Thursday, July 12, 2012

Prasarana terokai segmen hartanah

Dari kiri, SM Nasarudin, SM Faliq, Shahril,  Firdaus  dan Ismail melihat  replika bangunan  yang akan dibina di Taman Tun Dr Ismail, di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Syarafiq Abd Samad  Berita Harian 12/7/2012.
Dari kiri, SM Nasarudin, SM Faliq, Shahril, Firdaus dan Ismail melihat replika bangunan yang akan dibina di Taman Tun Dr Ismail, di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Syarafiq Abd Samad.

 
Kuala Lumpur: Syarikat Prasarana Negara Bhd (Prasarana) memulakan penerokaan ke dalam pembangunan hartanah dalam usaha mempelbagaikan asas pendapatannya.

Projek sulungnya ialah kompleks kediaman di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur yang akan dimajukannya dengan Naza TTDI Ventures Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Naza TTDI Sdn Bhd. Peroleh mandat kerajaan
Syarikat yang diberikan mandat oleh kerajaan menguruskan projek infrastruktur awam itu kini memiliki beberapa bangunan tetapi kebanyakannya dihubungkan dengan perkhidmatan rel serta basnya.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Shahril Mohktar, berkata selain tanah di Taman Tun Dr Ismail itu, Prasarana juga telah mengenal pasti beberapa tanah lain yang berpotensi dimajukan termasuk di Ara Damansara, Brickfields, Dang Wangi, Putra Heights dan Taman Melawati.

“Pada dasarnya, kami bersetuju bekerjasama dengan Crest Builder Group memajukan projek di Dang Wangi dan telah membuka tender berakhir 21 Julai ini bagi tanah di Brickfields.

“Tender memajukan aset di Ara Damansara pula baru ditutup. Prasarana mengalu-alukan pembida berminat mengemukakan cadangan dan tidak akan mengehadkan kreativiti mereka,”
katanya selepas memeterai perjanjian usaha sama antara Prasarana dan Naza TTDI Ventures itu di Kuala Lumpur, semalam.