Friday, January 13, 2012

Bukan mudah untuk jadi jutawan

Sinar Harian:

ABDUL JALIL ALI
January 12, 2012
Dulu, kini dan selamanya, saya tidak pernah percaya ada cara mudah untuk buat duit dan jadi kaya sekelip mata. Sejarah telah membuktikan duit yang diperoleh secara mudah lebih banyak mendatangkan mudarat.

Tentu semua masih ingat mengenai skim cepat kaya satu ketika dulu. Simpan RM1,000 boleh dapat RM5,000 dalam masa tiga bulan! Ramai orang kita – termasuk pegawai dan kakitangan awam – ghairah hendak jadi jutawan segera, masing-masing melabur dalam berbagai skim jenis ini. Antara yang paling popular skim Labu Peram.

Walaupun telah diingatkan oleh pihak berkuasa, ramai yang keluarkan semua simpanan dalam bank untuk melabur dalam skim haram ini. Ada yang jual tanah dan cagar rumah pinjam bank untuk melabur.

Memang ada seorang dua yang berjaya jadi kaya sekelip mata. Tetapi lebih ramai yang menjadi papa kedana. Jual rumah, jual tanah, jual emas untuk melabur, tiba-tiba RM juta-juta yang dilabur semuanya lebur. Maka ramailah yang tinggal sehelai sepinggang. Malah, ada yang hanya tinggal seluar dalam dan bercakap seorang diri sambil marah-marah pada tiang elektrik dan lampu isyarat.

Tetapi, orang kita tidak pernah belajar dari sejarah. Pasca Labu Peram memperlihatkan sekian banyak penipuan dilakukan untuk mengabui mata dan hati mereka yang tamak dan hendak cepat jadi jutawan. Ramai yang sudah terkena, tetapi masih ramai juga yang ingin mencuba.

Paling popular ialah skim gores dan menang atau ‘G&M’. Beli barang RM10, boleh gores kertas dan akan dapat kereta, banglo, pakej percutian, wang tunai RM ribu-ribu. Ada juga sindiket duit hitam @ ‘black money’ yang konon boleh menjadikan seseorang kaya sekelip mata. Semua telah terbukti auta, tetapi masih ramai yang tidak serik.

Akhir-akhir ini ada satu lagi cara buat duit dengan mudah, iaitu jadi keldai dadah. Kalau sekali berjaya, terus jadi jutawan. Ada sindiket dadah antarabangsa yang memujuk dan memikat anak gadis kita untuk menjadi keldai. Banyak gadis kita telah terperangkap.

Menurut Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Datuk M Govinden, ibu bapa kena mengawasi anak gadis mereka sebab perangkaan menunjukkan semakin ramai gadis pada usia 19 dan 20 tahun dikeldaikan oleh sindiket tidak berhati perut ini.

Setakat Jun tahun lalu, 17 wanita tempatan telah ditahan di China, kerana menyeludup dadah. Itu tidak termasuk yang ditahan di negara-negara lain atas kesalahan sama. Mereka terpesona dengan tawaran sindiket yang antaranya membeli beg tangan berjenama mahal dan wang.

Kata orang, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah. Kalau tupai yang pandai pun boleh kecundang, inikan pula keldai yang memang terkenal bodoh! Pendek kata, jangan jadi keldai dadah.

Seperti yang dibuktikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ada satu lagi cara mudah menjadi jutawan, tetapi akhirnya menerima nasib keldai. Agensi tersebut baru-baru ini menyerbu rumah seorang pegawai kanan Jabatan Perhutanan Perak dan menemukan RM720,000 tunai.

Kesemua wang tunai tersebut disembunyikan di beberapa sudut rumah itu termasuk di bahagian dapur dan ruang tamu. Malah, ada wang yang disembunyikan dalam lipatan kain telekung. Pakaian untuk beribadat pun digunakan untuk membungkus duit haram!

Selain wang tunai lebih RM tiga suku juta, pegawai SPRM juga menemui beberapa akaun saham amanah atas nama ahli keluarga pegawai hutan berkenaan yang nilai pelaburannya mencecah RM4 juta.

Demikianlah bagi sesetengah orang mudah sangat mendapat duit RM juta-juta. Tetapi, akhirnya tupai dan keldai kecundang juga. Pendek kata, apa-apa yang mudah tetapi salah, pasti membawa padah. Kalau betul RM720,000 dan RM4 juta itu hasil rasuah, kerjakan dia hingga ke akar umbi.

Di Johor Bahru, keinginan untuk cepat kaya bertukar menjadi kecewa. Selama kira-kira seminggu kawasan lapang di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee diserbu orang ramai untuk mencari emas.

Tidak pasal-pasal orang menemui ketul-ketul batu bersalut emas, maka beratus orang berkampung di situ, tidak henti-henti mendulang emas dari pagi hingga lewat malam, malah ada yang mengorek hingga ke subuh.

Baru kelmarin terbukti apa yang ditemui di Jalan Mewah bukanlah galian mewah. Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Johor, Shahar Effendi mengesahkan apa yang disangka emas itu sebenarnya mineral besi sulfid (iron pyrite) yang juga dikenali sebagai fool’s gold. Pendek kata, bukan mudah hendak jadi kaya.