ALHAMDULILLAH Ramadan telah melabuhkan tirainya kepada kita semua
untuk sama-sama cuba meramadankan diri, sama ada ibadat yang wajib atau
sunat.
Tetapi malangnya sebahagian orang merasakan Ramadan sebagai bebanan
dan kesukaran dengan gambaran sikap puasa sebagai bebanan kepada mereka.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Allah SWT naungkan kepada kamu
dengan berlabuhnya bulan Ramadan ini dengan Rasulullah SAW bersumpah:
Tiadalah berlalu ke atas orang Islam bulan yang lebih baik bagi mereka
daripada bulan Ramadan dan tidak kepada munafik lebih teruk daripada
bulan Ramadan. Sesungguhnya Allah SWT menulis pahala ganjarannya
sebelum menjelmanya bulan dan juga menulis dosa serta kehinaan sebelum
masuknya bulan Ramadan." (riwayat Imam Ahmad dan al-Baihaqi).
Sebenarnya orang yang beriman melihat kepada laba dan keuntungan
pahala yang dianugerahkan Allah kepada yang beriman dan beramal
bersungguh-sungguh pada bulan Ramadan seperti berpuasa dengan sepenuh
hati, melakukan qiamullail, terawih, witir dan lain-lain.
Sedangkan orang munafik melihat kepada habuan nafsu dan syahwat.
Justeru, perasaan pertama terlintas kepada mereka bila Ramadan
mengunjunginya dengan perasaan lapar, dahaga, letih, penat, mengantuk,
malas, susah, banyak terganggu dan tergendala program kehidupan mereka
selama 11 bulan.
Atas asas inilah mereka merasa sukar dengan munculnya Ramadan yang membawa 1001 rahmat dan kelebihan.
Daripada Abi Mas'ud al-Ghifari, katanya Rasulullah SAW bersabda:
"Kalaulah hamba-hamba Allah mengetahui kelebihan yang terdapat pada
bulan Ramadan, nescaya mereka bercita-cita supaya bulan Ramadan berlaku
sepanjang tahun." (riwayat al-Tabarani, Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya
dan al-Baihaqi.
Inilah yang terjadi kerana tanpa kefahaman yang jelas menyebabkan
mereka begitu hanyut dalam kehidupan sehingga lalai untuk beribadat.
Akhirnya mereka hanya melihat puasa sebagai amalan ritual atau
semata-mata kewajipan tanpa memahami kelebihan yang begitu banyak dalam
bulan tersebut.
Oleh kerana itu hendaklah kita cuba menghayati kelebihan Ramadan dan
keistimewaannya untuk kita lakukan acara ibadat dengan sebanyak
mungkin. Jadikanlah Ramadan kali ini lebih baik daripada Ramadan lalu
dari sudut laba dan keuntungan akhirat. Penuhilah masjid dengan
beriktikaf dan solat serta menghadiri majlis pengajaran ilmu.
Semoga kita menjadi hamba Allah yang benar-benar melaksanakan ibadat
yang wajib dan sunat agar kita meraih takwa di sisi Allah SWT. Amin.
Utusan Malaysia arkib 24.7.2012