KUALA LUMPUR - Penasihat kewangan perlu mengubah pendekatan mereka ketika berurusan dengan pelanggan sekiranya mereka mahu meningkatkan industri ke tahap yang lebih tinggi.
Pengarah Kumpulan Penasihat Kewangan Financial Alliance Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura Tan Siak Lim berkata ramai penasihat kewangan lebih cenderung menjual produk kewangan daripada memberikan khidmat nasihat dan perundingan.
"Mereka perlu berubah untuk mendapatkan rasa hormat daripada pelanggan dan dilayan sebagai penasihat kewangan sebenar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas pembentangan di seminar perancangan kewangan yang bertajuk "Transition from Tied Agent to Independent Financial Adviser" (Peralihan daripada Ejen Terikat kepada Penasihat Kewangan Bebas).
Beliau berkata kelembapan ekonomi global menyediakan peluang besar bagi perniagaan penasihat kewangan kerana lebih ramai orang mahu mendapatkan khidmat nasihat.
Bagaimanapun, penasihat kewangan perlu menonjolkan diri mereka sebagai perunding dan bukan jurujual untuk mendapatkan perhatian pelanggan.
Ditanya mengenai perancangan persaraan, beliau berkata perkhidmatan itu yang merupakan satu daripada perkhidmatan yang ditawarkan oleh penasihat kewangan akan menjadi alternatif kepada skim persaraan swasta yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 19 Julai.
Tan berkata objektif perancangan persaraan adalah untuk mengelakkan pesara daripada berdepan masalah dana tidak mencukupi bagi perbelanjaan hidup selepas bersara berikutan hayat yang lebih panjang, saiz keluarga yang kecil untuk menjaga orang tua dan kos hartanah tinggi.
"Dana pencen, yang sepatutnya digunakan selepas bersara, sering digunakan untuk membeli hartanah, akibatnya hanya tinggal sedikit sahaja bagi persaraan," katanya.
Selain itu, beliau berkata bilangan pelanggan yang menyertai perancangan persaraan bagi setiap penasihat kewangan adalah terhad, kira-kira 100 pelanggan bagi setiap penasihat kewangan, disebabkan perkhidmatan perundingan yang lebih teliti.
Selain daripada melabur dalam kelas aset standard seperti ekuiti dan bon, perancangan persaraan juga melabur dalam aset kelas eksotik seperti komoditi, mata wang, hartanah dan malahan karya seni, antik dan wain bergantung kepada keperluan unik pelanggan, katanya.
Seminar itu yang dianjurkan oleh I-Max Financial Sdn Bhd, firma khidmat nasihat kewangan bebas, disasarkan untuk meningkatkan tahap kesedaran di kalangan pengguna berkaitan dengan  perkhidmatan perundingan kewangan. - Bernama