• PR1MA 
KUALA LUMPUR - Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan memperkenalkan program bantuan pembeli rumah pada awal tahun depan bagi membantu mereka yang tidak layak untuk pinjaman perumahan daripada bank-bank tetapi telah dipilih untuk memiliki rumah perumahan rakyat 1Malaysia.
  
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, PR1MA kini bekerjasama dengan rakan kongsi untuk membangunkan skim pembiayaan khas itu dan sedang menyiapkan butiran akhir.
  
Bercakap kepada Bernama dalam satu temu bual di sini, Abdul Mutalib berkata terdapat pembeli yang berjaya dalam pengundian telah gagal mendapat pembiayaan bank.
  
"Kami pernah melihat orang menangis selepas berjaya dalam pengundian kerana mereka tidak boleh mendapat pembiayaan. Kami berpendapat perlu ada mekanisme lain yang kami boleh memberikan bantuan, oleh itu adanya program bantuan pembeli kami ini," katanya.
  
Meskipun PR1MA berharap peratusan pembeli yang mendapat pembiayaan bank meningkat, terdapat keperluan untuk mereka bentuk skim seumpama itu untuk bertindak sebagai penampan.
  
"Program sebegini terdapat dalam Akta PR1MA 2012. PR1MA dibenarkan untuk mengadakan pelbagai program bantuan bagi membantu pembeli yang disasarkan yang tidak boleh mendapatkan pembiayaan. Setakat ini, kita hanya bergantung kepada pembiayaan bank," kata Abdul Mutalib.
  
Beliau berkata, akan terdapat dua skim iaitu 'Pelan Sewa & Bayar' serta 'Pelan Sewa & Tinggal' untuk dipilih pembeli dan apabila mereka mampu mendapatkan pembiayaan bank, mereka boleh membeli rumah itu pada harga asal.
  
"Secara progresif, apabila pendapatan mereka meningkat, mereka akan boleh mendapatkan pembiayaan bank dan menukar skim ini pada pembiayaan tradisional biasa pada harga asal," katanya.
  
Sebagai contoh, Abdul Mutalib berkata bagi sebuah hartanah berharga RM200,000, pertamanya, pembeli memerlukan wang pendahuluan kira-kira RM20,000.
  
"Selain itu, untuk melayakkan diri kepada pinjaman, mereka perlu mempunyai pendapatan isi rumah sebanyak RM3,865 sebulan. Bagi hartanah berharga RM400,000 pula, jumlahnya RM7,700, dan seterusnya.     Bayaran bulanan pula, antara RM966 hingga RM1,933," katanya.
  
PR1MA yang menyedari ada dalam kalangan pembeli yang tidak dapat memenuhi keperluan ini, memutuskan untuk menangani masalah kewangan mereka, katanya.
  
"Kami tidak mahu melihat keadaan di mana pembeli kecewa, selepas berjaya dalam pengundian, mereka tidak boleh mendapatkan rumah. Kami mahu orang ramai tidak putus harapan," katanya.
  
Skim ini juga dibuka kepada pemohon yang mencari rumah kedua.
  
"Kami sentiasa menegaskan bahawa mereka yang sudah memiliki rumah layak memohon PR1MA. Rasionalnya adalah mudah. Sesetengah orang telah membeli sebuah rumah di lokasi yang tidak menguntungkan kerana itu yang mereka mampu pada masa itu.
  
"Bagi kami tidak membenarkan mereka untuk tidak mengambil bahagian adalah tidak adil, tetapi sudah tentu kewajaran diberikan lebih kepada mereka yang tidak memiliki rumah," kata Ahmad Mutalib.
  
Beliau berkata, banyak orang mempunyai salah tanggapan bahawa PR1MA hanya untuk golongan berpendapatan rendah, dan menggesa orang ramai yang berminat, terutamanya yang golongan muda supaya mendaftar dan memohon.
  
PR1MA merupakan skim perumahan mampu milik di kawasan bandar utama bagi kumpulan berpendapatan sederhana antara RM2,500 hingga RM7,000 sebulan.- Bernama