KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu masyarakat terus memupuk budaya membaca bagi memperkayakan diri dengan ilmu lantas mempertingkat  ketamadunan.
Menurut baginda, masyarakat yang miskin ilmu akan terus ketinggalan.
Baginda bertitah pada perasmian program Hijrah Minda anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Pelajaran Perlis di Masjid Tuanku Syed Putra di sini hari ini.
Titah baginda lagi, ilmu pengetahuan adalah asas bagi pembentukan masyarakat dan negara yang makmur dan budaya membaca perlu diterapkan ke seluruh rakyat bagi merapatkan jurang ilmu antara masyarakat bandar dengan luar bandar.
Dalam perkembangan lain Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil mahu persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) lebih agresif membantu mencerna perubahan pelajar.
Bertitah pada majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2012 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen di sini, baginda menegaskan perlunyu pemimpin masyarakat seiring membina masyarakat bermaklumat.
Pada majlis itu, baginda turut merasmikan Anjung Bestari dan menanam pokok di Laman Ilmu sekolah itu.
Turut hadir isteri Menteri Besar Perlis, Datin Seri Asiah Asmuni. - Bernama