234.
 LEASEHOLD atau pegangan berstatus Pajakan pula merupakan jenis pegangan ke atas hartanah untuk suatu tempoh yang telah ditetapkan.  Pada masa ini tempoh pajakan yang biasa dilihat atau dikeluarkan oleh kerajaan negeri / Pejabat Tanah adalah untuk 99-tahun.  Di negeri seperti Sabah & Sarawak, kita mungkin melihat tempoh pajakan yang lebih panjang manakala untuk hakmilik lama dan tujuan selain kediaman anda mungkin akan lihat pajakan untuk tempoh seperti 30 atau 60 tahun.  Persoalan utama di sini apa akan jadi selepas tempoh pajakan tersebut tamat?  Jawapannya, tanah tersebut akan kembali menjadi hakmilik negeri.  Walau bagaimanapun, ini jarang berlaku kerana kebiasaannya pemilik tanah kediaman akan diberikan peluang untuk memperbaharui/memanjangkan tempoh pajakan tersebut dengan membayar sejumlah premium mengikut kadaran nilai tanah semasa.   Sekiranya anda merupakan pemilik tanah jenis pajakan, anda tidak perlu menunggu sehingga pajakan tersebut tamat tempoh untuk memohon tetapi boleh mula memohon apabila tempoh pajakan tersebut semakin pendek (sekitar kurang 30-50 tahun) kepada Pejabat Tanah.  Anda akan dimaklumkan mengenai jumlah premium yang perlu dibayar untuk permohonan tersebut dan perlu membuat pembayaran sebelum ianya diluluskan.   Untuk negeri Selangor, adalah dimaklumkan pada tahun 2011 bahawa pemilik yang terus tinggal di hartanah berkenaan hanya perlu membayar RM1,000 sahaja berbanding jumlah premium mengikut nilai pasaran tersebut sehingga beliau menjual hartanah berkenaan.  Jumlah ini adalah tersangat kecil dan merupakan suatu tindakan yang baik dari kerajaan negeri tersebut.  Sebagaimana dokumen hakmilik kekal, pegangan pajakan juga mempunyai pengenalan tersendiri dalam membezakannya di dalam dokumen hakmilik.  No. Hakmilik muktamad bagi pegangan pajakan akan menggunakan PAJAKAN 1234 atau PAJAKAN MUKIM 1234 – merujuk cara yang sama seperti Geran.
Secara amnya kebanyakan tanah-tanah untuk projek perumahan pada masa ini adalah berstatus ‘Pajakan’ kerana ianya merupakan tanah yang ‘diberimilik’ oleh kerajaan kepada pemaju untuk dibangunkan.  Hanya projek-projek perumahan terdahulu yang mana tanah sudah dimiliki oleh individu sahaja biasanya yang memiliki status pegangan bebas (kekal).  Penerangan lanjut diperlukan untuk perkara ini nanti!..
Dari segi nilaian hartanah pula, sebagaimana sedia maklum, tanah dengan ciri2 yang sama akan mempunyai nilai yang lebih tinggi untuk pegangan bebas berbanding pajakan.  Selain disebabkan tempoh pegangan tersebut, ianya adalah berkaitan dengan permintaan dan juga tempoh pindahmilik yang lebih panjang untuk pegangan pajakan yang memerlukan kebenaran/kelulusan dari Pihak Berkuasa Negeri untuk pindahmilik tersebut yang kadangkala memakan masa sehingga 1 tahun.
Apakah pula HAKMILIK SEMENTARA?
Sebagaimana yang telah saya terangkan di atas, dokumen hakmilik MUKTAMAD akan menggunakan no. pengenalan seperti Geran, Geran Mukim, Pajakan, Pajakan Mukim dan sebagainya.  Bagaimana pula bagi hakmilik yang belum muktamad? Untuk hakmilik yang belum muktamad, no. pengenalan hakmilik yang digunakan yang mungkin anda pernah lihat adalah seperti H.S.(D)1234 atau H.S.(M)1234.  Huruf pengenalan H.S. di sini sebenarnya merujuk kepada Hakmilik Sementara‘ manakala (D) dan (M) masing-masing merujuk kepada Pejabat Pendaftar atau Pejabat Tanah Daerah berkenaan iaitu D (Daftar) – Pejabat Pendaftar Negeri manakala M (Mukim) – Pejabat Tanah Daerah.  Terdapat sebahagian mereka yang keliru dengan anggapan bahawa Hakmilik Sementara merupakan pegangan ‘sementara’ yang mereka fikir pegangan pajakan sedangkan ianya suatu perkara yang berbeza.  Semoga penerangan ini dapat memberikan pencerahan kepada masalah tersebut.
Oleh itu, Hakmilik Sementara ini juga mempunyai jenis pegangan yang berbeza iaitu sama ada ianya pegangan bebas ataupun pegangan pajakan yang mana boleh dirujuk di dalam dokumen hakmilik tersebut.
Walaupun Hakmilik sementara ini bukanlah dokumen hakmilik muktamad ianya tetap sah digunapakai sebagaimana butiran yang tercatit di dalamnya sehinggalah hakmilik muktamad dikeluarkan.  Hakmilik muktamad merupakan hakmilik berdasarkan ukuran akhir/sebenar Pejabat Tanah dan terdapat kemungkinan saiz muktamad tanah anda sedikit berbeza dari saiz di dalam hakmilik sementara.
Diharapkan sedikit penerangan ringkas mengenai 3 perkara di atas dapat memberikan penjelasan kepada mereka yang masih belum jelas mengenainya.  Sekiranya anda mempunyai pertanyaan lanjut, sila berikan di ruangan komen Http://Tipshartanah.com/