Thursday, November 22, 2012

Tarikan pantai, makanan Terengganu

Wartawan Sinar Harian
21 November 2012
Tarikan pantai, makanan Terengganu
Produk batik menjadi pilihan pelancong yang datang ke negeri ini sepanjang cuti sekolah.
 
KUALA TERENGGANU – Terengganu yang memiliki pantai putih dan bersih, produk kraf tangan menarik dan juga makanan yang enak menjadi pilihan pelancong untuk datang bercuti serta membeli-belah.

Pasar Besar Kedai Payang dan Bazar Warisan kini pula menjadi faktor utama pelancong melawat ke bandar raya ini sempena cuti persekolahan, apatah lagi pulau-pulau sudah mula tidak menawarkan pakej lawatan disebabkan musim tengkujuh.

Tinjauan Sinar Harian di kedua-dua lokasi tersebut mendapati ramai pelancong datang bersama keluarga dan rombongan memenuhi lokasi berkenaan.

Keadaan ini sudah pasti melariskan pelbagai barangan dijual peniaga seperti batik sarung, batik sutera, tenunan songket dan pastinya juga keropok keping dan keropok lekor segar ‘made ini Terengganu’ laris.

Bagi Ezaiyue Shazwany Ghani, 32, dari Ampang, Selangor, kunjungannya ke negeri ‘penyu bertelur’ yang ditemani ahli keluarga itu adalah aktiviti percutian keluarga serta untuk membeli belah, walaupun ada segelintir pihak menganggap barang di sini mahal.

“Kali ini kami datang semula ke Terengganu tetapi dengan lebih ramai ahli keluarga. Datang ke sini tidak lengkap kalau tidak berkunjung ke pasarnya dan membeli kain batik serta batik sutera,” katanya yang menafikan pelbagai barangan produk buatan negeri ini mahal, sebaliknya menurutnya ia dijual dengan harga murah dan berpatutan.