GEORGE TOWN - Kementerian Pelancongan mencadangkan agar Bajet 2013 memberi beberapa insentif cukai kepada hotel, kata menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.
Beliau bagaimanapun berkata cadangan insentif itu hanya melibatkan hotel yang mempunyai penarafan bagi menjamin kualiti perkhidmatan.
"Adalah sesuatu yang cukup adil insentif cukai diberi kepada hotel yang mempunyai penarafan, jika tidak, kualitinya tidak terjamin," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan projek menaik taraf tandas awam di Pantai Mas, Batu Ferringhi di sini hari ini.
Dr Ng berkata kementerian itu juga sedang mengkaji insentif baru bagi hotel sedia ada yang melakukan baik pulih setelah mengadakan dialog dengan penggiat industri berkenaan.
"Tiada gunanya meminta terlalu banyak. Biarlah kita minta sesuatu yang boleh dilakukan dan boleh dilaksanakan secara berpanjangan seperti membaik pulih untuk menaik taraf hotel," katanya.

Dr Ng berkata langkah mengadakan penarafan bagi pusat spa adalah penting kerana Malaysia sedang bergerak ke arah pelancongan mewah.
Kata beliau industri spa sedang berkembang sebagai bidang pekerjaan popular dalam kalangan golongan muda.
Kabinet membenarkan kementerian itu memberi penarafan kepada pusat spa bagi menjamin kualitinya, kata beliau, sambil menggesa majlis tempatan menyokong usaha itu dengan tidak  mengeluarkan lesen kepada pengusaha yang tidak layak.
Dr Ng berkata kementerian itu juga diberi mandat memperakukan permohonan pekerja asing untuk bekerja di pusat spa untuk menjamin kemajuan industri terapi spa tempatan.
Projek menaik taraf tandas awam oleh kerajaan persekutuan melibatkan kos RM450,000 itu siap pada 26 Jun dan bertujuan memberi keselesaan kepada pengunjung ke Batu Ferringhi. -Bernama