Thursday, July 5, 2012

Wajib adakan latihan pra persaraan

MAZNAH HAMID
BEBERAPA minggu kebelakangan ini, media massa sibuk melaporkan mengenai usia persaraan yang dinaikkan kepada 60 tahun bagi sektor swasta.
Ia merupakan susulan Rang Undang-Undang Umur Persaraan Minimum 2012 yang mewajibkan umur persaraan pekerja sektor swasta dilanjutkan daripada 55 kepada 60 tahun dibentangkan buat bacaan kali pertama di Dewan Rakyat baru-baru ini, ia menjadi satu topik hangat dan menarik yang tidak habis-habis diperkatakan di tempat-tempat kerja terutamanya syarikat swasta.
Ada yang bersetuju dan bersyukur dengan langkah berkenaan manakala tidak kurang pula mempersoalkan tahap kemampuan pekerja yang menghampiri usia persaraan itu untuk meneruskan perkhidmatan selama lima tahun lagi, terutama sekali bagi mereka di kalangan baby boomers atau mereka yang lahir sekitar 1946 hingga 1964.
Baby boomers merupakan generasi yang aktif dan lambat berusia, matang serta bersemangat waja terutama ketika berada dalam lingkungan umur 50 an.
Agensi kerajaan dan organisasi swasta disaran menyediakan latihan pra persaraan kepada pekerjanya bagi memastikan sumber manusia digunakan secara optimum.
Sejajar peningkatan umur persaraan swasta dari 55 tahun kepada 60 tahun, menjadi keperluan bagi kelompok terbabit dilatih untuk mengekalkan produktiviti, memaksimumkan kepakaran dan pengalaman pekerja serta menetapkan matlamat kehidupan selepas tempoh bersara.
Latihan sebelum persaraan diamalkan di kebanyakan negara maju dengan pekerja dilatih dalam lima tahun sebelum bersara.
Latihan ini penting supaya pekerja berasa relevan, diperlukan dan pintar.
Pekerja yang menghampiri umur persaraan, misalnya 55 tahun, boleh dilatih menjadi mentor atau jurulatih kepada tenaga kerja muda. Ia boleh dilakukan dalam sektor kerajaan dan swasta.
Setiap orang mempunyai potensi mereka tersendiri, mungkin dengan memberikan kepercayaan kepada mereka melatih generasi muda ia meningkatkan produktiviti sekaligus menjadikan sesuatu jabatan lebih baik.
Pekerja ini mempunyai pengalaman, kematangan dan kepakaran yang boleh diturunkan kepada tenaga kerja muda, sekali gus akan memberi nilai tambah kepada individu terbabit.
Golongan ini adalah aset kepada syarikat dan negara, kepakaran mereka tidak boleh dibiarkan habis begitu sahaja.
Selain itu, ada yang berkata lanjutan usia persaraan itu bakal menyebabkan ramai golongan muda profesional tidak dapat naik pangkat dan pada masa sama boleh meningkatkan kadar pengangguran lepasan diploma dan ijazah mahu pun sijil di negara ini.
Dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana pengekalan jawatan seseorang bukan bermakna ia menutup peluang untuk generasi muda untuk terus naik tetapi ia akan membuka ruang bagi golongan muda belajar tentang sesuatu perkara dengan lebih mendalam, daripada mentor yang telah dilatih khas ini.
Ketika ini latihan pra persaraan hanya dilaksanakan dalam perkhidmatan tentera dengan anggota yang bersara awal diberi latihan keusahawanan untuk menjalani kehidupan selepas tamat perkhidmatan.
Berbeza dengan tentera, latihan bagi pekerja swasta dan kakitangan awam menumpukan terhadap usaha memaksimumkan keupayaan individu yang dilatih.
Saya ingin mencadangkan Kementerian Sumber Manusia dan kementerian berkaitan melihat keperluan mengadakan latihan pra persaraan di kalangan kakitangan awam.
Intipati penting kepada latihan pra persaraan itu adalah melihat kepada kemampuan organisasi terbabit dan mengambil kira minat dan kecenderungan pekerja yang bakal bersara itu.
Dalam tempoh itu, majikan akan mengenal pasti pekerja yang produktif dan sebaliknya untuk dilatih ke tahap optimum.
Sebenarnya kebanyakan pekerja, khususnya kakitangan awam telah 'bersara' sebelum tempoh persaraan sebenar.(ketika masih bekerja, kerana tiada matlamat dan visi)
Ini satu kerugian kerana mereka adalah sumber manusia berharga yang mempunyai pengalaman, kematangan dan kemahiran yang boleh digunakan.
Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, golongan ini perlu bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Anak-anak pula tidak boleh digantungkan harapan kerana masih belum boleh berdikari. Trend kahwin lewat di negara ini juga sedikit sebanyak menyumbang kepada perkara tersebut.
Peningkatan kos perubatan turut membuatkan pesara akan lebih tersepit apabila terpaksa mendapatkan rawatan untuk diri sendiri dan keluarga. Sekiranya mereka masih bekerja, syarikat boleh menanggung kos perubatan mereka termasuk keluarga.
Oleh itu, lanjutan usia persaraan secara bijaksana ini akan memberi peluang kepada pekerja-pekerja mengumpul lebih pendapatan dan kemudiannya dijadikan modal persaraan kelak.
Untuk meneruskan hidup selepas bersara, saya mempunyai strategi dan visi yang akan dikongsi kepada bakal pesara pada masa hadapan.
Lawati www.facebook.com/maznahhamid